Tuesday 12 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 36 - ILMU HAKIKAT ]






ILMU HAKIKAT




Ilmu hakikat adalah ilmu yang jarang dipelajari kerana syarat-syaratnya yang sukar. Hanya mereka yang mempunyai keistimewaan tertentu sahaja yang akan menguasai ilmu hakikat itu.

     Namun bagi Rabiah, ilmu hakikat sudah dikuasainya. Rabiah sentiasa berkongsi dengan para sahabatnya ilmu itu dengan cara yang langsung ataupun tidak langsung.

     Pada suatu hari Rabiah mengirimkan Hasan al-Basri sebatang lilin, sebatang jarum dan sehelai rambut.

     Di samping ketiga-tiga barang itu Rabiah juga mengepilkan sepucuk surat.

     Wahai Hasan al-Basri, nyalakanlah lilin ini dan limpahkanlah sinarannya kepada umat manusia. Jadikanlah diri kamu seperti jarum yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Andai kamu berjaya melaksanakan kedua-dua perkara itu, kamu akan menjadi kurus persis helaian rambut itu.

     Ketika surat itu sampai ke tangan Hasan al-Basri, dia kelihatan sangat gembira. Hasan al-Basri kemudian membacakan surat itu kepada muridnya yang turut berada di situ.

     Selesai membacanya Hasan al-Basri berkata kepada murid-muridnya, "Tahukah kamu siapa yang menulis surat ini?"

     "Tidak guru," jawab anak murid Hasan al-Basri.

     "Hanya seorang sahaja yang dapat memberikan kata-kata nasihat yang begitu berkesan dan orang itu ialah Rabiatul Adawiyah," kata Hasan al-Basri sambil terzahir kekaguman pada wajahnya.

     Apabila anak-anak murid Hasan al-Basri sedang berehat mereka berborak sesama mereka.

     "Sepertinya guru amat memuliakan Rabiatul Adawiyah itu," kata Hisham. Yang lain mengangguk.

     Dia menyambung lagi, "Bukan itu sahaja, Rabiah sering menjadi rujukan guru dalam segenap hal terutamanya berkenaan ilmu hakikat dan ilmu sufi."

     "Ya, kami juga perasan," jawab Yasar. Dia menyambung pula, "Bukankah guru pernah menceritakan bahawa dirinya sememangnya sentiasa mengikuti majlis zikir Rabiah sejak dari dahulu lagi."

     Hisham kelihatan teruja, "Sehingga sekarang pun guru masih ke rumah Rabiah bagi mendapatkan nasihat serta beribadah bersama dengan Rabiah."

     Mohsin yang tidak mahu ketinggalan juga bercerita, "Saya pernah dengar guru berkata yang dia pernah singgah di rumah Rabiah dan mereka membincangkan hakikat ruh sehingga tidak sedar sudah berlanjutan hingga semalaman."

     Dia menyambung lagi, "Guru merumuskan bahawa dirinya amat daif dan miskin berbanding dengan Rabiah yang sangat kaya dan sarat dengan keikhlasan kepada Allah.

     Benar, itulah antara sifat Rabiah. Ini terbukti apabila berlaku perbualan antara dirinya dengan seorang lelaki.

     Rabiah ditanya, "Apakah kamu yakin segala ibadah kamu akan diterima oleh Allah?"

     Rabiah hanya menjawab, "Andai kata itulah kenyataannya, hati saya ini masih dibaluti resah dan khuatir jangan-jangan segala ditolak oleh Allah. Sedangkan istighfar saya juga sentiasa saya khuatirkan."

     Suatu malam rumah Rabiah dicerobohi oleh pencuri. Puas pencuri itu mencari jika ada barangan yang boleh diambil dan mereka hampa.

     Yang ada di rumah Rabiah hanya satu takar yang diperbuat daripada tanah.

     Ketika mereka semua sudah bersedia untuk keluar dari rumah Rabiah. Mereka dikejutkan oleh satu suara. Suara itu berbunyi, "Wahai tuan sekalian, janganlah pergi dahulu sebelum membawa apa-apa."

     Rupanya itu adalah suara Rabiah yang sudah menyedari kehadiran pencuri itu. Pencuri terkejut dan berada dalam ketakutan.

     "Dari manakah suara itu datang?" tanya salah seorang daripada mereka dengan suara yang gugup.

     "Rumah ini sangat gelap, saya juga tidak nampak siapa yang bercakap," kata seorang pula.

     "Tadi suara itu menyuruh kita jangan pergi tanpa membawa apa-apa, mesti ada sesuatu yang berharga di dalam rumah ini."

     "Kalau begitu, ayuh kita cari lagi."

     Pencuri itu menyambung pencarian mereka tanpa rasa segan silu.

     "Ternyata rumah ini tiada apa-apa kecuali takar air yang diperbuat daripada selut ini."

     Kemudian Rabiah keluar dan berkata, "Ambillah takar itu, pergilah kalian ke tempat air dan berwuduk lah dengannya. Kemudian kembalilah menunaikan solat dua rakaat. Dengan cara begitu, kamu pergi dari rumah saya ini dengan membawa sesuatu."

     Mereka yang masih terkejut apabila melihat Rabiah muncul dengan tiba-tiba, kemudiannya berasa terharu selepas mendengar kata-kata Rabiah. Umpama anak panah yang dilepaskan tepat mengenai sasarannya, mereka terasa seperti hidayah Allah datang mengetuk pintu hati mereka.

     Tanpa dipaksa menurut kata-kata Rabiah, mereka segera melaksanakan solat sunat dua rakaat.

     Rabiah yang memerhati tingkah laku kedua-dua lelaki yang pada asalnya mahu mencuri segera menadahkan doa. Dalam sebak Rabiah mengungkapkan untaian doa kepada Allah.

     "Ya Allah, lelaki ini sudah memasuki rumah ini, namun tiada barangan berharga yang mereka temui. Sekarang ku pinta mereka untuk menghadap dan berdiri di pintu-Mu, jangan Engkau menghalang dan mencegah mereka dari mendapat reda dan ampun-Mu."

     Rabiah sedar bahawa lelaki itu sudah mendapat rahmat dan hidayah Allah dan rahmat itu sedang bercucuran kepada mereka.

     Tanpa disangka, mereka terus mengerjakan solat sunat sehingga fajar menyinsing dan terus melangsaikan solat subuh. Kemudian barulah mereka bersedia melangkah dari rumah Rabiah.

     "Alhamdulillah dan terima kasih kepada Puan guru kerana nasihat Puan guru itu sudah mencetuskan insaf kami."

     "Alhamdulillah," kata Rabiah ringkas, hatinya bahagia dengan perubahan mereka berdua.

     Seorang lagi berkata, "Insya-Allah kami bertekad tidak lagi melakukan kerja terkutuk itu. Kami akan mencari rezeki yang halal."

     Rabiah terus mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah sejurus kedua-dua lelaki itu melangkah keluar dari rumahnya.

     "Wahai Tuhanku, mereka sudah tetap berdiri di depan pintu-Mu dan terimalah mereka. Semenjak aku mengenal erti kewujudan-Mu tidak pernah aku henti dari menghadap-Mu walau sesaat. Mohon terimalah permintaanku ini."

     Rabiah terus menunaikan solat sunat dengan perasaan yang sangat istimewa, air mata syukur terus sahaja mengiringi solatnya itu.




N / F : DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

     

No comments:

Post a Comment