Saturday 14 January 2017

BAHAGIA APABILA TAAT KEPADA ALLAH SWT






BAHAGIA APABILA TAAT KEPADA ALLAH SWT








Kebanyakan manusia tertanya-tanya kebahagiaan dalam kehidupannya. Apa sahaja keadaan hidupnya, manusia tetap mengutamakan kebahagiaan dalam hidupnya. Justeru, kita perhatikan, manusia bertebaran mencari kebahagiaan dalam harta, pasangan hidup, anak-anaknya, pekerjaaannya, dan pada material-material yang dirasakan menyenangkannya.

     Saya tidak melihat dan merasakan kebahagiaan itu berpunca daripada semua itu. Saya akui semua itu adalah unsur kepada kebahagiaan, tetapi ia bukan puncanya. Berkemungkinan pekerjaan mampu menjadi punca kepada tekanan emosi. Begitu juga harta, isteri, dan anak-anak. Semua itu, hanya benar-benar menjadi juzuk kebahagiaan, apabila punca sebenar kepada kebahagiaan itu terbuka. Punca kebahagiaan itu adalah taat kepada Pencipta kebahagiaan.


Dosa Menggelapkan Jiwa

Patuh lawannya ingkar. Keingkaran kepada Allah SWT pasti megundang kemurkaannya. Sama ada kita sedar ataupun tidak, setiap kali kita melakukan dosa, lekatlah satu bintik hitam dalam jiwa kita.

     Rasulullah SAW menyatakan, "Apabila seorang mukmin melakukan dosa, pasti muncul bintik hitam dalam jiwanya. Apabila dia bertaubat dan menghentikan dosanya serta beristighfar, bintik hitam itu pasti hilang. Sekiranya dia meneruskan perbuatan dosanya, bintik hitam semakin bertambah, sehingga tertutup seluruh hatinya." Hadith ini dilaporkan oleh Al-Baihaqi.

     Apabila wujud bintik-bintik hitam, jiwa kita tentu kehilangan segala kepekaannya, lemah sensitivitinya, dan akhirnya mudah terjerumus dalam ruang yang sentiasa membuat hidup kita tidak tenang. Kita sukar menilai baik ataupun buruk di sekeliling kita. Lalu terlupa pada sukatan kebahagiaan yang ada dalam kehidupan kita.

     Apabila wujud bintik hitam ini, seseorang yang mempunyai rumah besar pasti berasa tidak selamat. Mereka yang mempunyai harta kekayaan juga berasa tidak cukup. Mereka yang mempunyai isteri cantik berasa tidak puas dengan keindahan yang ada. Mereka mempunyai anak-anak yang baik, tetapi hati tetap gelisah dan sentiasa bercelaru.

     Ini kerana, jiwanya sudah gelap. Terputus hubungannya dengan Allah SWT yang menciptakan bahagia. Akhirnya kita melihat, manusia seperti ini terjerumus dalam kehidupan berhutang, mencari perempuan lain sebagai melayan nafsu,  bersengketa dengan anak-anak, menghadapi tekanan emosi yang tinggi, dan mungkin menjadi pendengki kepada kejayaan orang-orang di sekeliling. 

     Begitulah hakikatnya, walaupun di hadapan manusia lain, dia tersenyum dan kelihatan megah bersama kehidupannya.

     Jauh di pelosok jiwanya, dia sengsara.

     Hanya Allah yang mengetahui keadaan dirinya.


Kebahagiaan yang Sebenar

Kewujudan harta, memiliki isteri yang cantik, suami yang kacak, rumah besar, kereta mewah, pangkat yang tinggi, dan anak-anak yang ramai bukan pengukur kepada kebahagiaan.

     Kebahagiaan membuatkan jiwa kita berasa tenang. Ia wujud apabila kita mendekati Allah SWT iaitu Penciptaan kepada ketenangan. Dalam surah Ar-Ra'd, ayat 28 yang bermaksud:

          "Ketahulah, dengan mengingati Allah, hati-hati kita menjadi
          tenang."

Dengan mentaati Allah dapat mengisi jiwa yang kosong. Melakukan segala perintah-Nya membuatkan hati kita berasa senang tidak terkata. Walaupun mempunyai wang yang sedikit, hidup tetap bahagia. Walaupun berpangkat rendah sekalipun, kita tetap melakukan kerja dengan sungguh-sungguh dan ceria. Ini kerana, hati kita sudah memadai dengan Allah SWT. Kita hanya berasa tidak cukup dengan amalan kita kepada Allah SWT dan dedikasi kita kepada-Nya.

     Kehidupan di dunia yang Dia berikan kepada kita, membuatkan kita sentiasa berasa cukup. Tidak timbul perasaan hasad dengki pada kemewahan orang lain. Tidak timbul perasaan hasad dengki pada kemewahan orang lain. Tidak timbul cantas-mencantas dalam merebut jawatan. Tidak terfikir hendak menggatal dengan pasangan orang. Tidak terfikir mahu mengecewakan anak-anak. Tidak terlintas mahu berhutang semata-mata hendak kelihatan mewah.

     Tempat kebahagiaan adalah jiwa.

     Apabila jiwa kita bahagia, segala material yang wujud di sisi kita membuatkan kita bahagia.

     Mereka yang taat dan tunduk pada setiap suruhan Allah SWT akan ditambahkan lagi nikmat-nikmat untuk mereka. Ini kerana, mereka sentiasa bersyukur dan mendekati Allah SWT dalam segenap kehidupan harian.

     Allah menegaskan dalma surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud:

          "Ingatlah, ketika Rabb kamu menyeru, 'Sekiranya kamu
          bersyukur, Aku tambahkan kamu nikmat dan sekiranya kamu
          kufur, sesungguhnya azab aku pedih sekali.'"


Kebahagiaan yang Palsu

Kita dididik dengan satu kebahagiaan yang palsu dan direka-reka oleh dunia. Kita dapat perhatikan melalui lakonan drama dan filem. Ia mendidik kita supaya mempunyai rumah besar, pasangan yang kacak dan cantik, pangkat yang tinggi, dan harta melimpah-ruah.

     Itu adalah kebahagiaan yang dididik kepada minda kita secara tidak sedar.

     Oleh itu, lahir masyarakat yang merasakan kehidupannya tidak mencukupi.

     Ini kerana, dunia ibarat paip air yang rosak. Kita membuka paip itu dengan besar. Seterusnya kita mahu air yang lebih besar. Akhirnya, pemutar paip itu pasti tercabut dan air keluar membuak-buak tanpa henti.

     Dunia. Apabila kita sudah meletakkannya dalam hati, satu hari kelak, ia pasti menembusi hati. Ibarat akar pokok yang besar. Menguasai kita dan mempergunakan kita.

     Sebenarnya kita tidak tenang. Tetapi, kita kononnya bahagia, kerana kita terdidik dengan cara demikian melalui suasana kita.

     Ini kebahagiaan yang palsu.

     Tidak kekal.

     Ia bergerak mengikut hawa nafsu semata-mata.

     Hidup seperti mempunyai segala-galanya.

     Tetapi, sebenarnya kita mempunyai jiwa yang kosong.

     Manakala, kekosongan itu adalah derita.


Kebahagiaan yang Sebenar Perlu Dicari

Bunyinya pelik. Bagaimana mungkin kita menginginkan sebuah kebahagiaan, tetapi kita tidak mendekati Pencipta kepada kebahagiaan itu. Seperti peliknya kita, apabila berasa lapar, namun tidak mengisinya dengan sesuatu yang mengenyangkan.

     Apabila berlaku pertukaran kepada definisi kebahagiaan ini, manusia pasti tersasar jauh dalam kehidupan yang rosak. Malah, ada yang berpendapat maksiat dapat memberikan kebahagiaan yang abadi kepada mereka.

     Ini kerana, sumber kebahagiaan sebenar sudah dikaburi sepenuhnya oleh dunia.

     Ada orang bertanya kepada saya, "Saya sudah bangun malam, saya banyak membaca Al-Quran, dan saya tidak pernah meninggalkan solat, tetapi kenapa saya tidak bahagia?"

     Saya bertanya semula, "Adakah kamu berusaha meninggalkan maksiat?"

     Dia menjawab, "Tidak."

     "Ini adalah penyebab mengapa kamu tidak bahagia."

     Carilah kebahagiaan yang sebenar.

     Kebahagiaan sebenar hanya muncul dengan ketaatan kepada Pencipta kebahagiaan. Allah menjelaskan dalam surah Al-Fajr, ayat 27 hingga ayat 30 yang bermaksud:

          "Wahai orang-orang yang mempunyai jiwa tenang, tetap dengan
          kepercayaan, dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu
          dalam keadaan engkau berpuas hati dengan segala nikmat yang
          diberikan, lagi diredhai. Masuklah engkau dalam kumpulan para
          hamba-Ku yang bahagia dan masuklah ke dalam syurga-Ku!"





N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment