Thursday 7 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 34 - PENGABDIAN YANG IKHLAS ]






PENGABDIAN YANG IKHLAS 




Ada yang bertanya, "Bagaimanakah caranya Rabiah bersolat dan mencapai khusyuk dalam solatnya?"

     Anak murid Rabiah akan menjawab, "Guru kami bersembahyang seolah-olah itulah solatnya yang terakhir, dalam masa yang sama dia merasakan malaikat izrail sedang menanti di sisi untuk mengambil nyawanya sejurus dia selesai solat itu."

     "Bagaimana pula rutin ibadah guru kamu?"

     "Guru kami bersolat hampir seribu rakaat sehari semalam, kerana sentiasa menganggap kematian akan tiba bila-bila masa sahaja."

     Rabiah akan terus bersolat jika tiada tetamu ataupun pengajian. Sekiranya pun tidak bersolat dia akan berzikir dan bermunajat kepada Allah.

     Pernah juga Rabiah ditanya berkenaan amalan solatnya itu. Mereka bertanya, "Wahai Rabiah, apakah yang kamu harapkan daripada segala ibadah ini?"

     Dengan nada yang tegas lagi keras dia menjawab, "Saya tidak inginkan balasan apapun. Yang ada hanya rasa untuk membahagiakan Rasulullah di hari pembalasan kelak."

     "Maksudnya?"

     "Saya ingin ketika di padang Mahsyar nanti, Rasulullah akan berkata kepada nabi-nabi lain, saksikanlah oleh kalian bahawa ini adalah amalan yang dilakukan oleh umatku daripada kalangan seorang wanita."

     Sufian al-Tsauri juga pernah menceritakan pengalaman ketika dia berkunjung ke rumah Rabiah.

     Kata Sufian al-Tsauri, "Pada suatu hari saya bertandang di rumah Rabiah. Dari mula saya sampai, saya dapati Rabiah tidak kunjung sudah menunaikan solat sunat. Saya juga tidak mahu membuang masa dan terus sahaja bersolat sunat dengannya hingga ke batasan fajar."

     Sehingga selesai barulah Rabiah berpaling dan berkata, "Wahai Sufian al-Tsauri, seharusnya kita berpuasa pada hari ini."

     Melihat Sufian berdiam diri. Rabiah menyambung, "Ia adalah untuk menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah kerana memberikan nikmat sihat kepada kita sehingga kita mampu bersembahyang sunat sepanjang malam."

     Kemudian Sufian al-Tsauri bercerita pula berkenaan khusyuk Rabiah dalam solatnya.

     "Sudah tidak dihiraukan Rabiah walaupun bumi ini hancur dibantai gempa dan kiamat apabila sedang bersolat. Belum pernah saya berjumpa hamba Allah yang menghayati solatnya seperti Rabiah."

     Pada suatu hari ketika Rabiah sedang asyik dalam solatnya, tiba-tiba sebiji batu yang berada di atas pondoknya jatuh lalu menimpanya. Rabiah luka di kepalanya, darah meleleh keluar membuak-buak.

     Namun Rabiah tetap meneruskan solatnya. Walaupun dirinya sedang kesakitan namun tetap jua digagahi solatnya.

     Orang ramai yang berada di rumahnya terkejut. Selesai sahaja solat mereka terus bertanya kepada Rabiah, "Wahai guru, apakah guru tidak sakit?"

     Rabiah menjawab perlahan, "Sesungguhnya Allah menganugerahkan kepada saya sikap dan sifat yang sabar pada kehendak-Nya. Hanya dengan reda pada kesakitan, sakit ini akan reda. Yakinlah, apa yang menimpa diri kita adalah atas kehendak-Nya."

     Salah seorang anak murid Rabiah berkata, "Alangkah khusyuknya guru di dalam solat, jika dahulu hanya para sahabat Rasulullah yang mampu mencapai khusyuk seperti itu namun guru sudah buktikan bahawa kita sebenarnya pun boleh khusyuk sebegitu."

     Rabiah menemui kemanisan dan kebahagiaan di dalam setiap rakaat solatnya. Tubuh badan yang mengering dan lemah tidak sama sekali menghalang dirinya daripada terus beribadah kepada Allah.

     Rabiah juga tidak tidak lepas daripada dihinggapi mimpi, namun yang nyata mimpi-mimpinya hanya membawa maksud supaya dirinya sentiasa berada di jalan yang lurus.

     Pada suatu hari terjadi suatu perkara yang menyedihkannya. Anak-anak muridnya bertanya, "Kenapa guru sungguh murung hari ini?"

     Rabiah kemudian bersuara lemah, "Saya sedih bukan kerana sakit yang Allah kurniakan ini, namun saya amat sedih kerana tidak mampu untuk bersembahyang tahajud seperti sediakala."

     Kemudian Abdah bin Abi Syawal selaku murid tua Rabiah memberi cadangan kepada Rabiah. Katanya, "Pada pendapat saya, tiada salahnya jika guru mengqada solat-solat sunat yang keciciran akibat uzur itu apabila guru berasa lebih sihat."

     Cadangan itu dipersetujui Rabiah. Perkara ini menimbulkan kekaguman kepada anak-anak murid Rabiah. Antaranya Abdah binti Abi Syawal dan Masma' binti Hasyim.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment