Monday 13 February 2017

CAHAYA ZUBAIDAH BINTI JA'AFAR






CAHAYA ZUBAIDAH BINTI JA'AFAR








"Setinggi-tinggi darjat wanita
Adalah yang menenangkan jiwa pencintanya
Engkau Zubaidah
Bagai cahaya di dalam hidup Harun Ar-Rasyid
Pembuka jalan melerai kebuntuan
Penyingkap tabir menyerlahkan kedamaian."




Zubaidah binti Ja'afar ialah isteri Harun Ar-Rasyid dan disifatkan sebagai wanita misali yang bersemangat waja dan menjadi lambang kewanitaan pada zaman kerajaan Abbasiyah. Zubaidah ialah seorang wanita yang memiliki kemewahan dan kedudukan darjat yang tinggi lagi mulia.

     Beliau berkahwin dengan Harun Ar-Rasyid atas nasihat ibunya, Alkhaizuran pada tahun 165H dan disambut besar-besaran dalam majlis yang belum pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelum itu. Orang ramai dihadiahkan dengan pinggan mangkuk emas bersalut perak. Ada juga pula pinggan mangkuk perak yang diisi dengan emas, wangi-wangian dan anbar.

     Zubaidah sendiri dipakaikan dengan barang kemas dan mutiara yang tiada tolok bandingnya. Barang perhiasannya dikatakan begitu berat sehingga beliau sendiri tidak dapat bergerak apatah lagi berjalan. Perbelanjaan bagi perayaan ini mencecah sehingga 1,388,000 dirham yang dikeluarkan oleh ayah Harun Ar-Rasyid iaitu Khalifah Al-Mahdi. Ini tidak termasuk segala perbelanjaan yang dikeluarkan sendiri oleh Harun Ar-Rasyid. Zubaidah mentaksirkan perbelanjaan perkahwinannya adalah di antara 35 hingga 37 juta dirham.

     Zubaidah adalah seorang wanita yang bijak. Pandangannya sentiasa dihormati dan beliau juga amat fasih dengan syair dan gurindam. Beliau pandai menggubah syair dan selalu mencabar kaum lelaki dalam pelbagai bidang pelajaran dan seni. Disebabkan kecantikan wajah dan kulitnya yang cerah, beliau amat dicintai oleh Harun Ar-Rasyid. Pengaruh Zubaidah amat terserlah dalam pentadbiran negara. Namun tidak ramai ahli sejarah yang menyentuh tentang dirinya dalam bidang ini selain pengaruhnya dalam perlantikan anaknya Al-Amin sebagai Khalifah setelah kewafatan suaminya.

     Perkara yang amat disentuh oleh pakar-pakar sejarah mengenai diri Zubaidah ini adalah kegiatan kemasyarakatannya. Beliau amat boros berbelanja demi kebajikan rakyatnya. Banyak projek yang dilaksanakan oleh Zubaidah dalam bidang perkhidmatan dan pembangunan semata-mata untuk kebaikan rakyatnya sendiri.

     Ketika mengerjakan haji di Baitullah pada tahun 186H, Zubaidah mendapat berita penduduk Mekah sukar mendapatkan air minuman. Lalu beliau menjemput pemegang amanahnya dan mengesyorkan supaya diundang semua arkitek dan pekerja dari serata negara untuk dilaksanakan projek air minuman ini walaupun akan menelan belanja yang begitu besar. Mereka menyambung mata-mata air dari gunung-gunung di sekitar Mekah dan mata air yang utama iaitu mata air dari Hunain. Lalu mereka membuat saluran di dalam batu sehingga air itu boleh sampai ke Mekah. Mata air itu masih wujud dan digunakan hingga hari ini. Projek itu menelan belanja sebanyak 1,700,000 dinar pada masa itu.

     Sumbangan Zubaidah tidak berhenti di situ sahaja. Beliau turut melaksanakan projek membaiki jalan di antara Baghdad dan Mekah. Beliau juga membina beberapa perigi, rumah-rumah rehat dan industri-industri lain. Sebuah masjid yang dinamakan Masjid Zubaidah Ummi Ja'afar turut didirikan di Baghdad. Di jalan menuju ke arah Mekah pula, Zubaidah membina sebuah istana yang mempunyai beberapa kubah. Di dalamnya terdapat sebuah tempat mandi dan dua buah perigi air tawar. Beliau juga menyediakan banyak tempat mandi dan perigi untuk bakal-bakal haji yang dalam perjalanan ke Mekah.

     Walaupun Zubaidah seorang dermawan dan suka berbelanja ke arah kebajikan, namun beliau juga suka berbelanja untuk dirinya sendiri. Beliau suka berfesyen. Fesyen-fesyen pakaiannya terus berkembang pada zaman pemerintahan Abbasiyah. Harga salah satu pakaiannya pernah mencecah 50,000 dinar. Beliau dikatakan orang pertama yang mempunyai rumah yang di atasnya berkubah perak dan orang pertama yang memakai sandal dan sepatu yang disalut mutiara manikam dan lilin anbar.

     Dalam arena politik pula, Zubaidah pernah berusaha mempengaruhi Khalifah untuk melantik anaknya yang bernama Al-Amin menjadi putera mahkota. Namun Khalifah Harun Ar-Rasyid pula ingin menjadikan anaknya dari seorang jariahnya Marahil, bernama Al-Ma'mun menggantikan tempatnya. Zubaidah mencela suaminya yang bersikap tidak adil itu. Maka jadilah perdebatan di antara mereka berdua.

     Khalifah Harun Ar-Rasyid mempertahankan keputusannya dengan berkata: "Wahai Zubaidah! Ingatlah, ini adalah urusan umat Muhammad dan tanggungjawab orang-orang yang diletakkan Allah ke atas leherku. Aku cukup faham antara anakku (Al Ma'mun) dengan anakmu (Al-Amin), sebenarnya anakmu bukan ahlinya untuk memegang tugas Khalifah dan tidak ada kebolehan untuk mengurus hal-ehwal rakyat jelata."

     Zubaidah tidak mahu menerima alasan Khalifah itu lantas menjawab: "Anakku, demi Allah, adalah lebih utama dari anakmu itu dan beliau cukup baik untuk menjalankan tugas yang kau inginkan itu. Beliau bukan seorang anak yang terlalu tua dan jahat ataupun terlalu kecil yang tidak ada pengalaman. Beliau lebih murah hati dari anakmu itu dan hatinya lebih berani!"

     Harun Ar-Rasyid membantah kata-kata Zubaidah itu dengan berkata: "Kau silap lagi, wahai Zubaidah! Sesungguhnya kelebihan anakmu pada pandangamu itu adalah disebabkan naluri keibuanmu. Bertakwalah kepada Allah, wahai Zubaidah. Sebenarnya, demi Allah, aku lebih mengasihani anakmu itu dari yang lain. Tetapi perkara ini ialah perkara pemerintahan, tidak boleh diserahkan melainkan kepada orang yang lebih layak dan lebih berhak. Kita semua bertanggungjawab ke atas rakyat jelata dan kita berdosa jika mencuaikannya. Kita tidak sanggup menemui Allah dengan menanggung dosa-dosa mereka serta dipertanggungjawabkan atas kesalahan-kesalahan mereka. Kalau kau tidak percaya, duduk sebentar dengan aku di sini, supaya kau lihat sendiri perbezaan yang ketara di antara anakku itu dengan anakmu!"

     Zubaidah pun duduk seperti yang diperintahkan suaminya. Beliau pun ingin melihat apa yang hendak ditunjukkan oleh suaminya itu.

     Khalifah segera memanggil anaknya Abdullah Al-Ma'mun. Setelah Al-Ma'mun mendatangi ayahnya, beliau memberi salam kepada ayahnya seperti lazimnya, sambil menundukkan kepalanya. Matanya pula melihat ke bawah menunggu izin dari ayahnya sehingga kedua belah kakinya merasa penat menunggu perintah itu.

     Lalu Khalifah Harun Ar-Rasyid mengizinkan beliau duduk. Setelah itu, beliau meminta izin untuk  berbicara. Setelah diizinkan oleh Khalifah, beliau pun memuji Allah kerana dapat melihat ayahnya. Kemudian beliau mendoakan agar Allah memudahkan segala urusan yang ditanggung ayahnya selama ini, lalu meminta izin untuk mendekati ayahnya. Setelah diizinkan, Al-Ma'mun pun mendekati ayahnya dan mencium kaki ayahnya. Lalu beliau mendekati Zubaidah pula, mencium kepala, dada dan kedua belah kakinya. Barulah beliau kembali ke tempat duduknya.

     Khalifah Harun Al-Rasyid pun mula berkata: "Wahai anakku! Aku mahu kau mengambil alih tugas pemerintahan ini dan menggantikan tempatku. Aku mendapati kaulah yang paling layak dan berhak menguruskan hal ehwal rakyat sesudahku!"

     Mendengar kata-kata ayahnya, Al-Ma'mun lalu menangis. Beliau segera beristighfar kepada Allah sambil memohon supaya Allah memanjangkan usia ayahnya kerana beliau tidak mahu kehilangan ayahnya. Khalifah mengingatkan anaknya supaya bersedia menghadapi kematiannya dan memintanya agar menerima perlantikannya sebagai Khalifah seperti yang diajukan itu.

     Namun Al-Ma'mun berkata: "Wahai ayah! Bukankah abangku itu lebih berhak dalam perkara ini dan beliau pula putera kepada Puanku Zubaidah. Aku rasa tentulah beliau lebih kuat untuk menanggung tanggungjawab ini dariku dan beliau juga seorang yang berpengalaman. Semoga Allah menunjukkan ayah apa yang baik dan betul supaya rakyat jelata mendapat kebaikan dan manfaatnya, amin."

     Selepas itu, Khalifah mengizinkan Al-Ma'mun keluar, beliau pun keluar.

     Kemudian Khalifah Harun Ar-Rasyid memanggil anaknya Al-Amin. Muhammad Al-Amin mendatangi ayahnya dengan pakaian yang serba indah sebagai putera Khalifah. Beliau mendatangi ayahnya tanpa menanggalkan kasutnya dan tanpa mengucapkan apa-apa pun hatta mendoakan ayahnya sekali pun. Beliau terus duduk di atas alas tempat duduk ayah dan ibunya.

     Khalifah berkata kepadanya: "Apa kata kau wahai anakku! Aku ingin mengangkat kau menjadi putera mahkota untuk menggantikan aku di kemudian hari!"

     Maka segera dijawab oleh Al-Amin, "Wahai Amirul Mu'minin! Ini tentu tidak perlu dibicarakan lagi sebab siapa lagi yang lebih berhak menggantikan kau selain aku sendiri! Bukankah aku anakmu yang tertua dan anak cahaya matamu?" Al-Amin membangga diri.

     Kemudian Khalifah mengizinkan beliau keluar. Al-Amin pun keluar.

     Khalifah Harun Ar-Rasyid berkata kepada Zubaidah, "Hai Zubaidah! Kau sudah saksikan sekarang. Kini katakanlah dengan jujur siapa yang lebih layak menjadi putera mahkota antara anakku dan anakmu itu?"

     Maka jawab Zubaidah, "Ya, anakmulah yang lebih berhak untuk memenuhi apa yang kau inginkan, wahai Amirul Mu'minin! Memanglah beliau lebih patut menduduki jawatan itu."

     Namun, sejarah menyaksikan perlantikan Muhammad Al-Amin menjadi Khalifah setelah kewafatan Khalifah Harun Ar-Rasyid. Malangnya Al-Amin gagal menjalankan tanggungjawabnya. Beliau diluncutkan kedudukannya sebagai Khalifah dan tugasnya diambil alih oleh Al-Ma'mun. Al-Amin dikenakan hukuman bunuh sesudah itu.

     Setelah Al-Amin dihukum bunuh, salah seorang khadam mendatangi Zubaidah lalu menghasutnya menuntut bela seperti Aisyah menuntut bela di atas kematian Uthman. Namun, Zubaidah menolak hasutan ini.

     Beliau berkabung dengan memakai baju serba hitam di rumahnya. Apabila Abdullah Al-Ma'mun memasuki Baghdad untuk memegang jawatan Khalifah, Zubaidah keluar dari rumah untuk menyambut anak tirinya. Beliau mengucapkan tahniah kepadanya. Katanya: "Aku ucapkan tahniah di atas tugas Khalifahmu itu. Kalau aku telah kehilangan seorang anak yang menjadi Khalifah, maka aku telah digantikan oleh seorang anak yang menjadi Khalifah yang tidak aku lahirkannya. Tidak akan rugi seseorang yang mendapat gantiannya dengan seorang anak seperti kau dan tiada merasa kecewa seseorang ibu yang menatang orang seperti kau di dalam tangannya. Aku bermohon kepada Allah balasan baik di atas apa yang diambilNya dan gantian di atas apa yang digantikanNya."

     Zubaidah hidup di bawah lindungan anak tirinya Al-Ma'mun dengan penuh penghormatan dan kemuliaan. Tiada apa yang kurang seperti dirasakan sewaktu beliau bersama suaminya dahulu malah sekarang beliau merasakan lebih daripada itu.

     Pada sisa-sisa hidupnya, Zubaidah terus menjadi tempat rujukan para penyair, tabib, ulama-ulama dan para solihin. Beliau telah menyimpan 100 jariah yang semuanya menghafal Al-Quran. Di istananya sering kedengaran suara-suara mereka yang membaca Al-Quran.

     Pada tahun 216 hijrah, Zubaidah binti Ja'afar meninggal dunia di Baghdad.



N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.


No comments:

Post a Comment