Thursday 2 February 2017

NASIBAH BERJUANG TANPA GENTAR






NASIBAH BERJUANG TANPA GENTAR








"Tanpa gentar engkau berjuang
Penuh megah kau julang panji-panji Islam
Wahai Nasibah...
Engkaulah lambang kegagahan seorang wanita."




Nasibah binti Ka'ab bin Amru bin Auf Al-Anshariyah atau lebih dikenali dengan Ummi Umarah adalah seorang sahabat yang agung dan mempunyai martabat yang tinggi dan mulia di antara wanita-wanita muslimah yang lain. Beliau adalah seorang pejuang yang terunggul, ahli ibadah yang tekun, teguh dan tidak suka bergantung diri pada orang lain. Beliau adalah di antara orang-orang pertama memeluk Islam dan terdiri daripada mereka yang menyertai rombongan pertama Madinah yang membenarkan seruan Rasulullah di Aqabah. Sejurus selepas beliau pulang ke Madinah, Ummi Umarah mula menyebarkan risalah dakwah Islamiyah di kalangan wanita-wanitanya.

     Ummi Umairah juga kerap di medan peperangan bersama kaum Muslimin yang lain sebagai pemberi minuman kepada pejuang-pejuang yang luka dan merawat mereka. Ada kalanya beliau juga mengangkat pedang seperti kaum lelaki yang lain demi mempertahankan jiwa dan agama. Semasa kaum Muslimin sedang bersiap sedia untuk bertempur di medan Perang Uhud, Ummi Umarah menawarkan diri, suami dan kedua puteranya untuk sama-sama berjihad di samping Rasulullah. Baginda memberi keizinannya dan Ummi Umarah ditugaskan memberi minuman kepada pejuang-pejuang dan merawat mereka yang luka.

     Sewaktu pertempuran di Uhud menjadi dahsyat, pihak musuh mengundurkan diri akibat serangan pihak Muslimin yang bertubi-tubi. Rasulullah memerintahkan semua tentera tetap bertahan di atas gunung. Namun selepas melihat pihak musuh melarikan diri, mereka menyangkakan peperangan tamat lalu turun ke bawah dan melanggar perintah baginda semata-mata kerana tidak sabar mengumpulkan harta rampasan perang.

     Melihat barisan tentera Islam telah mengosongkan kubu mereka, kaum Musyrikin dengan pantas kembali semula dan membunuh para pejuang Islam yang alpa itu. Ramai tentera Muslimin yang gugur ketika itu dan ada yang lari dari kubu mereka. Hanya beberapa orang saja yang masih setia dan berdiri teguh di samping Rasulullah dan melindungi baginda.

     Pihak musuh telah melakukan pelbagai cubaan untuk melepasi pertahanan Rasulullah dan membunuh baginda. Ummi Umarah juga telah menunjukkan keberaniannya dengan mencapai pedang, busur dan panah dan menghalakannya ke arah musuh. Bersama-sama Ummi Umarah terdapat ramai para pahlawan terbilang seperti Ali, Abu Bakar, Umar, Sa'ad, Talhah, Az-Zubair, Al-Abbas dan juga suami dan kedua orang puteranya, sedang gigih mempertahankan Rasulullah.

     Ketika itu, datang pula Ibnu Qamiah untuk menyerang Rasulullah. Namun beliau telah ditentang oleh Mus'ab bin Umair dan teman-temannya termasuk Ummi Umarah. Kemudian Ibnu Qamiah telah menetak Ummi Umarah, walaupun beliau cuba untuk mengelaknya dengan beberapa pukulan namun tidak sedikit pun dirasai oleh Ibnu Qamiah yang memakai baju besi itu. Ummi Umarah terus melindungi Rasulullah dengan beliau sendiri terpaksa menerima beberapa tikaman di dada dan bahunya, namun tidak sedikit pun beliau bergerak meninggalkan Rasulullah. Baginda pernah berucap: "Setiap kali aku melihat di kiri dan kananku, aku tidak melihat yang lain selaim Ummi Umarah. Beliau mempertahankan jiwaku bermati-matian."

     Ketika Rasulullah melihat seorang putera Ummi Umarah berdarah akibat tikaman di lengan kirinya, baginda menyuruh Ummi Umarah berhenti seketika untuk membalut luka puteranya itu. Selepas itu, Ummi Umarah segera memerintahkan puteranya berjuang semula.

     Tidak lama kemudian, Ummi Umarah terdengar teriakan Rasulullah yang cuba memberitahunya musuh akan menetak puteranya itu. Dengan pantas Ummi Umarah pergi ke arahnya dan menetak betisnya, lalu beliau jatuh dan mati di situ. Rasulullah yang menyaksikan peristiwa itu tersenyum lebar sehingga terlihat gusinya. Kemudian terdengar oleh Ummi Umarah Rasulullah berkata: "Siapa yang dapat melakukan apa yang kamu lakukan ini, wahai Ummi Umarah!"

     Ummi Umarah bertempur tanpa memakai sebarang perisai. Ketika seorang pejuang yang berundur membawa perisainya, Rasulullah berteriak ke arahnya: "Berikan perisaimu itu kepada wanita yang sedang berjuang berhampiran denganmu itu!" Beliau pun memberikan perisainya kepada Ummi Umarah.

     Tiba-tiba seorang penunggang kuda dari pihak musuh datang menghampiri dan menghayunkan pedangnya ke arah Ummi Umarah. Ummi Umarah mengelak dengan perisainya dan menghayunkan pedangnya ke kaki kuda itu. Kuda itu pun rebah bersama penunggangnya. Tidak lama kemudian, Ibnu Qamiah datang semula bersama teman-temannya untuk menyerang Rasulullah. Sekali lagi beliau ditentang oleh Ummi Umarah sehingga terkena 13 tikaman di badannya.

     Begitulah kehebatan Ummi Umarah. Beliau mempunyai semangat yang kuat dan teguh ketika berjihad di medan perang. Rasulullah telah berdoa kepada Allah khusus buat Ummi Umarah sekeluarga dengan katanya: "Ya Allah! Ya Tuhanku! Jadikanlah keluarga Ummi Umarah ini teman-temanku di syurga!" Selepas mendengar doa itu, Ummi Umarah berkata: "Aku tidak hairan pada apa saja yang menimpaku di dunia selepas doa ini."

     Selepas bertempur di Uhud, kaum Muslimin bertempur lagi di Hamraa' Al-Asad. Ummi Umarah turut serta bersama-sama pejuang-pejuang yang lain. Namun beliau tidak dapat meneruskan perjalanannya. Luka-luka yang dialaminya akibat tikaman Ibnu Qamiah telah mengakibatkan pendarahan yang tidak henti-henti sehingga beliau terpaksa tinggal di belakang untuk membalut luka-lukanya.

     Selepas selesai bertempur di Hamraa', Rasulullah kembali ke Madinah dan mengutus Abdullah bin Ka'ab Al-Mazini untuk bertanyakan khabar Ummi Umarah. Apabila utusannya pulang dan mengkhabarkan Ummi Umarah sihat, baginda sungguh gembira. Ada riwayat menyebut, Rasulullah pernah bersabda: "Kedudukan Nasibah pada hari ini adalah lebih baik dari kedudukan si fulan dan si fulan!" Ini kerana baginda menyaksikan keberanian Ummi Umarah ketika bertempur di peperangan Uhud.

     Ummi Umarah menyertai beberapa peperangan selepas Perang Uhud. Beliau juga turut serta di dalam perang Yamamah di mana kaum Muslimin menyaksikan pembunuhan Musailimah Al-Kazzab yang mengakui dirinya seorang Nabi. Di dalam peperangan Yamamah ini, Ummi Umarah terputus tangannya dan kehilangan seorang puteranya yang mati syahid. Ada riwayat mengatakan, selepas mendengar puteranya dibunuh oleh Musailimah, Ummi Umarah bersumpah untuk bertarung sendirian dengan Musailimah supaya dapat membela kematian puteranya itu. Beliau bertarung bermati-matian sehingga akhirnya berjaya membunuh Musailimah.

     Ummi Umarah mempunyai mempunyai kelebihan dan menunjukkan tauladan yang tinggi pada kaum wanita di dalam peperangan. Beliau membuktikan kaum wanita juga sama hebatnya seperti kaum lelaki. Ikrimah meriwayatkan, Ummi Umarah pernah berkata kepada Rasulullah: "Aku belum pernah melihat apa pun melainkan hanya untuk kaum lelaki saja. Aku tidak pernah melihat kaum wanita disebut-sebut." Selepas ucapan Ummi Umarah itu, turunlah ayat yang berbunyi:

     "Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang
     perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta
     orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki
     yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-
     orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar,
     dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan
     yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada
     Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada
     Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-
     orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang
     berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-
     orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang
     perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang
     lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-
     orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak,
     Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan
     pahala yang besar." (Al-Ahzab: 35)

Ummi Umarah adalah di antara ramai perawi-perawi hadith yang banyak mengeluarkan hadith-hadith dari Rasulullah.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.

No comments:

Post a Comment