Thursday 14 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 38 - KARAMAH ]






KARAMAH




Kurniaan Allah kepada para nabi dan rasul dipanggil mukjizat, manakala kelebihan kurniaan Allah kepada manusia biasa dalam keadaan tertentu dipanggil ma'unah. Bukan semua orang yang mampu memilikinya kerana bukan semua orang yang mampu menjadi seperti mereka.

     Keikhlasan dan kesucian hati mereka dalam mengabdikan diri kepada Allah tiada cacat celanya. Bahkan ramai manusia dapat pula mengambil ikhtibar dan hikmah daripada kehidupan mereka. Karamah pula dikurniakan bukan untuk menunjuk-nunjuk atau membangga diri, namun ia adalah kurnia Allah yang apabila digunakan apabila perlu sahaja.

     Hasan al-Basri pernah meriwayatkan beberapa kejadian pelik yang berlaku antara dirinya dan Rabiatul Adawiyah.

     Menurut Hasan al-Basri, "Pada suatu hari Rabiah menuju ke padang pasir bagi bertafakur. Dia sampai di satu padang yang luas seolah-olah tiada tepiannya. Rabiah mahu mencari ketenangan daripada hiruk-pikuk kota Basrah."

     Sambung Hasan al-Basri lagi, "Tiba-tiba Rabiah didatangi oleh tetamu, yang anehnya mereka bukan manusia ataupun jin melainkan binatang-binatang liar yang jinak. Mereka tidak sedikit pun mengganggu Rabiah, bahkan untuk bergelut sesama mereka juga tidak walhal ada antara mereka itu adalah makanan kepada yang lainnya. Mereka kelihatan teramat tenang sambil mengelilingi Rabiah, saya melihat suatu pemandangan yang menakjubkan."

     Hasan al-Basri menyambung, "Kemudian saya sampai untuk tujuan yang sama, untuk bertafakur. Namun kehadiran saya serta-merta membuatkan kumpulan haiwan itu kucar-kacir dan bertempiaran lari. Keadaan itu amat menyedihkan saya."

     Kehidupan Rabiah memang dihiasi dengan aneka karamah yang Allah kurniakan dek kerana sifatnya yang begitu sekali cintakan Allah. Namun segala kelebihan itu bukanlah diminta, sebagai wali Allah yang mempunya makamnya yang tersendiri Rabiah mendapat karamah itu juga kerana Allah yang mengizinkan.

     Walau bagaimanapun, para wali Allah sama sekali tidak pernah berasa sombong dan riak dengan anugerah itu, bahkan mereka merasakan ia adalah satu bebanan pula kepada mereka.

     Pada suatu petang yang indah, sedang Rabiah menyendiri di tebing sungai Furat, tiba-tiba Hasan al-Basri muncul.

     Hasan al-Basri melemparkan sejadah ke atas air sungai Furat yang tenang itu. Sungai Furat meriak halus menyaksikan karamah wali Allah itu. Ada kocakan tatkala Hasan al-Basri mula menjejakkan kakinya ke atas sejadah itu.

     Hasan al-Basri berpaling kepada Rabiah dan berkata, "Ayuh sahabat, kita bersolat dua rakaat di atas sejadah ini."

     Rabiah hanya menjawab, "Adakah kamu mahu menunjukkan keduniaan kepada ahli akhirat? Jika begitu, penglihatan oleh kamu apa yang tidak mampu dilakukan oleh orang kebanyakan."

     Tangkas Rabiah menyambar kain sejadahnya ke udara dan tanpa disangka sejadah itu tetap terapung di udara. Rabiah pun menginjakkan kakinya ke atas sejadah itu tanpa ragu, dan nyata ia tetap di situ tanpa tali dan tiang.

     Rabiah lantas menyeru kepada Hasan al-Basri, "Wahai Hasan al-Basri, marilah ke sini kerana di sini jauh daripada pandangan orang."

     Hasan al-Basri dengan rasa rendah diri akur dengan permintaan Rabiah.

     Rabiah kemudian mengakhiri kejadian itu dengan berkata kepada Hasan al-Basri, "Apa yang kamu lakukan tadi tidak lebih daripada kemampuan seekor lalat sahaja."

     Ini bukan bermaksud Rabiah riak dan angkuh dengan kebolehannya tetapi yang digambarkannya adalah, sehebat mana pun manusia itu dengan kebolehan yang luar biasa, mereka tetap lemah dan tidak berdaya di sisi Allah.

     Justeru Rabiah hanya memandingkan apa yang mereka lakukan tadi hanya dengan kemampuan seekor lalat sahaja.

     Raiyah al-Qaisy, seorang ulama Basrah pula berkata, "Saya berkunjung ke rumah Rabiah, setiba di rumahnya Rabiah menyapa, 'ke sinilah anakku'. Tiba-tiba takar kosong yang berwarna hijau di depan mereka terisi dengan madu. Rabiah berkata, 'makanlah, sesungguhnya lebah tidak akan mampu untuk menampung semua ini'."

     Raiyah al-Qaisy menyambung, "Namun saya ketakutan kerana terkejut dengan peristiwa itu sehingga saya berdiri dan meninggalkannya."

     Sebenarnya hal yang sama pernah berlaku kepada anak gadis Nabi Zakaria yang suci, Maryam ibu kepada Nabi Isa al-Masih. Nabi Zakaria mendapati di sisi anak gadisnya itu ada buah-buahan musim sejuk tatkala musim panas dan buah-buahan musim panas tatkala musim sejuk.

     Pernah datang dua orang Basrah ke rumah Rabiah. Keduanya kelihatan tersangat lapar.

     "Wahai Rabiah, kami berterima kasih kepada kamu jika kamu mempunyai apa-apa sahaja untuk kami mengalas perut kerana sudah beberapa hari kami tidak makan."

     "Baiklah, kalian tunggu sebentar."

     Rabiah bergegas masuk ke dapur mengambil dua biji roti dan sedikit garam itulah satu-satunya makanan yang ada di rumahnya.

     Tiba-tiba muncul pula seorang pengemis yang juga meminta makanan kepada Rabiah. Tanpa banyak berfikir, Rabiah terus sahaja memberikan kesemua makanan tadi kepada pengemis itu.

     Kelakuan Rabiah itu menimbulkan rasa hairan kepada dua orang tetamu tadi. Namun mereka hanya berdiam diri tanpa kata.

     Selepas pengemis itu berlalu, kelihatan Rabiah mengangkat kedua tangannya menadah ke langit, "Ya Allah ya Tuhanku, pernah dijanjikan oleh-Mu barangsiapa yang melakukan satu kebaikan maka dirinya akan dibalas dengan seratus kebaikan yang serupa."

     "Ya Allah, Engkau kurniakan saya dua keping roti lantas saya memberikan kepada orang yang lebih memerlukan hanya kerana-Mu. Maka imbalkanlah kembali pemberian tadi dengan sepuluh kali nilainya." Tambah Rabiah lagi dalam doanya itu.

     Kedua-dua tetamu tadi mendengar apa yang diungkapkan oleh Rabiah. Seorang daripada mereka berkata, "Wahai teman. Apakah mungkin doa Rabiah dimakbulkan?"

     "Tidak mustahil."

     "Kita yang sepatutnya dihidangkan roti itu."

     "Bersabarlah, doa oleh wali Allah yang mempunyai karamah ini mustajab."

     "Baiklah, kita sabar dan lihat apa yang akan berlaku."

     "Yakinlah sahabat, Allah tetap akan menjaga wali-walinya kerana mereka sentiasa menjaga Allah."

     Sahabatnya yang seorang lagi itu mengangguk-angguk tanda setuju.

     Beberapa detik berlalu, terdengar bunyi ketukan pintu rumah. Rabiah bergegas mendapatkan orang yang mengetuk pintu rumahnya.

     Seorang hamba abdi terpacak tepat di tengah pintu masuk, "Wahai guru, tuan saya meminta saya menyampaikan hajatnya untuk berbakti kepada guru. Mohon menerima roti-roti ini."

     Rabiah kelihatan gembira. Dia menerima bungkusan roti itu penuh dengan senyuman. Kedua-dua tetamu yang ada juga bertambah takjud dengan kejadian yang berlaku di hadapan mereka itu.

     Tanpa diduga, selepas mengira roti-roti itu Rabiah berkata kepada hamba itu, sambil menghulurkan kembali bungkusan roti itu.

     "Kembalikanlah roti-roti ini kepada tuan kamu, katakan bahawa di sudah salah."

     Sekali lagi tetamu berdua itu terpana. Dari ada kepada tiada, sudah ada mahu ditiadakan. Namun mereka tidak berani bertanya, cukup dengan berpandangan sesama sendiri dengan wajah seribu tanya.

     Hamba itu kembali semula ke rumah Rabiah dan berkata, "Benar kata guru, tuan saya sudah tersalah, dia memohon maaf kepada guru. Ini saya kembalikan 20 keping roti dengan tambahan dua keping yang kurang sebelum ini."

     Baharu kedua-dua tetamu tadi faham apa yang sedang berlaku. Keyakinan yang mendalam tanpa belah bahagi Rabiah menyebabkan dirinya yakin bahawa imbalan balik hasil dari pemberian dua keping roti kepada pengemis tadi mestilah 10 kali lebih banyak. Sedangkan yang diterimanya pada awal tadi adalah hanya 18 keping.




N / F : DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment