Monday 30 January 2017

MENANGISLAH






MENANGISLAH









Kehidupan yang dilalui sehari-hari penuh dengan cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi. Cabaran pula tidak datang dalam bentuk fizikal sahaja. Tetapi, cabaran juga menyerang dalam bentuk rohani dan mental.

     Dunia ini sememangnya medan ujian. Allah ingin melihat, siapakah hamba-Nya yang benar-benar terbaik dalam kehidupannya terhadap Allah SWT. Ujian-ujian ini kadangkala membuat kita lemah. Lemah sehingga kadangkala kita tersungkur. Berasa tidak ada harapan. Kita dapat rasakan betapa kita memerlukan kekuatan. Apabila dicari, kita masih tidak mampu berada dalam gapai-Nya.

     Diasak dengan pelbagai ujian, adakah kita pernah menangis bagi memohon pertolongan?

     Dengan keadaan yang tidak pasti ke syurga, pernahkah kita menangis kerana risaukan kedasyatan neraka?

     Apabila tidak mengetahui bilakah saat kematian, pernahkah kita menangis sekiranya tidak sempat bertaubat?

     Apabila tidak mampu mengikuti kehidupan Rasulullah SAW pernahkah kita menangis malu?

     Pernahkah air mata kita menitis kerana-Nya?


Siapa Menangis Kerana-Nya, Dia Selamat

Allah SWT begitu memahami keadaan manusia. Allah tahu, betapa manusia ini mudah pecah dan lemah apabila diasak dengan ujian. Oleh itu, terlalu banyak hakikatnya talian hayat untuk insan yang diberikan oleh Allah SWT.

     Antaranya adalah tangisan.

     Kekuatan tangisan yang ikhlas kerana Allah SWT sehingga mampu mengheret kita berada di bawah naungan-Nya. Rasulullah SAW pernah menyatakan, "Tujuh golongan yang dinaungi oleh Allah pada hari tidak ada naungan selain naungan-Nya adalah, pemimpin yang adil, pemuda yang kehidupannya sentiasa beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya bertautan dengan masjid, dua lelaki yang saling berkasih-sayang hanya kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana-Nya, lelaki yang dirayu oleh perempuan kaya lagi cantik untuk berzina, kemudian dia berkata, 'Sesungguhnya aku takutkan Allah', orang yang mengeluarkan sedekah secara ikhlas sehingga tangan kirinya tidak mengetahui sedekahnya itu, dan orang yang bermunajat kepada Allah di tempat sunyi sehingga mengalir air matanya."

     Siapakah yang menitiskan air matanya kerana Allah SWT?

     Menyesali dosa-dosanya?

     Malu terhadap keadaan dirinya yang ingkar dan penuh maksiat?


Mereka Itu Menangis

Kisah 1: Pada suatu hari, semasa kecil, Umar Abdul Aziz pernah menangis teresak-esak secara tiba-tiba sehingga membuatkan ibunya risau. Lantas ibunya bertanya, "Wahai Umar, atas sebab apakah engkau menangis?"

     Umar Abdul Aziz menjawab, "Wahai ibu, sesungguhnya aku teringatkan maut." Dia terus menangis teresak-esak.

     Mendengar jawapan itu, ibu gementar dan turut menangis bersama.

----------------------------------------

Kisah 2: Pada suatu hari, Hanzalah menangis teresak-esak. Dia menangis dengan kuat sekali sambil berjalan hendak bertemu Rasulullah SAW. Di tengah-tengah perjalanan, dia bertemu dengan Abu Bakar. Abu Bakar bertanya, "Wahai Hanzalah, apakah yang terjadi pada kamu?"

     Hanzalah menjawab, "Wahai Abu Bakar, sesungguhnya Hanzalah sudah munafik."

     "Masya Allah, mengapa kau katakan sedemikian?"

     "Ketika kita bersama dengan Rasulullah SAW, kita berasa seakan-akan syurga dan neraka berada di hadapan kita. Tetapi, apabila kita pulang kepada keluarga kita, kita lupa semua itu."

     Abu Bakar yang mendengar bicara Hanzalah, lantas menangis dengan kuat. "Abu Bakar juga munafik!" Lantas, kedua-dua orang ini bergerak bertemu Rasulullah SAW dalam keadaan mereka menangis teresak-esak. Mereka menangis kerana mereka tidak mampu menerima kemunafikan mereka. Mereka merasakan seakan mereka berpura-pura. Mereka ketakutan sekiranya Allah tidak menerima mereka.

     Apabila sampai di hadapan Rasulullah SAW mereka ceritakan apa yang mereka rasakan. Rasulullah SAW menyatakan, "Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu tetap dalam keadaanmu seperti mana ketika kamu berada di hadapanku dan sentiasa mengingatinya, nescaya malaikat akan bersalaman dengan kamu di tempat tidurmu dan di tepi jalan."

--------------------------------------------

Kisah 3: Pada suatu hari, Rasulullah SAW pergi berjumpa dengan Abdullah ibnu Mas'ud. Baginda memintanya bagi membacakan Al-Quran dan Rasulullah SAW ingin mendengarnya. Abdullah ibnu Mas'ud terkejut, lantas berkata, "Ya Rasulullah, tuan mahu saya bacakan Al-Quran kepada tuan? Sesungguhnya tuan lebih mulia daripadaku, kerana tuanku mendengar Al-Quran terus daripada Jibrail yang datangnya daripada Allah. Adakah layak saya membacakannya untuk tuan?"

     Rasulullah SAW menjawab, "Aku suka mendengarnya daripada selainku." Lantas, Abdullah Ibnu Mas'ud membaca surah An-Nisa' sehingga tiba pada satu ayat, Rasulullah SAW berkata, "Cukup."

     Abdullah Ibnu Mas'ud berhenti. Kemudian, beliau melihat Rasulullah SAW sedang menunduk. Apabila Rasulullah SAW mengangkat wajahnya, Abdullah Ibnu Mas'ud melaporkan, "Aku melihat kedua-dua mata Baginda basah dengan air mata."

--------------------------------------------------

Kisah 4: Abdullah bin Rawahah apabila melihat Jaafar bin Abi Talib gugur di medan perang, beliau bergerak menggantikan sahabatnya itu. Dalam langkahannya, beliau menangis. Sehingga ada yang bertanya, "Apakah kau takut akan kematian? Mengapa kau menangis?"

     "Tidak, aku tidak takut akan kematian. Aku hanya teringat akan penerangan Allah. Allah menjelaskan dalam surah Maryam, ayat 71 hingga ayat 72 yang bermaksud:

          "Tidak ada seorang di antara kamu melainkan sampai kepadanya
          neraka. Ia adalah satu perkara yang mesti berlaku yang
          ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami selamatkan orang-
          orang yang bertakwa, dan kami biarkan orang-orang yang
          zalim dengan kekufurannya dan maksiatnya tinggal berlutut
          dalam neraka itu."


Menangis Melembutkan Jiwa

Apabila kita menangis, hati kita pasti basah. Automatik jiwa terbelai dengan kelembutan yang tidak kita jumpa di kaca televisyen, dalam drama-drama hindustan, dalam sajak-sajak sasterawan, dan dalam novel-novel cinta.

     Hati akan terlentur, ego pula menunduk.

     Ketika ini, perasaan kehambaan turut menggunung.

     Terasa kerdil dan tidak bermaya. Terasa kecil tidak berkuasa. Kepada Allah kita tumpahkan segala tangisan. Mengadu kepada-Nya, merayu kepada-Nya, menyatakan betapa menyesalnya kita, memberitahu betapa sukarnya kita hendak melepasi ujian-Nya, dan meminta belas kasihan-Nya.

     Tetapi, siapakah antara kita yang menangis kerana-Nya?

     Sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang mulia dan dijamin syurga juga menangis. Rasulullah SAW yang diampunkan dosanya sebelum dan selepas juga menangis. Umar bin Abdul Aziz, iaitu susuk peribadi mulia dalam sejarah manusia juga menangis.

     Beliau menangis kerana Allah. 
   
     Beliau menangis mengingsti maut.

     Beliau menangis membaca Al-Quran.

     Kita?


Menangislah Sebelum Air Mata Kita Tidak Berguna

Air mata hanya berguna di dunia. Di akhirat, ia sudah tidak bermakna. Di neraka, menangis air mata darah sekalipun tidak mengembalikan kita ke dunia untuk beramal semula.

     Di dunia, kita perlu banjiri jiwa kita dengan tangisan yang dapat melenturkan jiwa. 

     Menangislah, jangan sesekali kita ego menitiskan air mata.

     Kita hamba berdosa, tidakkah kita berasa hina?

     Kita mampu menangis pedih kerana putus cinta, gagal dalam ujian, permintaan tidak dipenuhi, dan sebagainya. Mengapa kita tidak mampu menangis atas perkara yang bersangkutan dengan kematian, syurga neraka kita, dan Tuhan kita?

     Abu Bakar pernah berkata, "Menangislah. Sekiranya tidak mampu, buat-buatlah menangis."

     Pernahkah kita menangis ikhlas kerana-Nya?

     Sesungguhnya, kita masih punya masa.

     Sebelum mata tidak mengeluarkan airnya.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment