Wednesday 22 February 2017

MEREKA YANG TIDAK MAHU MEMBERSIHKAN DIRI






MEREKA YANG TIDAK MAHU MEMBERSIHKAN DIRI








Wujud juga dalam lipatan sejarah, segelintir manusia yang menolak kasih sayang Allah SWT. Allah memberikan kepada mereka peringatan, teguran, dan ancaman. Namun, mereka masih angkuh dan menolak huluran rahmat daripada Allah SWT.

     Di penghujung buku motivasi ini, saya mahu menceritakan secebis kisah mereka, supaya menjadi renungan untuk kita semua.


Kisah 1: Firaun

Pada suatu ketika dahulu, Firaun menguasai Mesir. Firaun menentang anak angkatnya yang bernama Musa, tatkala anak angkatnya pulang membawa ajaran Allah SWT.

     Firaun memilih tidak menaiki bahtera yang dinaiki oleh Musa. Bahtera keimanan yang menuju kepada Allah SWT, redha-Nya, dan syurga-Nya. Firaun memilih berkelakuan bongkak, menentang, dan mahu menghapuskan Musa.

     Sahsiah Firaun ini, hakikatnya wujud dalam kalangan kita pada hari ini, walaupun Firaun sudah lama meninggal. Mengapa kita tidak mengambil sedikit waktu, melihat kepada Firaun dan memandang kepada nasibnya yang memilih untuk tidak membersihkan diri.


Kebongkakannya Melangkaui Segala

Allah SWT menerangkan dalam surah An-Nazi'aat, ayat 22 hingga ayat 24 yang bermaksud:

          "Kemudian dia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya
          menentang Musa. Lalu, dia menghimpunkan orang-orangnya
          dan menyeru dengan berkata, 'Aku adalah tuhan kamu yang
          tertinggi.'."

Firaun merasakan dia adalah tuhan. Dia yang memberikan nikmat. Dia yang mengawal segala-galanya. Ditambah pula dengan kesuburan Mesir yang hebat kerana wujudnya Sungai Nil, bersama tamadun dan teknologi yang tinggi seperti Piramid. Justeru, Firaun lemas dalam kekuasaannya.

     Lihatlah betapa Firaun cintakan kekuasaannya sehingga apabila muncul mimpi yang menyatakan pasti datang seorang bayi daripada kaum Bani Israel mampu menumbangkannya, dia berasa begitu takut sehingga dia membunuh semua bayi daripada kalangan Bani Israel.

     Fasad. Belum dikira lagi penindasan demi penindasan yang dilakukan terhadap kaum Bani Israel, yang menjadi hamba abdinya ketika itu.


Allah SWT Memberi Peluang kepada Firaun

Allah SWT Maha pengasih lagi Maha penyayang. Hatta, kepada Firaun dia masih memberikan peluang. Diutusnya Nabi Musa bersama Harun bagi mengajak Firaun ke jalan Allah. Allah menerangkan dalam surah Toha, ayat 42 hingga 44 yang bermaksud:

          "Pergilah engkau dan saudara kamu, membawa mukjizat-
          mukjizat kurniaan-Ku. Jangan kamu berdua lemah dan cuai
          dalam menyebut serta mengingati Aku. Pergilah kamu berdua
          kepada Firaun, sesungguhnya dia melampaui batas dalam
          kekufurannya. Kemudian, hendaklah kamu berkata kepadanya,
          dengan kata-kata yang lemah-lembut. Semoga dia beringat
          ataupun takut."

Kasihnya Allah SWT pada Firaun. Sekiranya diperhatikan dalam kehidupan, kita juga sentiasa diberikan peluang yang sama. Tawaran bagi menaiki bahtera iman dari pelbagai arah.

     Persoalannya, adakah kita menyahut dan menerima tawaran itu? Ataupun kita mencontohi Firaun yang membelakangkan kasih sayang Allah SWT dan menolak ajakan Musa?

     Lihatlah reaksi Firaun selepas diberikan kasih sayang yang tinggi itu. Allah menerangkan dalam surah Toha ayat 56 hingga 58 yang bermaksud:

          "Demi sesungguhnya, Kami tunjukkan kepada Firaun segala
          tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami. Pada ketika 
          itu, dia mendustakannya dan enggan beriman. Firaun berkata,
          'Patutkah engkau datang kepada kami bagi mengeluarkan kami
          daripada negeri kami dengan sihirmu, wahai Musa? Sekiranya
          demikian, sesungguhnya kami juga bawakan kepadamu sihir
          bagi melawanmu. Tentukan tempoh pertemuan antara kami
          denganmu. Kita bersama tidak memungkirinya di suatu tempat
          yang sesuai untuk kedua-dua belah pihak.'."

Menolak dengan tolakan yang keras, bahkan mencabar. Sedangkan Allah SWT menunjukkan kasih sayang-Nya. Memberikan peluang kepada seorang hamba bergelar Firaun ini. Tidaklah pula selepas penolakannya itu, Allah terus menyeksanya. Tidak. Bahkan, masih lagi berlaku beberapa kisah.


Bala Turun Sebagai Peringatan

Allah SWT menyatakan dalam Al-Quran bahawa Firaun terus mencabar dan mencabar. Walaupun selepas ahli sihirnya tewas dan beriman. Firaun terus bongkak dan tidak sujud kepada Tuhan. Allah menegaskan dalam surah Al-A'raf, ayat 132 hingga ayat 133 yang bermaksud:

          "Dan mereka berkata, 'Walau apa sahaja keternagan mukjizat
          yang engkau bawa kepada kami wahai Musa, bagi melakukan
          sihirmu, kami tidak sesekali beriman kepadamu.' Allah 
          menjelaskan, 'Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan,
          belalang, kutu, katak, dan darah sebagai tanda dan bukti yang
          jelas nyata. Mereka juga tetap berlaku sombong dan menjadi
          kaum yang menderhaka.'."

Begitulah bala yang Allah SWT turunkan. Firaun bersama konco-konconya berada dalam ketakutan dan kerisauan. Lantas, mereka meminta supaya azab ini diangkat dan sebagai gantinya mereka pasti beriman. Allah menerangkan dalam surah Al-A'raf, ayat 134 yang bermaksud:

          "Apabila azab itu menimpa, mereka merayu dengan berkata,
          'Wahai Musa, pohonlah pada Tuhan kamu untuk kami dengan
          kehormatan pangkat nabi yang diberikan-Nya kepadamu yang
          menjadikan permohonanmu sentiasa makbul. Sekiranya engkau
          hapuskan azab itu, kami pasti beriman kepadamu. Kami pasti
          membebaskan kaum Bani Israel bersamamu.'."

Tetapi, Firaun nyata bersikap angkuh. Jiwanya benar-benar menolak kebenaran. Selepas diangkat bala, dia kembali kufur kepada Tuhan yang mencintai apra hamba-Nya. Allah menjelaskan dalam surah Al-A'raf, ayat 135 yang bermaksud:

          "Selepas Kami hapuskan azab itu daripada mereka, sehingga ke
          suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-
          tiba mereka mencabuli janjinya."

Cuba kita kaitkan ini dengan diri kita sebenarnya. Allah SWT menyampaikan kepada kita Islam, tetapi kita menolak cara hidupnya. Allah menguji kita dengan ujian, cabaran, dan dugaan, lalu kita mencari Allah sebagai perlindungan. Apabila kita sakit, kita berdoa bagi diringankan kesakitan. Apabila mahu menjalani peperiksaan, kita meminta supaya dipermudahkan.

     Tetapi, apabila Allah SWT berikan kita kemudahan, kita alpa dan meninggalkan-Nya. Apabila Allah SWT menyampaikan petunjuk, kita membelakangkan dan menolaknya.

     Tidakkah kita melihat persamaan antara Firaun dan kita?


Apabila Jemputan Menaiki Bahtera Ditutup, Jawapannya adalah Azab

Allah SWT menerangkan dalam surah Al-Isra', ayat 15 yang bermaksud:

          "Kami tidak mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutus
          rasul bagi menerangkan yang benar dan yang salah."

Itu adalah tanda kasih sayang Allah SWT. Tetapi, pada mereka yang menolak, Allah SWT menjanjikan azab yang pedih. Dalam surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud:

          "Ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu, 'Demi sesungguhnya,
          sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku tambah nikmat-Ku
          kepada kamu. Sesungguhnya, sekiranya kamu ingkar, azab-Ku
          begitu keras.'."

Firaun daripada kalangan yang menolak. Hingga pada suatu tahap, Firaun membuat keputusan membunuh Nabi Musa dan para pengikutnya. Apakah balasan untuk Firaun? Allah menegaskan dalam surah Asy-Syura, ayat 60 hingga 66 yang bermaksud:

          "Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari
          terbit. Apabila kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain,
          berkatalah orang-orang Nabi Musa, 'Sesungguhnya kita dapat
          ditawan.' Nabi Musa menjawab, 'Tidak, jangan fikir berlaku yang
          demikian. Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku
          dengan pemuliharaan dan pertolongan-Nya. Ia menunjuk jalan
          kepadaku.' Lalu, Kami wahyukan kepada Nabi Musa, 'Pukul
          laut itu dengan tongkatmu.' Apabila dipukul, terbelah laut itu
          kepada beberapa bahagian, lalu menjadilah air daripada setiap
          bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang
          besar. Kami dekatkan golongan Firaun dan bala tenteranya
          ke situ. Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang
          bersama dengannya. Kemudian, Kami tenggelamkan golongan
          Firaun dan bala tentera yang mengejarnya."

Ditenggelamkan ke dalam laut. Mati dengan penuh terseksa. Di saat akhir kematiannya, Firaun meraung meminta ampun kepada Allah SWT. Allah menjelaskan dalam surah Yunus, ayat 90 yang bermaksud:

          "Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu
          dikejar oleh Firaun dan tenteranya dengan tujuan melakukan
          kezaliman dan pencerobohan. Apabila Firaun hampir tenggelam
          berkatalah mereka pada saat yang genting itu, 'Aku percaya
          tidak ada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel,
          dan aku adalah daripada orang-orang yang berserah diri.'."

Tetapi, apakah respons Allah SWT ketika itu? Allah menerangkan dalam surah Yunus, ayat 91 hingga ayat 92 yang bermaksud:

          "Adakah sekarang baru engkau beriman? Sesungguhnya engkau
          dari dahulu kufur derhaka dan engkau menjadi sebahagian
          daripada orang-orang yang melakukan kerosakan. Pada hari
          ini, Kami biarkan engkau terlepas dengan badanmu yang tidak
          bernyawa ditelan laut. Ini menjadi tanda untuk orang-orang
          di belakangmu supaya mereka mengambil iktibar. Ingatlah,
          sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada memerhati
          dan memikirkan tanda-tanda kekuasaan Kami."

Allah berpaling daripada Firaun. Selama ini diberikan nikmat dan kasih sayang, tetapi tidak diendahkan. Selama ini diberikan peluang dan ruang, tetapi tidak dipedulikan. Apabila tibanya waktu, sudah tertutup rapat segala ikhtiar. Hanya tinggal seksaan untuk Firaun dan para pengikutnya. Bukan sahaja pengakhiran yang buruk di dunia, bahkan di akhirat sana.

     Allah menegaksan dalam surah Ghafir, ayat 45 hingga 46 yang bermaksud:

          "Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab yang seburuk-
          buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada
          waktu pagi dan petang semasa mereka berada dalam alam
          barzakh. Pada hari berlakunya kiamat, diperintahkan pada
          malaikat supaya memasukkan Firaun dan para pengikutnya ke 
          dalam azab seksaan api neraka yang seberat-beratnya."


Kisah 2: Anak dan Kaum Nuh

Tidakkah kita melihat bagaimana anak dan kaum Nuh berdegil daripada menerima dakwahnya yang berjalan selama 950 tahun?

     Mereka menghina dan menghina Nuh sepanjang 950 tahun. Mereka melakukan pelbagai angkara kepadanya, menyakitinya, dan berusaha menghentikan dakwahnya.

     Mereka merasakan bahawa Nuh tidak patut berada dalam kalangan mereka dan mengganggu kehidupan harian mereka. Mereka mengejeknya bagi melemahkan usahanya. Allah menjelaskan dalam surah Nuh, ayat 21 hingga 24 yang bermaksud:

          "Nabi Nuh merayu dengan berkata, 'Wahai Tuhanku,
          sesungguhnya mereka menderhaka kepadaku dan mereka
          menurut orang yang banyak harta bendanya dan anak-
          pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian di akhirat
          kelak. Mereka menjalankan tipu daya dengan merancang
          rancangan yang besar jahatnya bagi menentang seruanku.
          Ketua-ketua mereka menghasut supaya jangan ditinggalkan
          penyembahan tuhan-tuhan terutamanya Wadd dan Suwaa',
          Yaghuth, Ya'uuq, dan Nasr. Sesungguhnya ketua-ketua itu
          menyesatkan kebanyakan daripada umat manusia. Janganlah
          Engkau menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan
          kesesatan juga.'."


Di Manakah Pengakhiran Mereka?

Di manakah pengakhiran anak dan kaum Nuh ini?

     Bahagia? Lapang? Terus berkuasa?

     Sesekati tidak!

     Allah SWT menurunkan azab seksaan kepada mereka, iaitu banjir besar yang dahsyat. Allah menjelaskan dalam surah Hud, ayat 42 hingga ayat 44 yang bermaksud:

          "Mereka semua naik dan bahtera pun bergerak laju membawa
          mereka dalam ombak seperti gunung-ganang. Sebelum itu, Nabi
          Nuh memanggil anaknya yang berada di tempat yang terpisah
          daripadanya, 'Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan
          janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.'
          Anaknya menjawab, 'Aku pergi berlindung ke sebuah gunung
          yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh
          air.' Nabi Nuh berkata, 'Hari ini tidak ada sesuatu pun yang
          dapat melindungimu daripada azab Allah, kecuali orang yang
          dikasihani oleh-Nya.' Serta-merta ombak itu pun memisahkan
          antara kedua-duanya, lalu jadilah dia anak yang derhaka
          bersama orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. Selepas
          binasanya kaum kafir itu, diperintahkan kepada bumi dan langit
          dengan berkata, 'Wahai bumi, telanlah airmu dan wahai langit,
          berhentilah daripada curahan hujanmu.' Surutlah air serta
          terlaksanalah perintah Allah itu. Bahtera Nabi Nuh itu pun
          berhenti di atas Gunung Judi serta diingatkan kepada kaum kafir
          umumnya, bahawa kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang
          yang zalim."

Akhirnya orang-orang yang zalim beroleh kebinasaan. Tidakkah kita mengambil pengajaran?


Kisah 3: Kaum 'Ad dan Thamud

Kita menjenguk pula peradaban yang besar pada zaman dahulu. Kaum 'Ad dan Thamud, yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan kepakaran mereka menebuk gunung untuk dijadikan rumah. Diutuskan kepada kaum 'Ad, Nabi Hud. Manakala, kepada kaum Thamud, diutuskan Nabi Soleh.

     Kedua-dua nabi ini menyeru kepada kebenaran dan keimanan kepada Allah SWT. Allah menerangkan dalam surah Hud, ayat 50 yang bermaksud:

          "Kepada kaum 'Ad, Kami utuskan saudara mereka. Nabi Hud
          berkata, 'Wahai kaumku, sembahlah kamu kepada Allah.
          Sebenarnya tidak ada Tuhan lain selain daripada-Nya. Kamu
          hanya orang-orang yang mengada-adakan perkara yang dusta
          terhadap Allah.'."

Allah juga menerangkan dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud:

          "Kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka. Nabi
          Soleh berkata, 'Wahai kaumku, sembahlah kamu kepada
          Allah. Sebenarnya tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Dia
          yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta
          menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu, mintalah
          ampun kepada Allah daripada perbuatan syirik. Kemudian,
          kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya,
          Tuhanku sentiasa dekat lagi sentiasa memperkenankan
          permohonan hamba-Nya.'."

Kepada Nabi Soleh, memandangkan kaumnya bermegah sehingga mampu menebuk gunung untuk dijadikan rumah, lalu Allah SWT mengeluarkan unta daripada batu untuk mereka berasa kerdil. Allah menjelaskan dalam surah Hud, ayat 64 yang bermaksud:

          "Wahai kaumku, ini adalah unta betina daripada Allah untuk
          kamu sebagai tanda mukjizat yang membuktikan kebenaranku.
          Oleh itu, biarkan dia mencari makan di bumi Allah dan jangan
          kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya.
          Sekiranya kamu menyakitinya, kamu pasti ditimpa azab seksa
          yang dekat masa datangnya."


Mereka Mengingkari

Kaum 'Ad membalas seruan Hud dengan ejekan dan kejian. Allah menyatakan dalam surah Hud, ayat 53 hingga 54 yang bermaksud:

          "Wahai Hud, engkau tidak membawa kepada kami sebarang
          keterangan yang membuktikan kebenaranmu dan kami tidak
          meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab
          kata-katamu itu. Kami tidak sesekali percaya kepadamu. Kami
          hanya mampu berkata bahawa sesetengah daripada tuhan-
          tuhan kami mengenakanmu sesuatu penyakit gila disebabkan
          engkau selalu mencaci penyembahan kami."

Manakala, kaum Nabi Soleh pula bertindak membunuh unta yang menjadi bukti kebenaran Allah SWT. Allah menjelaskan dalam surah Hud, ayat 65 yang bermaksud:

          "Kemudian, mereka menyembelih unta itu. Lalu, berkatalah Nabi
          Soleh kepada mereka, bersenang-senanglah kamu di tempat
          masing-masing selama tiga hari. Tempoh yang demikian adalah
          satu janji yang tidak dapat didustakan."

Begitu ingkarnya mereka. Menolak pelawaan yang mengajak mereka kepada kebahagiaan yang hakiki. Mereka dikaburi ego yang tinggi.


Kebinasaan untuk Mereka dan Kemenangan untuk yang Mahu Membersihkan Diri

Allah SWT menurunkan azab-Nya kepada kaum 'Ad dan Thamud. Allah menyelamatkan Soleh dan Hud yang menjadi penumpang di atas bahtera keimanan, menuju kepada Allah SWT, syurga-Nya, dan redha-Nya.

     Allah menerangkan dalam surah Hud, ayat 58 hingga 60 yang bermaksud:

          "Apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud serta
          umatnya yang beriman. Kami selamatkan mereka daripada
          azab yang keras. Itu adalah peristiwa kaum 'Ad apabila
          mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka
          serta menderhaka kepada rasul-rasulnya. Mereka menurut
          perintah setiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam
          keingkarannya. Mereka ditimpa laknat yang tidak putus-putus
          di dunia ini dan para hari kiamat. Ketahuilah, Sesungguhnya
          kaum 'Ad sudah kufur ingkar kepada Tuhan. Sesungguhnya
          binasalah kaum 'Ad."

Allah menerangkan dalam surah Hud, ayat 66 hingga ayat 68 yang bermaksud:

          "Ketika datang azab Kami, Kami selamatkan Soleh serta
          umatnya yang beriman dengan rahmat daripada Kami. Kami
          selamatkan mereka daripada azab serta kehinaan hari itu.
          Sesungguhnya Tuhanmu, Dia yang maha kuat, lagi maha
          kuasa. Orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh letusan
          suara yang menggemparkan bumi. Lalu, menjadilah mereka
          mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
          Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka.
          Sesungguhnya binasalah kaum Thamud."

Tidakkah kita memerhati?


Kisah 4: Kaum Sadum

Kita perhatikan pula kaum Sadum yang diutuskan Lut. Mereka adalah kaum yang mengamalkan seks songsang dan Allah SWT menghantar Lut sebagai tanda kasih sayang-Nya. Ini supaya, kaum Sadum memperbaiki sikap mereka dan tunduk mentaati Allah SWT.

     Allah menerangkan dalam surah An-Naml, ayat 54 hingga 55 yang bermaksud:

          "Ingatlah kisah Lut ketika dia berkata kepada kaumnya,
          'Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedangkan
          kamu melihatnya. Mengapa kamu mendatangi laki-laki bagi
          memenuhi nafsumu, bukan wanita? Sebenarnya kamu adalah
          kaum yang tidak mengetahui akibat perbuatanmu.'."


Tetapi, Mereka Memilih untuk Ingkar

Tetapi, kaum Sadum ingkar dan tidak mahu kembali kepada kebenaran. Bahkan, berusaha menyakiti Lut dengan mengusir Lut keluar daripada tempat mereka. Allah menerangkan dalam surah An-Naml, ayat 56 yang bermaksud:

          "Tidak lain jawapan kaumnya adalah mengatakan, 'Usirlah Lut
          serta keluarganya dari negerimu kerana sesungguhnya mereka
          orang-orang yang menyatakan diri mereka bersih."

Allah menegaskan dalam surah Al-Ankabut, ayat 29 yang bermaksud:

          "Kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata secara
          mengejek-ejek, 'Datangkan kepada kami azab daripada Allah
          yang engkau janjikan itu, sekiranya engkau daripada orang-
          orang yang benar.' Nabi Lut berdoa dengan berkata, "Wahai
          Tuhanku, tolonglah aku terhadap kaum yang melakukan
          kerosakan.'."

Begitu degilnya kaum Sadum terhadap ajakan dan dakwah Lut.


Allah Menghantar Wakil-Nya

Allah SWT menghantar malaikat kepada Lut. Malaikat datang dengan rupa paras yang indah. Malaikat masuk ke rumah Lut. Apabila melihat keindahan malaikat ini dia menjadi gelisah. Ini kerana, takut kaumnya yang mengamalkan homoseksual mahu mengapa-apakan utusan Allah SWT ini. Allah menyatakan dalam surah Al-Ankabut, ayat 33 hingga ayat 34 yang bermaksud:

          "Ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, beliau
          berasa dukacita dengan kedatangan mereka dan tidak terdaya
          mengawal mereka daripada gangguan kaumnya. Selepas
          melihatkan halnya yang demikian, utusan-utusan itu berkata,
          'Janganlah engkau takut berdukacita, sesungguhnya kami akan
          menyelamatkanmu dan keluargamu serta pengikut-pengikutmu,
          kecuali isterimu. Dia adalah daripada orang-orang yang
          dibinasakan. Sesungguhnya kami diutuskan bagi menurunkan
          atas penduduk bandar ini azab daripada langit, disebabkan
          mereka melakukan kejahatan, kekufuran, dan maksiat.'."

Isteri Lut termasuk dalam kalangan yang menderhaka. Dia membocorkan rahsia perihal kedatangan dua orang lelaki tampan itu kepada kaum Sadum. Berusahalah mereka memecah masuk ke rumah Lut.

     Tidak lama selepas itu, Allah SWT menghapuskan kaum ini. Menyelamatkan Lut bersama pengikut dan keluarganya, kecuali isteri Lut. Allah SWT mengangkat bumi Sadum dan membalikkannya, lalu menghempasnya ke bumi. 

     Sehingga kini, kawasan kaum Sadum ini dikenali sebagai kawasan yang mempunyai paras paling rendah yang wujud di muka bumi.

          "Demi sesungguhnya, Kami binasakan bandar itu dan tinggalkan
          bekas-bekasnya sebagai satu tanda yang mendatangkan iktibar
          untuk orang-orang yang mahu memahaminya." Surah Al-
          Ankabut, ayat 35.

Itu adalah balasan pada mereka yang mengingkari-Nya. Manakala, Lut dan mereka yang percaya kepada-Nya, akhirnya berjaya.


Kisah 5: Abu Jahal

Dia bernama Amr Ibnu Hisham. Pada awalnya dia digelar oleh masyarakat Quraisy dengan gelaran Abu Al-Hakam, iaitu bapa kepada kebijaksanaan, kerana kebijaksanaannya dalam komuniti Quraisy. Namun, apabila dia kuat menentang ajaran yang dibawa oleh Rasulullah, dia digelar sebagai Abu Jahal. Bapa kepada orang-orang yang jahil.

     Abu Jahal adalah ketua musyrikin Makkah. Mereka menolak dan menganiaya Rasulullah SAW yang menyampaikan rahmat dan keampunan daripada Allah SWT.


Tindakan-Tindakan Abu Jahal

Abu Jahal adalah orang yang keras dalam menentang dakwah Islam. Diceritakan bahawa Abu Jahal pernah membaling perut unta yang penuh dengan isi yang busuk ke atas tengkuk Rasulullah SAW yang sedang sujud, tatkala baginda sedang solat di Masjidilharam.

     Abu Jahal juga terkenal dengan kisah keluarga Yasir. Abu Jahal adalah orang yang menyula Sumaiyyah sehingga perempuan itu menjadi wanita pertama syahid dalam Islam. Dia juga yang membunuh Yasir selepas itu.

     Abu Jahal juga melapah Khubaib Ibnu 'Adi secara hidup-hidup.

     Abu Jahal juga menyepak Asma binti Abu Bakar sehingga tercabut subang Asma. Asma tidak mahu memberikan maklumat berkenaan penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah.

     1001 kesakitan Abu Jahal melakukan kepada Rasulullah SAW dan umat Islam. Sedangkan Islam datang dengan lembut dan memberikan kemuliaan. Memberikan ruang pembersihan diri.

     Namun, Abu Jahal keras menolak. Bahkan, menentang dan memeranginya sepenuh hati.


Allah Menghina Abu Jahal

Abu Jahal adalah orang yang bersemangat menumbangkan umat Islam dalam peperangan Badar. Tetapi, seorang pahlawan dan ketua seperti Abu Jahal, nyata dihina oleh Allah SWT pada hari itu.

     Abdurrahman bin Auf melaporkan, "Ketika aku berada dalam pasukan semasa perang Badar, aku melihat ke kanan dan kiri, nyata ternampak dua orang anak daripada kaum Ansar yang masih muda. Aku berharap berada antara tulang rusuk keduanya."

     Seorang daripadanya mengerdipkan matanya kepadaku seraya berkata, "Wahai pakcik, apakah pakcik mengenal Abu Jahal?"

     Aku menjawab, "Ya, tetapi apa kepentinganmu dengannya wahai anak saudaraku?"

     Dia berkata, "Aku mendapat khabar bahawa dia menghina Rasulullah SAW. Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya aku melihatnya pasti tidak berpisah jasadku dengan jasadnya sehingga seorang daripada kami yang menemui ajal dahulu."

     Aku menjadi kagum dengan keberaniannya. Lalu, anak yang satunya lagi mengerdipkan matanya kepadaku, lalu berkata kepadaku seperti yang dikatakan saudaranya tadi.

     Tidak lama kemudian, aku melihat Abu Jahal bolak-balik di tengah-tengah pasukan, lalu kukatakan kepada dua orang anak tadi, "Orang itu yang kalian tanyakan kepadaku?"

     Kedua-duanya bersigap menyerbu dengan menghunus pedang masing-masing, lalu mereka menebas Abu Jahal sehingga tewas. Kemudian, mereka mendatangi Rasulullah SAW dan mengkhabarkannya.

     Baginda bertanya, "Siapakah antara kalian berdua yang membunuhnya?" Masing-masing menjawab, "Aku yang membunuhnya."

     Baginda bertanya lagi, "Adakah kalian sudah membersihkan pedang kalian?"

     Kedua-duanya menjawab, "Belum." Baginda melihat pedang kedua-duanya lalu berkata, "Sekiranya begitu, kalian berdua yang membunuhnya dan harta benda yang melekat pada tubuh musuh pada saat dibunuh adalah milik kalian. Kedua-dua anak itu adalah Muaz bin 'Afra dan Muaz bin Al Jamuh." Hadith ini dilaporkan oleh Bukhari.

     Abu Jahal bukan ditumbangkan oleh perwira gagah ataupun terbulang. Abu Jahal ditumbangkan oleh dua orang anak muda berumur belasan tahun.

     Abu Jahal yang selama ini gagah dan berani menentang Islam, tetapi pada hari Badar itu, Abu Jahal dihina oleh Allah SWT. Mati ditumbangkna oleh budak remaja. Mati dalam keadaan keingkaran kepada-Nya. Tidak ada tempat untuk Abu Jahal, melainkan neraka Allah SWT.


Pengakhiran untuk Mereka yang Tidak Menaiki Bahtera Keimanan

Mereka ini adalah beberapa contoh manusia yang memberikan peluang dan diajak bagi membersihkan diri, tetapi mereka menolak dengan penuh keangkuhan. Bahkan, mereka menentang dengan penuh kesungguhan. Lihat pengakhiran hidup mereka ini.

     Bagaimana pula dengan kita?

     Kita bagaimana?

     Tidakkah diri kita dan mereka mempunyai persamaan?

     Pernolakan kita kepada Islam. Keingkaran kita kepada Allah SWT. Dosa-dosa kita yang menggunung. Bukankah Allah SWT sudah memberikan peringatan kepada kita? Menghantar rasul-Nya, menghantar pemberi-pemberi nasihat, dan memberikan buku ini sebagai panduan?

     Adakah kita patut meneruskan dosa-dosa kita?

     Adakah kita ingin pengakhiran yang serupa berlaku kepada kita?

     Ambil pengajaran. Bangkitkan kesedaran. Allah menjelaskan dalam surah Ar-Rum, ayat 42 hingga ayat 45 yang bermaksud:

          "Mengembaralah kamu di muka bumi. Kemudian, lihat bagaimana
          kesudahan orang-orang terdahulu yang dibinasakan. Kebanyakan
          mereka adalah orang-orang musyrik. Hadapkan dirimu wahai
          Muhammad kepada agama yang betul. Sebelum datangnya
          daripada Allah hari yang tidak dapat ditolak. Pada hari itu, manusia
          berpecah kepada dua golongan. Sesiapa yang ingkar, dia sahaja yang
          menanggung bencana kekufurannya itu. Sesiapa yang beramal soleh
          dengan membuktikan imannya, mereka adalah orang-orang yang
          membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing.
          Allah membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan
          limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-
          orang yang kufur ingkar."

     Apa lagi yang kita tunggu?

     Lakukan perubahan. Bersegera ke arah keampunan-Nya.

          "Segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik bagi
          mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga
          yang bidangnya seluas segala langit dan bumi. Ini disediakan kepada
          orang-orang yang bertakwa." Maksud dalam surah Ali Imran,
          ayat 133.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment