Friday 27 January 2017

DUA MATA






DUA MATA








Allah mengurniakan semua manusia dengan dua mata. Mata adalah antara nikmat jasad yang terbesar. Mata juga adalah dugaan yang begitu hebat untuk insan. Dengan mata, manusia mampu melihat, sekali gus menjana akalnya untuk berfikir pelbagai perkara. Namun, dengan mata juga manusia mudah bermaksiat dan akhirnya, daripada apa yang dilihat, akalnya berfikir pelbagai perkara yang merosakkan.

     Di samping dua mata yang Allah SWT berikan kepada manusia, saya terfikir dua mata lagi yang manusia hakikatnya perlu wujudkan dalam diri mereka. Iaitu, satu mata melihat masa belakang dan satu mata lagi melihat masa depan.


Mata Melihat Masa Belakang, Muhasabah

Kelemahan manusia antaranya adalah membuat kesilapan yang sama berulang-ulang. Dengan mengulangi kesilapan yang sama, peningkatan manusia dalam kehidupannya akan terganggu. Manusia yang baik adalah manusia yang tidak mengulangi kesilapannya.

     Rasulullah SAW mengatakan, "Seorang Mukmin itu tidak jatuh di dalam lubang yang sama sebanyak dua kali." Hadith ini dilaporkan oleh Muslim.

     Di sini perlunya kita sebagai orang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjalani kehidupan dengan baik, hidup dalam ketaatan dan menggapai redha-Nya dengan mempunyai mata melihat masa belakang.

     Dengan mata, kita bermuhasabah dan merenung salah silap kita. Ramai manusia mengingati kelebihannya, kebaikannya, dan kegemilangannya. Namun, sedikit yang mengingati kekurangannya, kejahatannya, dan kerendahannya. Saya mendengar orang berkata, "Benda-benda tidak baik, usah diingat", ataupun "Waktu yang sudah berlalu, usah dilihat kembali."

     Pada saya, pandangan itu silap. Benda-benda tidak baik yang dilakukan orang, kita tidak perlu ingat. Tetapi, benda-benda tidak baik yang kita lakukan perlu kita ingat dan jadikannya sebagai bahan muhasabah. Ini supaya ia tidak berulang lagi. Bukan sekadar tidak berulang pada diri kita, tetapi juga tidak berulang pada diri anak-anak dan manusia sekeliling kita. Namun, siapakah yang melihat masa belakang kita dan membetulkan kesilapan kita?


Mata Melihat Masa Hadapan, Merancang

Antara kelemahan manusia adalah tidak mempunyai perancangan. Hidupnya tidak dirancang, pengurusan dirinya tidak dirancang, keluarganya tidak dirancang, pekerjaannya tidak dirancang, tarbiah anak-anaknya tidak dirancang, pelajarannya tidak dirancang, dan begitu juga dalam kehidupannya.

     Hakikatnya saya terkilan dengan orang yang sering berkata seperti ini, "Apa gunanya perancangan, sekiranya tidak dapat apa yang dirancang."

     Pada saya, manusia yang berkata seperti ini adalah manusia yang menghancurkan diri mereka dan menghancurkan orang lain.

     Apakah perbezaan manusia yang merancang dengan yang tidak merancang? Manusia yang merancang pasti bersedia. Persediaan adalah pakej perancangan. Jangan samakan merancang dengan harapan ataupun cakap kosong. Merancang bermakna mempunyai strategi.

     Apabila kita bersedia dan tidak mendapat apa yang kita rancang, sekurang-kurangnya persediaan kita bermakna pada medan lain. Contoh mudah, kita merancang mahu berkahwin, kita mula mengumpul wang. Sampai pada masanya, dia tidak mahu berkahwin dengan kita. Apa yang kita rancang tidak berjaya. Tetapi, duit itu masih ada. Duit itu masih bermakna di medan lain pula. Kegagalan satu perancangan bukan penamat pada kehidupan seterusnya.

     Begitu juga dalam menjadi hamba Allah SWT.

     Apakah perancangan kita?

     Di mana strategi kita dalam menggapai redha-Nya?

     Apakah jalan yang kita mahu ambil? Pernahkah kita merancang?

     Allah SWT juga menggalakkan perancangan. Allah menegaskan dalam surah Al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud:

          "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada
          Allah dan hendaklah setiap kalian memerhatikan apa yang dia
          sediakan untuk hari esok."

Apakah yang kita sediakan untuk hari esok?


Sekiranya Kita Tidak Sedar, Kita adalah Orang yang Rugi

Muhasabah dan perancangan adalah penting. Saya mulakan dengan musahabah, kerana saya melihat tidak guna merancang sesuatu yang pasti mengulangi kesilapan yang sama pada masa yang lalu.

     Bersama manusia adalah masa. Masa tidak dapat dikembalikan. Orang yang tidak bermuhasabah dan asyik mengulangi kesilapannya yang sama, dia sudah kehilangan masa-masanya yang berharga. Orang yang tidak merancang dan kehidupannya tunggang langgang, dia juga kehilangan masa-masanya yang berharga. Dia dalam kerugian. Allah SWT menerangkan dalam surah Al-Asr, ayat 1 hingga 2 yang bermaksud:

          "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian."

Lebih merugikan apabila kita tidak bermuhasabah, kita mengulangi kesilapan yang sama, dan mewariskan pula kesilapan itu kepada anak-anak, pada keturunan, pada sahabat-sahabat, dan manusia di sekeliling kita. Lebih merugikan, kita tidak merancang, lalu keluarga kita rosak, pelajaran kita terbengkalai, dan diri kita terhumban dalam kerosakan. Ini adalah kerugian yang nyata. Allah menerangkan dalam surah Az-Zumar, ayat 15 yang bermaksud:

          "Sesungguhnya orang yang rugi adalah mereka yang merugikan diri
          mereka dan keluarga mereka di akhirat."

Bukankah dunia ini ladang akhirat? Di sini kita menanam, di sana kita menuai? Rugi di sini, di akhirat sana juga menanti hasil kerugiannya.

     Bagaimana? Mahu mewujudkan dua mata ini dalam kehidupan?

     Ataupun memilih tidak melakukan apa-apa peningkatan?

     Semuanya dalam tangan kita. Tidak ada paksaan.

     Namun, kita jelas mana yang dapat mencapai kegemilangan ataupun yang mana mengecap kehancuran.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment