Friday 17 February 2017

YANG KITA ADA HANYALAH SEKARANG






YANG KITA ADA HANYALAH SEKARANG








Saya berasa rawan tatkala meneliti gambar semasa kecil, meningkat remaja, dan remaja. Saya sentiasa berkata kepada diri sendiri, saya mahu kembali pada masa lalu bagi mengubah diri sekiranya diberi pilihan. Sudah lumrah alam, ada kalanya kita melakukan perkara-perkara yang tidak masuk akal sepanjang kehidupan kita.

     Apabila teringatkan perkara bodoh yang perlah dilakukan, kita berasa ingin kembali.

     Namun, masuk tidak mempunyai semalam. Manusia belum tentu menghadiri esok. Manusia belum tentu menghabiskan hari ini. Ini kerana, manusia hanya ada sekarang.

     Sekarang, untuk kita hargai dan meningkatkan diri.


Ramai Tidak Menghargai 

Kita menjalani kehidupans seharian tanpa berasa gusar. Seakan-akan semalam dapat dikutip kembali pada bila-bila masa sahaja. Seakan-akan esok 100 peratus kita pasti bernyawa. Seolah-olah kita yakin, hari ini kita mampu tamatkan dengan baik. Ramai tidak menghargai kehidupan, lantas mengisinya dengan perkara yang sia-sia.

     Saya tidak menyifatkan sia-sia itu dengan apa yang manusia lihat sebagai sia-sia. Tetapi, saya menyifatkan sia-sia itu dengan apa yang Allah SWT katakan sebagai sia-sia. Allah menerangkan dalam surah Al-Kahfi, ayat 103 hingga 105 yang bermaksud:

          "Katakan wahai Muhammad, mahukah Kami khabarkan kepada
          kamu orang-orang yang paling rugi amal perbuatannya? Iaitu
          orang-orang yang mensia-siakan usahanya dalam kehidupan
          dunia ini. Sedangkan mereka menyangka, mereka sentiasa betul
          dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Mereka adalah
          orang-orang yang kufur terhadap ayat-ayat Tuhan. Oleh itu,
          gugur semua amalan mereka. Kami tidak memberi sebarang
          timbangan bagi menilai amal mereka pada hari kiamat kelak."

Saya tidak peduli sekiranya kita melakukan sesuatu dan manusia tidak menilainya, ataupun mausia tidak memberikan perhatian terhadapnya. Sebagai contoh sifat ikhlas, niat yang bersih, amalan qiam pada malam hari, bacaan Al-Quran, berzikir, dan rapatnya hubungan kita dengan Allah SWT.

     Ini kerana, saya hanya peduli pada apa yang Allah nilai sahaja.

     Saya sentiasa yakin, apa-apa sahaja yang Allah katakan baik untuk kita lakukan, semestinya baik untuk kita dan manusia sekeliling. Allah tidak pernah menyuruh kita melakukan sesuatu yang membawa kemudaratan pada diri dan juga orang ramai.

     Cuba fikirkan.

     Namun, ramai yang tidak menghargainya. Waktu-waktu yang diberikan, dihabiskan bagi memenuhi kehendak dan tuntutan mereka sahaja. Oleh itu, kerana mahu mendapat banyak A, mendapat markah yang tinggi, mendapat laba yang besar, dan mahu menyenangkan hati manusia lain, manusia sanggup berbohong, menipu, dan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.


Allah Persoalkan, Kelak

Adakah saya berasa rugi dengan masa belakang saya? Berasa mahu kembali hanya kerana kenangan-kenangan yang berharga? Hanya kerana berasa rindu dengan suasana yang ada pada waktu dahulu?

     Ini bukan masalahnya. Perkara yang membuatkan saya berasa rawan, terkilan, dan kadangkala berasa hati, adalah apabila saya melihat waktu-waktu belakang saya. Saya terfikir, bagaimana Allah SWT mempersoalkan kepada saya kelak, berkenaan hari-hari yang saya lalui sebelum itu.

     Saya tidak dapat memperbaikinya.

     Adakah sesiapa dapat kembali kepada semalam?

     Bagaimana sekiranya Allah persoalkan?

     Allah menerangkan dalam surah An-Naba', ayat 40 yang bermaksud:

          "Sesungguhnya dengan keterangan-keterangan itu, Kami
          memberi amaran kepada kamu tentang azab yang hampir
          kedatangannya. Orang kafir berkata, 'Alangkah baiknya
          sekiranya aku menjadi tanah supaya aku tidak dibangkitkan
          untuk dihitung amalku dan menerima balasan.'."


Oleh Itu, Sekarang adalah Masa Berharga

Manusia tidak sedar, mereka pasti pulang kepada yang Maha Berkuasa, yang Maha Bijaksana, yang Maha Memerhatikan, dan yang Maha Mengetahui.

     Oleh itu, mereka menyalah gunakan peluang yang ada. Kebanyakan perkara ataupun semua perkara yang dilakukan tidak dihubungkan dengan Allah. Kerja tidak dihubungkan dengan Allah. Belajar tidak dihubungkan dengan Allah. Canda tidak dihubungkan dengan Allah. Makan, minum, riadah, dan kehidupan seharian langsung tidak dihubungkan dengan Allah SWT. Justeru, perkara-perkara tidak baik dengan mudah menyerang kehidupan manusia dari segenap arah. Sedangkan, sekarang adalah masa berharga. Sebelum ia bertukar menjadi masa lalu, semalam, minggu lepas, bulan lepas, setahun lepas, dan 20 tahun lepas. Allah menjelaskan dalam surah Al-Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

          "Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali
          orang-orang yang beriman, beramal soleh, dan mereka
          berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan
          dengan kesabaran."

Tidakkah manusia benar-benar faham, mereka hanya mempunyai masa sekarang?

     Sekarang adalah masa bagi memohon ampun. Sekarang adalah masa bagi memperbaiki diri. Sekarang adalah masa bagi mengubati diri ke arah yang kekal abadi.

     Kita hanya ada sekarang.

     Tidakkah manusia memerhatikannya?


Apabila Allah Berpaling

Allah SWT adalah maha penyayang, maha pengasih, maha mencintai, dan maha pengampun. Tidak ada yang mampu menandingi kasih sayang-Nya. Tidak ada sesiapa yang mampu menandingi cinta-Nya. Tidak ada yang mampu menyaingi keampunan-Nya. Tetapi, wujud suatu hari, Allah SWT tidak lagi membuka kasih sayang-Nya melainkan kepada mereka yang mendapat kasih sayang-Nya. Pasti tiba hari, Allah menutup pintu keampunan-Nya melainkan mereka yang diampunkan-Nya. Pasti tiba hari, Allah menutup cinta-Nya melainkan mereka yang dicintai-Nya.

     Itu adalah hari akhirat.

     Allah murka semurka-murkanya, pada mereka yang sudah diberikan peluang, tetapi mensia-siakannya. Allah marah semarah-marahnya, pada mereka yang diberikan peringatan, tetapi tidak mengendahkannya. Pada hari itu Allah pasti berpaling. Allah menegaskan dalam surah Toha, ayat 124 hingga ayat 126 yang bermaksud:

          "Sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku,
          sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit. Kami himpunkan
          mereka pada hari kiamat dalam keadaan buta. Lalu, berkatalah orang
          yang berdosa, 'Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan kami
          dalam keadaan buta, padahal kami dapat melihat?' Allah berkata,
          'Demikianlah keadaannya. Sudah datang ayat-ayat keterangan
          Kami kepada kamu, lalu kamu melupakan serta meninggalkannya.
          Demikianlah kamu pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.'."

Pada ketika itu, kita hanya mempunyai kehancuran. Ketika itu, kita tidak punya lagi masa sekarang ataupun hari esok. Kita hanya ada apa yang sudah kita lepaskan. Tergantung di neraka. Di tengah-tengah kematian dan kehidupan. Allah menerangkan dalam surah Al-A'laa, ayat 11 hingga ayat 13 yang bermaksud:

          "Sebaliknya orang-orang yang celaka pasti menjauhinya. Dia adalah
          orang yang menderita di neraka yang besar azab seksanya. Selain
          daripada itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang."




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.






No comments:

Post a Comment