Tuesday 24 January 2017

ZAINAB JADI SAKSI KORBAN KARBALA






ZAINAB JADI SAKSI KORBAN KARBALA







"Engkau jadi saksi para syuhada'
Yang gugur di medan Karbala
Engkau jadi saksi serakah manusia
Yang tamak mengejar gelar dan harta
Walau tanah berkuah darah
Semangatmu tidak pernah parah
Kerana engkau, wahai Zainab
Adalah serikandi agama."




Sejak pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan hingga pembuhan Al-Husain bin Ali, sejarah Islam dilanda pelbagai peristiwa yang mengakibatkan pertempuran dahsyat dan mengorbankan beribu-ribu manusia. Salah satunya ialah tragedi terbesar dalam sejarah islam iaitu peristiwa berdarah di Karbala. Zainab binti Ali bin Abu Talib telah menjadi saksi tragedi itu.

     Peristiwa itu bukan saja tercatit di dalam buku-buku sejarah malah menjadi titik tolak kepada satu penghayatan kenangan sedih dan pilu ini disambut dan diingati setiap tahun seperti suatu tradisi hingga hari ini. Zainab tidak pernah menyangka beliau akan menyaksikan satu fitnah terbesar pada permulaan ayatnya. Satu musibah yang meninggalkan kesan mendalam terhadap keluarga Rasulullah sejak kewafatan baginda.

     Zainab berkahwin dengan sepupunya, Abdullah bin Ja'far bin Abu Talib dan dikurniakan enam orang anak lelaki. Zainab adalah seorang wanita yang rupawan, berani dan terhormat. Beliau fasih berbicara dan tutur katanya penuh ilmu dan taqwa. Beliau selalu menganjurkan majlis ilmu untuk kaum wanita mendalami ilmu-ilmu agama. Saidina Ali yang menjadi khalifah ketika itu amat mengambil berat terhadap puterinya itu.

     Semasa Saidina Ali diangkat menjadi khalifah dan markas pemerintahannya dipindahkan ke Kufan, Saidina Ali memaksa Zainab dan keluarganya berpindah bersamanya. Lalu Zainab dan keluarganya berangkat ke Kufah dan tinggal bersama Saidina Ali. Oleh kerana itu, Zainab telah menyaksikan pelbagai peristiwa besar yang melanda umat Islam ketika itu. Dalam pemberontakan Jamal misalnya, Zainab menyaksikan Ummil Mu'minin, Aisyah mengetuai pemberontak menentang ayahnya, Saidina Ali. Dalam peperangan ini seramai 10,000 orang Islam terbunuh, kebanyakannya para sahabat, penghafal Al-Quran, pencatit sejarah dan sebagainya.

     Kemudian, Zainab menyaksikan pula perjuangan ayahnya yang terpaksa bertempur dengan pemberontak-pemberontak seperti Mu'awiyah bin Abu Sufyan di pertempuran Shifin dan pertempuran dengan kaum Khawarij di Nahrawan.

     Zainab berada jauh dari pergolakan itu. Namun tidak lama selepas itu, tanpa disedari Zainab telah berada di barisan hadapan sehingga debu-debu padang pasir dipenuhi dengan darah anak-anak dan saudara-maranya.

     Ketika fajar menyinsing pada 19 Ramadhan tahun 40 H, seperti biasa Amirul Mu'minin Ali bin Abu Talib keluar rumah untuk solat subuh di masjid. Tidak lama kemudian, suara laungan dan jeritan kedengaran diikuti dengan berita yang menggemparkan iaitu pembunuhan Ali bin Abu Talib. Zainab terkejut dan tergesa-gesa bangun. Hatinya seolah-olah disengat oleh kala jengking ketika melihat ayahnya dipikul selepas beliau ditetak dengan pedang oleh Abdul Rahman bin Muljam dan kepadanya pula disiram dengan racun. Dengan pantas, tabib-tabib seperti Atsir bin Amru bin Hanik datang dan cuba menyelamatkan Ali. Tetapi Atsir memberitahu tetakan musuh Allah itu sampai ke pangkal kepalanya.

     Sejarah berulang kembali, Zainab merasai semula kesedihan ketika musibah pertama yang dihadapinya iaitu kewafatn ibunya, Fatimah Az-Zahraa'. Sekarang, beliau bersama ayahnya pula menghadapi saat-saat genting. Beliau sentiasa berada di samping ayahnya siang dan malam, menguruskan segala kepentingan ayahnya, sedang air matanya terus mengalir tanpa henti. Pada malam Ahad, 12 Ramadhan, Amirul Mu'minin, Ali bin Abu Talib menghembuskan nafasnya yang terakhir.

     Selepas kemangkatan Saidina Ali bin Abu Talib, anaknya Al-Hasan bin Ali iaitu saudara kandung Zainab, diangkat bagi mengambil alih tugas ayahnya. Al-Hasan cuba mendamaikan kaum Muslimin dan mengajak mereka berbaik-baik. Tetapi oleh kerana pergolakan politik telah lama meruncing, ia tidak dapat diselamatkan lagi. Akibat fitnah yang terus melanda, perpecahan berlaku sehingga umat Islam ketika itu berpuak-puak.

     Al-Hasan menemui kegagalan selepas beliau dikecewakan oleh penduduk Kufah. Kemudian mereka menyerangnya dengan menikam pehanya dan merampas harta bendanya. Lalu Al-Hasan mengambil keputusan mengundurkan diri dan membenarkan Mu'awiyah bin Abu Sufyan mengambil alih tugas Khalifah.

     Selepas mendapat kuasa itu, Mu'awiyah berdiri di khalayak ramai dan mula mencela dan menghina Ali dan Al-Hasan. Al-Hasan membidasnya dengan kata-katanya: "Wahai orang yang masih mengingati Ali! Aku Al-Hasan dan ayahku Ali. Manakala engkau Mu'awiyah dan ayahmu Sakr (batu). Ibuku pula Fatimah dan ibumu Hindun (yang dahulu memusuhi Islam). Datukku Rasulullah dan datukmu Harb (perang). Nenekku Khadijah dan nenekmu Qaatilah (pembunuh). Semoga Allah melaknati siapa yang paling buruk sebutannya di antara kita, yang paling jahat keturunannya di antara kita, yang paling membawa benca langkahnya di antara kita dan yang paling terdahulu kufur dan nifaknya di antara kita!"

     Selepas menyerahkan kuasa itu, Al-Hasan pulang ke Madinah dan tinggal di sana selama 8 tahun.

     Sebenarnya Mu'awiyah bukan merampas kuasa untuk dirinya sebaliknya beliau mempunyai agenda tersendiri. Beliau merancang untuk memberi kuasa kepada seluruh keturunannya selepas beliau wafat nanti, bermula dengan puteranya yang pertama iaitu Yazid. Ini tidak dapat dilakukannya sekiranya Al-Hasan masih hidup kerana pengaruhnya masih kuat ke atas umat Islam ketika itu. Lalu Mu'awiyah memulakan rancangan jahatnya. Beliau mengutuskan seseorang untuk berpakat dengan isteri Al-Hasan iaitu Ja'dah binti Al-Asy'ats bin Qais supaya membunuh Al-Hasan dengan meracuni makanannya. Mu'awiyah juga berjanji kepada Ja'dah untuk mengahwinkannya dengan puteranya Yazid.

     Al-Hasan bin Ali mati kerana termakanan makanan beracun itu dan isterinya Ja'dah diberi upah sebanyak seratus ribu dirham. Walau bagaimanapun perjanjian untuk mengahwinkan puteranya itu tidak ditepatinya kerana nyawa puteranya terlalu mahal dan tidak mungkin beliau mengizinkan wanita seperti Ja'dah menjadi isteri puteranya. Menurut Mu'awiyah, jika Ja'dah sanggup membunuh cucu Rasulullah, inikan pula puteranya.

     Selepas 6 tahun kewafatan Al-Hasan, barulah rakyat menerima Mu'awiyah sepenuhnya. Namun ia berlaku selepas pelbagai helah dan kekerasan dilakukan ke atas penentang-penentangnya. Selepas semua penentangnya berjaya dihapuskan, Mu'awiyah mendapat kuasa sepenuhnya dari rakyat yang terpaksa menerima dan tunduk di bawah kekuasaan Mu'awiyah. Selepas itu, Mu'awiyah mendapat kebenaran rakyat untuk melantik anaknya Yazid menjadi Khalifah.

     Namun begitu, Al-Husain bin Ali (saudara kandung Al-Hasan) masing enggan memberikan bai'atnya kepada Yazid. Ini kerana jika kekuasaan itu mengikut warisa, Al-Husain yang lebih utama menerima hak pemerintahan itu. Ini disebabkan Yazid berasal dari Bani Umaiyah, sedangkan Al-Husain lahir dari Bani Hasyim, suku kaum Rasulullah. Jadi, beliau lebih berhak. Ditambah pula, Yazid adalah seorang fasik, minum arak dan berkelakuan tidak sopan. Tidak layak kuasa khalifah disandang oleh seorang yang bersifat seperti itu.

     Namun Al-Husain tidak dapat mempertahankan Bani Hasyim untuk mengambil alih takhta itu dari tangan Yazid. Selepas Mu'awiyah meninggal dunia, Yazid diangkat menjadi Khalifah. Beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bai'at daripada Al-Husain bin Ali. Malah beliau mengutus surat kepada Gabenor Madinah iaitu Al-Walid bin Utbah supaya memaksa Al-Husain memberikan bai'atnya. Jika Al-Husain enggan, beliau harus dibunuh. Namun Al-Walid menolak gesaan Yazid dan berkata: "Subhanallah! Apakah aku akan membunuh Al-Husain jika beliau enggan memberikan bai'atnya?! Demi Allah, aku yakin orang yang akan dihisab tentang darah Al-Husain akan ringan timbangannya di sisi Allah pada hari kiamat!"

     Al-Husain mengkhabarkan kepada keluarganya apa yang berlaku dan beliau berazam meninggalkan Madinah. Saudaranya, Muhammad bin Al-Hanafiyah menasihatkannya supaya pergi ke Mekah dan mengutuskan orang ke sana untuk memberikan bai'at kepadanya. Al-Husain menuruti nasihat saudaranya itu dan beliau pun bersiap-siap untuk ke Mekah. Apabila Al-Husain siap sedia untuk berangkat, tiba-tiba Zainab menjelma di hadapannya. Beliau memutuskan untuk meninggalkan suaminya, Abdullah bin Ja'far dan mengikut Al-Husain ke Mekah.

     Kaum keluarga Al-Husain tidak menetap lama di Mekah kerana satu rombongan dari Kufah datang membawa bai'at kepada Al-Husain. Al-Husain menghantar sepupunya iaitu Muslim bin Aqil bin Abu Talib ke Kufah bagi memastikan situasi pergolakan politik di sana. Sejurus saja Muslim tiba di Kufah, beliau menerima bai'at 12,000 orang kaum Syi'ah untuk Al-Husain. Muslim pun mengkhabarkan apa yang dilihatnya kepada Al-Husain.

     Berita yang sama sampai kepada pengetahuan Yazid yang ketika itu berpangkalan di Damsyiq. Lalu beliau memerintahkan supaya Gabenor Kufah iaitu An-Nu'man bin Basyir Al-Anshari dipecat kerana tidak bertindak keras dan digantikan dengan Ubaidullah bin Ziyad. Beliau kemudiannya mengeluarkan perintah supaya Muslim bin Aqil ditangkap dan dibunuh.

     Gabenor Ubaidullah memulakan rancangannya. Beliau menangkap Hanik bin Urwah Al-Muradi, orang yang memberi perlindungan kepada Muslim bin Aqil. Kaum wanita dalam keluarga Hanik memekik dan memberitahu orang ramai mengenai penangkapan Hanik. Muslim tidak dapat menahan kemarahannya lalu menyeru penyokong-penyokongnya untuk berkumpul. Dengan cepat beliau berjaya mengumpulkan 4,000 orang untuk melaksanakan rancangannya membebaskan Hanik.

     Apabila tiba masanya, Muslim pergi ke tempat yang dijanjikan. Namun tidak seorang pun dari 4,000 orang itu yang menunggunya di sana. Kemudian Muslim ditangkap oleh musuhnya dan dibawa kepada Ubaidullah bin Ziyad. Dengan segera Ubaidullah memenggal kepala Muslim dan dilontarkan badannya keluar dari atas istananya kepada orang ramai. Namun ada sesetengah riwayat mengatakan Hanik telah disalib di pasar di hadapan orang ramai.

     Sementara itu di Mekah, Al-Husain mula bersiap sedia untuk ke Kufah. Ramai teman, saudara mara dan penyokongnya termasuk Abdullah bin Ja'far, suami adik perempuannya Zainab, menasihatinya untuk menetap saja di Mekah memandangkan beliau tidak tahu apa yang berlaku di Kufah. Namun Al-Husain tetap berdegil untuk meneruskan hasratnya ke Kufah. Lalu Abdullah mengirimkan bersama Al-Husain dua orang puteranya iaitu Muhammad dan Aun.

     Sementara itu Gabenor Hijjaz, Amru bin Said bin Al-Ash mengutuskan orang untuk menghalang Al-Husain dari meneruskan niatnya itu tetapi mereka tidak berjaya memujuk Al-Husain. Beliau tetap mahu meneruskan perjalanannya. Dalam perjalanan itu mereka bertemu dengan dua orang badwi yang memberitahu mereka tentang pembunuhan Muslim dengan Hanik. Orang badwi itu juga menasihatkan Al-Husain berpatah balik ke Mekah. Namun anak-anak dari keluarga Muslim bin Aqil enggan berbuat demikian sebelum mereka menuntut bela di atas kematian ayah mereka. Segala kemuraman dan kebimbangan hilang serta merta dari rombongan Al-Husain, namun kaum wanita yang turut serta di dalam rombongan itu menangis di atas pembunuhan Muslim bin Aqil.

     Selepas mendengar berita dari orang badwi itu, kafilah Al-Husain berehat di situ sehari semalam. Mereka mula menyiapkan segala kelengkapan dan keperluan yang cukup. Kemudian bersiap sedia untuk berangkat ke Kufah. Sebelum berangkat, Al-Husain mengingatkan rombongannya mengenai kematian Muslim dan keadaan di Kufah. Beliau memberitahu mereka pilihan, sama ada terus menyertainya atau pulang saja ke Mekah kecuali keluarga Al-Husain dan beberapa teman karibnya. Kemudian kafilah Al-Husain meneruskan perjalanan ke Kufah.

     Tidak lama selepas mereka berangkat, datang pula berita pembunuhan Abudllah bin Baktar, orang yang diutus oleh Al-Husain untuk mendapatkan berita mengenai Muslim sebelum itu. Abdullah ditangkap sebaik saja beliau sampai di Kufah. Ubaidullah bin Ziyad memerintahkan Abdullah naik ke istana dan melaknati Al-Husain. Abdullah bin Baktar naik ke atas istana, lalu beliau melaknati Ubaidullah dan ayahnya. Beliau memberitahu orang ramai mengenai kedatangan Al-Husain ke Kufah. Abdullah bin Baktar ditolak dari atas istana dan jatuh ke bumi. Semua tulangnya remuk. Kemudian Ubaidullah memerintahkan supaya Abdullah disembelih hidup-hidup.

     Sementara itu, ketika Kafilah Al-Husain sedang berehat dari terik matahari di sebuah gunung, terlihat oleh mereka dari jauh, debu-debu padang pasir naik ke angkasa, semakin lama semakin dekat kelihatannya. Sebentar kemudian, seribu orang penunggang berkuda yang diketuai oleh Al-Hur bin Yazid muncul di depan mata. Mereka telah diberi kuasa oleh Ubaidullah untuk menangkat Al-Husain dan membawanya ke Kufah. Jika Al-Husain enggan menyerah diri, beliau haruslah dikepung dan dibiarkan di bawah sinar terik mentari tanpa sebarang makan dan minum. Al-Husain memilih untuk tinggal di tengah-tengah padang pasir itu dari menyerah diri kepada Al-Hur.

     Keesokan harinya, satu bala tentera seramai 4,000 orang yang dipimpin oleh Amru bin Sa'ad bin Abu Waqqash, tiba dari Kufah. Amru pun bertemu dengan Al-Husain dan menasihatinya supaya membai'at Yazid tetapi Al-Husain tetap enggan membai'at, telah memintanya pulang saja ke Hijaz. Namun beliau tetap menolaknya.

     Amru mengutuskan keputusan Al-Husain kepada Ubaidullah. Ubaidullah pula mengirimkan jawapannya kepada Syamr bin Dzil-Jausyan yang memerintahkan supaya Al-Husain menyerah diri dan dibawa ke Kufah. Jika beliau enggan, semua ahli rombongannya akan dibunuh. Jika perintah itu tidak sanggup dilakukan oleh Amru, ia akan diserahkan kepada Syamr bin Dzil-Jausyan.

     Sebelum matahari tenggelam, tentera Amru mula menyerang Al-Husain. Beliau meminta tempoh sehingga hari esok, sama ada menyerah diri atau terus berjuang. Pada malam itu, mereka semua tidur dengan kehausan. Al-Husain menyuruh orang-orangnya melarikan diri tetapi semua yang bersamanya enggan berbuat demikian. Sesetengah riwayat mengatakan, Al-Husain memberitahu Zainab, beliau bermimpi Rasulullah datang kepadanya dan memberitahu beliau akan mati di dalam pertempuran itu dan akan bertemu Rasulullah. Mendengar kata-kata itu, Zainab memukul-mukul wajahnya lalu menangis. Al-Husain menasihati adiknya supaya jangan berbuat begitu. Katanya: "Jangan begitu, wahai adikku! Bersabarlah. Semoga Allah merahmatimu!"

     Zainab terus meratapi nasibnya dan berkata, "Mengapa sampai jadi begini, ya Allah! Mengapa aku tidak mati bersama ibuku Fatimah dan ayahku, Ali ataupun pada hari abangku Al-Hasan mati?"

     Al-Husain berkata, "Wahai adikku! Jangan sampai kau dipermainkan oleh syaitan!" Zainab menjawab: "Demi ayah dan ibuku, wahai Al-Husain! Kau telah membunuh jiwaku. Semoga kau selamat!"

     Al-Husain tidak tertahan lagi. Air matanya berlinang. Lalu beliau berkata, "Aku menyesal memberitahumu. Kalau aku tidak memberitahumu, sudah tentu kau akan tidur lena malam ini." Zainab menjawab, "Apakah engaku akan merahsiakan berita seperti itu daripadaku? Itu lebih menyakitkan aku!" Kemudian Zainab terus menangis sehingga jatuh pengsan.

     Al-Husain segera mendapatkannya. Beliau merenjis-renjiskan air ke muka Zainab. Kemudian beliau berkata: "Wahai adikku! Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah dengan mengingati Allah. Ketahuilah, penghuni bumi ini semuanya akan mati dan penghuni langit pula tidak akan kekal. Ingatlah, segala sesuatu itu akan binasa melainkan Zat Allah yang telah mencipta bumi dengan kekuasaanNya dan membangkitkan semua makhlukNya, lalu mereka kembali kepadaNya, sedang Beliau tetap Esa dan Tunggal. Ayahku adalah lebih baik daripada aku dan ibuku adalah lebih baik daripada aku dan saudaraku adalah lebih baik daripada aku dan aku, mereka dan setiap Muslim mestilah menjadikan Rasulullah itu contoh tauladan. Wahai adikku! Aku bersumpah atas namamu, tepatilah sumpahku itu! Jangan kau mengoyak-ngoyakkan bajumu kerana aku. Jangan menampar-nampar muka kerana aku. Jangan kau menyeruku dengan kecelakaan dan kebinasaan kalau nanti aku mati."

     Keesokan harinya, kedua tentera bertemu, Amru dengan 4,000 tenteranya dan Al-Husain dengan 40 orang lelaki, 32 orang penunggang pekuda dan di belakang mereka kaum wanita dan kanak-kanak. Al-Husain maju ke hadapan dan mengingatkan mereka akan keturunannya yang mulia. Beliau mengumumkan, kedatangannya adalah atas utusan mereka. Semua yang mendengarnya tidak berani mejawab sepatah pun.

     Tanpa disangka-sangka, Al-Hur bin Yazid meninggalkan tentera Amru lalu berganding bahu dengan Al-Husain. Al-Hur berkata, "Demi Allah, sesungguhnya aku dapati diriku ditawarkan untuk memilih antara syurga dan neraka dan aku tidak akan memilih sesuatu selain syurga, sekalipun aku akan dicincang-cincang dan dibakar." Pertempuran pun bermula. Satu demi satu penyokong Al-Husain gugur sehingga semuanya syahid termasuk Al-Hur bin Yazid. Orang pertama yang mati syahid ialah Ali Al-Akbar bin Al-Husain. Satu anak panah menembusi tekaknya yang memang kehausan, lalu jatuh ke bumi dengan berlumuran darah. Zainab tidak sabar melihatnya, lalu beliau menerpa kepadanya dan menjerit, "Wahai kekasih! Wahai anak saudaraku!"

     Zainab terus memeluk anak saudaranya itu sehingga beliau menghembuskan anfasnya yang terakhir. Tidak lama selepas itu, mereka melontarkan pula mayat Al-Qasim bin Al-Hasan dan Zainab bangkit memeluk mayat itu juga. Berterusanlah mayat-mayat yang gugur dilontarkan kepada Zainab dan beliau terus memeluk satu demi satu sehingga tiba kepada mayat putera-puteranya Aun dan Muhammad serta mayat saufara saudaranya Al-Abbas, Ja'far, Abdullah, Usman, Muhammad, Abu Bakar, dan mayat anak-anak saudaranya dari Al-Husain iaitu Ali dan Abdullah dan mayat anak-anak saudaranya dari Al-Hasan iaitu Abu Bakar dan Al-Qasim dan mayat anak-anak bapa saudaranya iaitu Aqil iaitu Ja'far, Abdul Rahman dan Abdullah. Semua mereka dipeluk oleh Zainab sehingga beliau bermandikan darah pada seluruh tubuhnya.

     Al-Husain terus berjuang bermati-matian sehingga beliau seorang sahaja yang tinggal sedangkan beliau juga luka parah. Beliau tidak dapat lagi menahan pukulan yang terakhir lalu rebah. Namun sebelum sempat tubuhnya mencecah ke tanah, kepalanya telah dipenggal seperti mereka menebas kepala mayat-mayat lain yang syahid di Karbala' itu. Pada hari itu, 10 Muharram tahun 61 H itu, sebelum sempat matahari terbenam, bumi Karbala' telah ditenggelami darah para syuhada' yang semuanya berjumlah 73 orang. Dalam keadaan yang sungguh mengharukan itu, Zainab dan semua kaum wanita dan kanak-kanak yang masih tinggal mengumpulkan mayat-mayat syuhada' yang bergelimpangan itu.

     Keesokan harinya, Zainab serta wanita dan kanak-kanak rombongannya diheret dalam seburuk-buruk keadaan. Zainab melewati mayat saudaranya Al-Husain lalu menjerit, "Wahai datukku, Muhammad! Wahai datukku, Muhammad! Semoga engkau dirahmati para malaikat di langit! Ini Husain terbaring di padang pasir, berlumuran darah, terpotong-potong segalanya. Wahai Muhammad! Wahai datukku! Dan ini pula cucu-cucumu ditawan dan keturunanmu dicincang-cincang." Kesedihan dan kepedihan yang dirasai Zainab tidak dapat dibendung lagi. Beliau menangis sekuat-kuat hatinya. Rintihan jiwanya yang remuk tiada siapa yang dapat mendengarnya.

     Ketika rombongan tawanan itu tiba di kota Kufah, mereka disambut dengan tangisan sekumpulan orang yang berada di situ. Mereka telah diheret ke rumah yang dahulu diduduki oleh ayahnya, Ali bin Abu Talib. Inilah rumah di mana Zainab membesarkan anak-anaknya dan anak-anak saudaranya.

     Apabila Zainab dibawa masuk ke dalam balai, terlihat olehnya Ubaidullah sedang duduk di atas tempat yang pernah diduduki oleh ayahnya dahulu. Kali ini pemandangannya berbeza. Zainab bukan lagi seorang puteri kepada khalifah, malah beliau adalah seorang yatim piatu yang sedang di dalam tawanan manusia yang paling zalim. Beliau enggan merendahkan dirinya atau menangis di hadapan manusia pembunuh ini. Diletakkan tangannya pada dadanya supaya dapat menahan tangisnya.

     Tidak lama kemudian, kepala Al-Husain yang tergantung di atas sebatang kayu dibawa masuk dan diperlihatkan kepadanya selepas diarak ke merata kota Kufah. Berlakulah pertengkaran di antara Zainab dan Ubaidullah. Dengan megah Ubaidullah berkata kepada Zainab: "Apakah pendapatmu tentang Allah yang memperlakukan ke atas kaum keluargamu sekarang?"

     Zainab menjawab: "Allah mentakdirkan mereka semua dibunuh oleh kamu, lalu mereka pun kembali ke tempat pembaringan mereka. Tetapi Allah akan mengumpulkan antara kamu dan mereka dan kamu akan didakwa oleh mereka di hadapan Allah dan akan dituntut di sisiNya."

     Mendengar jawapan itu, Ubaidullah menjadi marah. Beliau menoleh ke arah anak kecil iaitu Ali bin Al-Husain dan mahu membunuhnya. Zainab segera memeluk anak itu lalu berkata: "Wahai anak si Ziyad! Cukuplah apa yang telah kau lakukan kepada kami. Apakah kau tidak puas dengan darah kami? Apakah kau tidak mahu tinggalkan seorang pun dari kami?" Lalu Zainab pun meletakkan anak itu seraya berkata: "Dengan nama Allah, aku memohon, jika kau seorang yang beriman, kalau kau bunuh beliau, bunuhlah aku dahulu!"

     Selepas berada di Kufah buat beberapa hari, semua tawanan dan kepala para syuhada' yang dipotong itu dibawa ke Damsyiq dan dibawa masuk mengadap Yazid bin Mu'awiyah. Yazid memerintahkan kepala Al-Husain dibawa kepadanya di atas dulang. Kemudian dengan memainkan bibir dan giginya dengan sebatang kayu yang sentiasa berada di tangannya, beliau memerhatikan kepala Al-Husain lalu berkata:

     "Wahai kepala sang musuh, dengarkah kau sekarang? Cuba katakan. Kau hanya dapat katakan sesuatu yang telah berlaku. Alangkah baik sekali, jika datuk nenekku di Badar dapat menyaksikannya. Jasad pokok Khazraj dari pukulan senjata lembing. Ketika mensifatkan tempat pemberhentian duduk unta-untanya. Dan mengamuklah pembunuhan bermahajaralela pada turunan Abdul Syal. Nescayalah mereka akan bersorak-sorak ria bernyanyi lagu gembira. Kemudian mereka berkata, wahai Yazid! Jangan berhenti. Sekarang kita telah membalas apa yang menimpa kita di Badar dulu. Kini kita sudah membayar kekalahan di Badar dan kini kita tiada berhutang. Bukanlah aku anak bapakku dan datukku kalau aku tidak menuntut bela dari keturunan Muhammad apa yang sudah dibuatnya dulu kepada kita."

     Mendengar kata-kata nista itu, semua wanita Bani Hasyim yang ditawan itu menangis melainkan Zainab yang memandang kecil kepada Yazid lalu bersuara kepada taghut (iblis) itu:

     "Wahai Yazid! Benarlah Allah ketika Beliau berfirman, Kemudian, akibat orang-orang yang mengerjakan kejahatan adalah (azab) yang lebih buruk, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah dan mereka selau memperolok-oloknya." (Ar-Ruum: 10)

     Kemudian Zainab berkata lagi: "Apakah kau menyangka, wahai Yazid, Beliau mentakdirkan kami tumpas di tepi bumi dan di bawah langit hingga kami diseret seperti orang-orang tawanan perang diseret, kita disia-siakan oleh Allah dan kamu diberi kemuliaan di sisiNya? Ingatlah, ini menjadikan bahayamu lebih besar lagi. Kamu meninggikan hidungmu, membanggakan dirimu, gembira sehingga merasakan dunia ni di bawah tapak kakimu dan segala urusan tunduk di bawah telunjukmu. Tetapi sebenarnya kau diberikan tempoh dan dipanjangkan nafasmu, sesuai dengan firman Allah Ta'ala maksudnya, "Dan janganlah sekali-kali orang-orang kafir menyangka pemberian tangguh Kami kepada mereka adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambah dosa mereka; dan bagi mereka azab yang menghinakan." (Al-'Imran: 178)

     Sambung Zainab lagi, "Apakah kau aktakan 'alangkah baik sekali, jika datuk nenekku di Badar dapat menyaksikan' tanpa merasa berdosa dan tanpa membesarkan diri, sedang kau memain-mainkan bibir dan gusi bapak Abdullah (Al-Husain) dengan kayu pacumu? Ya, bagaimana kau tidak menjadi begitu? Sedang kau telah mengikis luka sebelum baik, kau matikan permusuhan dengan mengalirkan darah keturunan Rasulullah yang adalah bintang-bintang bumi daripada keluarga Abdul Muttalib."

     "Demi Allah, aku akan iris-iris kulitmu dan aku akan potong-potong dagingmu. Nanti kau akan menemui Rasulullah juga dengan terpaksa. Ingatlah, siapa yang mengangkatmu, dan membolehkan kau membuat sesuka hati pada leher kaum Mu'minin, apabila yang menjadi Hakim kelak, Allah dan yang menuntut pula, Muhammad dan segala anggota badanmu menjadi saksi atasmu. Alangkah buruknya tempat bagi kamu yang zalim! Siapa di antara kamu yang amat tempatnya dan amat lemah tenteranya?! Meskipun begitu, demi Allah, wahai musuh Allah dan anak musuhNya, aku memandang kecil sekali darjatmu dan aku ingin mengecai-ngecaikan kau! Namun sekarang mata sudah berlinang air mata dan dada sedang menyempit kata dan apa faedah itu semua dan apa yang menguntungkan? Padahal Al-Husain sudah kamu bunuh. Puak syaitan menghasut setengah manusia mendekatkan diri kepada puak orang-orang yang jahat, untuk mengaburi mata mereka dengan harta kekayaan Allah supaya mereka melanggar pengharaman Allah. Tangan-tangan manusia itulah yang telah mengalirkan darah kami dan mulut-mulut itu yang telah mengunyah-ngunyah daging kaki dan semua mayat yang suci bersih itu akan dikelubungi oleh tabuan-tabuan padang pasir."

     "Andainya kau jadikan kami semua tawananmu, nescaya kami akan menjadikanmu umpan nanti pada hari yang kau akan mendapati apa yang kau lakukan saja. Kau akan meminta tolong kepada si fulan dan si fulan, sedang si fulan itu datang meminta tolong kepadamu. Kedua-dua kamu akan menjerit melolong, padahal penyokong-penyokongmu semua telah berada di sisi Mizan (akan ditimbang amalan mereka) dan kau akan mendapat bekal yang paling utama, yang dibekalkan ayahmu Mu'awiyah iaitu membunuh keturunan Muhammad!"

     Kaum wanita Bani Umaiyah menyambut ucapan Zainab itu dengan sorakan dan tangisan. Mereka kemudian berkabung selama tiga hari. Selepas itu Yazid pun mengaturkan segala kelengkapan mereka dan menghantar mereka pulang ke Madinah.

     Dalam perjalanan pulang ke Madinah, mereka singgah di Karbala'. Ketika itu ialah hari ke 40 selepas pembunuhan beramai-ramai di Karbala'. Masih kelihatan sisa-sisa potongan mayat yang ditinggalkan oleh binatang-binatang buas di situ. Mereka menangis melihat keadaan itu dan tinggal di sana selama 3 hari untuk membersihkan sisa-sisa mayat itu.

     Apabila rombongan Zainab itu tiba di Madinah, sekali lagi mereka disambut dengan laungan tangisan dari setiap penjuru. Peristiwa kekejaman itu telah diceritakan oleh Zainab dan tersebar luas. Berita itu sampai kepada pengetahuan Yazid. Beliau bimbang orang ramai akan memberontak terhadap pemerintahannya. Lalu beliau pun mengutus surat kepada Gabenor Madinah dan mengusulkan supaya Zainab dibuang ke Mesir. Perintah itu mengecewakan Zainab dan mengancam kedudukannya di Madinah. Zainab dibuang negeri ke Mesir. Sebaik saja tiba di Mesir, beliau disambut secara besar-besaran. Beliau menetap di rumah Gabenor Mesir yang bernama Muslimah bin Makhlad Al-Anshari. Di sana Zainab mengabdikan dirinya dengan beribadat menyembah Allah sehingga meninggal dunia pada tahun 65 Hijrah.

     Makam Zainab menjadi tempat-tempat orang yang meratapi hari Karbala' berhimpun dan mengadakan ucapacara memperingati peristiwa berdarah itu setiap tahun.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD. 

No comments:

Post a Comment