Friday 6 January 2017

HASAN AL-BANNA [ BAB 29 - PEMERGIANNYA DITANGISI ]






PEMERGIANNYA DITANGISI








Petang itu sebelum keluar dari rumah, Hasan Al-Banna kelihatan termenung seperti sedang memikirkan sesuatu. Beliau sebenarnya berada dalam keadaan serba salah kerana isterinya Latifah sedang sakit mahu melahirkan anak. Pada masa yang sama, dia perlu menunaikan janjinya bagi bertemu dengan wakil perdana menteri di Pejabat Jam'iyyah Al-Syubban Al-Muslimin.

     Latifah tahu suaminya lebih mengutamakan kepenting ummah daripada kepentingannya sendiri. Kerana itu Latifah tidak mendesak suaminya supaya membatalkan pertemuan dengan wakil perdana menteri itu. Tambahan pula perkara itu penting demi kebaikan Ikhwan Muslimin.

     Dengan dibantu oleh beberapa orang jiran tetangga dan bidan, akhirnya Latifah selamat melahirkan seorang anak perempuan yang merupakan anak dalam keenam keluarga itu. Walaupun sudah selamat melahirkan anak, namun hati Latifah tidak tenang kerana memikirkan suaminya.

     Malam itu, Latifah tidak dapat melelapkan matanya kerana runsing mengenangkan suami yang masih belum pulang. Sebelum keluar dari rumah, suaminya berjanji akan pulang selepas sembahyang maghrib, kerana urusannya dijangka selesai pada masa yang singkat. Tetapi menjelang dinihari, suaminya masih belum pulang.

     Tiba-tiba kedengaran pintu rumah diketuk dengan kuat. Syeikh Ahmad Al-Banna yang ketika itu masih belum tidur turut tersentak mendengar bunyi ketukan yang kuat itu. Mustahil Hasan Al-Banna yang melakukannya kerana beliau tidak pernah mengejutkan isterinya dengan mengetuk pintu dengan kuat.

     "Biar ayah yang buka pintu," kata Syeikh Ahmad Al-Banna.

     Latifah segera berpesan, "Berhati-hati, ayah."

     Syeikh Ahmad Al-Banna bersama isteri dan anak-anaknya berkumpul di rumah itu. Mereka bersama-sama menunggu kepulangan Hasan Al-Banna.

     "Siapa di luar sana?" tanya Syeikh Ahmad Al-Banna.

     "Polis...," jawab suara dari luar.

     Syeikh Ahmad Al-Banna segera membuka pintu dan bertanya tujuan kedatangan anggota polis pada dinihari itu.

     "Anak awak Hasan sudah meninggal dunia di hospital Qasratul Aini," beritahu anggota polis itu.

     "Innalillahiwainnailaihirajiun...," ucap Syeikh Ahmad Al-Banna. Dia seperti tidak percaya dengan berita itu.

     "Suami saya pergi tadi dalam keadaan sihat. Bagaimana dia boleh meninggal dunia?" tanya Latifah pula sambil menangis.

     "Kami hanya diarahkan memaklumkan Hasan Al-Banna telah meninggal kepada keluarganya. Kami tidak dibenarkan memberi laporan sebab kematiannya," kata anggota polis itu.

     Kemudian kata anggota polis itu lagi, "Kamu diberi dua pilihan. Mengebumikan jenazah itu sendiri ataupun serahkan pihak polis mengebumikannya."

     "Kami sendiri yang akan mengebumikannya...," kata Syeikh Ahmad Al-Banna.

     "Dengan syarat, jangan beritahu orang lain perkara ini. Kamu sendiri yang mengebumikannya tanpa bantuan orag lain. Sekiranya kamu setuju, kami akan hantar mayat itu sebentar lagi," kata anggota polis itu dan Syeikh Ahmad Al-Banna terpaksa bersetuju dengan syarat itu.

     Mayat Hasan Al-Banna dikeluarkan dari Hospital Qasratul Aini lalu dibawa ke rumahnya dengan diiringi empat buah kereta perisai dan 200 orang anggota polis yang bersenjata. Kemudian kawasan rumah Hasan Al-Banna dikepung supaya orang ramai tidak dapat mengunjunginya. Semua jalan masuk ke rumah itu juga disekat.

     Syeikh Ahmad Al-Banna berasa sungguh terharu menerima kepulangan anaknya yang telah syahid. Latifah pula seperti tidak percaya itu adalah mayat suaminya. Baru beberapa jam dia pergi dalam keadaan sihat, tiba-tiba dipulangkan dengan mayat yang terbujur kaku. Namun beliau tetap menahan diri dan teringat pesan suaminya supaya menerima takdir Ilahi dengan hati yang reda.

     Jenazah Hasan Al-Banna diletakkan di ruang dapur atas perintah polis kerana tidak mahu orang lain datang menziarahinya. Semua pintu dan tingkap rumah itu dikunci rapat, dan anggota polis berkawal di sekeliling rumah.

     Selesai sembahyang subuh, Syeikh Ahmad Al-Banna mula membuat persiapan memandikan dan mengkafankan jenazah anaknya itu. Dengan dibantu oleh ahli keluarga yang lain, jenazah Hasan Al-Banna pun dimandikan.

     "Berikan saya kain bagi mengkafankan mayat ini," kata Syeikh Ahmad Al-Banna.

     "Arwah berwasiat supaya dikafankan dengan kain ini," kata Latifah sambil memberikan kain putih kepada ayah mertuanya.

     Menurut Latifah, suaminya sudah membeli kain putih beberapa hari sebelum beliau dibunuh. Beliau berpesan kepada Latifah, sekiranya sesuatu terjadi kepada dirinya, kafankan dengan kain itu.

     Syeikh Ahmad Al-Banna pun mengkafankan jenazah anak kesayangannya itu. Kemudian timbul persoalan bagaimana mahu membawa mayat itu ke tanah perkuburan. Siapa pula yang akan ditugaskan menggali kubur.

     Syeikh Ahmad Al-Banna meminta kebenaran pihak polis supaya membenarkan mereka mendapatkan khidmat beberapa orang lelaki bagi mengusung mayat itu ke tanah perkuburan.

     "Kamu boleh ajak orang perempuan untuk membawa mayat itu ke kubur, kerana orang lelaki tidak dibenarkan membantu," kata pegawai pihak polis.

     "Bagaimana pula dengan kuburnya? Siapa yang akan menggali kuburnya?" tanya Syeikh Ahmad Al-Banna.

     "Kami sudah suruh Makram Abid menggali kubur, tetapi dia sendiri tidak tahu kubur itu untuk siapa," jawab anggota polis itu.

     "Kami mahu sembahyangkan jenazah ini di masjid," kata Syeikh Ahmad Al-Banna.

     "Kamu boleh sembahyangkan di masjid, tetapi orang lain tidak dibenarkan menyembahyangkan jenazahnya," kata anggota polis itu.

     Kemudian Syeikh Ahmad Al-Banna yang ketika itu berumur 90 tahun, dibantu oleh beberapa orang anak perempuannya membawa mayat Hasan Al-Banna ke Masjid Al-Qaiwan bagi disembahyangkan. Masjid itu dikepung oleh anggota polis dan orang ramai tidak dibenarkan datang ke masjid itu. Syeikh Ahmad Al-Banna seorang diri yang menyembahyangkan jenazah anaknya. Kemudian Syeikh Ahmad Al-Banna yang dibantu oleh beberapa orang perempuan, mengusung mayat Hasan Al-Banna ke tanah perkuburan.

     Berpuluh anggota polis yang bersenjata mengiringi perjalanan jenazah Hasan Al-Banna ke tanah perkuburan. Orang ramai diarah berada di dalam rumah masing-masing dan tidak dibenarkan keluar rumah. Semasa melintasi halaman sebuah rumah, kelihatan penghuni rumah itu melihat ke arah mayat sambil mulutnya terkumat kamit membaca Al-Fatihah. Melihat keadaan itu, beberapa orang anggota polis menyerbu rumah itu lalu mengheret tuan rumah itu keluar.

     "Apa yang kamu lakukan tadi?" tanya anggota polis itu kasar.

     Dengan berani lelaki itu menjawab, "Melihat jenazah Hasan Al-Banna sambil membacakan Al-Fatihah."

     "Dia seorang pengganas, tidak boleh diberi penghormatan," herdik anggota polis itu.

     "Beliau imam kami dan bukan pengganas. Selayaknya beliau diberi penghormatan," kata lelaki itu pula.

     Akibatnya lelaki itu disepak dan diterajang dengan tuduhan menjadi pengikut Hasan Al-Banna. Kemudian lelaki itu dimasukkan ke dalam penjara.

     Anggota polis membuat kawalan yang lebih ketat. Orang ramai dipaksa berada di dalam rumah masing-masing dan semua tingkap dan pintu hendaklah ditutup rapat. Sesiapa yang ingkar perintah itu, akan ditembak.

     Syeikh Ahmad Al-Banna bersama beberapa orang perempuan yang memikul mayat itu akhirnya sampai di tanah perkuburan. Di sana telah menunggu Makram Abid yang ditugaskan menggali kubur. Beliau terperanjat apabila diberitahu mayat itu adalah Hasan Al-Banna. Syeikh Ahmad Al-Banna dan Makram Abid memasukkan jenazah ke dalam sebelum ditimbus dengan tanah.

     Kemudian pihak polis mengawal kubur itu siang dan malam kerana bimbang digali pengikut Hasan Al-Banna. Rumah Hasan Al-Banna juga dikawal dan orang ramai tidak dibenarkan datang ke rumah itu. Kemudian dikeluarkan pula perintah tidak boleh melakukan sembahyang jenazah ghaib di masjid. Selepas sembahyang, orang ramai disuruh segera keluar dari masjid kerana bimbang mereka mendoakan Hasan Al-Banna.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment