Wednesday 1 February 2017

AL-KHANSAA' RELA ANAK-ANAKNYA SYAHID






AL-KHANSAA' RELA ANAK-ANAKNYA SYAHID








"Al-Khansaa' berpuisi pada putera-puteranya:
'Wahai putera-puteraku,
Jika kamu bangun esok pagi
Keluarlah memerangi musuh-musuh Allah
Dan keranaNya kamu akan mendapat
kemenangan.'
Tidak diratapinya putera-puteranya yang gugur
Tidak disesalinya putera-puteranya yang syahid."




Amat sukar kita temui seorang manusia yang mempunyai banyak sifat-sifat mulia di dalam diri mereka seperti yang terdapat pada diri Al-Khansaa'. Al-Khansaa' adalah seorang wanita yang berbudi pekerti mulia, cerdas, amanah, ikhlas dan mempunyai semangat perjuangan yang tinggi. Semua sifat terpuji ini terpahat pada dirinya dan menjadi manifestasi di dalam kehidupan Al-Khansaa'. Di samping itu juga, Al-Khansaa' ini adalah seorang penyair yang berbakat.

     Al-Khansaa' binti Amru Al-Haris bin As-Syarid lahir di zaman jahiliah daripada keturunan kabilah Arab yang mulia dan terbilang iaitu Mudhar. Kabilah Mudhar ini dianggap sebagai benteng pertahanan kepada kabilah-kabilah Arab yang lain. Maka tidak hairan jika sifat-sifat keberanian dan kegagahan ini diwarisi oleh Al-Khansaa'.

     Al-Khansaa' bermaksud si Pesek. Beliau diberi gelaran itu kerana hidungnya tidak mancung. Namun beliau sentiasa menjadi perhatian para pejuang Arab di zamannya. Al-Khansaa' berkahwin dengan Rawahah bin Abdul Aziz As-Sulaimi dan dikurniakan empat orang putera. Semua putera Al-Khansaa' menjadi kebanggaan kabilahnya dan selepas kedatangan Islam mereka menjadi mahsyur di kalangan orang Arab ketika itu.

     Al-Khansaa' bukan saja seorang penyair yang terkenal malah beliau juga adalah seorang sahabat yang mulia. Beliau dan semua kaumnya dari suku Bani Sulaim telah datang kepada Rasulullah dan menyatakan keimanan baginda kepada mereka. Rasulullah sungguh terharu dengan syair-syair ciptaan Al-Khansaa' berunsur sanjungan jasa kepada pejuang-pejuang yang mati syahid. Semua penyair-penyair seangkatannya sepakat mengatakan bahawa tiada syair selembut syair Al-Khansaa', malah Al-Khansaa' juga telah mengatasi kaum lelaki di dalam arena syair ini.

     Pernah seorang sahabat bernama Adiy bin Hatim datang kepada Rasulullah dan menyatakan bahawa tiada seorang pun yang lebih pintar bersyair melainkan Umru'ul Qais bin Hujr, tiada seorang yang lebih murah hati melainkan Hatim bin Sa'ad Ath-Tha'l ayahandanya sendiri dan tiada yang lebih tangkas menunggang kuda melainkan Amru bin Ma'dikadriba. Kemudian Rasulullah menjawab, "Apa yang kau katakan itu tidak benar, wahai Adiy! Orang yang paling bijak bersyair ialah Al-Khansaa' binti Amru, orang yang paling murah hati ialah Muhammad, yakni diriku sendiri dan orang yang paling tangkas menunggang kuda ialah Ali bin Abu Talib."

     Begitu hebat Al-Khansaa' di dalam syair-syairnya, begitu juga hebatnya beliau ketika berada di bawah naungan Islam. Beliau telah meninggalkan satu sejarah yang amat berkesan kepada setiap jiwa muslimah sejati. Ibu mu'minah yang berani ini bukan saja menjadi ibu kepada satu pejuang yang syahid, malah menjadi ibu kepada empat pejuang yang syahid. Begitu besar peranan yang dimainkan oleh Al-Khansaa' sehingga sejarahnya dikenang sehingga ke hari ini. Beliau telah memupuk semangat juang ke dalam diri setiap puteranya agar mereka tidak gentar untuk berjihad melawan musuh.

     Al-Khansaa' pernah berkata kepada putera-puteranya: "Wahai anak-anakku! Kamu telah memeluk Islam dengan hati yang rela. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Beliau, sesungguhnya kamu sekalian putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Kamu telah maklum tentang apa yang telah disediakan oleh Allah kepada kaum Muslimin dari pahala yang besar di dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah, bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa. Perhatikan firman Allah dalam surah Ali Imran yang maksud:

     "Wahai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan sempurnakanlah
     kesabaran itu dan teguhkanlah kedudukan kamu dan patuhlah
     kepada Allah. Semoga kamu menjadi orang-orang yang berjaya."
     (Ali 'Imran: 200)

"Nanti, jika kamu bangun pagi esok, isyaAllah, dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk memerangi musuh-musuh kamu dengan hati-hati dan kerana Allah kamu menghadapi musuh-musuhNya dengan mendapat kemenangan. Semoga kamu akan berjaya mendapat balasan kemuliaanNya di kampung yang abadi dan di tempat tinggal yang kekal."

     Keesokan harinya, keempat-empat puteranya telah pergi ke medan pertempuran. Puteranya yang pertama bersyair: "Wahai saudara-saudaraku! Semalam ibu kita yang banyak pengalamannya telah memanggil kita dan menasihatkan kita. Kata-katanya yang bernas itu ada banyak faedahnya. Semua itu akan kamu temui sebentar lagi nanti." Putera yang pertama itu terus bertempur mati-matian sehingga syahid.

     Kemudian putera yang kedua pula maju ke hadapan dan berkata: "Demi Allah kita tidak akan melanggar kata-kata ibu kita sama sekali. Nasihatnya wajib ditaati dengan jujur dan rela hati. Segeralah bertempur dan marilah bertarung dan menggempur bersama sehingga kamu melihat keluarga Kaisar habis dilipat dua." Putera yang kedua juga ini telah bertempur bermati-matian dan gugur syahid seperti abangnya yang pertama tadi.

     Putera yang ketiga pula menyusul dengan syairnya: "Sungguh ibu kita kuat keazamannya, tegas tidak bergoncang. Beliau menyuruh kita supaya cekap dan berakal cemerlang. Itulah nasihat ibu yang mengambil berat terhadap anak sendiri. Segeralah memasuki peperangan, segerlah untuk mempertahankan diri. Capailah kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam hati. Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi." Selepas itu beliau pun berjuang bermati-matian sehingga beliau juga syahid seperti abang-abangnya yang terdahulu.

     Kini giliran putera yang keempat pula untuk turut serta: "Bukanlah aku anak si Khansaa' dan bukanlah aku anak jantan. Dan bukan pula kerana Si Amru yang pujiannya sudah lama terkenal. Kalau aku tidak menjadikan tentera asing yang berkelompok-kelompok itu. Terjerumus ke dalam bahaya, dan hancur dimakan senjataku." Kemudian beliau terus berjuang sehingga beliau juga mati syahid.

     Peperangan itu berjalan terus selepas keempat-empat putera Al-Khansaa' gugur di medan pertempuran. Ramai yang menziarahi Al-Khansaa' menyampaikan takziah di atas pemergian keempat-empat puteranya itu. Al-Khansaa' menerimanya dengan penuh ketenangan seraya mengucapkan kata-kata yang akan dikenang selama-lamanya: "Segala pujian bagi Allah, yang telah memuliakanku dnegan pembunuhan mereka dan aku mengharapkan dari Tuhanku agar Beliau akan mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal tetap dari rahmatNya!"

     Saidina Umar bin Al-Khattab memberikan Al-Khansaa' 200 dirham bagi setiap puteranya yang gugur syahid itu.

     Al-Khansaa' meninggal dunia pada tahun 24 hijrah di kampung. Ketika itu Saidina Uthman bin Affan baru saja diangkat menjadi Khalifah.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment