Saturday 11 February 2017

TENANGLAH, TENANG






TENANGLAH, TENANG








Pernahkah kita berasa ditinggalkan? Pernahkah kita berasa tertekan yang melampau? Pernahkah kita berasa sempit sehingga menyesakkan? Gagal dalam sesuatu perkara, kemudian tenggelam dalam kekecewaan? Diuji hebat sehingga berasa sesak? Mempunyai dosa dan berasa diri tidak diampunkan Allah SWT?

     Kita berasa seolah-olah bersendirian. Tidak ada sesiapa mahu mendengar cerita kita. Kita berasa tidak ada bantuan. Tidak ada sesiapa mahu menghulurkan tangan. Lebih parah lagi apabila tahap kekecewaan kita sampai kepada hilangnya kepercayaan kita kepada Allah SWT. Kita berfikir bahawa Allah sudah tinggalkan kita.

     Tenanglah, tenang.

     Sesungguhnya, pertolongan itu pasti datang.


Hakikat Ujian Allah

Segala yang menyukarkan itu adalah ujian. Kesenangan juga adalah ujian. Jangan berasa sempit apabila kita disusahkan oleh sesuatu perkara. Belajar berlapang dada. Kita perlu yakin, hidup ini adalah ujian. Hidup ini adalah ujian. Susah dan senang, semuanya ujian daripada Allah SWT.

     Perkara pokok bukannya berkaitan ujian itu senang ataupun susah. Kita perlu fikirkan, mengapa Allah berikann ujian? Mengapa Allah tidak memudahkan sahaja segala-galanya.

     Di sini jawapannya, Allah menyatakan dalam surah Al-Ankabut, ayat 2 hingga 3 yang bermaksud:

          "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan
          dengan hanya berkata, 'Kami beriman', sedang mereka
          tidak diuji dengan sesuatu cubaan? Sesungguhnya, Kami
          menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Dengan
          ujian yang demikian, nyata apa yang diketahui Allah tentang
          orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula
          apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta."

Ujian bertujuan bagi menguji keimanan. Ini hakikatnya. Pelbagai bentuk ujian, sama ada dalam bentuk kesusahan dan kesenangan. Semuanya bertujuan bagi menguji hamba-Nya.

     Menguji keimanan.

     Sekiranya kita berasa seolah-olah ditinggalkan Allah SWT, justeru bagaimana pula dengan keimanan kita?


Kekal Percaya

Pesanan daripada Ustaz Mahdzir, iaitu Ketua Warden MATRI yang tidak pernah saya lupakan adalah, "Hilal, saudara perlu bersangka baik dengan Allah."

     Bersangka baik dengan Allah yang mengatur segala-galanya. Tahukah kita, apa sahaja yang diaturkan Allah dalam kehidupan kita, adalah baik untuk kita? Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud:

          "Dan boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik untuk
          kamu. Boleh jadi kamu suka pada sesuatu padahal ia buruk
          untuk kamu. Dan ingatlah, Allah jugalah yang mengetahui
          semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya."

Mengapa kita tidak boleh bersangka baik kepada Allah SWT? Sedangkan Dia maha mengetahui dan kita tidak mengetahui apa-apa?

     Saya sering berkata, sekiranya kita mahukan syurga yang kesenangan tidak pernah dilihat oleh mata kasar dan tidak pernah terlintas dalam jiwa, pasti usahanya menggegarkan dunia.

     Oleh sebab itu, Allah menyatakan dalam surah Al-Baqarah, ayat 214 yang bermaksud:

          "Adakah kamu menyangka bahawa kamu pasti masuk syurga,
          padahal belum sampai kepada kamu ujian dan cubaan seperti
          yang berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada
          kamu? Meereka ditimpa kepapaan, kemusnahan harta benda,
          serangan penyakit, serta digoncangkan oleh ancaman bahaya
          musuh, sehingga berkata rasul dan orang-orang yang beriman
          yang ada bersamanya, 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?'
          Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat asalkan
          kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah."

Ada manusia yang diuji dengan pelbagai dugaan, sehingga ada yang berkata, "Di manakah pertolongan Allah?"

     Sesungguhnya, pertolongan Allah itu dekat. Adakah kita percaya?


Bersama Kesusahan, Pasti Ada Kesenangan

Kesusahan yang menyentuh kita, pasti berakhir. Namun, sejauh mana kekuatan kita untuk bersabar? Di sini kita perlu letakkan titik muhasabah.

     Setiap kesusahan, pasti diiringi kesenangan bagi sesiapa yang tabah melaluinya. Allah SWT menjelaskan dalam surah Asy-Syarh, ayat 5 hingga 6 yang bermaksud:

          "Oleh itu, tetapkan kepercayaanmu, sesungguhnya setiap
          kesukaran disertai kemudahan. Sekali lagi ditegaskan
          sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan."

Allah menerangkan dalam surah Ad-Dhuha, ayat 1 hingga ayat 3 yang bermaksud:

          "Demi waktu dhuha dan malam apabila ia sunyi-sepi. Tuhanmu
          tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci kepadamu,
          sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik."

Allah tidak membenci kita. Jauh sekali meninggalkan kita. Dalam tafsir Al-Quran yang saya pelajari, perkataan dhuha digunakan kerana ia adalah waktu matahari naik dan dunia terang-benderang. Ayat ini diturunkan semasa Rasulullah SAW dalam kesukaran. Wahyu terputus agak lama. Sehingga Rasulullah SAW merasakan yang Allah meninggalkan Baginda. Justeru, Allah menurunkan ayat itu sebagai penenang jiwa Baginda. Penenang jiwa kita juga yang menyatakan bahawa kita beriman kepada-Nya.


Bagi yang Teguh, Dia Pasti Bahagia

Sesukar mana pun perjalanan dalam sejarah kehidupan ini, perjalanan hidup Rasulullah SAW adalah lebih sukar. Baginda memulakan dakwah dalam keadaan yang sukar. Dicaci, dihina, dibaling najis, dicederakan, cubaan membunuh, dikhianati oleh kaum munafiq, dan pelbagai lagi cubaan. Lebih-lebih lagi di fasa Makkah, terdapat banyak kesukaran yang dihadapinya. Antaranya, dipulau selama tiga tahun tiga bulan, sehingga terpaksa memakan daun kering.

     Tetapi, Baginda dan para sahabat tetap tabah. Kekal percaya dengan janji-janji Allah SWT. Tidak duduk diam, malah berusaha dengan berkuat mengejar janji-janji Allah SWT.

     Akhirnya, kita lihat kegemilangan mereka di akhir waktu dakwah Rasulullah SAW.

     Bukanlah dalam kesukaran itu, semuanya menyempitkan. Pada yang tenang, dalam kepahitan itu ada kemanisan.

     Kita bukan tidak boleh mengadu, mengeluh, dan menangis hiba. Kita manusia. Ia memang berlaku. Kita manusia biasa. Apabila ada dosa, pastinya berasa lemah dan kadangkala kecewa. Tetapi, sekiranya benar kita adalah pendosa yang ingin membersihkan diri, kita tidak lama dalam kelemahan. Kita mahu segera naik bagi menggapai rahmat Tuhan.

     Dosa. Itu adalah ujian. Allah menerangkan dalam surah Az-Zumar, ayat 53 yang bermaksud:

          "Katakanlah wahai Muhammad, wahai para hamba-Ku yang
          melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan-
          perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat
          Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya
          Dia maha pengampun, lagi maha mengasihani."

Tidakkah kita membaca pula sambungan-Nya? Allah menyatakan bagaimana ciri-ciri orang yang mengambil peluang daripada Allah? Allah menerangkan lagi dalam surah Az-Zumar, ayat 54 yang bermaksud:

          "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat serta
          berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab. Ini
          kerana, sesudah itu kamu tidak diberikan pertolongan."

Namun, siapakah yang benar-benar beriman? Siapakah yang benar-benar percaya kepada Allah?

     Kepercayaan kepada Allah ini yang membuahkan ketenangan dalam jiwa kita.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment