Monday 30 January 2017

SYURGA MENANTI SUMAYYAH SEKELUARGA






SYURGA MENANTI SUMAYYAH SEKELUARGA








"Sumaiyyah...
Dalam diri selembut sutera
Kau miliki iman yang teguh
Bak lentera kau nyalakan obor agama
Tempuh jahiliah dengan berani penuh seluruh
Semua makhluk jadi saksi
Ketabahanmu dan keluarga
Semua malaikat menyambut ketibaan kalian
Di syurga..."




Sejarah Sumaiyyah binti Khayyat dikenali ramai selepas peristiwa berdarah yang berlaku ke atas beliau sekeluarga. Sumayyah dan suaminya, Yasir telah dibunuh dengan kejam oleh kaum Quraisy. Ketika itu umat Islam masih di awal penyebaran agama Allah dan mereka masih belum berupaya melawan musuh-musuh di kota Mekah itu.

     Sumayyah binti Khayyat ialah hamba Abu Huzaifah bin Al-Mughirah dari suku Bani Makhzum. Beliau dan keluarganya juga adalah di antara orang-orang yang terawal memilih Islam sebagai agama mereka. Walaupun sudah lanjut usia, namun imannya begitu kuat dan teguh. Pelbagai penyiksaan dilakukan ke atas dirinya namun beliau tidak menyerah kalah.

     Sebelum Sumayyah menetap bersama Abu Huzaifah, beliau telah bersama-sama dnegan kafilah yang sedang menuju ke Mekah dari negeri Yaman. Bersama-sama mereka ada tiga orang pemuda yang tujuan mereka ke Mekah adalah untuk mencari seorang daripada saudara mereka yang telah terputus hubungan selepas meninggalkan Yaman. Ketiga-tiga mereka itu ialah Al-Haris, Malik dan Yasir. Mereka tidak tahu di mana saudara mereka berada sekarang.

     Ketika itu, Mekah memang masyur sebagai tempat orang-orang Arab berkumpul. Kemudian Yasir dan dua saudaranya itu pun berpecah untuk mencari saudara mereka yang hilang itu. Selepas puas mencari di semua pelusuk kota, desa dan di pasar-pasar, Yasir masih juga belum berjumpa dengan saudaranya itu. Apabila tiba saat untuk kafilah itu pulang semula ke Yaman, Yasir tidak turut serta. Ini kerana beliau amat menyukai kota ini dan membuat keputusan untuk terus hidup di kota Mekah. Maka berpisahlah Yasir dengan kedua orang saudaranya itu.

     Hiduplah Yasir seorang diri di kota Mekah. Yasir merasakan beliau perlu mendapatkan perlindungan dari suku kaum yang kuat dan mempunyai kuasa di situ. Ini kerana hanya kaum yang kuat dan ternama saja yang berkuasa di kota Mekah manakala orang-orang yang fakir dibuat sebagai hamba saja. Maka Yasir pun mendapat perlindungan daripada suku Bani Makhzum. Beliau pun hidup di bawah kekuasaan Abu Huzaifah seperti Sumayyah.

     Tidak berapa lama kemudian, Yasir pun dikahwinkan dengan Sumayyah oleh Abu Huzaifah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Ammar. Keluarga itu hidup di bawah naungan Bani Makhzum dengan aman dan bahagia. Hari demi hari, tahun demi tahun, Yasir dan Sumayyah telah pun meningkat usia sementara Ammar pula menjadi seorang pemuda yang gagah.

     Pada ketika ini, bumi Mekah telah didatangi oleh satu risalah baru untuk diseru kepada penduduk-penduduknya. Seorang Nabi telah diutuskan oleh Tuhannya untuk menyebarkan seruan suci ini. Beliau akan membawa rahmat bagi seluruh alam. Berita mengenai agama suci ini akhirnya sampai ke pengetahuan Ammar. Beliau mula mengikuti perkembangan agama baru ini dan mengumpul maklumat dari orang ramai.

     Pada satu hari, Ammar ibnu Yasir telah berkunjung ke rumah al-Arqam. Di sana beliau telah berjumpa dengan Muhammad bin Abdullah, Nabi utusan Allah ini. Beliau merasa amat bahagia dapat bersua muka dengan Rasulullah. Mendengar kata-kata yang disampaikan oleh Rasulullah itu membuat hatinya gerun dan hatinya bergetar. Jiwanya mula merasa seakan-akan dipenuhi dengan cahaya keimanan dan beliau pun melafazkan kalimah, "Aku bersaksi bahawa engkau adalah hamba dan Rasul-Nya." Selepas itu, keluarlah Ammar dari rumah itu sebagai seorang Islam.

     Ammar bin Yasir pun pulang ke rumah. Jiwanya kini telah diisi dengan keimanan kepada Allah yang Maha Esa dan beliau tidak sabar untuk memberitahu hal ini kepada kedua orang tuanya. Apabila bertemu saja dengan mereka, beliau terus memberitahu tentang apa yang telah berlaku dan apa yang dialaminya. Beliau telah menyampaikan kepada mereka apa yang telah disampaikan kepadanya oleh Rasulullah SAW dan menyeru agar mereka mengikut jejak langkahnya. Tanpa berfikir panjang lagi, kedua orang tuanya pun menerima apa yang disyorkan oleh Ammar tadi. Betapa gembiranya Ammar kerana Allah memakbulkan permintaannya. Kini Ammar dan kedua ibubapanya telah pun bergelar Islam. Mereka adalah yang terawal beriman kepada Allah dan RasulNya di Mekah.

     Berita mengenai keislaman keluarga Yasir akhirnya diketahui ramai. Kehidupan mereka kini tidak lagi seperti sebelumnya. Mereka kini telah menjadi musuh kepada ramai penduduk kafir Mekah dan yang paling teruk ialah mereka turut menjadi musuh kepada tuan mereka sendiri iaitu Abu Huzaifah dari Bani Makhzum, tempat mereka berlindung selama ini. Apabila Bani Makhzum mengetahuinya, mereka menjadi hilang akal. Kemarahan mereka tidak dapat dibendung lagi. Mereka berazam untuk menyesatkan keluarga ini kembali dan menghancurkan mereka. Sumayyah dan keluarganya menerima seksaan yang begitu dasyat sekali. Mereka diheret ke bukit-bukit yang jauh dari kota dan dipukul dengan pukulan yang bertubi-tubi sehingga mengalir darah dari tubuh mereka. Kemudian dibiarkan di bawah sinar terik mentari tanpa sebarang makanan dan minuman.

     Sumayyah yang agak uzur, tidak dapat menahan segala keperitan dan kepayahan ini. Namun begitu, beliau tetap sabar menanggungnya. Baginya tiada satu apa pun yang dapat melemahkan iman dan ketaqwaannya kepada Allah. Beliau tetap dengan pendiriannya dan tidak mahu menyerah kalah dengan penyiksaan yang dilakukan oleh kaum Quraisy ke atas dirinya.

     Pada suatu hari ketika Bani Makhzum menyiksa mereka seperti seksaan sebelumnya, Rasulullah pun melewati mereka. Maka terasalah di dalam diri Rasulullah bahawa baginda tiada daya membantu mereka. Baginda berdiri di hadapan mereka seraya berkata, "Wahai keluarga Yasir, bersabarlah. Sesungguhnya, syurga itu adalah tempat buat kalian."

     Ketika diucapkan kata-kata itu, maka tenteramlah hati mereka. Terhapus sejenak airmata dan terpancarlah senyuman di bibir mereka dek ucapan yang amat menenangkan dan membebaskan jiwa yang terbelenggu.

     Tidak lama selepas itu, Sumayyah didatangi oleh Abu Jahal. Abu Jahal telah menghinanya dengan penghinaan yang paling keji dan amat menyakitkan hati. Sumayyah tidak sedikit pun menoleh ke arahnya. Ini telah menimbulkan kemarahan Abu Jahal. Beliau tidak dapat mengawal kemarahannya lantas diambil tombaknya dan ditikam terus ke perut Sumayyah sehingga terkeluar hujung tombok itu dari punggung Sumayyah. Sumayyah adalah orang yang pertama syahid di dalam pangkuan Islam. Cukuplah baginya dengan kebesaran dan kesucian itu. Manakala Yasir pula mati akibat teruk menerima seksaan. Beliau telah bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.

     Selepas kematian kedua orang tuanya, seksaan yang dilakukan terhadap Ammar semakin teruk. Penyeksaan ke atasnya memang telah melampaui batas kemanusiaan. Pada suatu hari, Rasulullah bertemu dengannya dalam keadaan yang amat memilukan. Rasulullah memandangnya namun Ammar tidak dapat mengangkat mukanya untuk memandang Rasulullah. Rasulullah pun bertanya kepadanya, "Bagaimana keadaanmu Ammar?"

     Ammar menjawab, "Tidak berapa baik, wahai Rasulullah." Rasulullah bertanya lagi, "Kenapa ini boleh terjadi?"

     Ammar pun menerangkan, "Beberapa hari yang lalu aku diseksa dengan begitu teruk sekali. Sekiranya ia berlaku ke atas gunung, maka gunung itu akan terbelah dua. Kaum Musyrikin masih belum puas menyiksaku. Mereka telah memaksa aku menghinamu dan memerintahkan aku mengagungkan tuhan-tuhan mereka. Aku telah mengikut arahan itu mereka itu, wahai Rasulullah."

     Kemudian Ammar pun menangis penuh kepiluan. Rasulullah pun bertanya lagi, "Bagaimana perasaanmu?"

     Ammar menjawab, "Aman, wahai Rasulullah."

     Rasulullah seraya berkata, "Kamu jangan risau wahai Ammar. Jika mereka mendatangi kamu sekali lagi, katakan perkara yang sama kepada mereka."

     Kemudian Allah pun memuliakan Ammar dan turunlah ayat Al-Qur'an tentangnya. Allah berfirman:

     "Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah beliau beriman
     (beliau mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa
     kafir. Padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (beliau tidak
     berdosa) akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk
     kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab
     yang besar." (An-Nahl: 106)




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment