Sunday 3 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 30 - MUHAMMAD BIN UMAR ]






MUHAMMAD BIN UMAR




Muhammad bin Umar antara yang sering berkunjung ke rumah Rabiah bagi beribadah dan berdiskusi perihal agama. Apabila dia bercerita berkenaan dengan rumah Rabiah, dia berasa sangat hiba.

     "Tiada manusia yang mampu menggadaikan seluruh kehidupannya semata-mata kerana Allah melainkan Rabiah. Tahukah kalian bagaimana keadaan rumah Rabiah?"

     "Ceritakanlah wahai guru."

     "Rumah Rabiah itu tiada perabot lain kecuali satu tikar lama yang diperbuat daripada pelepah tamar."

     "Benarkah begitu?" Salah seorang bertanya.

     "Ya! Pakaiannya hanya beberapa helai baju yang sudah lesuh. Barangan dapur yang ada hanya sebuah bekas air daripada kulit yang sudah daif. Makanannya hanya sekeping roti, sebagai bekal dan tenaga bagi terus beribadah kepada Allah."

     "Masih adakah manusia sebegitu?" Salah seorang bertanya seakan-akan tidak percaya.

     "Tidak mustahil sekiranya orang itu adalah Rabiatul Adawiyah." Kawannya pula menyampuk.

     "Sekiranya kamu semua mahu tahu, ada satu keadaan yang pelik di rumah Rabiah." Muhammad bin Umar terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan mereka yang mendengar ceritanya.

     "Khabarkanlah, kami tidak sabar mahu mengetahuinya."

     "Ya, cepat." Mereka sama-sama menggesa Muhammad bin Umar menyudahkan ceritanya.

     Muhammad bin Umar kemudiannya menyambung, "Di suatu sudut di Rumah Rabiah, lantainya diperbuat daripada batu merah dan di situlah tempat Rabiah beribadah dan bermunajat kepada Allah."

     "Dan lagi...." Ada lagi suara yang masih belum berpuas hati.

     "Kemudian saya dapati di ampaian di dalam rumahnya, terbentang sehelai kain yang berwarna putih yang cukup bagi membaluti badan."

     "Apakah itu?" Kata-kata Muhammad bin Umar dipotong oleh salah seorang daripada pendengar.

     Muhammad bin Umar lantas menyambung, "Rupa-rupanya kain itu adalah kain kafan yang diukur mengikut ukuran tubuh Rabiah dan sengaja dipamerkan sedemikian rupa supaya dapat dilihat selalu lantas mengingatkan dirinya yang kematian itu bakal menjengah pada bila-bila masa."

     Hadirin yang mendengar kagum dengan tindakan Rabiah. Mereka juga menginsafi diri mereka yang sentiasa berasa jauh dari kematian, walhal kematian adalah detik yang bakal menjelang.

     "Rabiah mewasiatkan supaya dibalutkan tubuhnya dengan kain kafan itu."

     Pada suatu masa yang lain pula, ada seorang kaya datang berjumpa dengan Rabiah dan berkata, "Wahai Rabiatul Adawiyah, ungkapkanlah kepada saya tentang kemahuan kamu, begitu juga keperluan bagi kehidupan kamu. Apa pun yang kamu pinta, menjadi tanggungjawab saya bagi memenuhinya.

     Serta-merta Rabiah membalas, "Saya amat malu menagih simpati daripada Tuan sekalian alam ini. Bagaimana pula saya sanggup meminta daripada makhlukNya yang tidak memiliki apa-apa?"

     Jawapan Rabiah tajam dan berhikmah. Ia mencairkan ego mereka yang merasakan harta dunia ini adalah milik mereka, walhal ia hanya pinjaman daripada Allah.

     Dalam kes yang berasingan pula, seorang lelaki datang berjumpa dengan Rabiah bagi menyampaikan hajatnya.

     Apabila menemui Rabiah, dia lantas menyuarakan isi hatinya. "Wahai Rabiah, saya ke sini kerana mahu menyempurnakan satu hajat yang tidak seberapa."

     "Nyatakanlah, dengan izin Allah sekiranya dapat saya bantu, saya usahakan."

     "Bukan begitu, saya tidak perlu apa-apa pun daripada kamu, cuma janganlah kamu menolah pemberian saya."

     Lelaki itu kemudian menghulurkan sebuah karung yang mempunyai empat puluh dinar mengikut perkiraannya.

     Rabiah masih diam membisu. Seketika kemudian dia dengan nada lembut berkata, "Beginilah wahai tuan budiman. Sedekah itu afdalnya kepada orang yang memerlukan, sedangkan saya bukan tergolong dalam golongan yang memerlukan kerana saya tidak perlu apa-apa melainkan kasih sayang Allah."

     Seraya itu, Rabiah menghulurkan kembali duit di dalam karung itu kepada si pemberi.

     Pernah pula terjadi yang mana beberapa orang soleh Basrah datang menziarahi Rabiah di rumahnya. Apabila mereka sampai dan dijemput masuk, mereka terkejut melihat keadaan Rabiah.

     Salah seorang daripadanya menegur, "Wahai Rabiah, bukankah kamu berhak mendapatkan pakaian yang baharu dan cantik daripada yang sedia ada ini?"

     Ini merujuk pada baju yang dipakai Rabiah, kerana baju itu amat buruk dan tidak sesuai dipakai oleh seorang wanita sepertinya.

     "Ramai orang yang sudi menginfakkan seikit duit mereka untuk kamu."

     Rabiah hanya tersenyum. "Bukankah saya sudah katakan, perasaan malu terlalu berat untuk ditanggung sekiranya saya hanya meminta.

     Rabiah kemudian membuahkan persoalan kepada hadirin yang ada. "Tahukah kalian hakikat kemanusiaan itu?"

     Hampir semua menjawab, "Tidak."

     "Pada hakikatnya manusia itu sangat fakir pada pandangan Sang Khalik, Kekasihku."

     Hadirin terpana.

     Ada kedengaran desik bisik antara mereka, "Alangkah halusnya jiwa dan perasaan perempuan ini."

     Mereka kemudian menukar perbincangan kepada isu yang lebih berat.

     "Sungguh kami yakin yang setiap kekasih Allah itu punya karamah dan kelebihannya yang tersendiri. Ternyata hal ini belum pernah terjadi kepada seorang wanita sehinggalah kamu."

     Rabiah hanya membisu, riak mukanya tidak berubah.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment