Sunday 12 February 2017

MATA ZINNIRAH JADI TARUHAN CINTANYA






MATA ZINNIRAH JADI TARUHAN CINTANYA








"Wahai Zinnirah
Kau pertaruhkan indera cahaya dunia
Demi cinta yang engkau damba
Engkau korbankan indah yang maya
Demi redha yang Maha Esa."




Zinnirah, begitulah namanya. Namanya jarang disebut orang malah mungkin tidak pernah diperkatakan langsung. Zinnirah bukan dari golongan wanita terkenal di dunia. Tetapi Allah telah memuliakannya kerana pengorbanannya yang begitu hebat sekali. Zinnirah ialah seorang wanita suci yang mempunyai ketaqwaan yang begitu tinggi dan tauhid yang mendalam di jiwanya. Walaupun diseksa dengan pelbagai seksaan, hatinya tetap teguh pada kalimat Allah. Beliau menerima segalanya dengan redha. Biarpun seluruh tubuhnya hancur disebabkan oleh seksaan demi seksaan namun beliau tetap menahan aqidahnya dan tidak mahu menyerah kalah. Jiwa tauhid telah sebati di dalam dirinya, tidak ada sesuatu pun yang dapat memesongkannya daripada Allah. Dunia dan segala kecantikan di dalamnya bukan lagi buatnya. Sekalipun diberi emas sebesar Gunung Uhud beliau tidak akan mempertaruhkan aqidahnya.

     Zinnirah seorang wanita yang kuat rohaninya. Pelbagai dugaan yang menimpa menjadi penyuntik semangat dan menguatkan lagi aqidahnya dan menambahkan lagi keyakinan dan kecintaannya kepada agama suci ini. Penderitaan yang diterima itu tiada lain hanya menambahkan lagi rasa cintanya pada Allah. Beliau semakin rindu untuk bertemu Allah. Semakin banyak beliau bersujud kepada Allah, semakin deras airmatanya membasahi tempat sembahyangnya. Beliau semakin yakin dan berani untuk berdepan dengan musuh-musuh Allah. Itulah Zinnirah, wanita yang mendapat pimpinan dan kasih sayang Allah.

     Menurut sesetengah riwayat, Zinnirah adalah di antara orang yang awal memeluk Islam. Orang yang terdahulu memeluk Islam, biasanya akan menerima seksaan dan penderitaan yang amat pedih berbanding orang-orang yang terkemudian. Zinnirah adalah di antara mereka yang mengalami seksaan yang amat pedih itu. Beliau adalah wanita dari keturunan bangsa Rom dan telah ditawan untuk dijual di Kota Mekah. Umar Al-Khattab yang ketika itu belum memeluk Islam telah membelinya dengan harga yang amat murah dan menjadikannya hamba.

     Penyebaran Islam pada awalnya disampaikan secara tersembunyi. Rasulullah hanya menyampaikannya kepada ahli keluarganya sahaja. Zinnirah yang ketika itu sudah memeluk Islam amat khuatir ia akan diketahui oleh Umar. Apa saja ibadah yang dilakukannya adalah ketika tiada siapa di dalam rumah ataupun ketika semua manusia telah lena dibuai mimpi. Di masa itulah Zinnirah akan sujud menyembah Allah dengan penuh linangan airmata, adakalanya beliau menangis hingga tidak sedarkan dirinya.

     Satu hari, berita keislamannya diketahui oleh Umar. Dengan perasaan marah yang meluap-luap, Umar terus menemui Zinnirah dan menyeksanya dengan teruk. Zinnirah disepak, diterang, kedua belah kakinya diikat dan dibiarkan di tengah sinar mentari. Tubuhnya dihimpit dengan batu yang amat berat. Zinnirah menerima seribu satu macam seksaan dan penderitaan. Apa yang dialami oleh Zinnirah tidak sedikit pun memberi kesan ke atas dirinya. Malah, lidahnya tidak henti-henti mengucapkan kalimah "Allah, Allah, Allah, Allahu Akbar, Allahlah Yang Maha Besar." Di dalam sanubarinya berdetik, "Ya Allah! Ini adalah untukMu. Aku menerima kepayahan ini untuk kebahagiaanku di akhirat kelak. Berjihad adalah umat sukar tidak pernah sunyi dari penderitaan dan kesengsaraan. Namun aku sedar untuk beroleh syurgaMu, aku harus melalui jalan berliku yang penuh duri, sedangkan beroleh neraka itu dikelilingi oleh seribu nikmat."

     Itulah ucapan Zinnirah untuk mengubati segala kesakitannya.

     Hukuman yang paling dahsyat yang dilakukan ke atas Zinnirah adalah ketika matanya ditusuk dengan besi yang amat tajam dan menghilangkan penglihatannya. Biarpun dugaannya amat sukar untuk dilalui oleh Zinnirah, namun beliau rela diambil nyawanya daripada dipaksa menggadaikan agamanya. Walaupun diseksa begitu berat, Zinnirah tetap bermohon kepada Allah untuk diberikan hidayah kepada orang yang telah menimpakan seksaan ke atasnya. Kecintaan Allah telah memberinya semangat dan kekuatan untuk menanggung segala penderitaan yang dilalui.

     Walaupun Zinnirah sudah buta, beliau begitu tenang menerima dugaan Tuhannya. Zahirnya beliau tidak dapat melihat keindahan alam, tetapi hatinya tetap menikmati sinaran Islam. Selepas peristiwa itu, musuh-musuh Allah telah mempersendakannya. Mereka menyebarkan fitnah kononnya Tuhan mereka, Latta dan Uzza telah membutakan mata Zinnirah. Zinnirah menyangkal fitnah itu dengan menyatakan apa yang berlaku ke atasnya adalah takdir Allah. Allah sahaja yang mampu mengembalikan penglihatannya.

     Apabila mendengar kata-kata Zinnirah itu, orang-orang kafir Mekah itu telah mencabarnya. Terjadilah sedikit keributan di antara mereka. Zinnirah tetap dengan pendiriannya bahawa Allah SWT yang mentakdirkan beliau buta disebabkan oleh perbuatan Umar ke atasnya. Kemudian turunlah ayat Al-Quran yang diutuskan melalui Rasulullah menyanjungi sikap Zinnirah ini. Akhirnya, selepas jemu melihat betapa teguhnya iman yang ditunjukkan oleh Zinnirah, Umar berhenti menyeksanya. Beliau merasakan tiada gunanya menyeksa Zinnirah. Ini kerana semakin beliau menyeksa Zinnirah semakin teguh imannya kepada Allah.

     Allah telah menunjukkan kebesaranNya. Zinnirah yang buta itu pulih penglihatannya. Matanya lebih jernih dari sebelumnya dan beliau dapat melihat dengan lebih jelas. Kilauan matanya terpancar terang hingga mengilaukan pandangan orang-orang Quraisy. Allah telah memberi nikmatNya yang tidak terhingga buat Zinnirah di atas ketaqwaannya. Kemudian Saidina Abu Bakar telah membelinya dan memerdekakan Zinnirah. Bebaslah beliau dari kekejaman orang-orang kafir durjana.

     Bagi Zinnirah, cukuplah kasih sayang dan perlindungan dari Allah. Inilah kemerdekaan yang hakiki dan inilah kemerdekaan yang telah dicapai oleh Zinnirahnya. Beliau adalah wanita yang kurang dikenali di dunia namun beliau dikenali oleh seluruh makhluk Allah yang di langit dan sentiasa didoakan oleh mereka.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.







No comments:

Post a Comment