Sunday 5 February 2017

KESETIAAN NA'ILAH AL-FARAFISHA






KESETIAAN NA'ILAH AL-FARAFISHA








"Yang bijak, yang anggun
Yang tegas, yang lembut
Dirimu pelengkap sifat wanita
Kesetiaanmu pada Uthman tiada tandingan
Wahai Nai'ilah Al-Farafishah
Engkaulah hiasan sebaik permata."




Apabila kekandanya Hindun binti Al-Farafishah berkahwin dengan Said bin Al-Ash, Na'ilah tidak sangka bahawa satu hari kelak beliau akan berkahwin pula dengan Amirul Mu'minin dan mendapat satu fitnah terbesar yang pernah berlaku pada permulaan Islam.

     Na'ilah Al-Farafishah adalah seorang wanita yang cukup cantik dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi. Beliau adalah di antara wanita yang petah berbicara, seorang sasterawan dan juga penyair. Keistimewaan pada diri Na'ilah ini telah disampaikan oleh Said bin Al-Ash kepada Khalifah Uthman bin Affan. Tanpa berlengah lagi Khalifah Uthman telah mengutus surat kepada Said dan memintanya supaya meminang Na'ilah bagi pihaknya. Maka Said pun melaksanakannya. Tidak lama kemudian, perkahwinan antara Na'ilah dan Khalifah Uthman pun berlaku.

     Na'ilah Al-Farafishah adalah seorang wanita yang tinggi lampai dan berkulit cerah. Beliau sungguh setia dan taat kepada suaminya. Oleh kerana beliau mempunyai pandangan dan pentadbiran yang baik, maka Khalifah Uthman sentiasa meminta pendapat dan fikiran darinya dan kemudian membandingkannya pula dengan pendapat dirinya sendiri. Na'ilah juga mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam rumahtangga Khalifah Uthman, di mana isteri-isterinya yang lain tidak mendapat keistimewaan sepertinya.

     Khalifah Uthman bin Affan diberi diberi gelaran "dzun-nurain" yang bererti orang yang diberikan dua cahaya. Ini kerana Khalifah Uthman pernah berkahwin dengan kedua-dua puteri Rasulullah iaitu Ruqaiyah dan Ummi Kaltsum namun kedua-duanya telah meninggal dunia. Merekalah yang bertanggungjawab meletakkan Khalifah Uthman kepada kedudukan yang teristimewa di dalam Islam.

     Meskipun Na'ilah bukan dari golongan wanita-wanita Quraisy, namun beliau mempunyai kelebihan di dalam kecantikan, kebijaksanaan akal, kepetahan bertutur dan kematangan fikiran. Maka sebab itu beliau telah dikahwinkan oleh saudaranya Adh-Dhab bin Al-Farafishah kepada Khalifah Uthman dan dengan segala keistimewaan yang dimilikinya, Na'ilah telah mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada wanita-wanita muslimat yang lain. Pengaruhnya kekal hingga ke zaman pemerintahan Bani Umaiyah.

     Namanya mula diperkatakan di dalam sejarah Islam semenjak peristiwa yang menyaksikan pembunuhan ke atas suaminya Khalifah Uthman bin Affan. Sejak itu beliau telah mengalami pelbagai peristiwa pahit sepanjang hayatnya.

     Semasa hayatnya bersama Khalifah Uthman, Na'ilah telah menjalani hidup yang penuh penghormatan terhadap suaminya. Beliau begitu ikhlas dan sentiasa berada di sisi suaminya di dalam segala hal. Malah beliau telah mempertahankan keselamatan suaminya dengan jiwa raganya. Ketika fitnah melanda dan rumahnya telah dikepong oleh pemberontak, beliau kekal berada di sisi suaminya dan menahan segala pukul pedang dengan tnagan dan tubuhnya sebelum pukulan itu terkena kepada Khalifah.

     Suatu ketika salah seorang pemberontak sedang menghayunkan pedangnya untuk menyerang Khalifah Uthman. Serta merta Na'ilah menahan pedang itu dengan tangannya sehingga terputus jari-jemari Na'ilah oleh tetakan itu. Na'ilah terus menjerit meminta tolong. Lalu seorang pengawal Khalifah bernama Rabah segera datang untuk membantunya dan membunuh pemberontak itu. Datang pula pemberontak yang kedua dan sekali lagi Na'ilah segera menahan pedangnya itu dengan tangannya, namun pemberontak itu dapat juga menusukkan pedangnya ke perut Khalifah Uthman dan membunuhnya.

     Setelah membunuh Khalifah Uthman, pemberontak itu cuba melarikan diri. Na'ilah mengejarnya sambil menjerit, "Amirul Mu'minin dibunuh orang! Amirul Mu'minin dibunuh orang!" Sedangkan pada ketika itu darah masih mengalir dari jari-jemarinya.

     Orang ramai yang sedang membenteng rumah Khalifah Uthman di luar segera memasuki ke rumahnya. Di antara mereka ialah Al-Hasan dan Al-Husain, putera-putera Ali bin Abu Talib. Setelah memasuki rumah itu, mereka mendapati Khalifah Uthman telah mati dibunuh dan mayatnya telah dipotong-potong.

     Berita kematian Khalifah Uthman dibunuh pemberontak telah tersebar luas begitu cepat sekali di seluruh kota Madinah. Orang ramai merasa amat dukacita. Bahang fitnah telah mula dirasai dan tiada siapa yang tahu bagaimana untuk menjauhi peristiwa hitam ini dari terus berlaku. Sesungguhnya detik hitam ini telah membayangi setiap diri kaum Muslimin ketika itu. Sejak itu, Na'ilah telah memainkan peranannya dengan merubah hala-tuju gerakan Islam sesudah itu. Tanpa membuang masa lagi, Na'ilah segera mengutuskan surat kepada Mu'awiyah bin Abu Sufyan dan memberikan peringatan mengenai firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

     "Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mu'min berperang
     maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua
     golongan itu melakukan penganiayaan terhadap golongan yang
     lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga
     golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu
     telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara
     keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah
     menyukai orang-orang yang berlaku adil." (Al-Hujurat: 9)

Na'ilah telah mengutus surat itu berserta pakaian Khalifah Uthman yang telah koyak dan berlumuran darah. Setelah itu diikatkan segumpal janggut Khalifah yang dicabut dari dagunya oleh Muhammad bin Abu Bakar pada butang baju itu. Beliau juga telah mengirimkan kelima-lima jari-jemarinya yang terpotong.

     Di dalam utusannya itu juga diceritakan detik-detik peristiwa pembunuhan Khalifah secara terperinci seperti yang disaksikan sendiri oleh Na'ilah dan bagaimana Khalifah Uthman dikepung siang dan malam tanpa sedikit pun bekalan hatta sedikit air. Mereka telah mengepung rumah itu selama 50 hari dan melemparkan batu dan panah sehingga tiga dari penghuni rumah itu terbunuh. Namun Khalifah Uthman tetap melarang pengawal-pengawalnya dari memerangi pemberontak-pemberontak itu.

     Ini semua berlaku meskipun Abdullah bin Az-Zubair telah mengeluarkan satu perintah yang bertulis supaya tidak seorang pun yang melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap Khalifah Uthman. Namun masih ada di antara mereka yang mengingkari perintah itu. Mereka telah memasuki rumah Khalifah Uthman dengan diketuai oleh Muhammad bin Abu Bakar lalu mencabut janggutnya, memukul kepala dan menikam dadanya sebanyak tiga kali. Kemudian mereka memukul kuat dahinya dan mengelarnya dengan pedang mereka sehingga luka-luka, padahal Khalifah Uthman masih hidup ketika mereka melakukan perkara ini semua. Tidak cukup dengan ini sahaja, mereka juga cuba untuk memotong kepalanya. Namun dapat ditahan oleh Na'ilah dan puterinya Syaibah bin Rabi'ah. Kemudian mereka memijak-mijak kedua beranak ini lalu membunuh Khalifah Uthman.

     Setelah Khalifah Uthman terbunuh, tiada seorang pun yang berani untuk memandikan mayatnya. Na'ilah lalu mengutus orang kepada Hutaitib bin Abdul Uzza, Jubair bin Muth'im, Abu Jahm bin Huzaifah dan Hakim bin Hizam untuk menguruskan jenazah suaminya. Namun mereka berkata bahawa mereka tidak dapat melakukannya ketika siang. Oleh itu, pada malam itu, di antara Maghrib dan Isya' mereka telah menguruskan jenazah Khalifah Uthman dan disembahyangkan oleh Jubair bin Muth'im. Kemudian dikebumikan jenazah itu di tanah perkuburan Baqi'. Na'ilah telah mendahului jenazah suaminya sambil membawa bersamanya sebuah lampu kecil untuk menerangi kegelapan malam.

     Sesudah pemergian Khalifah Uthman, api fitnah masih tetap menyala dan telah mengakibatkan kematian beribu-ribu manusia. Ia juga telah mengakibatkan persengketaan di antara Saidina Ali bin Abu Talib dengan Mu'awiyah bin Abu Sufyan, ditambah pula dengan api fitnah yang dinyalakan oleh Aisyah r.a. Bertambah semaraklah api fitnah itu hingga berlakunya perpecahan dan berpuak-puaklah umat Islam ketika itu.

     Baju Khalifah Uthman dan jari-jemari Na'ilah telah digantungkan di atas mimbar-mimbar masjid untuk menaikkan kemarahan orang ramai supaya mereka memberontak. Na'ilah merasa amat sedih dan menangis terus-menerus setiap kali mengenang hal ini.

     Na'ilah telah dipinang oleh Mu'awiyah untuk menjadikannya isterinya. Namun, Na'ilah telah menolaknya. Beliau kemudian telah mematah gigi-giginya supaya beliau kelihatan begitu hodoh sekali sehingga tiada satu lelaki pun yang akan berkehendak kepadanya.

     Na'ilah tidak berkahwin lagi sesudah kewafatan Khalifah Uthman. Walaupun Khalifah Uthman telah wafat, beliau tetap setia kepadanya. Beliau telah mengatakan: "Demi Allah, aku tidak akan membenarkan lelaki lain menjamahku, di tempat yang dijamah oleh Uthman sama sekali!"




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment