Tuesday 14 February 2017

MENGAPA KITA TINGGALKAN SYURGA-NYA






MENGAPA KITA TINGGALKAN SYURGA-NYA








Pernahkah kita tahu, apakah yang Allah SWT mahu berikan kepada kita? Kadangkala kita lupa melihat, apakah yang kita dapat sekiranya kita taat kepada Allah SWT. Kita suka memandang mudah berkenaan pembersihan diri kita daripada segala dosa.

     Kita semua tahu Allah SWT mahu memberikan kita syurga sebagai balasan dan sebagai ganjaran kita kepada-Nya dan tanda rahmat-Nya kepada kita.

     Namun, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar tahu, bagaimana gambaran syurga yang Allah SWT gambarkan dalam firman-Nya?


Firman Allah SWT

Allah menerangkan dalam surah Al-Baqarah, ayat 25 yang bermaksud:

          "Sampaikan berita gembira kepada mereka yang beriman dan
          berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga
          yang mengalir sungai di dalamnya. Setiap mereka diberikan
          rezeki buah-buahan dalam syurga. Mereka berkata, 'Ini pernah
          diberikan kepada kami dahulu. Mereka diberi buah-buahan yang
          serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci
          dan mereka kekal di dalamnya.'."

Allah menjelaskan dalam surah Ali Imran, ayat 15 yang bermaksud:

          "Katakanlah, 'Aku mahu khabarkan kepada kamu apa yang lebih
          baik daripada yang demikian itu? Orang-orang yang bertakwa
          kepada Allah, pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir
          di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Mereka
          dikurniakan isteri-isteri dan mendapat keredhaan Allah. Allah
          Maha Melihat hamba-hamba-Nya.'."

Allah menyatakan dalam surah Ali Imran, ayat 136 yang bermaksud:

          "Balasan untuk mereka adalah keampunan daripada Tuhan
          mereka. Syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai
          sedangkan mereka kekal di dalamnya. Itu adalah sebaik-baik
          pahala kepada mereka yang beramal."

Allah menjelaskan dalam surah An-Nisa', ayat 57 yang bermaksud:

          "Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, Kami
          masukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir
          sungai-sungai. Kekal mereka di dalamnya dan mempunyai isteri-
          isteri yang suci. Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh
          lagi nyaman."

Allah menerangkan dalam surah Al-Maidah, ayat 119 yang bermaksud:

          "Ini adalah suatu hari yang bermanfaat kepada orang-orang
          yang terbukti kebenaran mereka. Untuk mereka syurga yang di
          bawahnya mengalir sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya
          selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka
          redha kepada-Nya. Itu adalah keuntungan yang paling besar."

Allah menyatakan dalam surah Al-A'raf, ayat 73 yang bermaksud:

          "Kami cabut segala dendam yang berada dalam dada mereka.
          Mengalir di bawah mereka sungai-sungai dan mereka berkata,
          'Segala puji bagi Allah yang menunjuki kami kepada syurga
          ini. Kami sekali-kali tidak mendapat petunjuk sekiranya Allah
          tidak memberi kami petunjuk. Sesungguhnya datang rasul-rasul
          Tuhan kami, membawa kebenaran.' Diserukan kepada mereka,
          'Itu adalah syurga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa
          yang dahulu kamu kerjakan.'."

Allah menjelaskan lagi dalam surah Al-Waqiah, ayat 20 dan 21 yang bermaksud:

          "Buah-buahan daripada apa yang mereka pilih dan daging
          burung daripada apa yang mereka inginkan."

Allah menceritakan dalam surah Al-Insan, ayat 5 dan 6 yang bermaksud:

          "Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum
          daripada piala yang berisi minuman. Campurannya adalah air
          kafur, iaitu mata air dalam syurga yang diminum oleh para
          hamba Allah. Mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-
          baiknya."

Allah menjelaskan dalam surah Ar-Rahmat, ayat 46 hingga 78 yang bermaksud:

          46.   "Orang yang takut keadaan dirinya di mahkamah Tuhan
                  bagi dihitung amalnya, disediakan baginya dua syurga.

          47.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                 mahu dustakan?

          48.   Dua syurga itu mempunyai berjenis-jenis pohon dan buah-
                  buahan.

          49.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          50.   Di dalam kedua-dua syurga itu terdapat dua mata air yang
                  mengalir.
          
          51.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan.

          52.   Di dalam kedua-dua syurga itu terdapat segala macam buah-
                  buahan yang berpasangan.

          53.   Mana satu antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          54.   Mereka bersenang-senang di tempat masing-masing dalam
                  syurga itu dengan berbaring di atas hamparan-hamparan,
                  yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya adalah daripada
                  sutera tebal yang bersulam. Dan buah-buahan di dalam
                  kedua-dua syurga itu dekat dengan mereka untuk dipetik.

          55.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          56.   Di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang
                  pandangannya tertumpu kepada mereka semata-mata, yang
                  tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.

          57.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          58.   Bidadari-bidadari itu cantik berseri seperti permata delima
                  dan marjan.

          59.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          60.   Bukankah tidak ada balasan pada amal yang baik, melainkan
                  balasan yang baik juga?

          61.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          62.   Selain daripada dua syurga itu, ada dua syurga lagi bagi
                  menjadi balasan untuk golongan peringkat yang kedua.

          63.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          64.   Kedua-duanya menghijau subur tanamannya.

          65.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          66.   Di dalam kedua-dua syurga itu ada dua mata air yang terus-
                  menerus memancutkan airnya.

          67.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          68.   Di dalam kedua-duanya juga terdapat buah-buahan, serta
                  pohon-pohon kurma dan delima.

          69.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          70.   Dalam kedua-dua syurga itu juga terdapat teman-teman 
                  yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya.

          71.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          72.   Itu adalah bidadari-bidadari yang hanya tinggal tetap di
                  tempat tinggal masing-masing.
  
          73.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          74.   Bidadari-bidadari itu tidak pernah disentuh sebelum mereka
                  oleh manusia dan jin.

          75.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          76.   Penduduk syurga itu bersenang-senang di dalamnya dengan
                  berbaring di atas bantal-bantal dan cadar-cadar yang hijau
                  warnanya serta permaidani-permaidani yang indah.

          77.   Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu
                  mahu dustakan?

          78.   Maha Suci nama Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan
                  kemuliaan."

Indah, bukan? Bahkan, penuh dengan kenikmatan. Mungkin kita tidak pernah mendalami ayat-ayat ini.

     Tidakkah kita menyedari apakah yang dilepaskan oleh kita, sekiranya tidak membersihkan diri daripada dosa?

     Nikmat yang besar!


Mengapa Kita Tinggalkan Syurga?

Apabila kita meneliti ayat-ayat Allah SWT ini, pernahkah kita bertanya kepada diri, mengapa kita sanggup meninggalkan syurga Allah SWT?

     Nikmat yang besar, indah, mahal, dan abadi.

     Mengapa kita bergerak mengingkari-Nya dan tidak mahu bertaubat?

     Seolah-olah Allah SWT menyuakan kita syurga dan kita melemparnya pergi.

     Penting untuk kita sentiasa bermuhasabah.

     Ingat kembali janji-janji Allah SWT.

     Ketahuilah, ramai manusia sebelum kita mampu taat kepada Allah SWT kerana kekuatan iman mereka terhadap janji-janji Allah SWT.

     Bagaimana kita? 

     Apakah kita mempercayai janji-janji-Nya?




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment