Saturday 16 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 39 ( EPISOD AKHIR ) - PERGINYA SRIKANDI ISLAM ]






PERGINYA SRIKANDI ISLAM




Setiap yang hidup pasti akan mati, tidak akan dilambatkan walau sesaat dan tidak diawalkan walau sesaat apabila ia datang menjemput. Di dalam sejarah hidup manusia, hanya Nabi Isa al-Masih sahaja yang belum dimatikan oleh Allah atas sebab-sebab tertentu.

     Nabi Muhammad yang agung juga menghembuskan nafas yang terakhir sejurus meniti di bibirnya perkataan, "Ummati... ummati...."

     Baginda hanya berumur 63 tahun kala itu. Rabiah agak bertuah, umurnya dilanjutkan selama 80 tahun. Dia tetap kekal membujang tanpa timbul rasa kesal kerana tidak berkahwin. Umur yang dipanjangkan disyukuri dan dimanfaatkan oleh Rabiah walau sebenarnya kematianlah yang lebih dirinduinya, kerana sepanjang hidup dia menunggu bagi bersua dengan kekasihnya yang azali.

     Saat malaikat maut datang menziarahinya, Rabiah seakan-akan mengetahui kedatangan tetamu utusan Allah itu. Saat itu, wajah Rabiah memancarkan nur mahabbah yang luar biasa.

     "Alangkah berserinya wajah guru," kata Abdah bin Abi Syawal.

     "Kami sangat sedih kerana guru mungkin akan meninggalkan kita," kata salah seorang hadirin yang berada berhampiran pembaringan Rabiah.

     "Jangalah kamu berkata begitu. Apakah kamu semua melihat guru sedang bersedih? Seri wajahnya bagaikan pengantin yang akan menempuhi malam pertama dengan suaminya. Sungguh guru berasa sekarang berasa sangat bahagia. Sekejap lagi dia akan dijemput dengan penuh kemuliaan dari langit," kata Abdah pula.

     "Inilah saat yang dinanti-nantikan oleh guru."

     Semua hadirin diam selepas mendengar Abdah berkata begitu. Ruang yang sempit itu amat menyesakkan mereka yang mahu bersama Rabiah pada saat-saat akhir.

     Tiba-tiba, Rabiah yang sangat lemah itu bersuara, "Bangunlah kalian dan berdirilah, seharusnya kamu semua memberi penghormatan kepada utusan Allah."

     Hadirin terpinga-pinga dan berpandangan sesama sendiri. Namun mereka tidak berani berkata walau sepatah. Mereka terus mengikut sahaja arahan Rabiah mereka itu.

     Kemudian Rabiah bersuara lagi, ada getar pada suaranya, "Keluarlah kamu kesemuanya, tinggalkan saya dengan utusan Allah ini."

     Dengan perasaan yang sedih dan pilu, para hadirin yang terdiri daripada anak-anak muridnya pun keluar.

     "Abdah."

     "Ya, guru."

     "Dapatkanlah saya jubah dan purdah itu, selimutilah saya dengannya."

     Tanpa banyak bertanya, Abdah hanya menjalankan apa yang diarahkan. Dia tahu jubah dan purdah itulah yang menjadi saksi amalan Rabiah selama ini.

     Selepas melaksanakan arahan gurunya, Abdah masih menunggu di situ sedangkan yang lain sekadar mengintai-intai dari luar bilik.

     Seketika kemudian, kedengaran helaan nafas yang berselangan dengan kalimah syahadah. Beberapa saat, nafas itu dihembuskan perlahan dan secara rasminya Rabiah sudah mendapatkan kecintaan abadinya.

     "Guru sudah tiada," kata Abdah.

     "Innalillahui wa inna ilaihi rajiun."

     Segera juga Rabiah dikelilingi orang soleh yang sentiasa mendoakan. Jasad Rabiah disegerakan kerana mereka tahu Rabiah sudah tidak sabar mahu bertemu dengan cintanya selama ini, dan penantian itu berakhir dengan kemenangan.

     Yang ditinggalkan Rabiah hanya sebidang tikar sebagai tempat alas tidur dan beberapa takar yang digunakan untuk minum dan berwuduk. Tetapi Rabiah membawa buku amalan harian yang berhias dan bercorakkan bebunga iman dan takwa, serta disinari kesucian dan kemuliaan.




N / F : DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. 

No comments:

Post a Comment