Friday 17 February 2017

PERANG BADAR [ BAB 2 - API DALAM SEKAM ]






API DALAM SEKAM








Hari beransur petang. Cahay matahari semakin redup. Pasar Bani Qainuqa yang terletak berhampiran dengan kediaman orang Yahudi Bani Qainuqa, Bani Nadhir dan Bani Quraizah itu mula lengang. Ramai peniaga pulang ke rumah masing-masing.

     "Bagaimana dengan perniagaan awak, wahai Qubis?" tanya Judan yang berada di pasar itu sejak tengah hari. Dia ditugaskan oleh Abdullah bin Ubai bagi memantau para peniaga di pasar Qainuqa.

     "Perniagaan kami terjejas teruk semenjak Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwan, Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan berniaga di sini. Saya hairan mengapa pengikut Muhammad itu dibenarkan berniaga di pasar Qainuqa?" jawab Qubis sambil meludah ke tanah.

     "Pasar Qainuqa ini dikuasai peniaga Yahudi. Tempat ini menjadi pusat ekonomi orang Yahudi. Sejak dahulu belum pernah peniaga Arab berjaya berniaga di sini. Sebelum ini sudah ada peniaga daripada Bani Aus dan Bani Khazraj cuba berniaga tetapi tidak bertahan lama kerana mengalami kerugian. Jadi saya bersetuju pengikut Muhammad itu dibenarkan berniaga kerana yakin mereka juga tidak dapat bertahan lama. Tambahan pula tempat ini baharu bagi mereka," kata Judan.

     "Betapa silapnya sangkaan awak itu. Perniagaan mereka semakin maju. Orang Bani Aus dan Bani Khazraj tidak mahu lagi membeli barang-barang kami. Mereka lebih suka berurusan dengan peniaga Islam itu, kerana itu perniagaan kami terjejas teruk. Kami perlu bertindak dengan segera," kata Qubis sambil meluahkan rasa sakit hatinya.

     "Apa cadangan awak bagi mengatasi masalah ini?" tanya Judan pula. Ramai yang sudah tahu masalah itu, kerana itu dia ditugaskan membuat pemantauan di pasar itu bagi mengatasinya.

     "Jangan benarkan pengikut Muhammad berniaga di pasar Qainuqa. Mereka boleh datang membeli barang tetapi tidak boleh berniaga di sini. Itu sahaja jalan penyelesaiannya," jawab Qubis.

     "Bagaimana sekiranya mereka tidak bersetuju? Saya tidak mahu terjadi pergaduhan kerana kita terikat dengan perjanjian damai dengan Muhammad," kata Judan pula.

     "Hal ehwal perniagaan dan jual beli tidak termasuk dalam perjanjian. Mereka tidak bole marah sekiranya kita membuat undang-undang baharu," kata Qubis pula yang sememangnya mahu cadangannya itu dibuat dengan segera.

     "Baiklah, saya akan bincangkan perkara ini dengan Abdullah bin Ubai dan para pemimpin kita yang lain. Awak jangan bimbang kerana kami akan pastikan peniaga kita di sini tidak rugi," janji Judan bersungguh-sungguh dan berjanji menyelesaikan masalah itu dengan segera.

     Dia segera melaporkan perkara ini kepada Abdullah bin Ubai, ketua orang Yahudi di Madinah. Maka diadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan masalah itu.

     "Sa'ad bin al-Rabi' yang membantu Muhammad itu berniaga di pasar Qainuqa. Mula-mula dibawanya Abdul Rahman bin Auf. Kemudian Abu Bakar, Zubair dan Uthman Affan. Saya yakin bilangan mereka pasti terus bertambah. Sa'ad bin al-Rabi' yang memberi mereka modal bagi membuka perniagaan. Dia juga yang menyewakan kedai-kedainya kepada mereka. Jadi dia yang sepatutnya dipersalahkan. Bukan saya dan Judan," kata Abdullah bin Ubai dalam usaha melindungi kesilapannya.

     Sa'ad bin al-Rabi' yang turut dijemput hadir dalam mesyuarat itu cuma berdiam diri mendengar hujah-hujah mereka. Dia masih belum mahu bersuara.

     "Demi menjaga kepentingan peniaga bangsa kita di pasar Qainuqa, saya mencadangkan supaya kedai-kedai pengikut Muhammad itu ditutup. Jangan benarkan mereka berniaga di pasar Qainuqa," kata Judan pula.

     "Saya membantah," kata Sa'ad bin al-Rabi'.

     Kemudian katanya lagi, "Bukankah sebelum ini Judan sendiri pernah membantu seorang kabilah Khazraj bagi berniaga di pasar Qainuqa. Bukankah sebelum ini Abdullah bin Ubai sendiri pernah menyewakan sebuah kedainya kepada orang daripada Bani Aus? Mengapa apabila saya lalu perkara yang sama dipersalahkan?"

     Judan dan Abdullah bin Ubai terdiam. Orang ramai juga terdiam mendengar kata-kata Sa'ad bin al-Rabi'.

     Melihat keadaan itu, Sa'ad bin al-Rabi' terus menyambung kata-katanya, "Sudah lupakah... kita sudah mengikat perjanjian dengan Muhammad yang kita bersetuju hidup berbaik-baik dan tidak bermusuhan? Awak semua bersetuju menghormati hak orang Islam dan mereka juga bersetuju menghormati hak awak? Sekiranya awak memaksa pengikut-pengikut Muhammad menutup kedai mereka dan melarang berniaga di pasar Qainuqa, apakah awak menyangka Muhammad dan pengikutnya akan berdiam diri?"

     "Kami juga tidak dapat berdiam diri melihat peniaga kami mengalami kerugian. Kerana itu awak dijemput hadir bagi membantu kami mengatasi masalah ini. Kami mahu awak menghentikan bantuan kepada mereka," marah Abdullah bin Ubai.

     "Saya seorang peniaga yang berjaya. Saya tidak akan menutup kedai-kedai kepunyaan saya yang mampu memberikan keuntungan yang banyak. Bodoh namanya sekiranya saya ikut kehendak awak," bantah Sa'ad bin al-Rabi'.

     "Sekiranya begitu, apa cadangan awak bagi mengatasi masalah peniaga bangsa kami di pasar Qainuqa?" tanya Judan dengan nada suara yang lunak.

     "Kedai Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam, Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan menjadi tumpuan orang ramai kerana mereka pandai berniaga. Selain pandai melayan serta memikat hati pelanggan, harga barang yang dijualnya lebih murah daripada harga-harga barang awak. Apa yang paling penting mereka tidak menipu dalam perniagaan. Sukatan dan timbangan dilakukan dengan jujur. Awak sepatutnya salahkan diri sendiri mengapa pelanggan lari," jawab Sa'ad bin al-Rabi'.

     "Sa'ad bin al-Rabi', awak adalah sekutu perniagaan kami. Awak menjadi kaya-raya juga adalah dengan bantuan kami peniaga-peniaga Yahudi. Sekarang buat pilihan sama ada mahu terus menjadi sekutu kami dan memutuskan hubungan awak dengan pengikut-pengikut Muhammad, ataupun menjadi sekutu mereka dan memutuskan hubungan dengan kami," teriak Qubis yang paling marah kerana perniagaannya terjejas teruk."

     "Nabi Muhammad mempersaudarakan saya dengan Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam dan Abu Bakar as-Siddiq. Saya memilih mereka daripada awak. Sekiranya awak menyakiti pengikut Muhammad sama seperti awak menyakiti saya. Sekiranya awak memusuhi pengikut Muhammad sama seperti awak memusuhi saya," kata Sa'ad bin al-Rabi'.

     "Sa'ad bin al-Rabi', saya mahu penjelasan daripada awak sendiri. Benarkah awak sanggup menyerahkan sebahagian daripada kekayaan awak kepada Abdul Rahman bin Auf? Benarkah awak sanggup menceraikan salah seorang isteri awak bagi dikahwinkan dengannya?" tanya Judan minta kepastian.

     "Nabi Muhammad mempersaudarakan saya dengan Abdul Rahman bin Auf. Saya sudah menganggapnya seperti saudara sendiri yang dapat mewarisi harta. Kerana itu saya menyerahkan harta dan isteri saya kepadanya," jawab Sa'ad bin al-Rabi'.

     "Awak tahu apa muslihat Muhammad mempersaudarakan orang Ansar dengan Muhajirin? Awak tahu mengapa dia memilih awak bagi dipersaudarakan dengan Abdul Rahman bin Auf?" tanya Judan lagi.

     "Hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya," jawab Sa'ad bin al-Rabi'.

     "Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam dan Uthman bin Affan adalah saudagar kaya di Mekah. Apabila mereka berhijrah ke Madinah, semua harta mereka ditinggalkan dan mereka datang dengan sehelai sepinggang. Bagi mendapatkan semula harta mereka, Muhammad mengambil jalan mudah dengan mempersaudarakan awak dengan mereka. Muslihat itu tercapai apabila awak sanggup menyerahkan harta awak kepada mereka. Alangkah liciknya Muhammad yang mengaku menjadi pesuruh Allah itu," kata Abdullah bin Ubai dengan harapan Sa'ad bin al-Rabi' akan terpengaruh.

     "Sesungguhnya Nabi Muhammad menghadiahkan kepada kami sahabat serta saudara yang jujur dan ikhlas. Mereka tidak mengambil kesempatan atas kekayaan kami. Walaupun saya mahu menyerahkan sebahagian harta saya kepada Abdul Rahman bin Auf tetapi ditolak olehnya. Dia cuma meminta saya tunjukkan pasar dan saya membawanya ke pasar Qainuqa. Di sana dia memulakan perniagaannya. Mereka maju dalam perniagaan kerana kemahiran mereka sendiri, bukan kerana bantuan saya," kata Sa'ad bin al-Rabi'.

     Mesyuarat malam itu berakhir tanpa apa-apa keputusan. Cadangan mengambil tindakan pasar Sa'ad bin al-Rabi' tidak dapat dijalankan kerana bimbang tindak balas orang Islam. Orang Yahudi semakin dengki serta mula menyimpan dendam kepada orang Islam terutama Nabi Muhammad.

     Ketua-ketua kaum Yahudi di Madinah berasa bimbang sikap permusuhan mereka pada orang Islam dilaporkan oleh Sa'ad bin al-Rabi' kepada Nabi Muhammad. Mereka berpakat bagi bertemu dengan Rasulullah untuk menyatakan sokongan mereka pada piagam Madinah.

     Di kalangan orang Yahudi di Madinah, ada seorang lelaki bernama Abdullah bin Salam yang sangat mereka hormati. Beliau juga seorang pendeta Yahudi yang berpegang teguh pada agama nenek moyangnya. Kitab Taurat juga sering dibacanya. Apabila mendapat tahu Nabi Muhammad sudah berhijrah ke Madinah, timbul keinginannya untuk berjumpa. Dia juga mahu mengajukan beberapa pertanyaan bagi membuktikan benarkah Muhammad itu seorang Rasul.

     Apabila berjumpa dengan Nabi Muhammad, Abdullah bin Salam terus bertanya berkenaan mukjizat yang dikurniakan Tuhan kepadanya. Rasulullah pun membacakan ayat-ayat Quran yang membuatkan hati pendeta Yahudi terpesona mendengarnya. Kemudian beliau lantas menyatakan keislamannya. Tidak lama kemudian muncul ketua-ketua orang Yahudi itu ke rumah Nabi Muhammad. Abdullah bin Salam segera bersembunyi di balik pintu. Kedatangan para pemimpin Yahudi itu disambut dengan baik serta dilayan sebagai tetamu.

     "Siapa Abdullah bin Salam di kalangan bangsa kamu?" tanya Nabi Muhammad.

     "Dia adalah ulama kami. Orang yang paling mulia dan baik di kalangan kami," jawab Abdullah bin Ubai dengan bangga.

     "Apa pandangan kamu sekiranya beliau masuk Islam?" tanya Nabi Muhammad lagi.

     "Mustahil dan tidak mungkin," jawab Abdullah bin Ubai penuh yakin.

     Nabi Muhammad menyuruh Abdullah bin Salam keluar mendapatkan mereka. Kemudian beliau pun berkata, "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah. Sesungguhnya dia datang membawa kebenaran."

     "Kamu bohong ataupun kamu dipaksa oleh Muhammad bagi mengucapkan kata-kata itu," marah Abdullah bin Ubai.

     Islamnya Abdullah bin Salam adalah satu tamparan yang hebat pada orang Yahudi. Ini kerana beliau adalah ulama yang paling dihormati oleh mereka. Sekali gus menambahkan lagi rasa dendam orang Yahudi kepada Nabi Muhammad.

     Malam itu Abdullah bin Ubai tidak dapat melelapkan matanya kerana runsing memikirkan keadaan dirinya yang dirasakannya semakin dipinggirkan oleh penduduk Madinah. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad, orang ramai menyanjungnya. Malah dia pernah dicadangkan menjadi raja Madinah kerana jasanya mendamaikan puak yang bersengketa dalam perang Bu'ats. Dalam perang itu Bani Aus dan Bani Khazraj bertempur hebat hingga ramai yang terkorban dan cedera. Lalu Abdullah bin Ubai mendamaikan mereka kerana pertempuran itu menjejaskan perniagaan orang Yahudi di Madinah.

     Walau bagaimanapun ada juga yang tidak setuju Abdullah bin Ubai dilantik menjadi raja kerana akan menguatkan lagi pengaruh orang Yahudi di Madinah. Selama itu pun mereka ditindas oleh kaum Yahudi. Mereka memonopoli perniagaan yang mengamalkan riba. Orang Yahudi memberi pinjaman kepada penduduk Madinah dengan cagarannya adalah tanah mereka. Peminjam juga dikenakan bayaran faedah yang tinggi hingga tidak mampu membayarnya. Akibatnya tanah yang dicagarkan akhirnya dirampas oleh pemberi pinjaman.

     Apabila mereka mendengar di Mekah muncul seorang lelaki yang mengaku menjadi pesuruh Tuhan, mereka segera menghantar wakil bagi bertemu dengannya. Hasil pertemuan itu dibincangkan oleh penduduk Madinah. Akhirnya mereka mendapat kata sepakat menjadi pengikut Nabi Muhammad.

     Abdullah bin Ubai sedar orang Yahudi tidak mampu berperang dengan pengikut Muhammad kerana jumlah mereka lebih ramai. Tambahan pula mereka sudah terikat dengan perjanjian damai di bawah piagam Madinah. Akhirnya Abdullah bin Ubai mengambil keputusan mahu mengikut jejak langkah Abdullah bin Salam. Keesokan harinya dia menemui Nabi Muhammad lalu menyatakan keislamannya. Walau mengaku menjadi pengikut Nabi Muhammad namun dalam diam-diam dia menyimpan rasa dendam.

     "Benarkah awak sudah menjadi pengikut Muhammad?" tanya Qahlali yang datang sendiri ke rumah Abdullah bin Ubai bagi mendapat kepastian.

     "Memang benar. Apakah itu menimbulkan kemarahan awak?" tanya Abdullah bin Ubai pula.

     "Tidakkah awak sedar tindakan itu hanya menguntungkan Muhammad tetapi merugikan diri awak sendiri dan merugikan orang Yahudi?" tanya Qahlali dengan rasa marah.

     "Apa yang saya lakukan itu demi keselamatan diri saya sendiri dan kaum Yahudi," kata Abdullah bin Ubai pula.

     "Apa hujah awak?" tanya Qahlali.

     "Saya tidak mahu permusuhan saya diketahui oleh Muhammad. Dengan berpura-pura menjadi pengikutnya saya tahu apa yang akan dilakukan oleh Muhammad kepada kaum Yahudi. Bukankah itu menguntungkan?" jawab Abdullah bin Ubai.

     "Apakah awak mahu menjadi api di dalam sekam?" tanya Qahlali lagi.

     Abdullah bin Ubai hanya menjawab dengan senyuman sinis. Kemudian dia bertanya, "Apakah awak sudah lupa dengan janji awak selepas tamatnya perang Bu'ats?"

     "Saya tidak lupa kerana awak yang menjadi orang tengah hingga perang yang sia-sia itu berjaya ditamatkan, kerana itu kami bersetuju hendak melantik awak menjadi raja Madinah," jawab Qahlali.

     "Saya rasa dikhianati oleh al-Barra, ketua Bani Khazraj dan al-Makdad ketua Bani Aus apabila mereka mengikat perjanjian dengan Muhammad," kata Abdullah bin Ubai.

     "Dengan kedatangan Muhammad, ia menutup peluang awak menjadi raja. Saya hairan mengapa awak boleh tunduk dengan Muhammad dan bersetuju menjadi pengikutnya?" tanya Qahlali.

     Kata-kata Qahlali itu menambah lagi rasa permusuhan Abdullah bin Ubai pada Nabi Muhammad. Namun dia sedar pengikut Muhammad semakin hari bertambah ramai. Dia tidak mampu memusuhi secara terang-terangan.

     Orang Quraisy di kota Mekah pula berasa kecewa kerana Muhammad tidak berjaya ditangkap. Mereka tambah kecewa apabila mendapat tahu Nabi Muhammad selamat sampai ke kota Madinah dan disambut secara besar-besaran.

     "Muhammad dapat menyatukan penduduk Madinah. Bani Aus dan Bani Khazraj didamaikan dalam satu ikatan persaudaraan. Kemudian Muhammad mengadakan perjanjian damai dengan orang Yahudi. Kedudukan Muhammad dan pengikutnya menjadi semakin kuat. Kita perlu bertindak segera sebelum mereka membentuk kekuatan yang dapat menggugat kita," kata Abu Jahal sambil meluahkan rasa marahnya.

     "Saya cadangkan kita bentuk angkatan perang menyerang Madinah. Mereka memang patut diperangi kerana menerima kedatangan Muhammad dan para pengikutnya," kata Abu Lahab pula mencadangkan.

     "Bani Aus dan Bani Khazraj sudah biasa berperang kerana permusuhan antara mereka tercetus sejak lama dahulu. Orang Yahudi juga tentu bersatu dengan mereka bagi menentang kita. Menyerang Madinah pada masa sekarang bukan satu langkah yang bijak. Ia pastinya mengundang padah," kata Abu Sufian pula yang tidak bersetuju mereka menyerang Madinah.

     "Benar kata Abu Sufian. Orang Yahudi di Madinah berasal dari Rom. Mereka menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan Rom, Parsi dan Syam. Sekiranya berlaku peperangan antara kita dengan penduduk Madinah, pasti mereka akan masuk campur," sokong Umaiyah pula.

     "Apakah kita hanya berdiam diri sahaja? Kita perlu melakukan sesuatu bagi menghancurkan Muhammad dan para pengikutnya," bentak Abu Jahal dengan berang.

     "Apa cadangan awak?" tanya Abu Lahab pula.

     "Kita perlu bekerjasama dengan orang Yahudi di Madinah bagi menghancurkan Muhammad. Saya kenal baik dengan Abdullah bin Ubai. Kita gunakan pengaruhnya bagi memujuk orang Yahudi menyebelahi kita," jawab Abu Jahal.

     "Itu satu cadangan yang baik. Saya setuju," sokong Abu Lahab.

     Mereka mencapai kata sepakat untuk meminta kerjasama Abdullah bin Ubai bagi memerangi Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Abu Jahal segera menghantar seorang utusan ke Madinah bagi bertemu dengan Abdullah bin Ubai.

     "Tuan terpilih menjadi sahabat kami. Tetapi sekiranya tuan menolak, kami terpaksa menyerang Madinah. Apabila serangan besar-besaran dilakukan maka semua penduduk Madinah akan sengsara," kata Abdul Manaf yang dilantik menjadi utusan kaum Quraisy ke Madinah.

     "Sebenarnya saya sendiri tidak setuju pengikut Muhammad berhijrah ke Madinah. Saya lebih tidak setuju apabila Muhammad sendiri datang ke tempat kami. Tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana Bani Aus dan Bani Khazraj bersetuju menerima kedatangan mereka," kata Abdullah bin Ubai pula.

     "Daripada kata-kata tuan itu saya yakin, tuan bersetuju menerima tawaran kami bagi bersahabat. Kita akan bekerjasama memerangi Muhammad," kata Abdul Manaf sambil tersenyum.

     "Saya setuju tetapi berilah saya masa bagi membuat persiapan. Perkara ini tidak boleh dibuat terburu-buru, nanti buruk padahnya," kata Abdullah bin Ubai.

     Sejak itu kaum Quraisy Mekah kerap kali mengutus surat kepada Abdullah bin Ubai menyuruhnya memerangi Muhammad dengan janji apabila berlaku peperangan penduduk Mekah akan membantu orang Yahudi Madinah. Abdullah bin Ubai berusaha memecahkan perpaduan antara Bani Aus dan Bani Khazraj namun tidak berjaya. Mereka semakin teguh berdiri di bawah pimpinan Nabi Muhammad. Bilangan mereka juga semakin hari bertambah ramai.

     Abdullah bin Ubai terus mencari jalan bagi membinasakan Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Di hadapan Rasulullah dia berpura-pura bersikap baik dan menyatakan taat setia tetapi dalam diam-diam dia merancang mahu memeranginya. Pada suatu malam Abdullah bin Ubai mengadakan perjumpaan sulit dengan ketua-ketua kabilah Yahudi. Dijemputnya juga penduduk Madinah yang bukan Islam.

     "Saya mahu awak menutup semua perigi-perigi kepunyaan awak supaya pengikut Muhammad tidak dapat mengambil airnya. Biar mereka mati kehausan," kata Abdullah bin Ubai.

     "Tidakkah itu nanti menimbulkan kemarahan mereka lalu terjadi perkelahian?" tanya Qahlali.

     "Perigi-perigi itu kepunyaan kita. Kita berhak menentukan siapa yang dapat mengambil airnya dan siapa yang tidak dapat menggunakannya," kata Abdullah bin Ubai.

     "Apakah tindakan kita itu nanti tidak melanggar perjanjian dengan Muhammad?" tanya Qahlali lagi.

     "Masalah air tidak disebut dalam perjanjian kita dengan Muhammad. Jadi kita dapat gunakan air sebagai senjata bagi menundukkan Muhammad dan para pengikutnya," jawab Judan pula.

     "Baiklah, saya setuju." Akhirnya Qahlali tunduk dengan kehendak pemimpin kaum Yahudi itu.

     Tindakan orang Yahudi dan kaum musyrikin menutup perigi kepunyaan mereka menyusahkan pengikut Nabi Muhammad. Mereka mengadukan perkara itu kepada Rasulullah. Beliau segera mengadakan perbincangan dengan para sahabatnya.

     Uthman bin Affan yang turut serta dalam perbincangan itu berjanji akan berusaha bagi mengatasi masalah itu. Dia menemui Arfak, seorang lelaki Yahudi yang memiliki dua buah telaga.

     "Saya sanggup membeli salah sebuah daripada perigi awak. Berapa harganya akan saya bayar," pujuk Uthman Affan.

     "Saya tidak akan menjual perigi itu. Tetapi sekiranya awak mahu, awak boleh menyewanya," kata lelaki Yahudi itu.

     "Berapakah sewanya?" tanya Uthman Affan.

     Lelaki Yahudi itu tersenyum kerana dia tahu Uthman Affan seorang saudagar yang kaya. Ini peluang dia mendapat keuntungannya.

     "Sanggupkah awak memberi saya 12,000 dirham?" tanya lelaki Yahudi itu.

     "Jumlah itu terlalu mahal bagi sewa sebuah perigi." Yasir yang menemani Uthmans segera membantah.

     "Sekiranya awak tidak sanggup tidak mengapa. Tetapi percayalah cakap saya ini. Tidak ada orang lain yang sanggup menjual periginya kepada awak kerana sekarang musim kemarau," kata lelaki Yahudi itu sambil tertawa.

     "Baiklah saya sanggup memberi awak 12,000 dirham," kata Uthman Affan pula.

     "Ada satu syarat lagi," beritahu lelaki Yahudi itu.

     "Syarat apa lagi?" bentak Yaser.

     "Awak hanya boleh mengambil air perigi itu selang sehari sahaja. Sekiranya hari ini awak ambil airnya maka esok tidak boleh lagi. Lusa baru boleh mengambilnya semula," kata lelaki Yahudi itu.

     "Syarat itu tidak muhasabah," bentak Yaser. "Bukankah Uthman membayar dengan harga yang mahal?"

     "Sekiranya awak tidak setuju tidak mengapa. Tetapi percayalah cakap saya, tidak ada siapa yang sanggup memberi air periginya kepada awak," ujar lelaki Yahudi itu.

     "Baiklah saya setuju dengan syarat itu," kata Uthman Affan pula.

     Yaser cuba membantah tetapi berjaya dipujuk oleh Uthman Affan. Selepas membayar sewanya sebanyak 12,000 dirham, Uthman Affan menyuruh orang ramai mengambil air perigi itu.

     "Ambil air perigi itu bagi simpanan di rumah kerana kita cuma boleh mengambilnya selang sehari," pesan Uthman Affan.

     Orang ramai datang ke perigi itu bagi mengambil airnya. Mereka mengambil dalam jumlah yang agak banyak kerana hendak disimpan bagi kegunaan pada keesokan harinya. Ini menimbulkan kemarahan lelaki Yahudi itu.

     "Wahai Uthman. Awak melanggar perjanjian kerana membenarkan orang ramai mengambil air perigi itu," marah lelaki Yahudi itu.

     "Bukankah dalam perjanjian itu awak setuju menyewakan perigi itu kepada saya selang sehari?" tanya Uthman Affan pula.

     "Memang benar," jawab lelaki Yahudi itu.

     "Tidak ada dalam perjanjian orang ramai tidak boleh mengambil air perigi itu. Saya sebagai penyewa boleh membenarkan sesiapa sahaja yang mengambilnya," kata Uthman Affan.

     "Saya tidak setuju dan mahu perjanjian ini dibatalkan," ugut lelaki Yahudi itu.

     "Oleh kerana awak yang mungkir janji, serahkan semula 12,000 dirham itu kepada saya. Sekiranya awak ingkar, saya akan mengadu kepada Nabi Muhammad. Biar dia yang menjadi hakimnya," ugut Uthman Affan pula.

     Lelaki Yahudi itu berasa takut kerana orang yang berkuasa di kota Madinah ketika itu adalah Nabi Muhammad. Semua penduduk Madinah mengaku tunduk di bawah pemerintahannya.

     "Wahai Uthman, duit yang awak berikan itu sudah habis saya belanjakan. Sekarang terserah kepada awak," akhirnya lelaki Yahudi itu mengalah.

     "Awak jualkan sahaja perigi itu kepada saya. Berapa harganya akan saya bayar," kata Uthman Affan.

     Selepas berfikir sejenak, lelaki Yahudi itu pun berkata. "Aku bersetuju menjual perigi ini dengan harga 35,000 dirham."

     Uthman Affan bersetuju dengan permintaan itu. Selepas membayar harga perigi itu, dia membuat pengumuman kepada orang ramai.

     "Wahai saudaraku kaum muslimin. Mulai hari ini saya wakafkan perigi ini. Kamu boleh mengambil airnya tanpa siapa yang menghalangnya."

     Orang ramai mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Uthman Affan.

     Abdullah bin Ubai dan Judan berasa sangat marah kepada Arfak kerana menjual periginya kepada pengikut Muhammad. Mereka bercadang menghukum lelaki itu. Arfak berasa takut lalu melarikan diri keluar dari Madinah terus pergi ke Syam. Dengan duit yang banyak hasil daripada penjualan periginya itu dia membuka perniagaan di Syam.

     Abdullah bin Ubai semakin tertekan apabila orang Quraisy di Mekah menyuruhnya memerangi Muhammad dan para pengikutnya. Mereka memberi amaran sekiranya enggan, serangan akan dilakukan pula oleh angkatan perang Mekah. Abdullah bin Ubai segera mengadakan perbincangan dengan para pengikutnya. Mereka pun membuat persiapan bagi berperang dengan orang Islam di Madinah.

     Perancangan jahat mereka yang memusuhi Islam itu diketahui oleh Allah yang maha mengetahui dan bijaksana. Maka turun ayat Quran surah al-Anfal ayat 59 hingga 62 yang bermaksud, "Dan janganlah orang kafir itu menyangka dapat melemahkan kekuasaan Allah. Mereka sungguh tidak dapat melemahkan Allah. Dan (hai orang yang beriman) siapkanlah bagi menghadapi mereka dengan kekuatan apa sahaja yang kamu sanggup seperti kuda-kuda yang dilatih bagi berperang. (dengan persiapan itu) kamu akan menakutkan musuh Allah dan musuh kamu dan orang selain mereka yang tidak kamu ketahui. Tetapi Allah mengetahui mereka. Apa sahaja yang kamu dermakan pada jalan Allah pasti akan dibalas dengan secukupnya dan kamu tidak akan dizalimi. Sekiranya mereka mahu berdamai maka kamu hendaklah berdamai dan bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengetahui. Namun sekiranya mereka menipu kamu maka cukuplah Allah (yang akan melindungi kamu)."

     Dengan turunnya ayat itu, Nabi Muhammad menyuruh pengikutnya membuat persiapan bagi mempertahankan diri. Mereka menjalani latihan menunggang kuda, memanah dan menggunakan senjata.

     "Muhammad dan para pengikutnya sudah membuat persiapan bagi berperang. Mereka sedang giat menjalani latihan. Lebih baik batalkan sahaja rancangan kamu hendak berperang dengan mereka. Sekiranya kamu teruskan juga makan kamu mengambil sikap berkecuali," kata Qahlali.

     Orang Yahudi terpaksa membatalkan rancangan mereka bagi menyerang orang Islam. Namun dendam kesumat mereka tidak pernah padam. Mereka hanya menunggu peluang bagi bertindak. Mereka ibarat api dalam sekam. Menunggu tiupan angin bagi membakar.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment