Wednesday 1 February 2017

KHAULAH SI PEJUANG MISTERI






KHAULAH SI PEJUANG MISTERI








"Siapakah yang menerbangkan debu pasir
Dengan deruan kuda yang ditunggangnya
Selendang yang menutupi wajahnya
Menjadi pelindung hiasan indah dunia
Halus jemarinya menghunus senjata
Lembut tingkahnya bertukar perkasa."




Khaulah binti al-Azwar Al-Kindi adalah seorang wanita yang berani, mempunyai sifat dan semangat pejuang yang tinggi dan cekap menunggang kuda. Ayahnya Al-Azwar adalah seorang pahlawan yang terbunuh sewaktu mempertahankan Rasulullah. Saudaranya pula ialah Dhirar bin Al-Azwar, seorang penunggang kuda yang terkenal. Khaulah dibesarkan di dalam keluarga mulia yang berani dan berwibawa. Maka tidak hairan jika sifat-sifat ini telah diwarisi oleh Khaulah.

     Suatu hari Khaulah telah keluar bersama saudaranya untuk menyertai tentera kaum Muslimin di bawah pimpinan panglima Khalid bin Al-Walid. Mereka sedang menuju Syam untuk menakluki negeri itu. Khaulah telah turut serta di dalam pertempuran itu.

     Ketika pertempuran berlaku, panglima Khalid bin Al-Walid sedang memerhatikan seorang tentera berkuda yang tinggi dan cekap menunggang kuda. Orangnya tinggi dan tiada apa yang kelihatan di wajahnya melainkan kedua matanya sahaja. Beliau telah menutupi seluruh tubuhnya dengan kain hitam dan di kepalanya terdapat serban hijau yang dilabuhkan hingga ke paras dada. Beliau selalu berada di hadapan, bertarung dengan cekap dan pantas di atas kudanya. Lagaknya seperti seorang lelaki yang melawan musuh dengan penuh keberanian. Tiada siapa yang menyangka beliau seorang wanita.

     Khalid merasa amat kagum dengan pejuang handalan itu. Beliau bertanya kepada pejuang-pejuangnya siapa gerangan penunggang kuda yang gagah berani itu. Khalid melihat pejuang berkuda itu menerkam tentera-tentera Rom ibarat api yang sedang membara dan merobohkan pertahanan musuh sehingga tidak tersusun lagi pertahanan mereka. Sejurus kemudian lembaga itu hilang dari pandangan Khalid.

     Tidak lama selepas itu beliau menjelma semula di dalam kumpulan yang sedang bertempur itu dengan lembing di tangannya berlumuran darah dan kemudian melawan terus askar-askar musuh dengan begitu berani dan bersemangat. Khalid merasa kagum melihatnya. Hatinya berkata, entah berapa ramai askar Rom yang terkorban di tangan pejuang berkuda ini.

     Pejuang berkuda ini telah menarik perhatian ramai. Salah seorang daripadanya ialah pejuang bernama Rafik yang menyangkakan si pejuang berkuda itu ialah panglima Islam, Khalid bin Al-Walid. Namun apabila Khalid berada di hadapannya, barulah beliau menyedari bahawa si pejuang itu bukanlah panglima Khalid bin Al-Walid. Lalu Rafik pun bertanya kepada Khalid siapa gerangan pejuang berkuda yang gagah itu.

     Berkata Khalid: "Demi Allah, aku pun dari tadi memerhatikan pejuang berkuda itu. Aku sendiri tidak kenal, siapa beliau. Aku sungguh terharu dengan keberaniannya itu."

     Rafik pun berkata: "Sesungguhnya beliau itu telah menjerumuskan dirinya ke dalam barisan askar-askar Roman dan terus menikam saja ke kanan dan ke kiri."

     Kemudian Khalid memberi arahan: "Wahai kaum Muslimin! Satukan pasukan kamu, dan bantulah si pejuang yang mempertahankan agama Allah itu!"

     Dengan pantas tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid itu bergerak untuk membuat satu pasukan dan mendekati pejuang berkuda itu. Pejuang itu merasa kagum di atas kerjasama yang diberikan dan semakin bersemangat untuk menggempur askar-askar musuh itu. Tentera Rom cuba mengejar pejuang itu dari belakang.

     Tiba-tiba pejuang itu berpatah balik dan menggempur mereka dengan kuat sehingga tentera-tentera Rom itu rebah satu persatu. Khalid dan tenteranya pula muncul dari belakang dan memberi tentangan yang begitu hebat sehingga semua tentera Rom dapat ditewaskan. Pertempuran itu selesai dengan pihak Islam mendapat kemenangan yang besar.

     Apabila pejuang berkuda itu kembali ke barisan kaum Muslimin dengan seluruh tubuhnya berlumuran darah, Khalid bin Al-Walid segera menyambutnya dengan berkata: "Semoga Allah memberkati susu yang kau minum dari ibumu sebagai seorang pejuang yang mengorbankan dirinya di jalan Allah dan menunjukkan keberaniannya di muka musuh! Siapa kau yang sebenarnya? Bukalah kain tutup di mukamu!"

     Pejuang itu yang merasa amat malu tidak berkata sepatah apa pun segera memalingkan kudanya. Salah seorang daripada pejuang Islam itu telah mengesyorkan agar pejuang itu memberitahu saja namanya, namun beliau tetap mendiamkan diri. Khalid yang telah hilang sabar menerpa di belakang pejuang itu seraya menjerit ke arahnya: "Biadap kau! Kau telah menimbulkan kegelisahan di hati orang ramai dan hatiku pun tidak tahan lagi. Lebih baik kau mengatakan siapa kau yang sebenar?"

     Selepas melihat Khalid yang seakan-akan marah kepadanya, si pejuang berkuda itu pun berkata dari balik hijabnya. Kedengaran oleh semua suara seorang wanita. "Aku tidak memalingkan muka daripadamu kerana melainkan kerana terasa malu kepadamu," kata suara wanita itu. "Wahai panglima, kau adalah seorang yang mulia dan besar kedudukan, sedangkan aku seorang perawan rumah tangga dan aku wanita yang selalu bertutup."

     Khalid hairan mendengar suara wanita itu dan merasa sayu. Beliau lalu menyoalnya lagi dengan nada yang lembut: "Namun siapa geranganmu ini?" Wanita itu menjawab: "Aku Khaulah binti Al-Azwar. Aku sedang bersama sekumpulan wanita ketika aku mendapat khabar saudaraku Dhirar ditawan oleh musuh. Aku terus menunggang kudaku untuk turut serta di dalam pertempuran dan lakukan apa yang telah aku lakukan sebentar tadi." Khalid merasa kagum dan memuji Khaulah di atas keberaniannya bertempur dan keikhlasannya terhadap saudaranya. Lalu Khalid pun berkata kepada Khaulah: "Kita akan menggempur musuh sekali lagi selepas ini dan aku berharap kepada Allah, agar kita dapat mencari saudaramu supaya kau dapat membebaskannya."

     Kemudian tentera Muslim berkumpul dan menggempur sisa-sisa tentera Rom sekali lagi. Amir Tufail telah mengatakan bahawa beliau telah berada di kanan Khalid bin Al-Walid sedang Khaulah berada di barisan hadapan sekali. Khaulah telah membantu dengan menghuru-harakan barisan hadapan tentera Rom dengan serangan demi serangan. Khaulah terus bertempur di atas kudanya sambil sesekali cuba mencari saudaranya. Namun setiap kali itu, beliau gagal menemui saudaranya. Apabila pertempuran berakhir dan kedua tentera berpisah di antara satu sama lain, Khaulah telah bertanya setiap tentera Islam itu tetapi tiada seorang pun yang terlihat atau terpandang saudaranya itu.

     Khaulah merasa amat kecewa lalu menangis sekuat hatinya dan berkata: "Wahai abangku! Di manakah kau berada ketika ini? Di tanah gersang manakah mereka telah meninggalkanmu dan bagaimanakah mereka telah membunuhmu? Hai abangku! Ini adikmu telah datang untuk menebusmu! Jika aku tahu di mana, akan aku datang untuk membebaskanmu dari musuh-musuhmu. Wahai nasib, apakah dapat lagi untukku menatap wajahmu? Apakah kau telah memilih untuk bersama ayahmu yang terbunuh ketika mempertahankan Rasulullah? Kalau benar begitu, aku ucapkan selamat jalan kepadamu dan terimalah salam dariku hingga kita bertemu lagi di hari pertemuan nanti!"

     Mereka yang berada di sekelilingnya turut terharu mendengar rayuan Khaulah itu sehingga mengalirkan airmata termasuk Khalid. Ketika mereka sedang berduka itu, sepasukan kecil tentera Rom menuju ke arah mereka. Tentera Islam pun bergegas mendekati mereka dan mendapati semua askar Rom itu telah melucutkan peralatan perang mereka. Mereka menyerah kalah dan meminta perdamaian daripada panglima Islam Khalid bin Al-Walid. Mereka berasal dari Hims (Lebanon) dan melarikan diri dari tentera Rom di bawah pimpinan Wardan. Khalid menjawab tidak akan berlaku sebarang perdamaian sehingga kaum Muslimin dapat menawan negeri mereka.

     Beliau juga bertanya sama ada mereka mengetahui seorang tentera Islam yang menjadi tawanan Wardan. Tentera-tentera Rom itu memberitahu, tentera Islam itu telah membunuh ramai tentera Rom dan anak panglima mereka. Askar Islam itu sekarang berada di dalam tawanan Wardan. Beliau telah dibawa ke Hims untuk dihadapkan kepada Raja.

     Selepas mendengar kata-kata tentera Rom itu, Khalid memanggil Rafik dan berkata kepadanya: "Aku tahu kau adalah orang yang paling memahami tentang perjalanan. Dan engkau adalah satu-satunya yang bijak dengan tipu helah dan menyusun langkah. Pilihlah siapa saja yang kau kehendaki dan segeralah engkau mengejar mereka yang sedang pulang ke Hims itu. Semoga kau dapat menjejaki mereka dan membebaskan tentera kita dari tawanan askar-askar musuh. Kalau engaku berjaya, maka suatu penghormatan besar akan diberikan kepadamu."

     Rafik pun memilih 100 orang tentera berkuda Islam yang gagah berani dan bersiap sedia untuk berangkat. Sejurus selepas berita ini sampai kepada pengetahuan Khaulah dengan pantas beliau mengambil senjatanya dan menunggang kudanya untuk menemui panglima Khalid bin Al-Walid. Khaulah pun berkata: "Wahai panglima tentera Islam! Aku meminta atas nama Muhammad, penghulu sekali manusia supaya engkau mengizinkan aku pergi bersama-sama tentera yang akan berangkat itu."

     Khalid memanggil Rafik lalu berkata: "Engkau telah menyaksikan betapa berani pejuang ini walaupun beliau seorang wanita. Benarkanlah beliau menyertaimu!" Rafik pun bersetuju dan Khaulah pun berangkat menyertai Rafik dan tentera-tenteranya. Mereka telah berkhemah di salah sebuah lembah di negeri Salamiyah bernama Lembah Kehidupan.

     Sedang mereka berehat di situ, terlihat oleh mereka debu-debu dari tapak-tapak kuda yang sedang bergerak tidak jauh. Tentera Islam pun bergegas mengekori mereka dari belakang. Mereka mula menerkam tanpa sedikit pun disangka oleh askar-askar musuh. Berlaku satu pertempuran sengit.

     Tidak lama kemudian, tentera-tentera Islam berjaya membunuh semua askar-askar musuh itu dan membebaskan Dhirar bin Al-Azwar yang ditawan oleh pihak musuh. Betapa gembiranya Khaulah ketika itu. Beliau terus memeluk saudaranya itu dan mengucapkan selamat kepadanya sedang dirinya masih berlumuran darah.

     Sesetengah riwayat mengatakan, ketika berlakunya pertempuran Sahura di Syam, Khaulah pernah ditawan oleh pihak musuh bersama beberapa orang kaum wanita. Di khemah tawanan, Khaulah membina semangat wanita-wanita yang ditawan itu. Suatu hari beliau telah berdiri di hadapan wanita-wanita itu dan berkata kepada mereka: "Wahai puteri-puteri Himyar, wahai sisa-sisa Tubbak! Apakah kamu rela diri kamu dipermainkan oleh tentera Rom ini kemudian anak-anak kamu pula dijadikan hamba oleh mereka? Di mana keberanian kamu dan di mana kebijaksanaan kamu yang selalu diucapkan oleh suku kaum Arab? Aku dapati kalian sudah tidak punya semangat dan kehormatan diri lagi. Aku rasa mati adalah lebih baik dan lebih kurang bahayanya dari apa yang kamu hadapi sekarang ini kerana kamu akan dijadikan alat untuk berkhidmat kepada tentera Rom yang ganas itu."

     Selepas itu, seorang wanita bernama Afraa' binti Ghifar Al-Himyariyah telah bangun dan berkata: "Demi Allah, memang benar apa yang kau ucapkan tadi, wahai puteri Al-Azwar! Kita telah memang hilang segala keberanian dan kepintaran. Kita telah diperdayakan oleh pihak musuh kerana kita tidak punya sebarang senjata."

     Khaulah berkata lagi: "Wahai puteri-puteri Tubbak! Ambillah kayu-kayu khemah dan tiang-tiangnya. Kita hentamkan kepada orang-orang jahat itu. Semoga Allah akan menolong kita dan kita bebas dari celaan orang-orang Arab."

     Afraa' binti Ghifar pun berkata: "Demi Allah, apa yang kau syorkan itu adalah paling baik sekali, wahai Khaulah!"

     Kemudian Afraa' mengangkat sebatang kayu dari khemah-khemah itu dan menjerit sekuat hatinya. Khaulah turut mengangkat sebatang kayu dan meletakkannya di belakangnya. Kemudian wanita-wanita yang lain turut memegang sebatang kayu seorang. Khaulah berkata kepada mereka: "Kita semua mesti berkumpul dan jangan berpecah. Buat satu bulatan dan jangan keluar dari bulatan itu. Apa yang kita harus lakukan ialah menghancurkan semua senjata musuh dan mematahkan semua pedang-pedang mereka."

     Khaulah dan wanita-wanita itu mula menggempur dengan hebat sehingga mereka terlepas dari tawanan itu. Khaulah membuktikan kehebatanya yang luar biasa dalam pertempuran dan perjuangan. Khaulah bersyair selepas selesai pertempuran Sahura itu: "Kamilah puter-puteri Tubbak dan Himyar. Peperangan kami dengan kaum itu tidak boleh diingkari. Lantaran kami dalam peperangan laksana lidah api yang bernyala. Hari ini kamu akan merasakan seksa yang besar sekali."

     Khaulah tidak berhenti bertempur di sini saja. Malah beliau juga bertempur dalam Perang Marj Dabik di mana saudaranya Dhirar sekali lagi menjadi tawanan musuh. Kemudian beliau bertempur lagi dalam Perang Antakia bersama kaum Muslimin sehingga mereka mencapai kemenangan yang gilang gemilang.

     Seterusnya Khaulah juga menyertai penaklukan Mesir sehingga namanya menjadi terbilang dan disebut-sebut oleh wanita-wanita dan lelaki-lelaki Arab. Beliau terus menjadi seorang pejuang Islam yang menyertai pelbagai peperangan sehinggalah menemui ajalnya ketika di bawah pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan r.a..

     Khaulah telah meninggalkan nama yang harum mewangi, yang keharumannya akan dapat dirasai oleh kita semua di sepanjang zaman.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment