Saturday 11 February 2017

TENANGLAH JIWA DAMAILAH HATI






TENANGLAH JIWA DAMAILAH HATI








Diasak dan diasak. Ini adalah satu daripada beberapa keadaan manusia dalam mengharungi kehidupan. Diasak dengan pelbagai cabaran, dugaan, dan kesengsaraan. Lain manusia lain pula halangannya. Masing-masing menghadapinya dan ada yang berjaya melepasinya. Tetapi, ada yang tersungkur selepas kesukaran menghentamnya. Tekanan dihadapi dari pelbagai arah. Bermula dengan menyerabutkan kepala, menyerang jiwa, dan hati.

     Akhirnya, akal tidak dapat berfikir dengan baik dan hati berasa tidak tenang. Berasa sukar. Kadangkala seolah-olah hilang oksigen untuk bernafas. Berasa tersepit di hujung dunia, seperti matahari yang kehilangan cahaya. Di sinilah kita perlu memujuk diri. Tenanglah jiwa, damailah hati.


Keperluan untuk Berpaut?

Kita berasa gundah, pedih, dan sakit. Kita perlukan tempat bagi meluah perasaan. Kita perlukan individu yang memahami kita. Kita manusia, bukannya android tanpa jiwa. Namun, kita tidak mampu menyuarakannya. Kadangkala, mereka tidak mengerti keadaan kita.

     Mereka suka melihat kita senyum gembira, tetapi mula menjauhkan diri apabila kita menitiskan air mata. Lebih buruk lagi, ada juga yang bersenang hati apabila kita berduka dan membenci apabila kita gembira. Namun, kita adalah manusia. Mahu berpaut. Lemah dan mahu dipapah.

     Siapa yang dapat mendengar mendengar semua kesedihan kita? Siapa yang betul-betul memahami kita? Allah menjelaskan dalam surah An-Naml, ayat 62 yang bermaksud:

          "Siapakah yang mengabulkan doa orang yang dalam kesulitan
          apabila ia berdoa kepada-Nya, dan menghilangkan kesusahan
          serta menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada
          tuhan selain Allah? Sedikit sekali kamu yang memperhatikannya."

Sedikit sekali antara kita memerhatikan dan meneliti kasih sayang Allah kepada kita. Allah sentiasa ada, membuka peluang untuk berpaut kepada-Nya.


Tenanglah Jiwa

Allah menerangkan dalam surah Ad-Dhuha, ayat 1 hingga 2 yang bermaksud:

          "Demi waktu dhuha dan malam apabila ia sunyi sepi berakhir."

Bagaimanakah waktu dhuha? Bukankah sudah cerah? Tidak ada sekelumit gelita ketika dhuha. Sebenarnya, itu adalah dhuha apabila malam berlalu pergi. Tidakkah kita melihat kepada Dhuha? Begitu juga segala keperitan dan kesengsaraan yang kita hadapi. Semuanya terhenti bagaimana berakhirnya malam dan digantikan dengan kecerahan dhuha yang tidak ada langsung kelam pada waktunya. Allah menerangkan dalam surah Ad-Dhuha, ayat 3 yang bermaksud:

          "Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak juga membenci."

Masya Allah. Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak pula Dia membencimu. Dugaan, cabaran, dan ujian. Semuanya bukannnya menunjukkan kebencian Allah SWT. Hatta, bala bencana yang menimpa juga hakikatnya dalam ruang kasih sayang-Nya yang luas. Dia mahu kita kembali kepada-Nya. Kembali kepada-Nya adalah satu-satunya cara mencapai kebahagiaan.

     Allah tidak pernah meninggalkan kita. Allah yang Maha Besar. Allah yang Maha Hebat. Allah yang Maha Kaya. Allah yang Maha Berkuasa. Allah yang Maha Pencipta.

     Tidakkah jiwa berasa tenang?


Damailah Hati

Tekanan itu milik Allah. Cabaran itu datangnya daripada Allah. Ujian dan kesengsaraan semuanya diatur oleh Allah SWT. Tujuannya adalah bagi mendidik kita dan mengangkat kita kepada darjat yang lebih tinggi. Sekiranya tidak, sudah pasti para rasul dan nabi tidak diuji.

     Allah mahu melihat, siapakah antara kita mampu menjadi hamba-Nya yang baik. Allah menegaskan dalam surah Al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud:

          "Dia yang mentakdirkan adanya mati dan hidup. Dia mahu
          menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu
          yang terbaik amalnya. Dia maha kuasa membalas amal kamu,
          lagi maha pengampun kepada orang-orang yang bertaubat."

Tetapi, Dia tidak menguji tanpa memberi bantuan dan sokongan. Allah menjelaskan dalam surah Asy-Syarh, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

          "Bukankah Kami sudah melapangkan untukmu dadamu? Kami
          sudah meringankan untukmu beban yang memberati
          tanggunganmu?"

     Bukankah Kami yang melapangkan untukmu dadamu? Masya Allah.

     Allah. Allah. Allah.

     Allah menyatakan dalam surah Asy-Syarh, ayat 5 hingga 6 yang bermaksud:

          "Oleh itu, tetapkan kepercayaanmu dan sesungguhnya setiap
          kesukaran disertai kemudahan. Sekali lagi ditegaskan bahawa
          sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan."

Justeru, damailah hati. Selepas menghadapi pelbagai kesukaran hidup, kita perlu percaya pasti ada kesenangan yang menanti.


Sudah

Menyedari hakikat kita diuji di dunia ini, sebenarnya kita sedang bersama Allah SWT. Dia yang menambah kekuatan bagi mengharungi dugaan ini. Menyedari betapa kasihnya Allah kepada kita, ia pasti melapangkan jiwa kita.

     Memang sukar apabila mereka tidak memahami penderitaan kita. Lebih pahit sekiranya mereka menuntut supaya kita memahami mereka. Itu adalah lumrah alam.

     Tetapi, Allah tidak sedemikian. Dia yang maha memahami. Dia yang maha mengetahui. Dia yang maha mendengar segala rintihan. Dia yang mahu memberikan bantuan.

     Sudah.
  
     Tenanglah jiwa, damailah hati.

     Allah pasti membalas kesukaran ini. Allah ganjarkan keperitan jiwa ini dan Allah bayar semua kesusahan yang kita hadapi. Sekarang kita perlu bersabar dan berusaha menghadapinya. Lantas, cuba menyelesaikan apa sahaja masalah yang mendekati kita.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment