Tuesday 14 February 2017

PERANG-PERANG YANG BENAR






PERANG-PERANG YANG BENAR








Islam bukan agama peperangan, Namun pada ketika Islam diancam, Islam adalah agama yang mengangkat perang sebagai sesuatu yang suci. 

     Perang dalam Islam bermula apabila musyrikin Mekah merancang membunuh Nabi Muhammad SAW, sehingga beliau terpaksa keluar dari Mekah, maka bermulalah sejarah perang dalam Islam. Ia adalah asas perang yang paling utama dalam Islam, iaitu mempertahankan diri dan akidah.

     Kemudiannya turun pula ayat 36 surah At-Taubah yang bermaksud, "... dan perangilah kaum kafir musyrikin seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kaum seluruhnya." Ini kerana Nabi Muhammad SAW pada mulanya hanya mahu memerangi kaum Quraisy Mekah tetapi ramai kaum lain dari luar Kota Mekah menyertai kaum Quraisy Mekah bagi memerangi orang Islam.

     Tujuan perang dalam Islam kemudiannya berkembang, bagi menegakkan agama Islam. Ini sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud, "Aku disuruh memerangi manusia sehingga mereka berkata tidak ada tuhan selain Allah, dan mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat. Apabila mereka berkata demikian, darah dan harta mereka terselamat daripadaku kecuali dengan haknya. Dan perhintungannya terserah pada Allah."

     Pada suatu ketika pula, turun ayat 58 Surah Al Anfal yang bermaksud, "Dan jika kamu mengetahui adanya perbuatan khianat daripada sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu), maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat."

     Turunnya ayat itu adalah sebagai maklum balas kepada pengkhianatan orang Yahudi yang menolong orang musyrikin memerangi orang Islam.

     Itulah antara, sebab-sebab awal perang dalam Islam, bagi mempertahankan diri dan akidah, bagi menegakkan Islam dan bagi memerangi pengkhianatan. Namun niat yang benar tanpa pelaksanaan yang benar tidak menjadikan perang-perang itu sebagai perang yang benar.

     Maka berwasiatlah Nabi Muhammad SAW, "Berperanglah dengan nama Allah dan perangilah musuh Allah dan musuh kamu di Syam. Kamu akan mendapati di sana, paderi-paderi yang mengasingkan diri di gereja. Jangan kamu ganggu mereka. Jangan kamu membunuh perempuan, kanak-kanak dan orang-orang tua. Jangan menebang pokok dan merobohkan bangunan..."

     Walaupun wasiat ini disampaikan semasa Perang Mut'ah tetapi ia sudah dilaksanakan pada perang-perang awal umat Islam. Umat yang berperang bukan kerana nafsu, umat yang berperang kerana yakin itu adalah perang-perang yang benar.


Perang Badar

Perang Badar adalah perang pertama yang dilalui oleh umat Islam. Ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah bersama 17 Mac 624 Masihi. Pada mulanya umat Islam diuji buat pertama kali diwajibkan berpuasa pada siang bulan Ramadhan, kemudian pada bulan yang sama diuji lagi berperang bersama Rasulullah, semasa mereka sedang berpuasa.

     Sedangnya peperangan itu bukan dirancang dari awal kerana tujuan Nabi Muhammad bersama pasukannya keluar dari Madinah bagi mencegah kafilah dagang Quraisy yang menceroboh ke dalam kawasan Madinah.

     Madinah terletak di laluan antara Mekah dengan Syam. Kerana itu apabila kafilah dagang Quraisy hendak pergi ke Syam, mereka melalui jalan yang berhampiran dengan Madinah. Begitu juga perjalanan pulang dari Syam, mereka melalui jalan yang sama.

     Selepas Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, beliau membuat perjanjian dengan kabilah Arab di sekitar kawasan Madinah. Beliau juga menetapkan sempadan kawasan Madinah yang perlu dihormati oleh mereka yang hendak melaluinya.

     Undang-undang serta peraturan itu perlu dilakukan kerana sering kali orang Quraisy Mekah yang dalam perjalanan ke Syam ataupun pulang dari Syam mengganggu penduduk Madinah kerana mengikat perjanjian dengan Nabi Muhammad. Mereka juga sering mencuri haiwan ternakan serta merosakkan tanaman penduduk Madinah. Ekoran itu Nabi Muhammad membentuk pasukan pemantau bagi menjaga keselamatan penduduk dalam kawasan Madinah.

     Sebelum berlakunya perang Badar, sudah tujuh kali Nabi Muhammad menghantar pasukan bagi menyekat kafilah dagang Quraisy yang melalui jalan dalam kawasan Madinah. Pada kali yang kelapan itu Nabi Muhammad sendiri yang memimpin pasukannya yang seramai 313 orang. Ramai para sahabat yang tidak turut serta.

     Peperangan Badar juga berlaku kerana keangkuhan Abu Jahal yang memimpin pasukan tentera Quraisy. Pada mulanya tujuan mereka keluar dari Mekah adalah mahu menyelamatkan kafilah daging Quraisy yang dilaporkan dirampas oleh Muhammad dan pengikutnya. Abu Jahal mewajibkan semua lelaki dewasa di Mekah keluar bersamanya ataupun mewakilkan orang lain sebagai penggantinya. Abu Lahab yang tidak dapat turut serta mewakilkan Ashi bin Hisyam sebagai penggantinya.

     Pasukan Quraisy membuat persiapan yang secukupnya bagi berperang dengan pasukan Nabi Muhammad. Jumlah mereka seramai 1300 orang serta dilengkapi dengan tentera berkuda seramai 200 orang dan 600 orang antara mereka memakai baju besi.

     Apabila Nabi Muhammad mendapat tahu kemaraan pasukan Quraisy itu, beliau segera bermesyuarat dengan anggota pasukannya yang terdiri daripada kaum Ansar dan Muhajirin. Mereka menyatakan kesanggupan berhadapan dengan pasukan Quraisy kerana tidak mahu dituduh penakut berhadapan dengan pasukan Quraisy. Akhirnya berlakulah peperangan Badar.

     Kerana pentingnya Perang Badar hingga Nabi Muhammad berdoa, sekiranya mereka kalah maka tidak ada lagi manusia yang akan menyembah Allah di muka bumi ini.


Perang Uhud

Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu 11 Syawal tahun ke-3 Hijrah/26 Mac 625 Masihi antara pasukan Quraisy Mekah dipimpin Abu Sufyan bin Harb dengan pasukan Muslimin di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW. Pasukan musyrikin Mekah berjumlah tiga ribu orang lengkap dengan senjata serta mendapat bantuan daripada beberapa kabilah Arab, antaranya Kinanah dan Tihamah. Pasukan Muslimin pada mulanya berjumlah seribu orang tetapi pada saat-saat akhir, Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya seramai 300 orang menarik diri pulang ke Madinah. Jumlah sebenar pasukan muslimin yang terlibat dengan Perang Uhud adalah seramai 700 orang sahaja.

     Gunung Uhud terletak di sebelah utara Kota Madinah. Jauhnya kira-kira enam kilometer dari Masjid Nabawi. Dinamakan Gunung Uhud kerana keadaannya tunggal tidak bersambung dengan gunung-gunung yang lain. Dari jauh gunung itu tampak kemerahan kerana terdiri dari batu kerikil merah.

     Dalam pertempuran di kaki Gunung Uhud itu, pasukan muslimin mengalami kekalahan di mana 71 orang gugur syahid manakala di pihak lawan hanya 23 orang sahaja yang terbunuh. Antara yang syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib. Rasulullah sendiri mengalami luka-luka di bahagian muka dan gigi beliau patah.

     Gunung Uhud adalah gunung yang bersejarah bagi orang Islam kerana di sinilah bersemadinya 71 orang syuhada termasuk Hamzah bin Abdul Mutalib. Menurut satu riwayat, di situ juga letaknya kubur Nabi Harun saudara kandung Nabi Musa.

     Bagi mereka yang pernah melawat Gunung Uhud, pastinya pernah melihat kedudukannya yang agak condong sikit kerana kedudukan itu ada kaitannya dengan sejarah Perang Uhud.

     Diberitakan, ketika para syuhada hendak dikebumikan agak jauh sedikit dari Gunung Uhud, maka Gunung Uhud bergerak untuk mengikut mengiringi jenazah itu. Namun baginda Rasulullah SAW melarang Gunung Uhud dari berubah tempatnya. Oleh sebab itulah, Gunung Uhud sedikit condong dari kedudukan asalnya.


Perang Khandaq

Perang Khandaq atau Perang Ahzab berlaku pada tahun kelima hijrah. Dinamakan khandaq (parit) kerana pasukan muslimin menggali parit yang panjangnya hampir mengelilingi Kota Madinah bagi menghadang serangan musuh. Dinamakan Ahzab (bersekutu) kerana musuh yang datang menyerang Madinah terdiri dari beberapa kabilah Arab, Yahudi dan Habsyi.

     Selepas berlakunya Perang Uhud, mereka yang memusuhi orang Islam telah melakukan pengkhianatan antaranya peristiwa di Airmata Raji' yang mengorbankan enam pendakwah Islam. Kemudian berlaku pula peristiwa di Bir Maunah yang mengorbankan enam puluh sembilan orang pendakwah. Ekoran peristiwa itu, Bani Nadhir dihalau keluar dari Madinah kerana cuba membunuh Nabi Muhammad SAW.

     Huyay bin Akhtab, ketua Bani Nadhir berusaha menyatukan beberapa kabilah Arab dan Yahudi bagi menyerang Kota Madinah. Bagi menghalang serang itu kaum muslimin menggali parit seperti yang dicadangkan Salman Al Farisi.

     Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandaq adalah tiga peperangan yang penting dalam Islam serta banyak memberi pengajaran. Perang Badar menyaksikan bagaimana pasukan Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW dianugerahkan kemenangan yang gemilang. Perang Uhud pula berakhir dengan kesedihan apabila ramai pahlawan Islam gugur syahid. Perang Khandaq pula memancarkan inspirasi bagaimana umat Islam bertahan daripada serangan musuh.

     Dalam tiga peperangan yang besar ini Nabi Muhammad SAW menunjukkan kehebatan beliau sebagai ketua pasukan tentera. Baginda bukan sahaja pemimpin yang terpuji akhlaknya, kuat ibadatnya malah ketua panglima yang hebat di medan perang.

     Allah memberikan kemenangan kepada pasukan muslimin bukan secara mudah dan percuma. Mereka berusaha keras dengan membina sistem pertahanan yang paling canggih pada masa itu. Mereka mengatur strategi perang, bertahan dan menyerang dengan menggunakan senjata yang sama dimiliki musuh. Kepakaran mengatur pasukan dan keberanian menghadapi usuh yang tiada tandingan, ketaatan dan kepatuhan kepada Rasulullah serta peranan perisik yang berjaya memecahbelahkan pihak musuh juga sangat membantu. Semuanya itu digabungkan menjadi satu barulah datang bantuan daripada Allah.

     Ketika perang Badar, pasukan muslimin berjumlah tiga ratu tiga belas orang menentang pasukan Quraisy seribu orang. Perang Uhud pula pasukan Muslimin berjumlah tujuh ratus orang menentang tiga ribu pasukan Quraisy. Dalam Perang Khandaq pula, kira-kira tiga ribu pasukan muslimin menentang sepuluh ribu pasukan Ahzab.

     Apa yang menariknya dalam Perang Ahzab, pasukan muslimin yang gugur syahid cuma enam orang berbanding tujuh puluh satu orang gugur syahid dalam perang Uhud dan empat belas orang dalam Perang Badar. Walaupun jumlah syahid paling sedikit namun Perang Khandaq menyaksikan peperangan dalam erti kata yang sebenar.

     Perang Badar dan Perang Uhud menyaksikan berlakunya pertempuran secara berhadapan atau menggunakan kekuatan fizikal tetapi dalam Perang Khandaq melibatkan semua sudut, perang fizikal (berlakunya perang tanding), perang saraf, pedang strategi dan kebijaksanaan di medan perang.

     Dalam peristiwa Perang Khandaq juga Allah memberi harapan kepada Rasulullah dan pengikutnya bahawa mereka akan dapat mengalahkan kerajaan Rom dan Parsi melalui peristiwa Nabi Muhammad memecahkan batu yang keras. Selepas Perang Khandaq, mereka yang memusuhi Islam tidak berani lagi mengkhianati umat Islam. Kaum Quraisy di Mekah pula tidak lagi berani lagi merancang menyerang Madinah dan akhirnya membawa kepada pembukaan Kota Mekah.


Perang Khaibar

Perang Khaibar terjadi di Kota Khaibar atau benteng Khaibar yang terletak seratus lima kilometer dari Madinah. Ia merupakan sebuah kubu perlindungan kaum Yahudi yang terbesar meliputi kawasan berbukit dan kawasan pamah. Kawasan berbukit dijadikan kawasan kediaman orang awam dan penempatan anggota tentera. Kawasan pamah pula dijadikan kawasan pertanian dan ternakan. Mereka juga mempunyai sistem saliran air yang teratur.

     Di dalam kota Khaibar juga terdapat lapan buah kubu yang besar dan setiap kubu dilingkungi benteng yang kukuh. Kerana itu mereka berasa begitu yakin selamat apabila berlindung di dalam Kota Khaibar walaupun dikepung selama setahun kerana mendapat cukup bekalan makanan dan air. Benteng-benteng yang dibina pula sangat kukuh sehingga sukar ditembusi musuh. Tentera Rom sudah beberapa kali cuba menakluki Kota Khaibar tetapi tidak berjaya. Namun akhirnya benteng Khaibar yang kukuh dan berlapis-lapis itu dapat ditembusi tentera Islam. Dengan penaklukan kota Khaibar dan kawasan di sekitarnya maka berakhirlah penguasaan Yahudi di tanah Arab.

     Pada mulanya Madinah didatangi kaum Arab di Yaman selepas empangan air yang terbesar di negara itu pecah. Mereka mencari penempatan baru lalu meneroka Madinah. Kemudian datang pula bangsa Yahudi dari Palestin selepas negara mereka ditakluk kerajaan Rom.

     Sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, orang Yahudi sudah menguasai negeri itu. Selain Madinah orang Yahudi juga terdapat di Khaibar, Fadak, Wali Qurra, Taima' yang terletak di sebelah utara. Pada mulanya kaum Yahudi tidak memusuhi Islam kerana mereka juga percaya Allah dan tidak mahu menyembah berhala.

     Permusuhan Yahudi kepada Nabi Muhammad dan Islam bermula selepas Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Pada mulanya mereka menyambut baik kedatangan Rasulullah dan para sahabat tetapi akhrinya timbul permusuhan. Kemuncak permusuhan antara mereka selepas orang Islam dapat menguasai ekonomi serta menyebarkan Islam di kalangan penduduk Madinah sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh orang Yahudi.

     Akibat permusuhan itu, kaum Yahudi Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir dihalau keluar dari Madinah. Kaum lelaki Bani Quraizah pula dihukum bunuh kerana membantu tentera Ahzab menyerang Madinah dalam Perang Khandaq.

     Kota Khaibar menjadi tumpuan orang Yahudi Bani Qunaiqa', Bani Nadhir dan beberapa kabilah Yahudi yang lain. Kerana itu jumlah penduduknya sepuluh ribu orang. Rasulullah menakluk Kota Khaibar kerana mereka membantu tentera Ahzab menyerang Madinah. Kemudian mereka mengajak kaum Yahudi lain termasuk Wadi Qurra, Taima', Fadak dan kabilah Arab Ghafatan bagi menyerang Madinah. Nabi Muhammad bertindak pantas menakluk kota Khaibar dulu sebelum mereka sempat melakukan serangan.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment