Wednesday 15 February 2017

MANUSIA MAMPU BERUBAH






MANUSIA MAMPU BERUBAH








Satu perkara yang saya pelajari dalam tempoh 22 tahun kehidupan adalah, manusia mampu berubah. Saudara pasti berkata kepada saya, "Benar. Manusia mampu berubah."

     Kita memang mengetahuinya. Ini adalah pengetahuan am. Tetapi, siapakah yang merasai betapa besarnya satu-satu perubahan itu?

     Dalam hidup ini, ada garisan yang membahagikan kita kepada dua kumpulan, iaitu baik dan buruk.

     Jangan sesekali lupa, seorang manusia mampu berubah daripada buruk kepada baik. Malah, jangan sesekali lupa, seseorang manusia juga mampu berubah daripada baik kepada buruk.


Manusia Mampu Berubah daripada Buruk kepada Baik

Kita selalu lupa kepada penyataan ini. Lupa dalam amal dan perbuatan. Lupa dalam minda dan akal fikiran. Lupa dalam hati dan jiwa.

     Mungkin suatu waktu dahulu, kita mengenali seseorang. Dia ada banyak perkara negatif dalam dirinya. Kita tidak suka padanya pada masa dahulu. Tetapi, setelah sekian lama waktu berlalu, kita berjumpa semula dengannya. Dia sudah berbeza daripada dahulu. Dia sudah berubah. Walaupun mungkin bukan 100 peratus, tetapi dia menunjukkan perubahan.

     Tetapi, kita sukar menerimanya.

     "Hmm, berlakon agaknya."

     "Luka dahulu pun masih besar!"

     Ayat-ayat seperti ini yang keluar daripada hati kita. 
   
     Akhirnya, virus ini merebak ke dalam kehidupan. Kita tidak menghayati perubahannya. Kita tidak merasai betapa sukarnya dia mahu melakukan perubahan. Kita tidak tahu, mungkin dia bermati-matian membawa dirinya ke arah kebaikan.

     Lebih buruk lagi, apabila timbul perasaan tidak berpuas hati kepadanya. Lebih-lebih lagi dia lebih menojol daripada jangkaan kita. Justeru, kita mula mencari kesalahannya yang dapat dieksploitasi.

     Akhirnya, yang sekecil kuman pun, dibesarkan sebesar gajah. Dosa-dosa lama diungkit seperti baru dilakukannya. Salah faham mungkin berlaku dalam komunikasi. Kehidupannya dibesar-besarkan. Apa-apa sahaja cerita buruk yang didengari daripada orang lain mengenainya, pasti dijajakan ke seluruh dunia seolah-olah benar belaka.

     Ini adalah penyakit.

     Kita tidak sedar, manusia mampu berubah.


Manusia Mampu Berubah daripada Baik kepada Buruk

Kadangkala, kita selalu melupakan perkara ini. Kita lupa bahawa Allah SWT mampu menurunkan orang yang baik menjadi buruk. Mungkin dahulu melakukan solat, sekarang tidak. Mungkin dahulu dia mempunyai hubungan dengan Allah, sekarang tidak lagi.

     Kelupaan kita terhadap perkara ini membuatkan kita senang memandang hina kepada mereka yang bergelumang dengan dosa dan keburukan. Kelupaan kita mengenai perkara ini membuatkan kita mudah menyatakan orang lain masuk neraka, kafir, dan sebagainya. Kita memulau orang-orang berdosa dan mengumpat cerca mereka.

     Mungkin hari ini kita ada nikmat iman dan nikmat Islam.

     Tetapi, adakah ini selamanya milik kita?

     Sebenarnya, kesyukuran atas nikmat iman dan Islam perlu ditunjukkan dengan menyebarkannya dengan lebih jauh dan lebih ramai lagi. Bukannya dengan membuat kenyataan orang-orang lain masuk neraka, tidak ada harapan, atau sebaliknya.

     Sepatutnya kita tidak berasakan diri ini sudah berada dalam zon selesa. Merasakan bahawa iman kita sudah mencukupi. Berasa Islam kita sudah bagus. Sepatutnya kita tidak melihat banyak mana kebaikan yang kita lakukan, tetapi kita perlu lihat berapa banyak dosa yang masih belum kita sucikan. Sepatutnya, kita tidak melihat berapa banyak dosa yang orang lain lakukan. Tetapi, kita lihat kebaikan yang dia ada sebagai motivasi bagi mengajaknya kepada kebenaran.

     Kita sepatutnya melihat di sekeliling kita. Mungkin ramai sahaja orang yang mendapat didikan agama, tetapi tidak mengaplikasikannya. Mungkin ramai sahaja orang yang dahulunya mengikuti usrah, tetapi kini semakin berubah. Mungkin pada pengalaman kita, ada orang yang dahulunya bertudung, sekarang tidak lagi.

     Sepatutnya, kita bersyukur dengan kebaikan kita dan berusaha menambahnya dengan rangka menghargainya. Syukur kita, kita mempamerkan dalam bentuk mengajak lebih ramai orang untuk berada dalam lingkungan keredhaan Allah SWT.

     Bukannya dengan mencerca mereka.


Manusia Ada Turun dan Naik

Satu lagi kenyataan yang perlu diperhatikan. Manusia itu ada turun dan naiknya. Mungkin kita ada sahabat. Di awal perkenalan dia seorang yang bagus. Kemudian, sahabat kita melakukan sesuatu yang tidak enak di mata kita, seperti berpasangan dan sebagainya.

     Apa tindakan kita?

     Ada di kalangan kita yang ekstremis. Terus memulau mereka dan menyatakan, mereka tidak mempunyai harapan. Kita mencerca mereka dengan pelbagai cercaan.

     Apabila sahabat kita melakukan perubahan, kita tidak menerima mereka. Kononnya kepercayaan dikhianati dan sebagainya. Kita tidak mengerti betapa susahnya dia diuji sedemikian. Kadangkala, mereka yang terjerumus bukan atas kehendak diri. Mungkin terperangkat atas unsur orang lain.

     Jangan pula berkata, "Dia budak agama, mustahil dia tidak tahu." Malah seorang sahabt Rasulullah SAW, iaitu Kaab bin Malik, adakah dia tidak tahu perbuatan tidak ikut perang adalah salah? Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, iaitu Abu Dzar Al-Ghifari, adakah dia tidak tahu, memanggil Bilal bin Rabah sebagai anak hitam itu salah?

     Di sini kita perlu memahami. Manusia itu ada turun dan naiknya. Mereka ini diuji. Mungkin kita belum diuji.

     Kita perlu memainkan peranan. Kita berikan sokongan dan dorongan supaya mereka mampu melepasi ujian itu. Justeru, di saat kita diuji, Allah memudahkan segala urusan kita pula.


Berdoa Supaya Kita dan Orang Lain Berubah kepada Kebaikan

Semoga perubahan yang Allah berikan kepada kita dalam kehidupan ini adalah kepada kebaikan semata-mata. Semoga Allah mengubah kita dan mengubah manusia di sekeliling kita ke arah kebaikan.

     Kita juga perlu berusaha supaya doa kita menjadi realiti.

     Sentiasa bermuhasabah dan membuat banyak pemerhatian dalam kehidupan kita.

     Sentiasa merendah diri dan menyemai kasih saya pada orang lain.

     Apabila memahami fitrah perubahan ini, kita pasti terdetik mahu mengambil berat pada diri dan orang lain. Dengan memahami perkara ini, kita lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga diri. Dengan memahami perkara ini, kita bergantung lebih pada Allah SWT.

     Allah menjelaskan dalam surah Ali Imran, ayat 8 yang bermaksud:

          "Mereka berdoa dengan berkata, 'Wahai Tuhan kami, janganlah
          Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau berikan petunjuk
          kepada kami. Kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada
          sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang melimpah-
          limpah pemberian-Nya."




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.


No comments:

Post a Comment