Wednesday 11 January 2017

MENCARI DIRI






MENCARI DIRI








Mencari diri. Siapakah diri kita yang sebenar? Manusia selalu bertanya dalam setiap tahap tumbesarannya. Mereka mahu mencari identiti yang sebenar. Siapakah yang perlu disembah? Siapakah yang perlu diikuti?

     Persoalan ini biasanya muncul dalam diri kita.

     Tetapi, apakah kita berjaya mencari diri kita yang sebenar, atau kita sekadar imitasi sesuatu yang bukan diri kita.

     Di sini kita perlu mengetahui, bagaimana hendak mencari diri yang sebenar. Semoga bahagian ringkas ini membantu kita, insya Allah.


Siapakah yang Lebih Kenal Diri?

Ayah? Ibu? Rakan-rakan? Guru-guru? Datuk? Nenek? Abang? Kakak? Walaupun ibu yang mengandungkan kita, tetapi dia juga tidak mengenali diri kita.

     Tetapi, Dia yang mewujudkan kita dalam rahim ibu. Dia yang mengenali diri kita.

     Ibu tidak mencipta kita. Ibu tidak mewujudkan kita. Kita wujud apabila ibu tidak menjangka. Bahkan, ibu menangis apabila kita wujud dalam perutnya. Menangis gembira. Terkejut tidak menyangka dikurniakan anugerah. Bukan ibu yang mewujudkan kita.

     Jadi, yang mewujudkan kita adalah yang mengenali kita sebenarnya. Dia yang mengetahui siapa diri kita yang sebenarnya.

     Dia adalah Allah SWT.


Bertanyalah kepada Dia

Langkah pertama dalam mencari diri sendiri adalah dengan kembali kepada-Nya. Cuba perhatikan apa yang Dia bicarakan berkenaan diri kita.

     Di manakah hendak mencari bicara-Nya?

     Allah memudahkan manusia, iaitu makhluk-Nya bagi mencari bicara itu dalam Al-Quran yang dijaga oleh-Nya.

     Tetapi, siapakah antara kita yang mengambil Al-Quran sebagai perlembagaan dalam kehidupan kita? Sebagai rujukan dalam pembentukan diri kita?


Kita Mengikut Nafsu dalam Pembentukan Diri

Manusia gagal dalam pembentukan diri kerana mengikut hawa nafsu.

     Apabila kita melihat satu-satu perkara itu cool, kita pun meniru.

     Kita nampak satu-satu perkara itu hebat, kita pun mahu hebat.

     Kita nampak satu-satu perkara itu popular, kita juga mahu menggerakkan diri ke arah itu. Tanpa kita merujuk kembali, apakah yang sepatutnya kita lakukan di atas muka bumi ini.

     Kita mudah tertipu pada keadaan sekeliling. Sedangkan kita sendiri tidak mengetahui siapakah diri mereka yang sebenarnya dan apakah yang sepatutnya mereka lakukan.

     Nyata, pasti timbul kekacauan dalam kehidupan insan.


Pulanglah, Pulang

Mengapa saya tidak memberikan dalil ataupun bukti-bukti daripada Allah SWT untuk artikel ini? Mengapa sekadar sedikit penerangan dan banyak persoalan?

     Mohon kita sama-sama merujuk Al-Quran, mengambil sedikit masa dan duduk sebentar, mencari ayat-ayat yang Allah ceritakan berkenaan kita. Surah Al-Alaq, surah Al-Mukminun, surah Al-A'raf, dan surah Al-Hadid. Kita juga boleh membaca surah Qaaf sebagai tambahan.

     Satu demi satu ayat. Helaian demi helaian.

     Pernahkah kita menggerakkan diri kita bagi mengenali diri kita?

     Ataupun kita takut dengan kebenaran, kerana kita tidak mahu melepaskan keseronokan dunia?

     Siapakah yang berani mencari dirinya sendiri dengan jalan yang membawanya kepada penyelesaian?

     Mari kita duduk sebentar dan muhasabah diri.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.






No comments:

Post a Comment