Wednesday 1 February 2017

MEMAKNAKAN HIDUP






MEMAKNAKAN HIDUP








Bagaimanakah mahu menjadikan kehidupan ini penuh makna? Pasti ramai yang berfikir apabila melihat betapa penghujung kehidupan ini, seperti wujud satu lubang hitam yang tidak diketahui. Ini membuatkan kehidupan menjadi hambar dan resah.

     Apabila kita melalui hari-hari dengan merasakan kehidupan kita tidak mempunyai makna yang signifikan, kita pasti berasa lemah bagi melaluinya. Kita berasa letih dan penat menjalaninya.

     Justeru, kelemahan mula terbentuk. Hidup menjadi tidak menentu. Sedangkan, makna hidup itu wujud. Hanya kita dapat memaknakannya.


Mempunyai Matlamat

Kita mahu memaknakan kehidupan. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mempunyai matlamat.

     Matlamat membuatkan kehidupan mempunyai makna yang signifikan. Kita ada sasaran yang mahu dicapai. Kita ada sesuatu untuk dilaksanakan. Perkara ini lebih berkesan, dengan wujudnya dua matlamat.

     Matlamat jangka panjang.

     Matlamat jangka pendek.

     Matlamat jangka panjang adalah perkara yang mahu dicapai oleh kita di pengakhiran. Matlamat jangka pendek adalah perkara yang perlu kita capai bagi mencapai matlamat jangka panjang.

     Hidup tanpa matlamat adalah sama seperti bermain bola tanpa gol. Bosan. Tidak bermakna. Tidak mencapai apa-apa. Kehidupan penuh matlamat adalah sama seperti permainan bola yang mempunyai gol. Matlamat jangka panjang kita adalah bagi memenangi perlawanan. Matlamat jangka pendek adalah kita perlu menjaringkan gol ke gawang lawan dan menjaga gol kita daripada dibolosi.

     Kita tidak perlu berasa gusar mewujudkan matlamat jangka panjang dalam kehidupan. Ini kerana, Islam menyediakannya. Allah menjelaskan dalam surah Az-Zariyat, ayat 56 yang bermaksud:
         
          "Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk
          beribadah."

Allah menerangkan dalam surah An-Nisa', ayat 14 yang bermaksud:

          "Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada
          apa yang diingini. Para wanita, anak-anak, harta yang banyak
          daripada emas, perak, kuda, binatang ternakan, dan sawah
          ladang. Itu adalah kesenangan hidup di dunia. Di sisi Allah
          tempat kembali yang baik adalah di syurga."

Persoalan utama adalah, bagaimana mahu mewujudkan matlamat jangka pendek bagi mencapai matlamat jangka panjang?


Merancang Strategi bagi Mencapai Matlamat

Permainan bola menjadi hambar dan membosankan sekiranya pemain-pemain di atas padang bermain dengan bersahaja dan tidak berstrategi. Begitu juga dengan hidup, apabila kita tidak ada strategi, kemungkinan besar kita tidak berjaya mencapai matlamat.

     Strategi dan perancangan bagi mencapai matlamat perlu diatur bagi menjadikan kehidupan ini bermakna. Allah menjelaskan dalam surah As-Saff, ayat 4 yang bermaksud:

          "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di
          jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan seperti suatu
          bangunan yang tersusun kukuh."

Allah SWT melakukan sesuatu perkara dalam keadaan yang tersusun. Dalam surah Hud, ayat 1 yang bermaksud:

          "Alif Laam Raa. Ini adalah satu kitab yang ayat-ayatnya
          disusun rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan
          daripada sisi Allah yang maha bijaksana lagi maha mengetahui."

Soal diri kita. Apakah yang perlu kita lakukan bagi mencapai matlamat jangka panjang? Oleh itu, kita wujudkan matlamat jangka pendek.

     Susun strategi bagi mencapainya. Berikan masa dan waktu yang sesuai bagi menggapainya. Kemudian, berusaha mendisiplinkan diri.

     Individu yang tidak berstrategi ataupun tidak patuh dengan strateginya, pasti runtuh. Bayangkan kita menonton satu pertandingan bola sepak. Para pemainnya hanya menendang bola keluar dari padang. Ataupun satu permainan yang penuh dengan pergaduhan dan layangan kad. Adakah itu bermakna untuk kita?

     Jadi, adakah bermakna kehidupan dengan pergerakan yang menyimpang daripada matlamat kehidupan. Kemudian, mendapat layangkan kad daripada Allah SWT?

     Semestinya tidak bermakna.

     Kita perlu mempunyai strategi sendiri.


Memberi Kualiti pada Waktu yang Ada

Setiap permainan ada waktu yang terhad. Begitu juga dengan kehidupan kita. Sekiranya bermain bola, kita tahu waktu yang tinggal, ditambah pula beberapa minit waktu tambahan. Tetapi, tidak pada kehidupan. Kita tidak mengetahui bilakah waktu kita berakhir.

     Namun, asasnya tetap sama. Permainan mempunyai waktu. Kehidupan mempunyai waktu. Pasti rugi pemain-pemain yang tidak berjaya menggunakan waktunya dengan baik.

     Begitu juga dengan kehidupan. Sekiranya kita membazirkan masa, kehidupan menjadi tidak bermakna. Tidak mempunyai harga. Ini kerana, kita tidak memanfaatkannya kepada matlamat utama. Kehidupan kita menjadi tidak bernilai. Manakala, masa begitu terhad. Masa tidak datang semula walaupun dibayar dengan harga yang tinggi. Kualiti waktu hanya wujud apabila kita mempunyai satu perkara.


Hidup adalah Permainan, Ada Kalah, Ada Menang, Tetapi Tidak Ada Seri

Apabila dilihat semula, kehidupan ibarat permainan. Ada permainan yang seri. Namun, dalam kehidupan tidak ada istilah seri. Hanya ada menang ataupun kalah sahaja. Berjaya mencapai matlamat atau tidak. Itu sahaja.

     Makna kehidupan hanya diperoleh apabila perkara di atas wujud dalam diri.

     Hidup yang bermatlamat, adalah hidup yang bermakna. Ini kerana, perjalanan hidup kita diisi dengan pelbagai perancangan bagi mencapai matlamat. 

     Kehidupan yang bermakna. Individu yang memahaminya tidak berasa gundah, kerana lubang hitam pada masa hadapannya sudah hilang.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment