Wednesday 4 January 2017

AKU BERDOSA, TETAPI AKU BERJAYA






AKU BERDOSA, TETAPI AKU BERJAYA








Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan ilmu tidak memasuki hati yang gelap. Luar biasanya kawan-kawan kita yang berjudi dan minum arak, mereka berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.

     Kita tahu bahawa siapa yang berbuat baik dan taat kepada Allah dipermudahkan kehidupannya. Kita melihat kawan-kawan kita tidak solat, namun perniagaannya maju. Sedangkan kita hidup dengan penuh cabaran dan dugaan.

     Kita juga tahu bahawa Islam agama yang benar, tetapi kita sering melihat golongan bukan Islam itu lebih berjaya, dan umat Islam tertindas dalam kehidupan sempit.

     Ada orang bertanya kepada saya, "Mengapa begitu?"

     Sekarang ini, mana benar? Adakah apa yang kita faham selama ini tidak benar? Tanyakan pada diri.

     Adakah kita tahu apa itu istidraj?


Makna Istidraj

Istidraj merujuk kepada seseorang yang dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam hidupnya secara berterusan. Walaupun dia bukan hamba Allah yang taat. Mengapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj?

     Istidraj adalah apabila Allah memberikan kejayaan, harta kekayaan, dan rezeki yang melimpah-ruah kepada manusia, dan manusia itu menjadi lebih jauh daripada-Nya.

     Biasanya, manusia yang mendapat istidraj adalah mereka yang tidak berusaha mengenali Islam dan mengenali Allah dalam kehidupannya.


Qarun

Ramai orang mendapat istidraj. Kita lihat contoh yang mudah, iaitu Qarun. Adakah kita kenal siapakah Qarun? Dia seorang manusia yang kaya. Diceritakan bahawa kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Ini menunjukkan betapa kayanya Qarun. Dia hidup pada zaman Nabi Musa a.s.

     Kisah Qarun terdapat dalam Al-Quran. Hartanya melimpah-ruah. Semua perniagaannya berjaya. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya semakin hari semakin bertambah, sedangkan yang bertambah semalam tidak luak digunakan.

     Apabila Nabi Musa cuba mengingatkan bahawa semua kekayaannya itu datang daripada Allah SWT Qarun menjawab dengan sombong. Ini dijelaskan dalam surah Al-Qasas, ayat 78 yang bermaksud:

          "Aku mendapat harta kekayaan ini disebabkan pengetahuan 
          dan kepandaian yang ada pada aku."

Lihat apa yang diperkatakan oleh Qarun. Dia nyata semakin jauh daripada Allah, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah-ruah, dan sebagainya. Saban waktu dia mengecilkan hati para pengikut Nabi Musa yang terdiri daripada orang-orang miskin dan hamba.

     Apakah pengakhiran hidup Qarun? Akhirnya, dia ditenggelamkan oleh Allah ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat dalam Al-Quran, surah Al-Qasas, ayat 81 yang bermaksud:

          "Kami timbus dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam 
          tanah. Tidak ada sesiapa pun dapat menolongnya daripada azab
          Allah dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri."

Lihat, adakah ini yang kita mahu?


Mari Berfikir Sejenak

Mari kita semua berfikir. Apabila kita melazimkan dosa-dosa, melakukan maksiat, dan kemudian kita berjaya dalam peperiksaan ataupun perniagaan. Apakah yang akan timbul dalam jiwa kita?

     Saya yakin, 99 peratus pasti terdetik seperti ini, "Aku tidak solat pun berjaya. Siapa kata solat itu membawa kejayaan?"

     Apakah yang terjadi kepada kita ketika itu? Kita berjaya, tetapi semakin jauh daripada Allah SWT. Itulah istidraj.

     Jangan berasa gundah, apabila kita menjaga hubungan dengan Allah, tetapi kita masih tidak berjaya dalam pelajaran mengikut neraca manusia lain. Contohnya, seperti seorang kawan saya. Dia mendapat 2A, sedangkan pada pandangan manusia biasa, cemerlang itu dikira dengan bilangan A yang banyak. Tetapi, apa kata kawan saya?

     "Saya mendapat hidup tenang, bahagia, dapat beribadah kepada Allah, dan saya masih hidup dalam ketaatan kepada-Nya. Saya sudah berpuas hati dan bersyukur. Mungkin saya tidak ada rezeki dalam peperiksaan ini, tetapi mungkin ada rezeki yang lain."

     Dia tidak jauh daripada Allah, malah bersangka baik kepada-Nya. Menerima dengan redha, ditambah pula dengan azam yang kental dan berusaha di lapangan lain pula. Pada saya, itu adalah kecemerlangan yang sebenarnya.

     Saya masih ingat kata-kata guru Al-Quran saya, iaitu Ustaz Abdul Hadi bin Othman. Apabila pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah menengah, beliau berkata, "Kami mahu jadikan kamu manusia yang soleh, cemerlang akhlak, terjaga sahsiah, dan pemikiran yang bersih. Bukan untuk dapatkan banyak A. Sekiranya kamu mendapat banyak A dalam peperiksaan, itu adalah bonus.


Jangan Gusar

Jangan gusar apabila kita tidak berjaya. Cuba lagi. Pertama sekali, kita perlu perhatikan hubungan keimanan kita dengan Allah. Sekiranya kita berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insya Allah kita mampu menepis segala cabaran dan dugaan.

     Sebenarnya Allah suka menguji para hamba-Nya yang beriman. Semasa kecil, saya suka membaca satu kisah, berkenaan dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala dan seorang lagi hamba yang taat kepada Allah. Ketika menebar jala, sahabat yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya. Manakala, seorang lagi membaca bismillah. Apabila diangkat jala itu, sahabat yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, tetapi seorang lagi hampir sahaja tidak ada ikan untuknya pada hari itu.

     Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada Allah. "Ya Allah, apakah yang sedang berlaku? Hamba-Mu yang menyekutukan-Mu, Engkau berikan dia rezeki yang banyak. Sedangkan hamba-Mu yang menyebut nama-Mu, Engkau tidak memberikan dia apa-apa?"

     Allah menjawab, "Yang menyekutukan Aku, tempatnya pasti neraka. Apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu sekiranya aku berikan kepadanya? Tetapi, aku mahu menguji kebenaran iman hamba-Ku yang beriman itu. Aku mahu berikannya syurga."

     Sekiranya kita tidak berjaya dalam peperiksaan, walaupun sudah belajar dengan bersungguh-sungguh ataupun gagal dalam perniagaan, walaupun strategi sudah disusun dengan cukup kemas, percayalah. Percayalah, itu adalah sebahagian daripada ujian Allah. Allah hanya menguji kepada mereka yang dikasihi-Nya. Jangan kita berasa sedih dan kecewa apabila diuji. Bukankah Allah menjelaskan dalam surah Al-Ankabut, ayat 2 yang bermaksud:

          "Adakah manusia beranggapan Kami akan membiarkan
         mereka berkata, 'Kami sudah beriman, sedangkan mereka itu 
         belum diuji?"


Gagal dalam Sesuatu Perkara, Bukan Gagal dalam Kehidupan

Sekiranya kita gagal dalam sesuatu perkara, yang gagal hanya perkara itu. Kita masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan berusaha, selagi nyawa masih ada. Insya Allah, Allah pasti memberikan sesuatu yang bermakna pada kita. Bersangka baiklah pada pencipta kita.

     Sebenarnya, apabila kita digegarkan dengan pelbagai masalah, kita perlu berasa bersyukur. Itu tandanya, Allah masih dekat bersama kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatian-Nya kepada kita. Ini tanda Dia tidak membenarkan kita sendirian.

     Mustahil kita mahukan kesenangan yang bersifat sementara di dunia ini, manakala di akhirat yang kekal abadi kita merana. Adakah kita mahukan istidraj?

     Saya yakin tidak.


Wajib Tidak Berasa Tenang

Kita wajib untuk tidak berasa tenang sekiranya kita membuat dosa, kemudian kita berjaya. Oleh itu, muhasabah diri adalah penting. Ia supaya kita sentiasa memeriksa dan meneliti bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT.

     "Saya berdosa, tetapi saya berjaya." Berhati-hati dengan lafaz seperti itu, ataupun lafaz-lafaz lain yang membawa maksud serupa, supaya tidak terkeluar daripada mulut kita.

     Marilah bersama-sama berfikir dan bermuhasabah.

     Mencuci dosa-dosa kita.

     Memperbetulkan segala kesilapan kita.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment