Friday 20 January 2017

MENGHARGAI KEHIDUPAN






MENGHARGAI KEHIDUPAN








Semasa semester pertama, iaitu pada tahun dua saya di University of Yarmouk, saya belajar dalam kelas Akidah 1 yang dikendalikan oleh Dr. 'Ala Hilat. Kami berbincang berkenaan dalil-dalil yang membuktikan kewujudan Allah SWT. Betapa kewujudan Allah SWT adalah wajib dan Dia sudah sedia ada. Saya tidak mahu berbahas panjang dalam perkara ini. Ini kerana, kita mungkin berasa sedikit keliru. Kita perlu mengikuti kuliah sekiranya kita betul-betul mahu memahami. Tetapi, perkara yang penting adalah Allah itu wujud.

     Dalam berbicara berkenaan Allah itu wujud, kami membahaskan berkenaan wujud dan 'adam (tidak ada). Orang-orang Ateis percaya bahawa dunia ini wujud secara tiba-tiba. Daripada tidak ada, kemudian terus mengadakan dirinya sendiri. Namun, pendapat ini disangkal dengan logik akal betapa benda yang tidak ada sifatnya adalah tidak ada apa-apa padanya, tidak ada kekuatan, tidak ada kehidupan, tiada roh, dan tidak ada segala-galanya.

     Bagaimana yang tidak ada, tetapi mempunyai kekuatan mewujudkan dirinya? Di sini Dr. 'Ala Hilat berkongsi satu perkara yang membuatkan mata saya membesar semalaman, seterusnya tersenyum dengan hati yang lapang.

     Perkara ini berkisar tentang, betapa pentingnya menghargai kewujudan kita di dunia ini.


Daripada Tidak Ada kepada Ada

Sekiranya kita perhatikan dalam dunia ini, tidak ada perkara terjadi tanpa sebab. Sakit sebab kerana virus dan bakteria. Sakit menjadi sihat dengan izin Allah SWT kerana adanya penjagaan yang baik, memakan ubat, dan rawatan doktor.

     Kita hidup kerana ibu dan ayah berkahwin dan melahirkan kita.

     Kita tidak lapar kerana kita makan. Tetapi, kita lapar kerana kita tidak makan.

     Pokok tumbuh dengan sebaran biji benih.

     Air terhasil dengan dua hidrogen dan satu oksigen.

     Semuanya bersebab. Ada punca yang menyebabkan ia ada.

     Tidak ada benda yang tidak wujud, tiba-tiba wujud tanpa penciptanya. Oleh sebab itu, kata-kata bahawa dunia ini tercipta sendiri, mencipta dirinya sendiri, wujud dengan tiba-tiba, adalah kata-kata yang disangkal dan ditolak 100 peratus. Teknologi dan kajian hari ini menemui bahawa dunia ini asalnya tidak wujud. Mengikut teori Big Bang, alam terhasil bermula dengan kejadian Big Bang.

     Siapakah yang melakukan big bang? Adakah secara tiba-tiba berlaku letupan itu? Bagaimana hendak melakukan letupan yang maha besar itu?

     Pasti ada pencipta. Dia yang sedia wujud, mempunyai kekuatan awal dan akhir, yang tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran. Dia kekal abadi dan azali, Dia yang mencipta dan mewujudkan semuanya. Dia adalah pentadbir kepada aturan alam yang tersusun ini, walaupun alam ini begitu komplek aturannya.

     Dia adalah Allah, pencipta kepada segala-galanya. Tuhan kita.


Setiap Perkara Ada Sebab, tetapi...

Setiap perkara mempunyai sebab. Semua orang faham begitu, semua orang nampak begitu. Mahu tidak mahu, mesti ada sebab yang menjadikannya. Sehingga tiba suatu ketika, syaitan mengacau pemikiran insan dan memasukkan pula fahaman berikut, "Sekiranya sakit, ambil ubat. Mesti sihat." "Sekiranya mahu anak, kahwin. Mesti kamu dapat anak." "Sekiranya mahu kaya, buka bisnes. Mesti kamu kaya."

     Perhatikan setiap perbuatan mesti. Akhirnya, apabila kita berubat, tetapi tidak sihat, apabila berkahwin, tetapi tidak mendapat anak, dan apabila membuka bisnes, tetapi kita muflis, kita menuding jari kepada Allah dan menyalahkan-Nya bersama takdir-Nya. Mereka sudah mengambil sebab, jadi mereka mesti dapat apa yang mereka usahakan. Perkara ini terjadi pada zaman Bani Israel, sebelum Nabi Isa dilahirkan.

     Manusia sudah lupa. Apabila hendakkan sesuatu perkara, kita perlu mengambil sebab. Tetapi, yang mewujudkan sesuatu yang tidak ada, itu hanya kuasa Allah SWT sahaja. Allah adalah sebab utama kepada sebab yang kita ambil itu untuk berfungsi. Terpulang kepada Allah. Dia yang menentukan sama ada mahu ataupun tidak dengan memberikan kita sihat dengan ubat yang kita makan, memberikan kita anak daripada perkahwinan kita, dan memberikan kekayaan kepada perniagaan kita.

     Pada zaman itu, Allah SWT mencipta Nabi Isa dan melahirkannya dalam perut Maryam. Perhatikan kelahiran Nabi Isa. Beliau lahir tanpa sebab. Maksudnya, beliau lahir tanpa bapa. Seperti yang kita katakan tadi, sekiranya mahu melahirkan anak, kita perlu berkahwin. Itu adalah sebab bagi melahirkan seorang anak. Tetapi, Allah SWT mencipta Nabi Isa tanpa bapa.

     Seolah-olah kata-kata yang keras daripada Allah SWT kepada sekalian manusia ketika itu dengan menyatakan, "Aku yang menciptakan alam ini, Aku adalah yang wujudnya asli. Aku berhak mengadakan yang tidak ada mengikut kehendak Aku. Tanpa sebab mahupun bersebab, kerana sebab itu pun Aku yang ciptakan." Allah hendak menunjukkan kepada kita bahawa Dia yang berkuasa atas segala-galanya. Sebab yang kita ambil hanya usaha, dan kita sepatutnya tidak melepaskan pergantungan kita kepada-Nya dalam sebarang usaha kita.


Apa yang Perlu Kita Perhatikan?

Lihat, Allah SWT berkuasa mengadakan yang tidak ada. Baik dengan bersebab mahupun tanpa sebab. Di sini Dr. 'Ala Hilat berkata, "Kamu yang memahami kudrat Allah SWT yang hebat ini, perlu melihat kepada diri kamu. Adakah sekarang kamu wujud ataupun tiada?"

     Dr. 'Ala Hilat bertanya, "Apakah sebab kewujudan kamu?" Semua diam.

     Kemudian, Dr. 'Ala Hilat menyambung lagi, "Sebenarnya saya tidak mahu bercakap berkenaan seks, tetapi saya mahu kamu perhatikan bahawa kamu terjadi disebabkan persenyawaan antara sperma ayah kamu dan ovum ibu kamu. Betul?"

     Semua mengangguk.

     "Ada berapa banyak sperma selain kamu?"

     "Banyak. Berjuta."

     "Tetapi, dalam jutaan sperma itu, kamu yang Allah pilih untuk diwujudkan."

     Perhatikan. Perhatikan wahai pembaca kata-kata dalam jutaan sperma itu. Kita yang terpilih. Kita.

     "Jadi, apakah yang terjadi pada sperma-sperma lain selain kamu?" Dr. 'Ala Hilat bertanya lagi. Semua diam.

     "Sperma-sperma itu tiada." Dr. 'Ala Hilat menutup kuliahnya.

     Hati saya berasa kembang. Dalam juta sperma, saya adalah satu-satunya yang terpilih untuk diwujudkan. Saya baru terlepas pandang daripada menjadi tiada, kemudian wujud di atas dunia ini. Saya diberikan peluang berikhtiar, diberikan kesempatan berasa bahagia, sedih, suka duka, senang susah, dan 1001 lagi nikmat kehidupan.

     Masya Allah...


Apa yang Perlu Kita Buat dengan Hidup?

Daripada jutaan sperma, kita yang Allah pilih untuk diwujudkan. Dr. 'Ala Hilat berkata, "Tidak kamu berasa, betapa kamu perlu memuliakan dan menghargai kehadiran kamu di atas dunia ini? Apakah betul untuk kamu menghargai dengan kehadiran kamu dengan merosakkan diri kamu dan melakukan perkara-perkara yang tidak baik? Sepatutnya kamu perlu hidup dalam kesyukuran yang tinggi atas kewujudan kamu.

     Jadi para pembaca, kita dapat rasakan kehidupan yang terbentang luas di hadapan ini kerana kita wujud. Adakah betul sekiranya kita bazirkan dengan keingkaran kepada Allah SWT?

     Kita diberi peluang mendapat syurga Allah. Sedangkan jutaan sperma yang lain tidak diberi peluang langsung menjenguk dunia. Tidakkah kita patut menggunakan peluang ini sebaik-baiknya? Allah SWT mempunyai kudrat bagi memilih sperma lain, tetapi dengan kudrat-Nya yang mulia dan tidak terhingga itu, Dia memilih kita.

     Kita dijemput oleh Allah, bukan dijemput oleh sembarangan makhluk. Allah yang menjemput kita. Kita dijemput oleh Pencipta alam ini, untuk hadir ke dunia dan berusaha meragut syurga-Nya. Hadir dijemput, perjuangan dibalas pula.

     Tidakkah kita berasakan bahawa kita patut serius dengan kehidupan kita sekarang?
  
     Hargai kehidupan kita ini. Jemputan mulia ini bukan untuk disia-siakan.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment