Sunday 5 February 2017

MATI ADALAH MOTIVASI PADA PERUBAHAN KITA






MATI ADALAH MOTIVASI PADA PERUBAHAN KITA








Mengingati mati bukanya bermaksud mahu mati dengan cepat. Tetapi, ia adalah persediaan. Memikirkan kematian, membuatkan saya mendapat sesuatu.

     Bukankah mati dapat menjadi motivasi?

     Mati untuk diri dan hati.

     Tidakkah kita memerhati?


Mengingati Mati, Menghargai Kehidupan

Mati tidak dapat dijangka. Pada bila-bila masa sahaja diri dijemput pergi. Pagi, petang, siang, ataupun malam. Ketika kita berjalan, memandu, tidur, dan ketika membuang air. Tua ataupun muda. Mati tidak mengenal usia. Alangkah indahnya mereka yang memahami seni dalam kematian. Halus dan tersembunyi.

     Tidakkah mereka memahami perkara ini dan menghargai hari yang dilalui? Jadi, apakah yang mereka lakukan? Apabila kita dipilih untuk bangun pada waktu pagi, apakah azam kita pada hari itu? Tidakkah kita bersyukur? Ini kerana, kita masih diberi peluang beramal dan bertaubat? Tidakkah kita berasa suatu kelapangan apabila dibangunkan pada waktu pagi? Kita dapat hidup berapa tahun di dunia ini? Berapa kali kita dipilih untuk bangun pada waktu pagi?

     Bangun pagi adalah peluang. Cuba kita pandang ke belakang dan bayangkan. Apakah yang berlaku, sekiranya kita tidak dipilih untuk bangun dan menikmati hari ini?

     Adakah kita dapat membayangkannya?

     Bukankah mati itu pada bila-bila masa sahaja? Tetapi, kita masih hidup sehingga hari ini. Melepasi hari-hari yang lalu.

     Apakah pengisian kita pada hari ini?

     Perkara yang sia-sia? Amal kebaikan?

     Sekiranya kita menyedari hakikat kematian, pasti kita tidak mahu melepaskannya. Allah menerangkan dalam surah Al-Baqarah, ayat 28 yang bermaksud:

          "Bagaimana kamu tergamak kufur dan mengingkari Allah.
          Padahal kamu dahulunya mati iaitu belum lahir. Kemudian,
          Dia menghidupkan kamu. Lalu, Dia mematikan kamu dan
          Dia menghidupkan kamu pada hari akhirat. Akhirnya, kerana
          dikembalikan kepada-Nya bagi diberi balasan atas segala yang
          kamu kerjakan."


Selepas Mati

Apakah yang wujud selepas kematian? Alam barzakh. Padang mahsyar. Syurga dan neraka.

     Kita tidak tahu berapa panjangnya kita berada dalam alam barzakh. Hingga kiamat. Tetapi, bilakah kiamat? Kita tidak ada jawapannya.

     Padang Mahsyar. Kita tidak tahu berapa lama kita berada di sana. Ada yang tahu? Ada orang berkata, sehari di sana bersamaan dengan 1000 tahun di bumi. Sekiranya sehari di sana bersamaan dengan 1000 tahun di bumi, berapakah hari kita berada di padang mahsyar?

     Berapa lama kita dalam syurga dan neraka? Jawapannya, kekal abadi selama-lamanya. Kita pasti melalui tiga alam selepas kematian. Ketiga-tiganya diputuskan balasannya sejak di dunia lagi. Apabila kita baik di dunia, pasti balasan yang baik menanti kita di alam barzakh. Kita terselamat di padang mahsyar. Pengakhirannya juga adalah syurga.

     Bagaimana sekiranya kita tidak baik?

     Adakah di alam barzakh kita dapat beramal?

     Adakah di padang mahsyar kita dapat beramal?

     Siapakah yang memahami hakikat ini, tetapi mensia-siakan hidupnya yang mungkin hanya setahun dua? Sekiranya umurnya panjang, mungkin sukar mahu mencecah seratus tahun.

     Adakah apabila kita menyedari perkara ini, kita berasa lega kerana kita masih hidup dan sedang membaca tulisan ini? Ini membuktikan kita masih mempunyai peluang.

     Menyedari hakikat kita masih hidup, adakah kita masih bercita-cita mahu mengisinya dengan perkara yang sia-sia? Allah menjelaskan dalam surah Al-Anfal, ayat 50 yang bermaksud:

          "Sekiranya kamu melihat para malaikat mencabut nyawa orang-
          orang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka sambil
          berkata, 'Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar.'
          Tentu kamu akan berasa ngeri."

Allah menerangkan dalam surah Al-An'am, ayat 93 yang bermaksud:

          "... Alangkah ngeri sekiranya engkau melihat orang-orang
          yang zalim dalam penderitaan sakaratulmaut. Sedangkan para
          malaikat pula menghulurkan tangan mereka, memukul, dan
          menyeksa orang-orang itu sambil berkata dengan menengking
          dan mengejek, 'Keluarkanlah nyawa kamu daripada tubuh kamu
          sendiri. Pada hari ini, kamu dibalas dengan azab seksa yang
          menghina kamu sehina-hinanya, disebabkan apa yang kamu
          katakan kepada Allah dengan tidak benar dan kamu menolak
          dengan sombong ayat-ayat keterangan-Nya'."


Mana Janji?

Adakah wujud perjanjian yang menyatakan kita pasti hidup seminit lagi? Kita tidak mempunyai apa-apa perjanjian yang menjamin kita dapat hidup lebih dari seminit? Apatah lagi perjanjian yang menjanjikan kita hidup 80 tahun lagi.

     Di manakah wujud keyakinan kita untuk berkata, "Pasti saya bertaubat apabila sudah tua."

     "Saya pasti berhenti apabila saya berasa mahu insaf."

     Di manakah keyakinan itu datang? Kita tidak mempunyai perjanjian yang menjaminkan kita dapat hidup sehingga kita berasa kita perlu bertaubat. Apabila kita menyedari hakikat ini, adakah kita mahu mengisi kehidupan ini dengan perkara yang sia-sia? Allah menerangkan dalam surah Al-Ahzab, ayat 16 yang bermaksud:

          "Katakanlah wahai Muhammad, sekiranya kamu melarikan diri
          daripada kematian ataupun pembunuhan, perbuatan melarikan
          diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada
          kamu. Sekiranya kamu terlepas, kamu tidak juga menikmati
          kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja."

Allah menjelaskan dalam surah Al-Jumuah, ayat 8 yang bermaksud:

          "Katakan wahai Muhammad, sebenarnya maut yang kamu
          larikan diri daripadanya itu tetap akan menemui kamu.
          Kemudian, kamu dikembalikan kepada Allah yang mengetahui
          segala yang ghaib dan nyata. Lalu, Dia memberitahu kepada
          kamu apa yang kamu lakukan serta membalasnya."


Sungguh, Mati adalah Motivasi

Sesiapa yang memahami hakikat kematian dan menyedari seni kematian yang sebenar, pasti bermati-matian berusaha dalam hidup mereka.

     Mati adalah satu pintu yang terbuka luas apabila tiba masanya. Kemudian, pintu itu tertutup rapat dan tidak terbuka lagi.

     Siapakah yang dapat menghayati kematian? Kemudian, bermain-main dalam kehidupan?

     Hidup itu dua kali. Mati hanya sekali sahaja. Hidup kali kedua diputuskan dengan balasannya apa yang kita lakukan selama kehidupan kita di dunia.

     Wahai kita yang masih hidup, tidakkah kita memikirkannya?

     Sungguh, kematian adalah motivasi yang hebat.

     Allah menyatakan dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud:

          "Sesiapa yang bernyawa pasti merasai mati. Pada hari kiamat sahaja
          disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari
          neraka dan dimasukkan ke syurga, sesungguhnya ia berjaya. Ingatlah
          kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat
          kebesarannya. Tidak lain, hanya kesenangan untuk orang-orang yang
          terpedaya."

Wahai pendosa, mengapa kita masih berlengah dan bersahaja?




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment