Wednesday 15 February 2017

PERANG BADAR [ BAB 1 - MADINAH KOTA KASIH SAYANG ]






MADINAH KOTA KASIH SAYANG








Malam itu bulan mengambang penuh. Dada langit bersih tanpa diseliputi awan mendung. Angin padang pasir berpuput lembut menyejukkan orang ramai yang sedang berkumpul di halaman rumah al-Barra bin Ma'rur ketua kabilah Bani Khazraj. Kabilah Bani Aus pun turut hadir. Orang Yahudi Bani Qainuqa, Bani Nadhir dan Bani Quraizah turut hadir dengan diwakili ketua masing-masing. Selepas memastikan semua jemputan hadir, al-Barra pun berucap.

     "Wahai sekalian penduduk Madinah, malam ini adalah malam paling bersejarah kerana inilah kali pertama semenjak beratus tahun dahulu kita berkumpul bagaikan satu keluarnya. Selepas berkurun lamanya Bani Aus dan Bani Khazraj bermusuhan dan berperang, sekarang kita berjaya didamaikan oleh Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad," kata al-Barra dengan suara yang bergetar kerana berasa terharu yang amat sangat.

     Kemudian dia menyambung ucapannya, "Wahai saudara kami orang Muhajirin, semenjak kalian berhijrah ke sini, kehidupan kami menjadi lebih aman dan tenteram. Kalian menjadi jambatan penghubung perpaduan antara kaum Aus, Khazraj dan orang Yahudi. Sesungguhnya kedatangan kalian membawa rahmat kepada kami."

     "Siang tadi saya dimaklumkan oleh Mush'ab bin Umair, lelaki yang diberikan kepercayaan oleh Nabi Muhammad bagi mengajar Quran kepada kita, membawa khabar gembira dengan mengatakan Nabi Muhammad sudah meninggalkan Kota Mekah dan berhijrah ke Madinah, kerana itu saya mengajak kamu berkumpul di sini pada malam ini."

     Kemudian al-Barra mengimbas semula detik pertemuan antara penduduk Madinah dan Nabi Muhammad hingga membawa kepada penghijrahan Rasulullah.

     Menurut al-Barra, pada suatu hari dia bersama rombongan dari Madinah datang ke Mekah bagi mengerjakan ibadat haji. Nabi Muhammad bersama Abu Bakar as-Siddiq datang menemui mereka lalu membacakan ayat-ayat Quran hingga al-Barra dan orang Madinah yang lainnya terpesona mendengarnya.

     Lalu al-Barra pun berkata, "Orang Yahudi selalu berkata, dalam kitab mereka ada mengatakan akan diutus seorang nabi. Saya yakin inilah nabi yang dimaksudkan itu. Lebih baik kita ikut nabi itu sebelum kaum yang lain mendahului kita."

     Mereka beramai-ramai mengaku menjadi pengikut Nabi Muhammad.

     "Kami sering bermusuhan. Semoga ajaran Islam dapat menyatukan kami. Kami akan sampaikan seruan ini kepada saudara-saudara kami di Madinah. Sekiranya mereka menerimanya, tuan akan menjadi pemimpin yang agung," kata al-Barra.

     Tidak lama kemudian sekali lagi al-Barra dan rombongan dari Madinah pergi ke Mekah lalu bertemu dengan Nabi Muhammad di Baitul Aqabah. Mereka berjanji tidak menyekutukan Allah dan mengaku Muhammad itu Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, penduduk Madinah memerlukan seorang pemimpin yang dapat menyatukan kami. Tuanlah orang yang paling layak. Datanglah ke negeri kami dan pimpinlah kami," rayu al-Barra.

     Rasulullah bersetuju dengan permintaan mereka. Beliau menyuruh sahabat-sahabatnya berhijrah ke Madinah. Tetapi mereka melakukannya dengan senyap supaya tidak dihalang oleh orang Quraisy. Kemudian barulah giliran Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah.

     "Saya yakin Nabi Muhammad sahaja yang dapat menyatukan kita semua. Marilah kita sama-sama menyambut kedatangan beliau sebagai tanda penduduk Madinah mengalu-alukan kedatangannya," kata al-Barra.

     Kemudian bangun pula al-Makdad, ketua Bani Aus lalu berucap, "Memang benar seperti kata al-Barra. Permusuhan antara kaum Aus dan Khazraj sudah begitu lama dan sering terjadi peperangan antara kami. Kalah dan menang antara kami silih berganti. Beberapa tahun yang lalu terjadi Perang Bu'ats yang mana tidak ada yang kalah dan tidak ada yang menang. Sejak dari itu kami mula sedar peperangan yang terjadi itu adalah sia-sia.

     Apabila saya pergi ke Mekah, saya tertarik dengan seorang lelaki bernama Muhammad. Beliau menyeru orang ramai berbuat baik dan hidup dalam aman damai. Selama ini kenalan kami daripada orang Yahudi selalu mengatakan akan muncul seorang nabi baharu membawa risalah Tuhan. Saya yakin Muhammad itu nabi baharu yang dimaksudkan. Kami membuat pertemuan secara rahsia dengannya. Kemudian kami buat perjanjian dengan beliau bagi melindungi beliau dan pengikutnya seperti melindungi keluarga kita sendiri. Sejak itu semakin hari semakin ramai orang Quraisy yang menjadi pengikut Nabi Muhammad, berhijrah ke Madinah.

     Jadi apabila saya dimaklumkan perkara itu, saya orang yang paling gembira sekali. Saya bersetuju bertemu di sini. Semua lelaki Bani Aus yang menjadi pengikut Muhammad turut berkumpul pada malam ini. Kami tidak membawa senjata sebagai bukti kedatangan kami bukan mahu berperang, walaupun ditakdirkan pada malam ini berlaku perbalahan antara kita," kata al-Makdad dengan panjang lebar.

     "Kami juga suka hidup aman damai bagi membolehkan kami berniaga, kerana itu kami tidak membantah kedatangan orang Quraisy. Tambahan pula mereka tidak pernah mencuri harta kami. Kami juga bersetuju dan berasa gembira apabila mendapat tahu Muhammad juga mahu berpindah ke sini," kata Judan yang mewakili orang Yahudi di Madinah. Ketua mereka Abdullah bin Ubai tidak dapat datang lalu diwakili oleh Judan.

     Kemudian bangun pula Abdul Rahman bin Auf mewakili orang Muhajirin lalu berkata, "Bersyukur kepada Tuhan yang menyatukan hati-hati kita. Nabi Muhammad mengajar kami supaya jangan mencuri, jangan membunuh, jangan memakan bangkai serta menghormati hak jiran tetangga. Beliau menyeru kami supaya berdamai dengan semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Apabila Nabi Muhammad tiba di sini, kehidupan kita lebih bahagia kerana beliau memimpin kita ke jalan yang benar. Semasa kami mendapat khabar beliau meninggalkan Kota Mekah bagi berhijrah, kami berhak berasa gembira."

     "Wahai saudaraku kaum Ansar dan Muhajirin. Walaupun kami tidak menjadi pengikut Muhammad, namun kami gembira dengan kedatangannya kerana beliau membawa perdamaian. Beliau juga tidak memaksa kami menganut agamanya. Seperti juga orang Yahudi yang diberi kebebasan menganut agama mereka. Khabarnya penduduk Mekah yang memusuhi Muhammad keluar beramai-ramai bagi menghalangnya. Hadiah lumayan ditawarkan bagi sesiapa yang dapat menangkap Muhammad sama ada hidup ataupun mati. Saya bimbang, bagaimana sekiranya Muhammad berjaya ditangkap oleh mereka yang memusuhinya? Sia-sia sahaja penantian kita," kata Qahlali penduduk Madinah yang bukan menjadi pengikut Nabi Muhammad.

     "Tersebut di dalam kitab Taurat, setiap nabi yang diutus Tuhan dikurniakan mukjizat. Beliau juga sentiasa dilindungi Tuhan. Sekiranya benar Muhammad itu seorang utusan Tuhan maka keselamatannya tidak perlu kita risaukan kerana beliau sentiasa dilindungi Tuhan," kata Judan.

     "Benar sekali kata-katanya itu," kata Mus'ab. "Nabi Muhammad itu dikurniakan mukjizat. Kami sendiri menyaksikannya. Itu bukti memang benr Muhammad itu seorang rasul."

     "Baiklah, saya hendak bertanya. Apa perancangan kamu bagi menyambut kedatangan nabi kamu?" tanya Judan.

     "Saya mencadangkan kita membentuk sebuah pasukan bagi keluar dari Madinah bagi melindungi Rasulullah," cadang Umar al-Khattab. 
    
     "Saya setuju tetapi jumlahnya tidak perlu ramai, cukup 20 orang sahaja bagi mengelakkan disangka angkatan perang oleh orang Quraisy Mekah. Lagipun kita belum bersedia hendak berperang dengan mereka," kata al-Barra.

     "Saya setuju," sokong Abdul Rahman bin Auf.

     "Sebagai menyatakan rasa kesyukuran dan kegembiraan, saya mencadangkan kita keluar beramai-ramai menyambut kedatangan Nabi Muhammad." Al-Makdad pula mencadangkan.

     "Saya setuju," sokong al-Barra.

     "Saya akan suruh anak-anak gadis kami menyanyi. Anak-anak muda pula memukul gendang," kata Qahlali pula.

     "Kami mahu menyediakan buah-buahan bagi dihidangkan pada Muhammad dan para pengirinya," kata Judan pula.

     Kaum Muhajirin dan Ansar berasa gembira kerana semua penduduk Madinah termasuk orang Yahudi dan mereka yang belum memeluk Islam mengalu-alukan kedatangan Nabi Muhammad. Keesokan harinya seperti yang dirancang, Umar al-Khattab mengetuai 20 orang lelaki yang ditugaskan menyongsong kedatangan Nabi Muhammad dan menjaga keselamatannya. Orang ramai pula berkumpul di pintu gerbang kota Madinah bagi menyambut kedatangan tetamu istimewa mereka. Apabila matahari tegak di atas kepala, mereka mula keresahan akibat cuaca yang sangat panas.

     "Matahari sudah tegak di atas kepala. Cuaca sangat panas. Mari kita pulang dahulu. Petang nanti apabila cuaca sudah redup kita berkumpul semula di sini," kata al-Barra.

     "Saya tidak akan berganjak dari sini hingga Nabi Muhammad muncul," kata seorang lelaki yang seolah-olah tidak sabar hendak bertemu dengan pesuruh Allah itu.

     "Jangan membahayakan dirimu. Nabi Muhammad tentu mahu kita bertemu dengannya dalam keadaan sihat dan bertenaga. Sekiranya kamu terus berjemur di sini pasti mati kekeringan," marah al-Barra.

     "Saya juga sayang kepada Nabi Muhammad. Saya juga tidak sabar mahu melihat wajahnya. Tetapi kita perlu fikirkan juga keselamatan diri kita. Tambahan pula kita belum tahu bila dia akan sampai. Mungkin hari ini, mungkin esok ataupun mungkin juga minggu hadapan. Gila namanya sekiranya kamu terus menunggu di sini," marah al-Makdad pula.

     Akhirnya lelaki itu mengalah lalu pulang ke rumahnya. Petang itu apabila cuaca redup, orang ramai berkumpul lagi menunggu kedatangan Nabi Muhammad. Mereka seperti tidak sabar lagi mahu bertemu dengan orang yang mereka sayangi.

     "Matahari sudah terbenam. Sebentar lagi akan masuk waktu sembahyang maghrib. Marilah kita pulang ke rumah masing-masing," kata al-Makdad.

     "Pagi esok sebelum matahari terbit kita berkumpul semula di sini," kata al-Barra pula.

     Orang ramai akur dengan perintah ketua mereka. Mereka pun bersurai lalu pulang ke rumah masing-masing. Keesokan harinya seperti yang dijanjikan orang ramai berkumpul di kawasan pintu masuk kota Madinah. Jumlah mereka bertambah ramai.

     "Wahai ibuku, orang ramai berpakaian baharu dan wajah mereka nampak gembira seolah-olah sedang menyambut pesta," kata Baraa' bin Azib, budak lelaki kepada ibunya.

     "Semua penduduk Madinah gembira menyambut kedatangan pesuruh Tuhan yang membawa keamanan kepada kita. Semoga selepas ini tidak ada lagi pertumpahan darah sesama kita, kerana itu kita patut gembira dengan kedatangannya," kata si ibu sambil memujuk anaknya bersama menunggu.

     Mereka terus menunggu sampai tengah hari. Apabila cuaca panas mereka pulang ke rumah masing-masing dan apabila cuaca redup mereka berkumpul semula. Begitu yang mereka lakukan setiap hari. Pada suatu petang dari kejauhan seorang lelaki sedang menunggang kuda memecut laju menuju ke kota Madinah. 

     "Mungkinkah lelaki itu Muhammad?" tanya al-Barra dengan wajah yang gembira.

     "Itu bukan Nabi Muhammad. Mungkin dia seorang pembawa berita," jawab al-Makdad selepas dia mengamati lelaki itu.

     Sebaik sahaja lelaki itu sampai, orang ramai bertanya adakah di membawa berita tentang Muhammad?

     "Wahai penduduk Madinah, ketahuilah Muhammad bersama Abu Bakar as-Siddiq selamat sampai di perkampungan Bani Amer bin Auf. Saya diutuskan bagi memaklumkan berita yang menggembirakan itu kepada penduduk Madinah," kata lelaki itu.

     "Mengapa Muhammad singgah di perkampungan Bani Amer? Mengapa beliau tidak terus datang ke sini?" tanya Judan seolah-olah tidak berpuas hati.

     "Sesungguhnya Muhammad itu seorang rasul. Apa yang dilakukannya adalah dengan perintah Allah. Saya yakin dia singgah di perkampungan Bani Amer juga dengan kehendak Tuhannya juga," kata Abdul Rahman bin Auf pula.

     "Nabi Muhammad singgah di perkampungan Bani Amer bagi menunggu ketibaan ahli keluarganya yang terpaksa berhijrah kemudian daripadanya. Perjalanan mereka dipandu oleh Ali bin Abu Talib. Selepas bertemu dengan keluarganya nanti saya yakin barulah Nabi Muhammad masuk ke kota Madinah," kata lelaki itu.

     "Bagaimana sekiranya kita beramai-ramai pergi ke perkampungan Bani Amer, kemudian membawa Nabi Muhammad dan keluarganya ke kota Madinah?" tanya al-Makdad pula.

     "Sebaik-baiknya kita terus berada di kota Madinah. Kita terus berkumpul di sini menunggu kedatangannya. Apabila beliau tahu kita sudah menunggu tentu beliau segera datang," kata al-Barra pula.

     "Di mana Umar al-Khattab dan pasukannya?" tanya Qahlali pula.

     Mereka berada di perkampungan Bani Amer bagi mengawal keselamatan Rasulullah," jawab lelaki itu. Kemudian meminta diri pulang semula ke perkampungannya.

     Penduduk perkampungan Bani Amer berasa gembira menyambut kedatangan Nabi Muhammad. Mereka memohon supaya beliau terus menetap di situ. Namun pelawaan itu ditolak dengan baik oleh Nabi Muhammad dengan mengatakan beliau diperintahkan berhijrah ke Madinah.

     Nabi Muhammad berada di perkampungan Bani Amer selama 14 hari dan beliau sempat mengajak orang ramai bergotong-royong membangunkan Masjid Quba. Itu adalah masjid pertama yang didirikan dalam Islam. Kemudian baru Nabi Muhamamd dan rombongannya bertolak ke Kota Madinah.

     Pada hari keberangkatan Nabi Muhamad ke kota Madinah, penduduk perkampungan Bani Amer keluar beramai-ramai mengiringi perjalanan beliau hingga sampai di pinggir kota Madinah.

     Pagi itu 12 Rabiul Awal tahun ke-13 Nabi Muhammad menjadi Rasul, penduduk kota Madinah berkumpul di pintu gerbang kota Madinah bagi menyambut kedatangan Nabi Muhammad. Mereka berpakaian serba baharu. Kaum wanita pula membawa bunga dan memakai harum-haruman. Suasana ketika itu seperti sedang menyambut hari raya. Mereka menumpukan pemandangan ke arah padang pasir yang luas terbentang bagi melihat kemunculan Nabi Muhammad.

     "Ibu, tidak ada hari yang lebih meriah berbanding hari ini. Lihatlah orang ramai berpakaian serba baharu dengan wajah yang gembira," kata Anas bin Malik al-Ansari.

     "Muhammad dan agama Islam yang dibawanya berjaya menyatukan penduduk Madinah. Semua menganggap Muhammad itu raja segala raja. Semua berasa gembira menyambut kedatangannya," kata ibunya pula.

     Ketika panas mula memijar dan orang ramai mula keresahan akibat cuaca yang mula membahang, tiba-tiba seorang lelaki Yahudi yang sedang duduk di atas bumbung rumahnya berteriak dengan suara yang nyaring.

     "Bani Qailah, orang yang kamu tunggu sudah tiba. Itu adalah Muhammad yang ditunggu-tunggu!" 

     Teriakan itu mengejutkan orang ramai. Mereka yang sudah pulang ke rumah segera keluar semual berkumpul di tempat yang ditetapkan. Mereka menumpukan pandangan dari kejauhan dengan perasaan yang berdebar dan gembira. Debu-debu halus berterbangan ke udara menandakan ada kafilah yang sedang melaluinya. Orang ramai bersorak keriangan. Orang Yahudi dan mereka yang belum menjadi pengikut Nabi Muhammad pun menyanyi dan menari. Orang Islam pula bertakbir dan bertahmid sebagai menyatakan rasa kesyukuran.

     Rombongan yang mengiringi Nabi Muhammad didahului Mus'ab bin Umair dan Ibnu Ummi Maktum. Kemudian diikuti Umar al-Khattab dan anggota pasukannya seramai 20 orang yang membawa senjata. Kemudian barulah kelihatan Nabi Muhammad yang berjalan diiringi Abu Bakar as-Siddiq.

     "Utusan Allah sudah datang!" teriak orang ramai.

     Ruang angkasa kota Madinah bergema dengan suara takbir daripada orang Islam dan tempik sorak kegembiraan daripada mereka yang bukan beragama Islam. Semuanya bergembira menyambut kedatangan Rasulullah. Seorang penyair berdiri di atas bumbung sebuah rumah lalu membacakan syairnya.

     Lelaki yang mulia itu berada di tengah kaum Quraisy
     Berpuluh tahun lamanya musim haji silih berganti
     Dia menawarkan diri kepada jemaah haji
     Namun tidak seorang pun sudi mendampinginya
     Tatkala dia datang menemui kami di Thaibah
     Dia kelihatan senang hati dan rela
     Sekarang dia berhijrah ke Madinah
     Dia tidak bimbang lagi perlakuan mereka yang aniaya
     Dia tidak khuatir lagi perlakuan mereka yang menderhaka
     Kami korbankan seluruh harta yang ada
     Jiwa dan raga, bersamanya pada saat susah dan senang
     Ketika perang ataupun damai
     Kami musuhi mereka yang memusuhinya
     Sekalipun mereka itu teman tercinta nan setia
     Kami yakin Allah yang tiada Tuhan, selain Dia
     Dan kami yakini kitab Allah
     Penuntun semua manusia...

Kemudian Judan menyuruh anak-anak gadis Yahudi menari dan menyanyi. Pada waktu yang sama pengikut Nabi Muhammad terus bertakbir dan bertahmid. Dalam suasana yang riuh-rendah itu kaum wanita berebut-rebut mahu melihat wajah Rasulullah. Ada antara mereka sanggup berdiri di atas bumbung rumah. Ketika itu Nabi Muhammad sedang berjalan beriringan dengan Abu Bakar as-Siddiq. Oleh kerana mereka belum pernah melihat Rasulullah lalu bertanya, "Antara dua lelaki yang tampan itu mana satu Muhammad?"

     Pertanyaan wanita itu tenggelam dalam suara riuh-rendah orang ramai. Mereka meneka-neka sendiri bahawa lelaki yang paling bersih wajahnya dan hebat orangnya itu adalah Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, singgahlah di rumah kami," teriak satu suara.

     "Alangkah gembiranya hati kami sekiranya tuan sudi bermalam di rumah kami," balas suara yang lain pula.

     "Singgahlah di rumah kami. Tuan pasti dilayan sebagai tetamu istimewa," balas yang lain pula.

     Nabi Muhammad menolak pelawaan itu dengan baik sambil berkata biarkan unta yang ditunggangnya berjalan sendiri. Di mana unta itu berhenti maka di situ beliau akan singgah. Semasa unta yang dinaiki Nabi Muhammad itu sampai di kediaman Bani Najjar kelihatan anak-anak gadis menyanyi sambil memukul gendang.

     "Kami anak-anak gadis dari Bani Najjar. Kami berharap Muhammad menjadi tetangga kami."

     Unta itu terus berjalan dan akhirnya berhenti di Mirbad, di atas tanah milik anak yatim bernama As'ad bin Zaharah. Kawasan itu digunakan bagi menjemur buah kurma kering. Nabi Muhammad pun turun dari unta yang ditunggangnya. Kemudian beliau dan orang ramai yang mengiringinya dihidangkan dengan air dan buah-buahan. Rasulullah berdoa sebelum memakannya.

     "Ya Allah berkatilah kami di kota ini, berkatilah buah-buahan kami dan bahan makanan kami, berkat atas berkat. Ya Allah sesungguhnya Ibrahim adalah hambaMu, nabiMu dan KekasihMu, sesungguhnya aku pun hambaMu dan nabiMu, sekiranya Ibrahim meminta kehadiranMu demi kebaikan Mekah, maka aku pinta kehadiranmu demi kebaikan Madinah."
   
     Kemudian Nabi Muhamamd mengambil buah itu lalu diberikannya kepada kanak-kanak yang paling hampir dengannya. Selepas kanak-kanak itu kenyang barulah beliau memakannya.

     "Wahai Rasulullah, kami berhijrah dari Mekah ke Madinah bukan mahu mencari harta kekayaan ataupun mahukan hidup mewah. Kami berhijrah kerana mencari keredhaan Allah," kata orang Muhajirin.

     "Wahai Rasulullah, kami menyambut kedatangan tuan ke negeri kami bukan mahu mendapat keuntungan dunia daripada tuan. Tetapi kami menyambut tuan kerana berasa syukur dengan nikmat Allah," kata orang Ansar pula.

     Perpaduan yang wujud antara kaum Muhajirin dan Ansar menggembirakan semua. Bani Aus dan Bani Khazraj dapat melupakan pemusuhan mereka yang sudah terjadi sekian lama. Orang Yahudi pula berasa gembira apabila melihat penduduk Madinah bersatu dan tidak lagi berperang sesama sendiri.

     Buat sementara waktu, Nabi Muhammad menjadi tetamu di rumah Ayyub al-Ansari. Tindakan pertama yang dilakukan Rasulullah apabila berada di Madinah adalah mendirikan sebuah masjid. Beliau sendiri yang memilih tempatnya iaitu di Mirbad, di atas tanah milik anak yatim bernama As'ad bin Zaharah. Di situ juga tempat berhentinya unta yang ditunggang Rasulullah semasa mula-mula sampai ke Madinah. Walaupun anak yatim itu mahu memberi tanah itu secara percuma bagi didirikan masjid namun Rasulullah membelinya dengan harga yang berpatutan.

     Mereka bergotong-royong mendirikan masjid. Mula-mula mereka menerbang pokok-pokok kurma yang tumbuh meliar di kawasan itu. Kemudian mereka membersihkannya serta membongkar kubur lama yang terdapat di kawasan itu. Selepas itu barulah didirikan sebuah masjid yang arah kiblatnya ke Masjidil Aqsa. Panjang masjid itu 100 hasta dan lebarnya juga 100 hasta. Lantainya pula digali tanahnya sedalam tiga hasta kemudian dipasang dengan batu bata. Kemudian ditabur pasir dan dialas dengan daun-daun kurma kering. Tiangnya daripada pokok kurma dan atapnya juga daripada pelepah dan daun kurma.

     Sambil bekerja mereka menyanyi beramai-ramai, "Ya Allah, tiada kehidupan yang sebenar melainkan kehidupan akhirat. Maka ampunilah kami kaum Ansar dan Muhajirin."

     Akhirnya berdirilah sebuah masjid lalu dinamakan Masjid Nabi. Di situ mereka bersembahyang berjemaah. Di situ juga Nabi Muhammad bermesyuarat dengan para sahabatnya. Apabila masuk waktu sembahyang, timbul masalah bagaimana hendak memberitahu orang ramai.

     Ada cadangan menggunakan trompet bagi memanggil orang ramai datang sembahyang berjemaah di masjid namun cara itu dibantah kerana meniru cara orang Yahudi. Cadangan membunyikan loceng itu pun tidak dipersetujui.

     Akhrinya datang Abdullah bin Zaid bin Tsa'labah lalu berkata, "Wahai Rasulullah, malam tadi saya bermimpi seorang lelaki berjalan mengelilingi saya. Dia memakai pakaian berwarna hijau dan membawa sebuah loceng. Saya bertanya, apakah loceng itu hendak dijual? Lelaki itu bertanya pula. Awak hendak gunakan ia untuk apa? Mahu memanggil orang ramai sembahyang berjemaah, jawab saya. Lelaki itu bertanya lagi. Mahukah saya tunjukkan cara yang lebih baik? Lalu lelaki itu mengajar saya begini. Allahu Akbar Allahu Akbar, Asyhadu an la ilaha illallah, Asyhadu anna Muhamadar Rasulullah, Haiya alas Solah, Haiya alal Falah, Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah."

     Rasulullah pun berkata, "Itu mimpi yang benar. Datangi Bilal, beritahu hal itu dan suruh dia mengumandangkan azan dengan kalimat-kalimat itu kerana suaranya lebih nyaring daripada suaramu."

     Apabila Umar bin al-Khattab mendengar suara azan daripada Bilal, beliau segera menemui Rasulullah lalu berkata, "Wahai Rasulullah, malam tadi saya bermimpi seperti yang saya dengar itu."

     Nabi Muhamamd mengucapkan alhamdulillah. Sejak itu Bilal menjadi muazin di Masjid Nabi. Apabila azan sembahyang subuh, Bilal menambah kalimah As solatu khairum Minan naum sebanyak dua kali dan Nabi Muhammad membenarkannya. Sejak itu berkumandanglah suara Bilal setiap kali masuknya waktu sembahyang. Masjid itu akhirnya berjaya menyatukan umat Islam di Madinah.

     Tindakan kedua yang dilakukan Rasulullah adalah mempersaudarakan 45 orang Muhajirin dengan 45 orang Ansar. Majlis persaudaraan itu diadakan di rumah Anas bin Malik. Beliau menyatakan tujuan persaudaraan itu antaranya mewujudkan rasa persaudaraan dan kekeluargaan antara orang Ansar dengan Muhajirin. Dengan adanya persaudaraan itu orang Muhajirin tidak berasa terasing apabila berada di Madinah. Mereka menyambut baik usaha Rasulullah itu. Abdul Rahman bin Auf dipersaudarakan dengan Sa'ad bin Al Rabi', Umar al-khattab dengan Utbah bin Malik, Abu Bakar as-Siddiq dengan Khatijah, dan Hamzah dengan Zaid. Begitulah seterusnya.

     Ternyata tindakan Rasulullah mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar itu menggembirakan mereka. Kedua-dua pihak rela dan gembira menerima saudara masing-masing.

     "Wahai Rasulullah, kami mempunyai kebun kurma yang luas dan banyak hasilnya. Kami rela memberikan sebahagian daripada milik kami itu untuk saudara-saudara kami kaum Muhajirin," kata al-Barra yang mewakili orang Ansar.

     "Tidak perlu berbuat begitu. Cukuplah sekiranya kamu beri kami menjaga dan membaja kebun kurma itu. Hasilnya akan dibahagi dua."

     Cadangan itu disambut baik oleh orang Ansar. Mereka memberikan sebahagian daripada kebun kurma milik mereka kepada saudara baharu mereka bagi dijaga dan dituai hasilnya, kemudian dibahagi dua.

     "Saya ini orang Ansar yang paling kaya dan banyak harta. Harta saya itu akan dibahagi dua. Satu bahagian untuk awak dan satu bahagian untuk saya. Saya juga mempunyai dua orang isteri. Lihat dan perhatikanlah mana yang berkenan dalam hati awak. Kemudian sebutkan namanya dan saya akan ceraikan dia. Selepas habis idahnya dia akan menjadi isteri awak," kata Sa'ad kepada saudara baharunya Abdul Rahman bin Auf.

     "Semoga Allah melimpahkan keberkatan atas keluarga dan kekayaan awak. Saya belum berhajat kepada harta dan isteri awak. Tunjukkan saya di mana pasar," kata Abdul Rahman bin Auf.

     Sa'ad membawa Abdul Rahman bin Auf ke pasar Bani Qainuqa yang dikuasai perniaga Yahudi. Kemudian disuruhnya Sa'ad pulang ke rumah sedangkan dia sendiri berjanji mahu pulang pada petang nanti. Apabila pulang ke rumah Sa'ad, Abdul Rahman bin Auf membawa sekampit gandum dan minyak sapi.

     "Bagaimana awak memperolehnya sedangkan awak tidak mempunyai duit bagi membelinya?" tanya Sa'ad hairan.

     "Saya seorang peniaga. Pasar adalah dunia saya," jawab Abdul Rahman bin Auf.

     Keesokan harinya Abdul Rahman pergi semula ke pasar dan apabila pulang dia membawa barang-barang bagi keperluan keluarga Sa'ad. Begitu juga dilakukannya setiap hari sehingga keluarga Sa'ad berasa bertambah kaya. Beberapa hari kemudian beliau berjumpa Rasulullah dengan memakai pakaian yang baharu.

     "Apakah kamu sudah mempunyai sumber pendapatan?" tanya Rasulullah.

     "Sudah, Rasulullah. Saya sudah berkahwin," jawab Abdul Rahman bin Auf.

     "Berapa mas kahwin yang kamu berikan kepada isterimu?" tanya Rasulullah.

     "Sebutir emas," jawab Abdul Rahman bin Auf.

     Kemudian Nabi Muhammad membuat piagam Madinah. Antara kandungannya

  •  Penduduk Madinah hidup aman damai dan tidak boleh lagi bersengketa.
  • Orang Islam sendiri akan menghukum sekiranya keluarganya berbuat salah, zalim dan sebagainya. Kemudian mereka bersama melaksanakan hukuman itu walau pada keluarga sendiri.
  • Orang bukan Islam Madinah berhak melindungi harta mereka tetapi sekiranya mereka melakukan kesalahan, mereka tidak menghalang kaum Muslimin bertindak balas ke atas mereka.
  • Orang Islam dan bukan Islam tidak boleh melindungi pesalah.
  • Orang Yahudi dan Islam bersama membiayai perang.
  • Penduduk Madinah bersatu menentang musuh yang menyerang Madinah.


Semenjak terikatnya tali persaudaraan itu, orang Ansar dan Muhajirin hidup dalam sebuah keluarga. Semenjak termeterainya piagam Madinah itu, penduduk Madinah yang bukan beragama Islam hidup bersama di bawah payung Islam dan bernaung di bawah pimpinan Nabi Muhammad. Kota Madinah menjadi kota kasih sayang.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.




No comments:

Post a Comment