Thursday 21 April 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 1 - KELAHIRAN SEORANG PEJUANG ]






KELAHIRAN SEORANG PEJUANG








Imam Ahmad Al-Banna sering berdoa kepada Allah supaya menganugerahkannya anak-anak lelaki yang soleh dan anak-anak perempuan yang solehah, baik budi pekerti, baik pendidikan agama mereka, serta menjadi pejuang Islam.

     "Saya juga sering berdoa semoga kita dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah bagi menjadi pejuang agama kita," demikian juga kata Fudhla, isteri Imam Ahmad Al-Banna.

     "Rakyat Mesir sekarang sedang dilanda keruntuhan akhlak akibat pengaruh penjajah. Mereka membina panggung wayang, kelab malam, rumah pelacuran, dan pelbagai tempat maksiat. Anak-anak muda kita, malah mereka yang sudah dewasa juga ramai yang sudah terpengaruh. Hanya satu cara bagi mengatasinya iaitu kembali mengamalkan ajaran Islam," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     "Mari kita berdoa semoga dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah," kata Fudhla menyokong kata-kata suaminya.

     Allah Maha Mendengar doa-doa daripada hamba-Nya. Alhamdulillah, doa suami isteri itu dimakbulkan. Tidak lama kemudian Fudhla mengandung. Beliau tidak lupa pada suaminya supaya selalu membaca surah Lukman dan Surah Yusof supaya mendapat anak yang bijak dan baik budi pekertinya.

     "Semoga kita dikurniakan anak lelaki yang apabila dewasa kelak menjadi pejuang Islam," kata Imam Ahmad Al-Banna dengan penuh pengharapan.

     "Kita didik dia dengan ilmu agama dan kasih sayang semoga hidupnya diberkati Tuhan," kata Fudhla pula.

     Setelah mengandung selama lebih sembilan bulan, Fudhla melahirkan seorang anak lelaki yang comel dan sihat tubuh badannya pada waktu Duha, hari Ahad 25 Syaaban 1324 Hijrah bersamaan 1406. Kelahiran anak itu disambut dengan rasa gembira dan kesyukuran.

     "Wahai Tuan Imam, saya dimaklumkan Mustafa Kamal meninggal dunia selepas subuh. Anak lelaki Tuan ini lahir pada waktu Duha pada hari yang sama," kata Mohsin yang datang ke rumah Imam Ahmad Al-Banna bagi mengucapkan tahniah.

     "Innalillah...," ucap Imam Ahmad Al-Banna.

     Kemudian dia berkata, "Saya berasa sedih kerana kehilangan pemimpin Hizbul Watani yang berwibawa dan tercinta itu. Namun kesedihan itu terubat dengan kelahiran anakku ini. Saya berdoa semoga anakku ini dapat mengisi kekosongan itu."

     "Tuan seorang yang soleh dan kuat beramal ibadat. Apabila Tuan berdoa tentu mudah dimakbulkan. Apatah lagi doa seorang bapa terhadap anaknya," kata Mohsin pula.

     Mustafa Kamal adalah pemimpin pertubuhan 'Hizbul Watani' seorang yang bijak bersyarah, berwibawa, dan berjaya memupuk semangat kebangsaan yang berdasarkan Islam dalam hati orang-orang Mesir. Beliau tidak menganggap agama dan semangat kebangsaan itu bertentangan antara satu sama lain. Cogan katanya adalah, 'Agama dan tanah air adalah saudara kembar yang tidak boleh dipisahkan'.

     Mustafa Kamal sering berkata kepada pengikutnya, "Jika seorang British boleh memperjuangkan kebangsaan di samping mazhab Protestannya, maka seorang Mesir juga boleh menjadi seorang Muslim dan pejuang kebangsaan pada masa yang sama."

     Kerana pandai berpidato, beliau berjaya menarik ramai rakyat Mesir menganggotai Hizbul Watani termasuk dua orang ulama terkenal iaitu Muhammad Farid Wajdi dan Abdul Aziz Jawesh, dan dua penyair iaitu Ghayati dan Muharram.

     Kegiatan kumpulan ini menimbulkan kebimbangan kepada pihak penjajag British dan Raja Mesir. Ramai anggota kumpulan itu yang ditangkap termasuk Muhammad Farid Wajdi dan Abdul Aziz Jawesh atas pelbagai tuduhan yang sengaja diada-adakan.

     "Walaupun Mustafa Kamal sudah tidak ada, saya yakin Hizbul Watani terus bergerak di bawah pimpinan yang baru," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     "Tuan Imam tentu sudah maklum, selain Hizbul Watani, ada beberapa pertubuhan lagi yang menjadi saingannya. Mereka gembira dengan kehilangan Mustafa Kamal, dengan harapan Hizbul Watani berkubur dan pertubuhan mereka mendapat sokongan ramai," kata Mohsin pula.

     Imam Ahmad Al-Bannar, walau sibuk dengan kerjanya sebagai tukang membaiki jam, menjadi imam di Masjid Mahmodiyah dan pendakwah, namun beliau sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air.

     Selain Hizbul Watani ada beberapa pertubuhan lagi yang berjuang berlandaskan fahaman yang berbeza. Ada antara mereka terdiri daripada pejuang fahaman kebangsaan yang tidak percaya kepada Tuhan. Dasar perjuangan mereka bertentangan dengan dasar perpaduan dan persaudaraan Islam yang diperjuangkan oleh Hizbul Watani. Mereka tidak suka kehidupan menurut dasar-dasar Islam. Kumpulan ini menegakkan fahaman kebangsaan Mesir.

     Mereka dipengaruhi oleh British. Malah pihak British yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan fahaman kebangsaan Mesir. Matlamat utama British adalah mahu memutuskan hubungan antara orang Arab dengan kerajaan Uthmaniyah di Turki.

     British berjaya memecahbelahkan rakyat Mesir sehingga berlaku pertentangan antara Hizbul Watani pimpinan Mustafa Kamal, dengan kumpulan-kumpulan lain seperti Hizbul Watani Al-Hurra, Al-Muqattam, Al-Muqattaf, dan Hizbul Ummah.

     Pihak British mengambil kesempatan melemahkan semangat Islam dan pengaruh Khilafah Uthmaniyah dalam kalangan rakyat Mesir. Mereka menyokong sesiapa sahaja yang mengecam Khilafah Uthmaniyah serta yang mahu pembaharuan di negara Mesir.

     "Bagaimana dengan Muhammad Farid Wajdi dan Abdul Aziz Jawesh? Kedua-dua lelaki itu rapat dengan Mustafa Kamal. Mereka boleh mengambil alih pimpinan Hizbul Watani," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     "Kedua-duanya masih dalam penjara dan tidak akan dilepaskan supaya Hizbul Watani berkubur," jawab Mohsin.

     Kemudian katanya lagi, "Saya ada satu cadangan. Itu pun sekiranya Tuan Imam bersetuju."

     "Cadangan apa?"

     "Tuan layak menggantikan tempat Mustafa Kamal bagi memimpin Hizbul Watani. Sekiranya Tuan setuju saya usakan mempengaruhi rakan-rakan dalam pertubuhan itu."

     Imam Ahmad Al-Banna menolaknya dengan berkata. "Saya tidak mahu terlibat dengan mana-mana pertubuhan politik."

     Sejak itu, Mohsin tidak pernah lagi memujuk Imam Ahmad Al-Banna supaya terlibat dengan politik Mesir yang sedang bergolak. Tambahan pula beliau ada tugas dan tanggungjawab yang penting iaitu menjadi imam di Masjid Mahmodiyah dan berdakwah.

     Bagi Imam Ahmad Al-Banna dan isterinya Fudhla, kelahiran Hasan Al-Banna menyerikan lagi rumah tangga mereka. Dia masih lagi mencari nafkah sebagai yang tukang membaiki jam pada waktu siang. Pada waktu malam selepas isyak, Imam Ahmad Al-Banna tidak terus pulang ke rumah. Dia pergi ke pejabat yang terletak berhampiran dengan masjid. Di situ dia menulis dan menelaah kitab.

     Pada suatu malam, Imam Ahmad Al-Banna pulang lewat, kerana banyak tugasan yang mahu disiapkannya. Apabila selesai tugasnya baru dia pulang ke rumah. Ketika itu jam sudah pukul 12.00 tengah malam. Rumahnya kelihatan sunyi sepi kerana isteri dan anak kecilnya sudah tidur.

     Ahmad Al-Banna terus masuk ke bilik tidur bagi melihat isteri dan anaknya. Dia tersentak kerana melihat seekor ular tedung sedang melingkar di sisi anak kecilnya yang sedang tidur nyenyak. Kepala ular tedung itu sudah mengembang dan bersedia mematuk kepala Hasan Al-Banna.

     Ahmad Al-Banna terpegun sejenak. Tiba-tiba dia berasa takut jika ular itu mematuk anaknya yang sedang tidur. Namun dia tidak hilang punca. Mulutnya terus membaca ayat suci Al-Quran sambil berdoa semoga anak dan isterinya selamat.

     Mula-mula Imam Ahmad membaca Al-Fatihah, kemudian dibacanya ayat Qursi. Sebaik habis sahaja bacaannya, ular itu menundukkan kepalanya lalu menyusur pergi keluar dari rumah itu.

     "Syukur kepada Allah anakku selamat," ucap Imam Ahmad Al-Banna gembira sambil mencium pipi anaknya.

     Hasan Al-Banna membesar dengan sihat. Apabila umurnya meningkat dua tahun, dia mendapat seorang adik lalu dinamakan Abdul Rahman Al-Banna. Kelahiran dua orang cahaya mata itu mengeratkan lagi kasih sayang kedua-dua suami isteri itu.

     Pada suatu hari ketika Imam Ahmad Al-Banna dan isterinya berada di luar rumah, tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga lelangit rumahnya runtuh. Fudhla dan Imam Ahmad Al-Banna berasa amat terkejut kerana ketika itu kedua-dua orang anaknya berada di dalam rumah.

     "Tolong selamatkan anakku," teriak Fudhla sambil menangis.

     "Bersabar dan berserah kepada Allah," pujuk Imam Ahmad Al-Banna yang berusaha menenangkan isterinya.

     Orang ramai datang bagi memberikan pertolongan. Mereka mengangkat runtuhan itu bagi menyelamatkan mangsa. Tiba-tiba kedengaran dua kanak-kanak itu menangis, petanda mereka masih hidup. Kerja-kerja menyelamatkan mereka segera dijalankan. Akhirnya kedua-dua kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dari runtuhan itu.

     Imam Ahmad Al-Banna dan isterinya berasa amat bersyukur kerana kedua-dua orang anak mereka terselamat. Sungguh Allah yang menyelamatkan mereka. Kemudian orang ramai bergotong-royong membaiki semula kediaman Imam Ahmad Al-Banna. Rumah itu lebih kukuh dan selesa didiami.

     Hasan Al-Banna membesar dengan baik. Pada suatu petang, dia melihat pemandangan yang sangat cantik di kaki langit. Dia juga terpesona melihat keindahan alam di sekitar rumahnya.

     "Wahai ibuku, bolehkah saya pergi berjalan-jalan di luar sana? Saya berjanji tidak pergi jauh dari kawasan rumah kita," kata Hasan Al-Banna kepada ibunya.

     "Ibu benarkan tetapi dengan syarat. Sekiranya terjumpa wang atau barang-barang berharga di jalan, serahkan kepada yang empunya. Sekiranya terjumpa buah-buahan kepunyaan orang, jangan diambil kecuali mendapat izin daripada tuannya," pesan Fudhla kepada anaknya.

     Dia keluar dari rumah bersendirian dan terus berjalan menyusuri kawasan perumahan. Sedang dia berjalan, tiba-tiba tiga ekor anjing menyalak seperti mahu menerkamnya. Hasan Al-Banna menjadi takut. Terlintas juga di hatinya mahu melarikan diri namun anjing itu sudah mengepungnya. Hasan Al-Banna melihat ke belakangnya ada sungai. Dia tidak ada pilihan lain selain terjun ke dalam sungai itu. Dia yakin anjing itu pasti tidak dapat mengejarnya lagi.

     Hasan Al-Banna nekad lalu terjun ke dalam sungai. Nasibnya baik kerana arus sungai membawanya ke tepi. Seorang perempuan yang kebetulan lalu di situ segera menyelamatkan Hasan Al-Banna.

     "Terima kasih kerana menyelamatkan saya," kata Hasan Al-Banna.

     "Bersyukur kepada Tuhan kerana Dia yang menyelamatkan kamu," kata perempuan itu pula.

     "Bukankah Mak Cik yang menyelamatkan saya?"

     "Mak Cik mencari kucing yang hilang. Tuhan gerakkan hati mak cik datang ke sini. Lalu nampak kamu dihanyutkan air. Kamu perlu yakin semua yang berlaku itu dengan kehendak Tuhan."

     "Terima kasih sekali lagi."

     "Kamu anak siapa dan di mana rumah kamu?" tanya perempuan itu lagi.

     "Ayah saya namanya Imam Ahmad Al-Banna. Ibu saya Fudhla, dan saya Hasan Al-Banna," jawab Hasan Al-Banna.

     "Masya Allah, mak cik kenal baik dengan ayah dan ibu kamu. Mari mak cik hantar kamu pulang ke rumah."

     Pada masa itu Imam Ahmad Al-Banna dan isterinya Fudhla sangat cemas dengan kehilangan anaknya.

     Tidak lama kemudian, kelihatan Hasan Al-Banna pulang diiringi seorang perempuan pertengahan umur. Fudhla kenal perempuan itu lalu segera datang menyambutnya.

     "Alhamdulillah puan datang bersama anak kami," kata Fudhla dengan gembira.

     "Puan nyaris kehilangan anak ini...," kata perempuan itu lalu menceritakan apa yang berlaku.

     Fudhla terkejut mendenganrya lalu mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada perempuan yang menyelamatkan anaknya itu.

     "Sungai itu airnya mengalir hingga ke Sungai Nil. Jika anak ini dihanyutkan, mayatnya tidak ditemui lagi," kata perempuan itu sambil berpesan, lain kali jangan dibiarkan kanak-kanak bermain di tepi parit itu.

     "Saya berjanji tidak akan membiarkan anak ini berjalan keluar rumah seorang diri," janji Fudhla.

     "Apa yang berlaku semua dengan kehendak Tuhan. Kita tidak dapat menghalang terjadinya apa yang sudah ditentukan-Nya," kata Imam Ahmad Al-Banna pula.

     Dia tidak memarahi isterinya kerana apa yang berlaku bukan kesalahannya. Tambahan pula Hasan Al-Banna sudah meminta izin untuk keluar rumah.

     Sejak hari itu, apabila Hasan Al-Banna mahu keluar rumah, pasti ada yang menemaninya. Jika ayah dan ibunya sibuk, Jaafar dengan senang hati menawarkan diri bagi menemaninya.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA, PERJUANGAN BELUM SELESAI", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment