Tuesday 7 February 2017

KEPASRAHAN RUMAISA






KEPASRAHAN RUMAISA








"Rumaisa...
Kau sedar setiap anugerah itu adalah pinjaman
Penuh redha engkau terima
Setiap kau miliki bukanlah milikmu yang hakiki
Tiba masa harus kembali pada yang haq
Walaupun yang dikembalikan itu
Adalah anakmu sendiri."




Sebelum Islam tersebar di kota Madinah, Rumaisa binti Malhan sudah lebih dulu terkenal dengan kebijaksanaan, ketegasan dan tidak mudah bergantung kepada orang lain. Beliau dikenali dengan pelbagai nama seperti Sahlah, Ramlah, Rumaisah, Mulaikha dan Ghumaysa. Namun mungkin itu adalah nama-nama samarannya kerana di dalam kitab "Al-Isti'aab" karya Ibnu Abdil Bar, nama penuhnya ialah Ummi Sulaim binti Malhan bin Khalid bin Zaid bin Hizam bin Jundub bin Amir bin Ghunm bin Adiy bin An-Najjar. 

     Ummi Sulaim telah isteri Malik bin An-Nadr. Mereka mempunyai seorang putera iaitu Anas ibn Malik, salah seorang sahabat karib Rasulullah. Ummi Sulaim adalah di antara wanita terawal memeluk agama Islam. Selepas beliau memeluk agama Islam beliau mengajak suaminya Malik untuk beriman kepada agama baru ini. Namun ajakannya itu mengundang kemarahan suaminya. Malik berkata, "Apakah kau sudah lupa dengan agama nenek moyang kita?"

     Ummi Sulaim menjawab dengan lembut, "Sesungguhnya aku telah menghadapkan wajahku kepada Allah, Tuhan semesta alam ini." Kemudian Ummi Sulaim berpaling kepada anaknya Anas dan beliau mengajar anaknya mengucap dua kalimat syahadah. Anak kecil itu pun mengucapkannya. Ini berlaku ketika suaminya masih berada di hadapannya. Suaminya naik berang dan berkata, "Kau sudah menghancurkan kepercayaan anakku!"

     Ummi Sulaim segera menjawab dengan tegas, "Aku tidak menghancurkan kepercayaannya, malah aku membawanya ke jalan yang benar supaya beliau membesar dengan penuh keimanan."

     Ummi Sulaim terkenal dengan ketegasannya. Beliau mempunyai pendapat yang tepat dan kuat berhujah. Sejak memilih Islam, beliau terus menerus berdebat dengan suaminya sehingga suaminya tidak tahan lalu meninggalkannya menuju ke negeri Syam. Sejak itu, Ummi Sulaim tidak mendengar sebarang khabar dari suaminya sehinggalah berita kematian suaminya diketahui olehnya. Sejak mendapat berita kematian suaminya, Ummi Sulaim berjanji kepada dirinya, beliau tidak akan berkahwin selagi anaknya tidak merestui perkahwinannya.

     Tidak lama kemudian, seorang musyrikin bernama Abu Talhah mengutuskan pinangan kepada Ummi Sulaim. Beliau menolak pinangan Abu Talhah seraya berkata: "Wahai Abu Talhah! Bagaimana aku boleh berkahwin denganmu sedangkan kau menyembah berhala dan menyembah pohon yang tiada memberi manfaat atau mudharat. Kau sanggup menyembah batang kayu yang dibawa oleh tukang kayu ke sana ke mari. Jika aku meletakkan batang kayu ini ke dalam api, pasti ia menjadi abu. Dan abunya pula akan berterbangan ditiup angin. Di mana akal fikiranmu? Kenapa kau begitu bodoh?" Ummi Sulaim berkata dengan keras dan tegas tanpa berselindung lagi.

     Ucapan Ummi Sulaim itu membuatkan Abu Talhah terpaku. Telinganya terasa berdesing sebentar. Dengan marah beliau bangun dan meninggalkan Ummi Sulaim. Apabila tiba di rumah, kata-kata Ummi Sulaim masih bermain di fikiran Abu Talhah. Beliau amat terkesan dengan kata-kata Ummi Sulaim tadi kerana selama ini tiada siapa yang berani berkata begitu kepadanya, inikan pula seorang wanita yang janda. Abu Talhah kebingungan.

     Beliau mula mengamati kembali segala kata-kata Ummi Sulaim tadi. Tanpa disedari, beliau sependapat dengan Ummi Sulaim, Beliau terfikir, batu yang disembahnya itu boleh dipecah-pecahkan dan kayu juga boleh dibakar sehingga menjadi abu. Mengapa beliau tidak boleh berfikir seperti Ummi Sulaim? Kini beliau sedar apa yang dilakukannya selama ini tidak benar. Beliau mula melihat kebenaran yang ditunjukkan oleh Ummi Sulaim.

     Abu Talhah pun pergi menemui Ummi Sulaim sekali lagi. Kedatangannya kali ini adalah bagi menyatakan kesediannya memeluk agama Islam. Di hadapan Ummi Sulaim, Abu Talhah beriman kepada Allah. Ummi Sulaim merasa amat gembira dan menerima lamaran Abu Talhah.

     Ummi Sulaim menolak segala pemberian masa kahwin atau hadiah untuknya. Baginya, cukuplah keimanan Abu Talhah menjadi mas kahwinnya. Beliau juga meminta izin daripada anaknya, Anas untuk berkahwin lagi. Mereka dikurniakan seorang putera bernama Abdullah.

     Ummi Sulaim bukan saja dilihat dengan kelembutan seorang wanita, malah adalah seorang pejuang di medan perang. Beliau telah bersama Rasulullah semasa Perang Badar dan Uhud. Beliau membantu para pejuang Muslimin dengan memberi minum dan membalut luka-luka mereka di dalam peperangan itu.

     Ketika kaum Muslimin menghadapi Perang Hunain, Ummi Sulaim keluar bersama-sama dengan membawa pisau sabit. Apabila Rasulullah bertanya mengapa beliau membawa pisau itu, Ummi Sulaim menjawab ia adalah untuk mempertahankan diri dan juga RasulNya. Apabila mendengar ucapan Ummi Sulaim ini, Rasulullah berkata kepadanya, Allah memuliakan Ummi Sulaim.

     Ummi Sulaim sentiasa memandang Rasulullah dengan penuh kasih dan hormat. Setiap kali Rasulullah bertandang ke rumahnya, ia menganggapnya satu keberkatan dan kemuliaan. Beliau juga pernah meminta Rasulullah mendoakan Anas sehingga menjadi orang perawi hadis yang unggul dan terkenal.

     Antara banyak peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh sesiapa pun yang mendengarnya. Salah seorang anaknya dan Abu Talhah diserang penyakit sehingga meninggal dunia. Ketika itu Abu Talhah berada di luar kota. Ummi Sulaim pun memandikan dan menguruskan jenazah anaknya itu. Kemudian dibaringkan jenazah itu di atas katilnya seakan-akan beliau sedang tidur lena.

     Apabila Abu Talhah pulang ke rumah pada malam itu, seperti biasa Ummi Sulaim menyambutnya dengan penuh kemesraan. Kemudian Abu Talhah bertanya khabar anaknya. Ummi Sulaim menjawab, anak mereka itu berada di dalam keadaan yang lebih aman dan tenteram dari sebelumnya. Mendengarkan ini, Abu Talhah merasa amat gembira sekali. Beliau menyangkakan anaknya telah sembuh dari penyakitnya.

     Ummi Sulaim pun menyediakan makanan untuk Abu Talhah dan menghiasi dirinya supaya kelihatan cantik dan menarik. Selepas makan, Abu Talhah pun duduk bersama-sama isterinya. Sesudah itu mereka pun berehat bersama sambil bergurau senda. Ummi Sulaim tanpa membuang masa terus bertanya kepada Abu Talhah, "Apa pandanganmu jika ada meminjam sesuatu daripada jiran kita, haruskah kita memulangkannya kembali?"

     Abu Talhah pun menjawab, "Sudah tentu setiap barang yang kita pinjam harus dikembalikan kepada tuannya."

     Ummi Sulaim pun berkata lagi, "Begitu juga dengan anak kita itu, wahai Abu Talhah. Beliau milik Allah yang dipinjamkan kepada kita dan Allah telah mengambilnya kembali."

     Mendengar ucapan isterinya itu, fahamlah Abu Talhah apa yang telah berlaku ke atas anaknya itu. Beliau redha di atas segala kehendakNya. Kemudian Abu Talhah keluar menemui Rasulullah dan menceritakan apa yang telah berlaku. Rasulullah pun berdoa untuk mereka, "Semoga Allah memberkati kamu."

     Ummi Sulaim telah meriwayatkan 14 buah hadis di mana empat darinya dikeluarkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment