Sunday 8 January 2017

ADA HARI DIA AKAN MARAH






ADA HARI DIA AKAN MARAH








Semalam kita masih hidup. Hari ini, kita masih diizinkan bangun daripada tidur. Sedangkan kita belum memohon keampunan kepada Allah atas dosa-dosa semalam. Pada hari ini, kita masih leka menambah dosa-dosa yang sedia ada. Luka semalam belum diubati, lantas hari ini kita menambah lagi luka-luka dalam hati.

     Kita selalu lalai. Kita selalu lupa. Kita berasa senang dengan kehidupan yang penuh dengan kealpaan ini. Diri ini dibuai indah dengan kehidupan duniawi. Esok masih ada. Esok masih ada. Esok masih ada. Esok masih sempat bertaubat. Allah itu Maha Pengampun, tidak mengapa sekiranya melakukan dosa. Itu adalah sangkaan kita.

     Sedangkan kita lupa, ada satu hari, Allah pasti akan melepaskan kemarahan-Nya apabila sekian lama memberikan kita peluang bagi memohon keampunan-Nya.


Allah yang Maha Penyayang

Kasih Allah tidak ada tandingan. Dalam apa juga medan, Allah SWT adalah yang terhebat. Ini kerana, Dia adalah Pencipta yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana, Maha Berkuasa, dan sesiapa pun tidak mampu menandingi-Nya.

     Dalam keperkasaan-Nya yang tidak ada tandingan itu, Allah SWT juga adalah Maha Penyayang, Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Dalam medan ini juga, tidak ada sesiapa pun dapat menandingi Allah SWT.

     Lihatlah kasih sayang Allah SWT. "Aku adalah seperti sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya ketika mereka mengingati-Ku. Sekiranya mereka mengingati-Ku dalam satu majlis. Aku pasti mengingati mereka dalam majlis yang lebih mulia lagi. Sekiranya mereka mendekati-Ku sejengkal, Aku pasti mendekati mereka sedepa. Sekiranya mereka mendekati-Ku sedepa, Aku mendekati mereka lebih daripada itu. Sekiranya mereka datang mendekati-Ku dalam keadaan berjalan, Aku mendekati mereka dalam keadaan pantas." Hadith ini direkodkan oleh Muslim.

     "Allah memnjangkan tangan-Nya pada waktu malam bagi mengampunkan pembuat dosa pada waktu siang. Allah memanjangkan tangan-Nya pada waktu siang bagi mengampunkan pembuat dosa pada waktu malam sehingga terbit matahari dari arah barat." Hadith ini dilaporkan oleh Ahmad dan Muslim.

     "Sesiapa yang bertaubat sebelum terbitnya matahari dari arah barat, pasti taubatnya diterima oleh Allah." Hadith ini direkodkan oleh Ahmad dan Muslim.

     Betapa luas kasih sayang Allah kepada umatnya.

     Persoalannya, siapakah yang mengasihi Allah dengan mengambil peluang memohon keampunan-Nya?


Tetapi, Kita Mengkhianati-Nya

Bagaimana pula layanan kita kepada Allah SWT? Apabila kita berdosa, kita tidak pergi pada keluasan keampunan-Nya. Kita hanya menjadikan keampunan-Nya yang amat luas itu sebagai alasan untuk kita terus melakukan dosa, kemungkaran, dan maksiat.

     "Allah Maha Pengampun, tidak salah sekiranya kita melakukan dosa."

     Ini adalah sikap kita.

     Manusia jenis apakah kita ini?

     Kita sedarkah, berapa umur kita?

     20 tahun? 40 tahun? 60 tahun?

     Mari bersama kita berfikir sejenak, sudah berapa lama kita tidur dan Allah izinkan kita bangun keesokan hari? Kemudian, kita kembali melakukan dosa pada hari itu. Seterusnya kita tidur lagi dalam keadaan bertaubat.

     Lihat. Betapa kita tidak berasa malu kepada Allah SWT.

     Kita langsung tidak peka. Kita menganggap dosa kita seperti lalat yang hinggap pada hidung sahaja. Pada sangkaan kita, apabila kita menguis dosa itu, dosa itu hilang begitu sahaja.

     Betapa angkuhnya kita kepada Dia.

     Betapa kita mengkhianati-Nya.


Satu Hari Nanti, Dia Pasti Marah

Hari itu adalah hari akhirat. Pada hari itu, Allah SWT membalas segala perbuatan manusia sama ada yang baik ataupun buruk. Pada hari itu, tidak ada sesiapa yang mendapat belas kasihan-Nya kecuali yang terpilih sahaja. Pemeriksaan Allah pada saat itu halus dan tajam tanpa ada kelonggaran.

     Allah SWT mengotakan janji-Nya, Allah menjelaskan dalam surah Al-Zalzalah, ayat 7 hingga ayat 8 yang bermaksud:

          "Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah,
          tetap dihitung. Manakala sesiapa yang melakukan kejahatan
          sebesar zarah, juga tetap dihitung."

Sehingga ada manusia yang ingkar di dunia ini berharap supaya menjadi tanah sebelum tiba hari akhirat. Allah menerangkan dalam surah An-Naba, ayat 40 yang bemaksud:

          "Orang-orang kafir berkata pada hari akhirat kelak, 'Alangkah
          baiknya sekiranya aku menjadi tanah supaya aku tidak
          dibangkitkan, dihitung amalanku, dan menerima balas'."

Pada hari itu tidak ada lagi peluang untuk mereka yang melupakan-Nya di dunia ini. Bahkan, mereka yang melupakan Allah SWT. Allah pasti melupakan mereka pula pada hari kiamat dan tidak menghiraukan urusan mereka. Allah menambah kesusahan golongan manusia yang ingkar, dengan kesusahan yang melampau pada hari itu. Allah menyatakan dalam surah Toha, ayat 124 hingga ayat 126 yang bermaksud:

          "Sesiapa yang berpaling daripada ingatan dan petunjuk-Ku,
          sesungguhnya Aku berikan mereka kehidupan yang sempit. Aku
          himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Mereka
          berkata, 'Wahai Tuhanku, mengapakah Kau himpunkan aku 
          dalam keadaan buta, padahal aku dapat melihat?' Demikianlah
          keadaannya! Ayat-ayat keterangan Kami sudah datang
          kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya.
          Pada hari ini engkau dilupakan serta ditinggalkan."

Allah tidak menutup aib mereka yang tidak pernah berasa malu dengan dosa mereka. Semua ditayangkan. Tidak ada satu pun disembunyikan. Semuanya akan dikira, dihitung, dan dihisab.

     Pada hari ini, manusia yang beramal soleh juga berasa risau. Hatta, para rasul dan nabi juga berasa gementar. Mereka takut dengan kemurkaan Allah walaupun mereka adalah orang yang taat dan bersih. Apatah lagi manusia yang hidupnya ingkar kepada Allah SWT.

     Dalam hadith yang dilaporkan oleh Bukhari dan hadith yang dilaporkan oleh Muslim, dinyatakan keadaan manusia pada hari akhirat. Mereka bergerak mencari para nabi bagi meminta pertolongan. Mereka pergi ke Nabi Adam, kemudian pergi ke Nabi Ibrahim, kemudian pergi ke Nabi Musa, dan kemudian pergi kepada Nabi Isa. Tetapi, semua nabi juga dalam ketakutan. Walaupun mereka adalah nabi-nabi Allah yang dikasihi.

     Mereka semua berkata, "Aku bukan tempat bagi meminta perlindungan," dan menunjuk kepada Nabi yang lain.

     Begitulah dasyatnya hari itu. Hatta, para rasul juga berasa takut.

     Tiada lagi ikhtiar. Dipadamkan segala peluang untuk bertaubat dan mengumpul amal. "Hari kiamat tidak terjadi sebelum terbitnya matahari dari arah barat. Ketika matahari terbit dari arah barat, semua manusia beriman. Tetapi, pada hari itu tidak bermanfaat lagi iman seseorang untuk dirinya dan kebaikan yang belum diusahakan." Hadith ini dilaporkan oleh Bukhari.


Hari itu Tidak Jauh, Jangan Fikir Kita Ada Banyak Masa

Apabila disebut hari kiamat, hari akhirat, ramai yang menyangka ia panjang dan masih jauh. Hakikatnya, kiamat itu begitu dekat. Dekat untuk setiap orang. Ini kerana, tidak ada sesiapa pun dapat meneka, bilakah nyawanya terhenti. Allah menjelaskan dalam surah Al-Maarij, ayat 6 hingga ayat 7 yang bermaksud:

          "Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh daripada
          berlaku, sedangkan Kami memandangnya dekat."

Ada orang sedang bermain dengan gembira, sihat di padang bola, dan meninggal tiba-tiba. Ada seorang syeikh pula, sedang memberi ceramah dalam keadaan sihat, malah sedang menuturkan kata-kata, tiba-tiba terdiam, dan jauh meninggal dunia. Ada orang yang sedang memandu, berhenti di lampu isyarat, tiba-tiba didapati dia tidak bergerak walaupun lampu sudah hijau. Apabila diperiksa, dia sudah meninggal dunia. Allah menegaskan dalam surah Al-Munafiqun, ayat 11 yang bermaksud:

          "Ingatlah, Allah tidak sekali melambatkan kematian seseorang
          ataupun sesuatu yang bernyawa, apabila sampai ajalnya. Allah 
          begitu mendalam pengetahuan-Nya berkenaan segala yang
          kamu kerjakan."

Bagaimana kita yakin kita dapat hidup sehingga 10 tahun lagi? Bagaimana kita yakin petang ini masih milik kita? Sedangkan, kita tidak dapat pastikan kita masih bernyawa ataupun sebaliknya.

     Tetapi, kita tidak peduli. Kita tidak pernah mahu memandang ataupun mengambil berat perkara ini.

     "Tidak mengapa, Allah Maha Pengampun."

     "Tidak mengapa, esok masih ada."

     Kemudian, kita menambah dosa lagi.

     Bertaubat? Mencuci kekotoran diri? Tidak sekali.

     Hakikatnya kita sudah mengkhianati kasih sayang Allah. Kita seolah-olah menempah kermurkaan-Nya.


Adakah Belum Tiba Masanya?

Hari ini bukan hari itu. Hari ini, kita masih diberi peluang. Saya masih menulis lembaran ini. Saudara masih diberikan peluang membacanya.

     Sampai bilakah kita hendak mengabaikan kasih sayang-Nya?

     Sampai bilakah kita hendak mengkhianati cinta-Nya?

     Belum tibakah masanya kita taat?

     Mengapa kita masih boleh berkira-kira dan berasa berat bagi menyerahkan diri kita kepada Allah SWT? Mengapa kita lebih mempercayai dunia yang tentunya akan hancur, berbanding Allah SWT yang abadi?

     Allah menjelaskan dalam surah Al-Hadid, ayat 16 yang bermaksud:

          "Belum sampaikan masanya untuk mereka beriman, khusyuk
          mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi
          kebenaran Al-Quran? Jangan pula mereka seperti orang-orang yang
          diberikan kitab sebelum mereka. Apabila orang -orang itu melalui masa
          yang lanjut, hati mereka menjadi keras dan banyak antaranya adalah
          golongan yang fasik."

Suatu hari, Allah pasti marah. Hari itu, Dia memalingkan wajah-Nya.

     Ketika itu, kita menanti dilemparkan ke neraka, sekiranya kita tidak membersihkan diri dan hati kita pada masa ini.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment