Friday 13 January 2017

NALURI KEIBUAN YUKABID TERCABAR






NALURI KEIBUAN YUKABID TERCABAR








"Hatinya gundah, jiwanya resah
Anak yang lahir menjadi rahsia
Ketika Yukabid menghanyutkan anaknya
Hatinya rawan tak putus berdoa
Semoga selamat dan ditemukan semula
Hanya Allah penentu segala."




Yukabid binti Qahat adalah seorang ibu yang telah dicabar naluri keibuannya oleh kezaliman Fir'aun di zaman pemerintahannya. Ketika itu, Fir'aun telah bermimpi satu mimpi yang aneh dan meminta ahli nujumnya mentafsirkan mimpinya. Fir'aun begitu terkejut dan marah apabila ahli nujumnya itu meramalkan bahawa akan lahir seorang bayi lelaki yang akan menentang dan menghancurkan kerajaan Fir'aun apabila dewasa kelak.

     Sejak itu, Fir'aun telah memerintahkan supaya semua bayi lelaki di seluruh Mesir dibunuh. Beliau juga telah membentuk satu pasukan keselamatan untuk melakukan pengintipan ke atas setiap rumah Bani Israel. Setiap bidan yang menyambut kelahiran bayi pula mesti melaporkannya kepada pejabat polis Fir'aun.

     Pengisytirahan kejam itu telah membuat semua ibu yang mengandung menjadi resah. Mereka bimbang jika bayi yang bakal dilahirkan itu nanti seorang lelaki, pasti Fir'aun akan membunuhnya. Di antara ibu yang turut bimbang itu ialah Yukabid binti Qahat yang kandungannya sudah amat besar. Siang dan malam beliau tidak putus-putus memikirkan tentang nasib anak yang berada di dalam kandungannya itu. Mujur sekali, hati dan imannya kuat dan teguh kepada Tuhan. Beliau yakin bahawa Tuhan akan menyelamatkannya dari kekejaman Fir'aun.

     Apa yang selama ini dikhuatiri pun berlaku. Anak yang dilahirkan ialah seorang lelaki. Semua yang berada bersamanya juga terkejut. Bidan yang menguruskan kelahiran anak itu juga terpaku. Wajahnya pucat, Beliau tahu beliau harus melaporkan kelahiran anak itu kepada polis. Tetapi setiap kali memandang Yukabid, hatinya menjadi sayu. Perasaan kasihan menyelubungi hatinya dan beliau tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

     Pada suatu hari tanpa diduga, pintu rumah Yukabid diketuk orang. Beliau terus mencapai anaknya dan membungkusnya dengan kain dan diletakkan di dalam tempayan pembakar roti. Apabila pintu rumahnya dibuka, polis Fir'aun pun terus menggeledah semua penjuru rumah itu tetapi tidak menemui anak itu. Selepas berpuas hati, mereka kemudiannya keluar meninggalkan rumah Yukabid. Anak itu pun terselamat.

     Yukabid terus memelihara anak itu di dalam rumahnya secara rahsia untuk beberapa ketika. Namun Yukabid sentiasa ketakutan. Firman Allah:

     "Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: susukanlah beliau; dalam
     pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya
     (dari angkara Fir'aun), maka (letakkanlah beliau di dalam peti
     dan) lepaskan beliau ke laut dan janganlah engkau merasa
     bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan
     mengembalikannya kepada kamu, dan Kami akan melantiknya
     menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami." (Al-Qasas: 7)

Yukabid pun menurutinya tetapi beliau tetap merasa bimbang. Kisah ini turut difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:

     "Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong;
     sesungguhnya beliau nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya
     itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya
     (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya
     tetaplah beliau dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah)."
     (Al-Qasas: 10)

Lalu beliau mengarahkan anaknya Maryam supaya mengikuti arah peti itu hanyut. Alangkah terperanjatnya Maryam apabila peti itu menuju ke arah istana Fir'aun dan masuk ke dalam kawasan larangannya. Beliau segera pulang ke rumah dan memberitahu ibunya. Mendengarkan ini, Yukabid akur ini adalah takdir Tuhan. Biarlah Tuhan memeliharanya. Beliau hanya mampu berserah.

     Anaknya itu dipelihara dengan penuh kasih sayang oleh Asiah, isteri Fir'aun ketika itu. Walaupun Asiah seorang isteri Fir'aun tetapi beliau beriman kepada Allah. Ketika Asiah mencari tukang susu bagi menyusukan Musa, ramai yang datang menawarkan khidmat mereka, namun semuanya ditolak oleh Musa. Beliau langsung tidak mahu menyusu dengan mereka.

     Suatu hari, Maryam datang ke istana dan menawarkan seorang ibu yang boleh menyusukan Musa. Asiah pun bersetuju. Akhirnya Yukabid datang ke istana. Musa terus menerimanya dan menyusu dengan sepuas-puasnya. Begitulah kehendak Allah. Beliau Maha Berkuasa. Jika Beliau mengkehendaki sesuatu terjadi, pasti akan terjadi. Sesungguhnya Allah memperkenankan doa hambaNya yang ingin melihat anaknya terus hidup. Peristiwa ini turut dicatatkan di dalam Al-Quran:

     "Dan Kami jadikan beliau dari mulanya enggan menyusu kepada
     perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan
     halnya itu), kakaknya berkata: Mahukah, aku tunjukkan kamu
     kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya
     untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya? Maka (dengan
     jalan itu) Kami kembalikan beliau kepada ibunya supaya tenang
     tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai
     dengannya) dan supaya beliau mengetahui bahawa janji Allah
     (untuk menyelamatkannya) adalah benar, akan tetapi kebanyakan
     mereka tidak mengetahui (yang demikian itu)." (Al-Qasas: 12-13)

Begitulah kisah Yukabid, seorang ibu yang begitu tabah menghadapi takdir dan ketentuan Allah SWT. Beliau begitu yakin dengan janji-janji Allah. Walaupun kasihnya sebagai seorang ibu tercabar, namun beliau percaya, Allah akan kembali menemukannya dengan anaknya itu. Dialah contoh ketabahan seorang ibu, contoh yang tiada bandingannya.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI-BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD. 

No comments:

Post a Comment