Saturday 11 February 2017

CINTA RABIATUL ADAWIYAH






CINTA RABIATUL ADAWIYAH








"Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
DariMu Tuhan Pencipta alam
Rabiatul Adawiyah
Pengabdianmu jadi iktibar para sufi."




Di kota Basrah yang pesat dengan kemajuan dan kemodenan, terdapat sekumpulan orang miskin yang takut pada Allah. Mereka tidak mempunyai harta, mengasingkan diri daripada kesibukan harian dan jauh daripada manusia yang hanya mementingkan dunia. Antara mereka yang bertaqwa itu ialah Ismail dan keluarganya. Mereka kuat beribadah, alim dan zuhud. Walaupun kehidupannya amat miskin, namun hatinya penuh keimanan. Beliau sentiasa mengingati Allah dan tidak pernah alpa beribadah. Sifatnya qanaah dan sentiasa bersyukur atas segala pemberian dan nikmatNya. Ismail mempunyai 3 orang puteri dan isterinya pula sedang sarat mengandung anak keempat mereka.

     Suatu malam, isterinya bersalin. Sekali lagi, mereka mendapat seorang bayi perempuan. Walaupun beliau ingin sekali mempunyai seorang anak lelaki, namun Ismail tetap bersyukur ini. Beliau tahu bahawa ini adalah takdir dariNya dan beliau redha di atas ketentuan Ilahi. Ismail menamakan anak perempuannya itu Rabi'ah, sempena menyambut anak yang keempat. Pada malam itu lahirlah Rabi'ah binti Ismail Al-Adawiyyah. Dalam tidurnya, Ismail bermimpi menemui Rasulullah. Rasulullah berkata kepadanya, "Usah engkau merasa pilu kerana anakmu itu adalah seorang wanita mulia yang akan memberi syafaat kepada umatku!"

     Di dalam sebuah rumah yang jauh dari kota Basrah yang penuh dengan pelbagai cubaan dan dugaan itu, Rabi'ah telah dibesarkan. Di situlah beliau menjalani kehidupan bersama-sama keluarganya dengan penuh kefakiran. Walaupun Rabi'ah hidup di dalam serba kekurangan, namun ia tidak sedikit pun menjejaskan pertumbuhan rohaninya. Malah, tahap kerohaniannya tumbuh dan mencapai keimanan dan ketaqwaan yang paling tinggi kerana dengan kemiskinan dan kefakiran inilah, Rabi'ah dapat dididik dan dilatih untuk menjadi insan yang berjiwa bersih dan suci. Rabi'ah telah menghafal dan memahami makna-makna yang terkandung di dalam Al-Quran dengan begitu baik sekali. Beliau telah mewarisi sifat-sifat kesederhanaan dan ketaqwaan ini daripada ayahnya Ismail.

     Ketika Rabi'ah sedang menikmati kehidupan yang penuh kasih sayang itu, ayahnya meninggal dunia. Tidak lama kemudian, ibunya pula meninggal dunia. Keempat-empat anak perempuan ini kehilangan tempat bergantung. Tiada lagi tempat mereka mendapat belaian dan kasih sayang kedua orangtuanya. Namun oleh kerana jiwanya yang tertanam iman dan cinta terhadap Allah begitu teguh, Rabi'ah dapat menerima takdirNya dengan penuh keredhaan. Semuanya diserahkan kepada Allah semata. Keistimewaan inilah yang menguatkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan. Beliau tidak putus-putus berdoa dan bermunajat kepada Allah yang menjadi pendamping dan tempat beliau mengadu nasib. Hanya pada Allah yang dapat disampaikan segala yang terbuku di hatinya.

     Rabi'ah meneruskan kehidupannya seperti biasa, namun ibadatnya kepada Allah tidak dilupakan sama sekali. Di waktu malam yang gelap gelita tanpa sebarang cahaya, Rabi'ah menghabiskan waktunya memperhambakan diri kepada yang Esa. Rabi'ah telah dapat merasai pengabdiannya kepada Allah bukanlah suatu bebanan buatnya malah ia menjadi kemanisan dan kerinduan yang tidak terkata. Ia telah mendekatkan lagi dirinya kepada Allah dan menyebabkan ketaqwaannya kepada Allah semakin meningkat, kepercayaannya kepada takdir semakin teguh dan keyakinannya kepada rahmat Allah tidak pernah luntur.

     Kesedihan ditinggalkan kedua ibubapanya baru sahaja berlalu maka datang pula dugaan baru yang tidak kurang hebatnya. Kota Basrah dilanda kemarau yang panjang yang membuat ramai penduduknya kebuluran. Ramai yang lari meninggalkan kota itu kerana tidak dapat terus bertahan. Mereka lari untuk mencari tempat lain yang lebih banyak sumber rezekinya. Rabi'ah dan kakak-kakaknya pun mengambil keputusan yang sama. Mereka meninggalkan kota Basrah dan mencari hala-tuju masing-masing. Akhirnya mereka berpecah dan tinggalkan Rabi'ah seorang diri. Sejak perpisahan itu, Rabi'ah tidak lagi bertemu dengan mereka dan tidak diketahui di mana dan bagaimana keadaan mereka bertiga.

     Tidak lama kemudian, Rabi'ah ditangkap oleh beberapa penjahat dan dijual pada harga enam dirham. Sejak itu, Rabi'ah menjadi hamba seorang pedagang yang kejam dan zalim. Beliau disuruh melakukan kerja-kerja berat dan diseksa. Suatu hari, ketika beliau disuruh pergi ke satu tempat, beliau dikejar oleh seorang lelaki. Rabiah berlari dengan begitu pantas sekali tanpa memerhatikan jalan yang hendak dilaluinya. Beliau terjatuh dan tangannya patah. Lalu beliau berdoa kepada Allah, "Ya Allah! Aku ini seorang hamba. Walaupun tanganku patah, aku redha jika Kau redha ke atasku. Tunjukkan aku keredhaanMu." Selesai berdoa, terdengar satu suara, "Jangan risau dengan kepayahanmu. Di akhirat nanti kau akan diletakkan di darjat tertinggi sehingga malaikat melihatmu dengan penuh ketakjuban." Setelah itu, pulanglah Rabi'ah ke rumah tuannya semula.

     Walaupun berat penderitaan yang menimpa dirinya, namun Rabi'ah tetap bersabar dan menahan diri dengan sentiasa mendekatkan dirinya kepada Allah. Selepas peristiwa itu, Rabi'ah tetap melakukan kerja-kerjanya seperti biasa. Beliau berpuasa di siang hari dan di waktu malamnya beliau menghabiskan seluruh masanya dengan terus mengabdikan diri kepada Allah. Beliau akan tenggelam di dalam solat dan munajatnya. Begitulah keadaan Rabi'ah pada setiap malam. Suatu malam, tuannya cuba melihat apa yang dilakukan oleh Rabi'ah. Sedang beliau cuba mendekati bilik Rabi'ah, terdengar olehnya suara rayuan Rabi'ah di tengah malam yang sedang berdoa kepada Allah:

     "Ya Allah!
     Engkau amat memahami jiwaku yang patuh kepada perintahMu
     Dan sinaran pancainderaku untuk beribadah kepadaMu
     Jika aku mempunyai kuasa ke atas diriku sendiri
     Maka aku akan terus-menerus bermunajat kepadaMu tanpa henti
     Namun, Engkau telah mentakdirkan aku 
     Di bawah kuasa seorang manusia yang kejam dari hamba-
     hambaMu."

Beliau terlihat suatu pelita di awang-awangan. Cahayanya menerangi seluruh bilik itu. Ketika itu juga tuannya gementar dan merasa amat berdoa melakukan kekejaman ke atas Rabi'ah. Keesokan harinya, tuannya memanggil Rabi'ah dan memerdekakannya. Rabi'ah diberi pilihan sama ada terus tinggal di rumah itu ataupun mahu mengasingkan diri dan meninggalkan rumah itu. Tuannya bersetuju dan Rabi'ah pun pergi.

     Kini Rabi'ah bebas dari belenggu penghambaan. Sejak beliau dibebaskan, Rabiah terus mengabdikan diri kepada Allah. Sepanjang waktu dihabiskan dengan pelbagai ibadah. Antara ucapan-ucapannya ketika bermunajat kepada Allah:

     "Ya Allah! Ya Tuhanku!
     Aku mohon perlindunganMu
     Daripada apa yang boleh memalingkan diriku daripadaMu
     Dari segala hijab yang boleh menghijabku daripadaMu

     Ya Allah! Ya Tuhanku!
     Bintang-bintang bersinar indah
     Telah tertutup mata-mata dengan lenanya 
     Semua pemilik telah menurunkan tirainya
     Dan setiap yang bercinta telah bersatu dengan pencintanya
     Dan di sinilah aku berada di hadapanMu

     Demi kesucian dan keagunganMu
     Aku tidak akan lena daripada beribadah kepadaMu
     Setiap malam dan siang
     Kecuali dengan tidak ku sengajakan
     Sampailah aku menghadapMu."

Beginilah keadaan Rabi'ah setiap malam. Apabila terbit fajar, Rabi'ah akan berkata, "Ya Tuhanku! Malam telah berlalu dan siang akan menyapa. Sungguh malangnya diri! Adakah malamku akan diterima olehMu dan aku merasa kebahagiaannya atau sebaliknya aku mendapat kesedihan? Demi kesucianMu, semoga amalanku ini terkekalan dan tolonglah aku. Demi kesucianMu, jika Engkau menutupku daripada pintuMu itu, pasti aku tidak berganjak oleh kerana cintaku terhadapMu."

     Pernah suatu ketika seseorang datang melamar Rabi'ah, namun beliau menolak lamaran itu. Beliau berkata: "Bagi seseorang yang punya pilihan, perkahwinan adalah miliknya. Namun aku tiada mempunyai apa-apa pilihan. Aku dimiliki oleh Tuhanku dan aku berada di bawah suruhanNya. Tiada apa yang aku miliki." Rabi'ah hanya mengenali Tuhannya dan tidak kepada yang lain. Beliau hanya mencintai Allah sahaja. Matlamatnya hanya untuk memperolehi keredhaan Allah semata. Rabi'ah hanya berpaut pada tali Allah dan segala fikiran dan amalannya hanya ditujukan pada jalan akhirat semata-mata. Beliau sentiasa mengingati mati dan setiap kali melakukan sujud, beliau akan menangis tanpa henti sehingga basah tempat sembahyangnya. Rabi'ah melakukan peribadatan sedemikian rupa selama 30 tahun dan selama itu beliau tidak henti-henti mengatakan:

     "Ya Allah! Semadikan aku di dalam mencintaiMu
     Semoga tiada suatu pun yang bisa memesongkan aku
     daripadamu."

Setiap waktu dan ketika, beginilah keadaan Rabi'ah dalam membentuk kecintaannya kepada Allah. Beliau membuktikan cintanya kepada Allah dengan pengabdian yang begitu agung tanpa dipengaruhi sedikit pun oleh perkara keduniaan. Di dalam jiwanya hanya Allah semata dan beliau menjalani kehidupannya dengan banyak merenung dan bertafakur kepadNya. Malah untuk menguatkan ibadahnya kepada Allah, beliau hanya memakan roti untuk terus beramal bagi akhirat. Sementara pakaiannya hanya sekadar dapat menutup aurat. Dengan kezuhudan inilah sahaja beliau dapat menanamkan cinta kepada akhirat dan menumpukan seluruh hidupnya untuk Allah semata.

     Rabi'ah telah membentuk suatu kaedah yang luar biasa di dalam kecintaan kepada Allah. Beliau telah menunjukkan cara yang jelas cara-cara sufi yang terkenal sebelumnya. Beliau telah membuktikan bahawa kecintaan kepada Allah semata, tanpa menggandingkan dengan sesuatu yang lain adalah suatu cara yang dapat mensucikan hati dan jiwa serta memperolehi darjat yang tinggi di sisi Allah. Pergerakan ajaran sufi Rabi'ah bermula dengan melahirkan ketaqwaan kepada Allah. Rabi'ah menyebut:

     "Wahai Tuhanku!
     Apakah Engkau akan membakar hati yang mencintaiMu
     Dan lidah yang menyebut namaMu
     Dan hamba yang takut kepadaMu."

Apabila Rabi'ah dapat menyingkap segala rahsia-rahsia di lubuk hatinya, beliau berpindah kepada peringkat yang lebih luas. Ketika itu pengabdiannya bukan lagi kerana takut kepada api neraka ataupun tamakkan syurga. Malah Rabi'ah menyatakan:

     "Jika aku sujud kepadaMu kerana gerun kepada api nerakaMu
     Maka bakarlah aku di dalamnya
     Dan jika aku sujud kepadaMu kerana tamak kepada syurgaMu
     Maka halanglah aku daripadanya
     Tetapi jika aku sujud kepadaMu kerana kecintaanku kepadaMu
     Maka kurniakanlah aku balasan yang besar
     Izinkanlah aku melihat wajahmu
     Yang Maha Agung dan Mulia itu."

Kecintaan Rabi'ah kepada Allah melepasi setiap batasan. Beliau sudah tidak lagi memikirkan syurga atau neraka. Beliau sudah tidak menghiraukan pahala atau azab. Malah beliau menuju kepada Zat Allah semata-mata. Berkata Rabi'ah:

     "Wahai Tuhanku!
     Jadikanlah neraka itu untuk seteru-seteruMu
     Dan syurga pula untuk pencinta-pencintaMu
     Dan adapun untukku
     Memadailah hanya Engkau semata."

Rabi'ah adalah satu-satunya wanita yang telah mencipta suatu pengajaran sufi dan telah mencapai taraf yang tinggi di dalam pengajarannya. Ramai di antara orang-orang sufi yang terkenal telah mendapat pandangan daripadanya. Antara ulama' yang terkenal pada masa itu ialah Hasan Al Basri. Pada pandangan Hasan Al Basri, Rabi'ah adalah wanita yang sangat mulia kerana ilmunya yang disampaikan oleh Rabi'ah sangat berkesan. Beliau berasa dirinya kerdil berbanding Rabi'ah yang mempunyai ilmu yang jauh lebih luas dan mendalam daripadanya.

     Begitulah kehidupan Rabi'ah Al Adawiyyah yang ditakdirkan Allah untuk diuji ketaqwaan serta keimanannya. Di kalangan ahli tasawuf atau para pencinta Allah, maka Rabi'ahlah yang dianggap paling terkenal. Cintanya tiada bersifat kebendaan dan tiada pula mengharapkan balasan untuk dirinya tetapi cinta semata-mata cinta. Tidak dapat disangkal bahawa Rabi'ah adalah contoh yang terbaik di dalam soal ini.

     Rabi'ah meninggal dunia ketika usianya menjangkau 80 puluh tahun. Ketika beliau berada di ambang sakaratul maut, beliau telah memanggil pembantunya Abdah dan berkata: "Wahai Abdah, janganlah kau menggangguku sesudah aku mati nanti dan kapankanlah aku dengan jubahku ini!" Setelah Rabi'ah meninggal dunia, beliau dikapankan oleh pembantunya Abdah dengan jubah guninya dan dibaluti tubuhnya dengan selendang sufinya itu. Rabi'ah telah disemadikan di Baitul-Maqdis pada tahun 135 Hijrah.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment