Monday 6 February 2017

PENYELESAIAN PADA ANCAMAN DALAM DIRI MANUSIA






PENYELESAIAN PADA ANCAMAN DALAM DIRI MANUSIA








Terdapat pelbagai jenis ancaman dalam kehidupan. Contohnya, ancaman bunuh. Namun, itu adalah ancaman pada zahir manusia sahaja. Kali ini, saya mahu mengajak para pembaca buku motivasi ini memandang sebentar pada ancaman dalam diri manusia.

     Mungkin ada yang berkata, "Kami sudah tahu. Ancaman seperti riyak, ujub, dan takabbur.

     Tetapi, saya mahu menyebut ancaman lain. Ancaman yang lebih besar. Ibu kepada segala masalah, keresahan hati, keraguan, bencana dalam jiwa manusia.


Tiga Cabaran Besar pada Manusia

Hakikatnya, tiga cabaran besar dalam kehidupan manusia adalah:

     1. Manusia mempunyai kalbu yang sifatnya berbolak-balik.
     2. Manusia mempunyai iman yang sifatnya turun dan naik.
     3. Manusia mempunyai syaitan yang bersumpah bagi menyesatkannya setiap detik.

Sekiranya diperhatikan secara telus, tidak semua manusia menghadapi masalah seperti riyak, takabbur, ujub, benci membenci, dan sebagainya. Tetapi, manusia tidak terlepas dengan tiga perkara yang saya nyatakan di atas.

     Setiap masa, tiga perkara ini mengancam ketaatan kita kepada Allah SWT.

     Ujub, riyak, takabbur, benci-membenci, dengki-mendengki, tamak, berasa mahu menjatuhkan orang lain, tidak percaya kepada Allah, membenci sunnah Rasulullah, dan tidak suka kepada sistem Islam.

     Tidak ada manusia yang terlepas daripada tiga perkara ini.


Realiti Tiga Cabaran Ini

Kalbu manusia bersifat berbolak-balik. Oleh itu, kadangkala kita berasa mahu berbuat jahat. Ada masa pula bersungguh-sungguh mahu membuat kebaikan. Pastinya kita juga pernah merasakan perkara ini.

     Iman kita ada masa berkurang dan bertambah, serta turun dan naik. Ketika iman kita sedang kuat, kita mampu menundukkan pandangan dan melakukan amal dengan baik. Tetapi, apabila iman kita lemah, kita mula memandang kepada yang tidak patut kita lihat. Kita cuba melakukan perkara yang tidak patut kita lakukan.

     Syaitan pula sudah bersumpah di hadapan Allah SWT bagi menyesatkan manusia sehingga hari kiamat kelak. Dia menghasut tidak mengira saat dan ketika. Ketika kalbu kita berbolak-balik pada kebaikan, dia berusaha membalikkannya kepada kejahatan. Ketika iman kita tinggi memuncak, dia cuba merendahkan serendah-rendahnya. Mereka yang kalbunya sedang berbalik kepada kejahatan, syaitan berusaha menahannya supaya terus berada pada kejahatan.

     Manusia tersepit dalam keadaan seperti ini. Oleh itu, apabila kita mahu membuat kebaikan, kita pasti berasa sukar melakukannya.

     Kadangkala ada manusia yang kecewa. Lantas, berasa mahu membunuh diri. Ada juga yang berasa dirinya tidak mempunyai harapan. Lalu, membuat keputusan untuk terus hidup dalam longkang dosa. Banyak lagi perkara yang membuatkan manusia akhirnya tersungkur daripada ketaatan kepada Allah SWT.

     Adakah tidak ada cara lain untuk kekal taat kepada Allah SWT?

     Pada saya, ada.


Bermula daripada Asas

Oleh itu, kita perlu bermula daripada akar permasalahan terlebih dahulu. Iaitu, kefahaman kita kepada Islam.

     Bagaimanakah kita memandang Islam?

     Adakah Islam adalah agama yang berada di dalam masjid sahaja?

     Bagaimana pula kita mengenali Allah SWT?

     Adakah kita menganggap Allah sebagai matlamat kita, pelindung kita, Rabb kita, berkuasa atas segala-galanya, dan satu-satunya tempat pergantungan kita? Ataupun kita hanya menganggap Allah sebagai perkara sampingan dalam kehidupan?

     Bagaimana pula dengan Rasulullah SAW?

     Adakah kita menganggap Baginda seorang daripada tokoh sejarah seperti tokoh-tokoh lain? Ataupun kita menganggap Baginda, cara hidup Baginda, para sahabat Baginda, dan ajaran Baginda sebagai perkara yang patut kita contohi, ikuti, dan taat?


Apabila Memahami dengan Kefahaman yang Jelas

Apabila kita sudah faham, kita mampu meningkat naik. Kita mampu menahan kalbu kita supaya sentiasa berada pada kebaikan. Sekiranya ia berbalik pada kejahatan, ia pantas kembali kepada kebaikan. Kita mampu meningkatkan keimanan kita. Sekiranya ia jatuh sekalipun, ia hanya sedikit, kemudian terus meningkat sehingga ke tahap yang tinggi.

     Apabila kita berjaya melakukan dua perkara ini, pasti Allah menjaga kita daripada gangguan syaitan dalam keadaan kita terus berjaga-jaga.

     Ini adalah perkara pertama yang perlu kita lihat. Bagaimana pula dengan kefahaman kita?

     Adakah orang yang tidak faham bagaimana komputer beroperasi dapat membaiki komputer?

     Adakah orang yang tidak faham hubungannya dengan Allah, Rasulullah, dan Islam, dapat membaiki dirinya dan terus berada dalam ketaatan dan keimanan?

     Apabila kita jelas dan faham perkara ini, kita pasti jelas bagaimana mahu menghadapi ketiga-tiga ancaman ini. Ketahanan kita tidak lama, sekiranya kita tahu bagaimana menghadapi ketiga-tiga ancaman ini, tanpa kita faham mengapa kita perlu mematahkannya, akhirnya, kita pasti tersungkur semula. Kemungkinan kita tersungkur lebih teruk daripada sebelumnya. Kefahaman adalah penyelesaian pada ancaman dalam kehidupan manusia.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

No comments:

Post a Comment