Wednesday 13 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 27 - MENYAKSIKAN WAJAH ALLAH ]






MENYAKSIKAN WAJAH ALLAH




Kadangkala bukan hanya kata-kata yang mampu memberi nasihat. Dengan kelakuan, akhlak dan sahsiah yang soleh juga mampu memberi nasihat kepada orang sekeliling. Bagaimana seorang ayah yang tidak bersolat mahu menasihatkan anaknya yang tidak bersolat?

     Akhirnya, anak akan berkata, "Ayah sendiri pun tidak solat, mahu suruh saya pula."

     Makanya Nabi Muhammad dan para sahabat serta tabiin dan tabi' tabiin bukanlah golongan yang hanya bermain lidah mencanang agenda. Namun mereka sendirilah yang berada di depan dalam segenap hal.

     Jika berperang mereka adalah panglima, jika bersolat mereka adalah imam, jika ada kemusyikilan mereka adalah tempat rujuk. Jika tidak mempunyai rezeki pada hari itu, antara ikhtiarnya adalah berjumpa dengan mereka.

     Rabiah juga begitu, kadang-kadang orang sekelilingnya mendapat manfaat langsung dengan memerhati tingkah lakunya sahaja.

     Pernah suatu hari Rabiah dilihat membawa air di tangan kanan dan api di tangan kirinya. Jiran-jiran kehairanan dengan aksi janggal jiran mereka itu, mereka lantas mengajukan persoalan, "Wahai Rabiah, kamu hendak ke mana dengan kedua-dua benda itu."

     Terdengar dengus pada jawapan Rabiah, "Saya ingin ke langit, akan saya bakarkan syurga dengan api ini dan padamkan neraka dengan air ini agar nanti keduanya tidak menjadi sebab untuk manusia takut kepada Allah."

     Sekali dengar maka tidak mampu difahami apakah maksud sebenar kata-kata Rabiah itu. Ada yang bertanya, "Apakah maksudnya kata-kata Rabiah itu."

     Ada cerdik pandai yang alim berkata, "Rabiah berkata sedemikian bagi memberitahu kita supaya ikhlas kepada Allah."

     "Bagaimana ikhlas itu menurut Rabiah?" tanya mereka lagi.

     "Beribadahlah, lakukanlah apa yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang Allah. Suruhlah ke jalan yang makruf dan cegahlah yang mungkar kerana Allah dan bukannya harapkan balasan syurga juga bukan kerana takutkan azab neraka."

     Barulah mereka yang bertanya faham makna ikhlas itu menurut Rabiah. Orang ramai boleh bersetuju mahupun menolak kerana segala yang dimulai oleh Rabiah adalah daripada dirinya bagi menjelaskan maksud kecintaan dan keikhlasan kepada Allah. Lagi pula Rabiah bukanlah seorang yang maksum dan pembuat syariat.

     Antara kelebihan Rabiah, dia sentiasa dilingkungi oleh orang yang juga mencintai Allah.

     Mereka sama-sama beramal ibadat, berzikir, bersolat, berdiskusi ilmu, dan saling melengkapi antara sesama mereka. Rabiah juga mempunyai teman rapat yang bernama Hayyunah.

     Ketika Hayyunah berkunjung ke rumah Rabiah berlangsung satu sesi dialog ilmu dengan Rabiah. 

     Rabiah berkata, "Wahai saudaraku Hayyunah, pada pendapat kamu mengapakah Allah menjadikan makhluk yang melata di muka bumi ini?"

     Hayyunah dengan tenang menjawab, "Allah menjadikan makhluk di muka bumi ini untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Sebagaimana firmannya yang bermaksud: Dan tidak kami jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepada kami."

     "Jelaskan lagi kepada saya," kata Rabiah.

     "Allah jadikan makhluk supaya mereka mengenal akan diri-Nya. Apabila sudah mengenali siapa Allah, mereka akan menyembah dan mencintaiNya. Ketika itulah nikmat akan meningkat dan bertambah."

     Rabiah mengangguk-angguk mendengar jawapan sahabatnya itu. Dia sangat berpuas hati malah terasa dirinya baru mendapat mutiara indah daripada Hayyunah.

     Kini tiba pula giliran Hayyunah melontarkan persoalan kepada Rabiah.

     Hayyunah menyoal, "Wahai saudaraku Rabiah, bagaimana pula mereka akan mengenal Allah?"

     Rabiah menjawab, "Mereka akan mengenali Allah hanya melalui Allah jua. Bagaimana pula pendapat kamu?"

     "Pada pendapat saya, itu hanya perasaan sahaja."

     "Lantas, bagaimana caranya kamu mencintai Allah?"

     Kali ini Hayyunah kelihatan bersungguh-sungguh, dengan harapan jawapan mampu memuaskan Rabiah, sahabat baik dan juga gurunya itu.

     "Jika saya mendapati ada saat yang dalam hati terdetik niat lain selain daripada Allah, nescaya saya tidak teragak-agak menghadiahkan jantung saya tusukan pisau belati."

     Rabiah terdiam seketika.

     Dia menyoal kembali, "Lalu bagaimana pula berdoa kepada-Nya?"

     "Sesekali saya akan berkata, ya Allah kurniakanlah diri ini kekuatan dan keteguhan hati dalam meyakini-Mu. Janganlah pula dihalangi diri ini, wahai zat yang dituju segala harapan."

     Hayyunah menyambung lagi dengan berkata, "Kadang-kadang pula saya berdoa, Ya Allah, apakah perlu diri-Mu melihat diri ini mengalunkan bacaan Quran pada malam hari dan semasa siangnya diputuskan hubungan ini? Wahai Tuhanku, seandainya dengan kekuasaan-Mu dijadikan siang itu malam maka diri ini akan bahagia sentiasa di sisi-Mu."

     Kemudian mereka terus berbincang sehingga kedua-duanya tertidur.

     Apabila Hayyunah menceritakan peristiwa itu kepada orang lain, dia akan melanjutkan ceritanya itu, "Kemudian kami berdua tertidur tanpa sedar hampir setengah malam kami gunakan bagi berbincang berkenaan ilmu hakikat, sufi, ikhlas dan lain-lain."

     Hayyunah melanjutkan bicara, "Saya melihat dirinya tersangat letih sehingga terlelap, saya merapatkan diri ke sisinya lantas mencubit sahabat saya itu dengan cubitan kasih. Sungguh kasihan melihat dirinya yang serba daif, namun dalam masa yang sama amat dengki kerana kemanisan dan kecintaannya kepada Allah."

     Hayyunah menyambung bicara, "Selepas mencubit Rabiah dan dia mulai sedarkan diri, saya kemudian merapatkan bibir saya ke telinganya dan berbisik, bangunlah wahai sahabatku, pengantin pada mereka yang dilimpahkan hidayah. Waktunya sudah tiba, wahai sahabat si pengantin malam yang sentiasa meriaskan malamnya dengan kuntuman dan haruman tahajud. Dia lantas bangkit dengan senyuman yang amat manis apabila mendengar kata-kata saya. Tiada marah pada riak wajahnya kerana saya mengganggu tidurnya, malah Rabiah mengucapkan pula terima kasih dan kami sama-sama mengerjakan solat sunat sehingga fajar menyinsing."

     Oleh sebab itu Rabiah tidak pernah mengeluh. Mulutnya terkunci rapat untuk perbicaraan dunia. Dia mencela mereka yang menyukai berbicara berkenaan dunia.

     Rabiah akan berkata kepada mereka, "Jika sebenarnya kamu tidak mencintai dunia, kamu tidak akan sesekali membicarakan hal yang berkaitan dengannya."

     Rabiah terus menerus menangisi kepedihan dan penderitana yang dialaminya, dan hanya dirinya sendiri tahu apakah sakit yang dihadapi.

     Jika ada yang bertanya, "Mengapakah keadaan kamu begitu?"

     Rabiah akan segera menjawab, "Bagaimana mungkin saya tidak bersedih dan menderita, sedangkan sakit ini tidak mampu diubati oleh para tabib. Ubatnya adalah pada saat menyaksikan wajah Allah di akhirat!"




N / F : DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment