Wednesday 1 February 2017

KAMI LUPA ASAH KAPAK






KAMI LUPA ASAH KAPAK








Selepas mengharungi suatu tahap dalam kehidupan dengan penuh kesungguhan dan kegigihan, kita pasti melanggar dinding kepenatan. Kita berasa keletihan. Kemudian berasa lemah dan hilang kekuatan. Prestasi kita semakin menurun manakala kualiti semakin terjejas. Kita tertanya-tanya, apakah sebabnya. Lantas, kita melipat gandakan usaha, menambah amal, tetapi apa yang terjadi adalah penurunan.

     Turun dan semakin turun.

     Mengapa?

     Ini kerana, kita lupa mengasah kapak kita.


Kisah Seorang Pemotong Pokok

Terdapat seorang pemotong pokok bersama kapaknya yang tajam. Dia mahu bekerja mencari makan. Dia bertemu dengan seorang tuan tanah yang dipenuhi banyak pokok. Tuan tanah itu memerlukan orang bagi menebang pokok.

     Bermulalah kerjanya. Hari pertama dia berjaya menumbangkan 30 batang pokok. Dia memulakan hari keduanya dengan gembira. 30 batang pokok lagi berjaya ditumbangkan.

     Tuan tanah berasa gembira dan pemotong pokok juga senang hati. Esoknya, dia berjanji mahu datang lagi. Namun, pada hari ketiga, dia hanya dapat memotong 20 batang pokok sahaja.
   
     Pemotong pokok kehairanan. Dia tidak berasa staminanya menurun. Dia berkata kepada tuan tanah, "Esok saya pasti dapat lakukan yang terbaik." Dia berazam bagi melipat gandakan usaha.

     Namun, pada hari keempat dia hanya mampu memotong 10 batang pokok. Lebih sedikit daripada hari ketiga, walaupun dia sudah berusaha. Dia berasa tidak senang dengan prestasinya. Sekali lagi dia berjanji dengan tuan tanah. "Esok, pasti saya memperbaiki prestasi saya."

     Pada hari kelima, dia bermati-matian berusaha. Mengejutkan apabila setiap pokok yang mahu dipotongnya memakan masa yang lama. Pada hari terakhir, dia dapat menebang lima batang pokok sahaja.

     Dia menangis. Menghentam-hentam dirinya dengan pelbagai pertanyaan.

     Tuan tanah datang mendatanginya lalu bertanya, "Adakah kamu mengasah kapak kamu?"

     Ketika itu, pemotong itu tersentak.
   
     Ya, dia tidak mengasah kapaknya.


Kapak dalam Kehidupan Kita

Kapak dalam cerita di atas dapat didefinisikan sebagai keimanan. Selepas mengharungi pelbagai halangan, cabaran, dan dugaan, pasti muncul dugaan dalam kehidupan kita. Kita pasti berasa penat, lemah, dan tidak bermaya bagi melakukan kerja.

     Kita sedar apabila masalah ini berlaku pada diri kita. Tetapi, kita mengambil langkah penyelesaian yang silap. Biasanya kita bertindak melipat gandakan usaha dan sebagainya.

     Kita lupa melihat punca yang sebenar.

     Daya keimanan. Apakah sumber daya itu? Mari kita lihat kembali.

     Mengapa kita tidak dapat mengamalkan Al-Quran dengan bersungguh-sungguh?

     Mengapa kita tidak dapat mendirikan solat dengan khusyuk?

     Mengapa kita tidak dapat menundukkan pandangan?

     Mengapa kita tidak dapat beristiqamah atas kebaikan?

     Mengapa kita tidak dapat memikul kebaikan sepanjang kehidupan?

     Ini kerana daya keimanan kita semakin tumpul. Keimanan dapat menolak manusia untuk kekal taat kepada-Nya. Apabila keimanan semakin tumpul, kekuatan untuk beramal juga menurun.


Menghidupkan Daya Keimanan

Apabila kita sedar berkenaan perkara ini, iaitu kurangnya kualiti dan prestasi kita sebagai hamba Allah SWT langkah bagi menghidupkan semula keimanan perlu kita laksanakan.

     Perkara utama adalah kembali memerhatikan hubungan dengan Allah SWT. Kita muhasabah dan membuat pengisian. Antara kata-kata masyhur daripada sahabat Rasulullah SAW adalah, "Mari kita duduk sebentar dan beriman."

     Bukannya beriman dengan sebentar. Tetapi, dalam waktu yang sebentar itu, kita mengecas kembali iman yang mengalir dalam segenap kehidupan kita, kerja, dan amalan.

     Jiwa kita perlu diisi dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat. Perlu wujud perhentian bagi mengambil bekalan tambahan.

     Cara lain adalah dengan duduk bersama rakan-rakan yang soleh. Lakukan program bersama seperti solat subuh secara berjemaah, sarapan pagi, dan qiamullail dalam kadar yang sederhana. Amalan ziarah juga adalah suatu bentuk kekuatan.


Perhatikan Kapak Kita

Dalam kehidupan, kita perlu menebus jahiliah. Apabila mahu beramal, kita perlu menebas kemalasan, hasutan, godaan, dan sebagainya.

     Kita wajib taat kepada Allah. Kita perlu menebas syaitan dan cinta pada hawa nafsu.

     Kita memerlukan kapak.

     Justeru, jangan lupa mengasahnya.

     Kekuatan tidak terbina dengan tiba-tiba. Pasti ada sumbernya. Apabila kekuatan itu milik kita, pasti selesai semua masalah.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment