Monday 25 April 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 2 - PERANG DUNIA PERTAMA ]






PERANG DUNIA PERTAMA








Pada 28 Jun 1914, dunia digemparkan dengan berita pembunuhan Franz Ferdinand, Putera Empayar Austria, pewaris raja Austria-Hungary di Sarajevo, Bosnia. Austria menuduh Serbia yang merancang pembunuhan itu lalu mengisytiharkan perang ke atasnya. Akhirnya, tragedi itu mencetukan perang dunia pertama,

     Pada 28 Julai 1914, Austria-Hungary yang mendapat sokongan Jerman menyerang Serbia. Apabila Rusia masuk campur dengan menyokong Serbia, Jerman juga masuk campur menyebelahi Austria. Negara Perancis juga menyatakan sokongan terhadap Rusia. Lalu Jerman menyerang Rusia dan Perancis, British masuk campur dengan menyerang Jerman apabila Belgium, sebuah negara berkecuali diserang oleh Jerman.

     Perang Dunia Pertama menyaksikan Rusia, Perancis, United Kingdom, Kanada, Itali, dan Amerika Syarikat dikenali sebagai Pasukan Berikat menentang Jerman, Austria-Hungary, Bulgaria, dan Turki dikenali sebagai Kuasa Pusat.

     Rakyat Mesir dikejutkan dengan berita meletusnya Perang Dunia Pertama. Di sana sini mereka bercakap berkenaan perang. Ramai yang bimbang Mesir akan terlibat dalam kancah peperangan. Sekiranya itu berlaku, pasti ramai yang menjadi korban. Di Masjid Mahmodiyah juga, orang ramai bercakap mengenai perang.

     "Sudah meletus Pertama Dunia Pertama antara British, Perancis, dan Rusia menentang Jerman dan Austria," kata Mohsin, bilal Masjid Mahmodiyah.

     "Saya juga mendapat khabar, Yahudi sedang mempergunakan golongan muda Turki bagi mendesak Sultan mengisytiharkan perang ke atas British dan sekutunya. Tujuannya adalah bagi menjatuhkan Khalifah Uthmaniyah," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     Kemudian kata Hasan Al-Banna lagi, "British dan Yahudi yakin pihak berikat iaitu Perancis dan Rusia boleh memenangi peperangan ini, sekiranya mereka berjaya memujuk Amerika Syarikat, Itali, dan Kanada menyebelahi mereka. Walaupun pada mulanya Jerman dilihat seperti boleh memenangi peperangan ini, tetapi dengan kemasukan Amerika Syarikat dan sekutunya, keadaan di medan perang sudah berubah."

     "Kerana itu British dan orang-orang Yahudi mahu Turki menyebelahi pihak yang akan kalah. Apabila mereka menang, pihak yang kalah termasuk Turki akan tunduk kepada pihak berikat," sokong Ustaz Ahmad Efendy pula.

     "Bukankah Kerajaan Uthmaniyah Turki sebuah negara yang kuat? Sekiranya mereka menyertai Jerman dan Austria, pasti mereka boleh menang dengan mudah," kata Jaafar pula.

     "Kerajaan Uthmaniyah Turki sekarang dalam keadaan lemah. Sultan Abdul Hamid II sudah digulingkan, dan digantikan dengan seorang Sultan yang sudah kehilangan kuasanya. Apabila Turki menyertai perang ini, seolah-olah mereka menggali kuburnya sendiri. British dan sekutunya bukan sahaja mahu menang Perang Dunia Pertama, tetapi juga mahu menjatuhkan Khalifah Uthmaniyah," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     Tidak lama kemudian, rakyat Mesir digemparkan dengan berita kerajaan Uthmaniyah Turki mengisytiharkan perang ke atas British dan sekutunya. Ekoran daripada itu British menguatkan cengkamannya ke atas Mesir.

     "Kerajaan Uthmaniyah mengisytiharkan jihad menentang British. Apa pula pendirian kita?" tanya Mohsin kepada kawan-kawannya.

     "British itu musuh kita, kita mesti menentang mereka dan menghalaunya keluar dari sini," jawab Jaafar pula.

     "Kita dalam keadaan serba salah kerana pemerintah Mesir menyebelahi British. Kerana itu di medan peperangan, berlaku pertempuran antara orang Arab yang menyebelahi British dengan orang Turki Uthmaniyah. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku," kata Imam Ahmad Al-Banna pula.

     "Apa tindakan kita sekarang?" tanya Mohsin pula.

     "Kita berharap Raja Mesir akan bersama rakyat menghalau British dari bumi Mesir. Apabila itu berlaku, seluruh rakyat Mesir akan bangun menentang British," jawab Imam Ahmad Al-Banna.

     Tetapi harapan mereka tidak menjadi kenyataan apabila British bertindak lebih pantas dengan membantu menggulingkan Raja Abas dan melantik Amir Hussin bin Kamil menjadi Raja Mesir yang baru, dengan memakai gelaran Sultan. Jawatan Hakim Turki untuk Mesir pula dimansuhkan.

     Tindakan British itu menimbulkan kemarahan rakyat Mesir. Mereka tidak mahu menerima Amir Hussin sebagai Raja Mesir. Pada suatu malam diadakan suatu mesyuarat sulit di rumah Ustaz Ahmad Efendy. Mereka membincangkan isu yang sedang hangat diperkatakan rakyat Mesir.

     "Rakyat Mesir masih mengakui taat setia terhadap Khalifah Uthmaniyah. Usaha British mahu memutuskan hubungan antara Mesir dengan Turki tidak akan berjaya," kata Khalid, seorang pemuda yang begitu membenci penjajah British.

     "Kerana itu British menjatuhkan Raja Abas kerana baginda tidak mahu tunduk kepada kehendak British. Maka diganti dengan Amir Hussin kerana beliau sanggup menjadi boneka British," kata Ustaz Ahmad Efendy pula.

     "Sejak Sultan Amir Hussin menjadi Raja Mesir, beliau membenarkan orang-orang Inggeris mendirikan kelab malam dan rumah pelacuran. Beliau juga membenarkan orang-orang Kristian menyebarkan agama mereka di tanah air kita. Kerana itu dia mesti dibunuh dan saya menawarkan diri untuk melakukannya," kata Khalid dengan penuh semangat.

     "Untuk melakukan pembunuhan terhadap raja Mesir bukan perkara yang mudah. Namun kita boleh mencubanya sekiranya ada yang sanggup melakukannya," kata Ustaz Ahmad Efendy.

     "Demi Mesir, saya sanggup melakukannya dan sanggup menerima akibatnya," kata Khalid dengan bersungguh-sungguh.

     Mesyuarat pada malam itu akhirnya bersetuju dengan rancangan Khalid hendak membunuh Sultan Amir Hussin. Pada suatu malam, Khalid pergi ke Istana Sultan Amir Hussin dengan niat mahu membunuhnya. Tetapi rancangan itu gagal dan Khalid ditangkap.

     Kegagalan itu tidak melemahkan semangat mereka yang membencikan British dan Sultan Amir Hussin. Mereka merancang mahu melakukan sekali lagi percubaan membunuh Sultan Amir Hussin. Rancangan itu juga gagal kerana Sultan Amir Hussin sentiasa dikawal askar Mesir dengan bantuan tentera British.

     Bagi membendung kemarahan rakyat Mesir, British mengadakan pelbagai cara bagi menawan hati mereka. Antaranya dengan mengambil rakyat Mesir bekerja dengan mereka. Pekerja upahan itu digunakan bagi mempengaruhi orang supaya tidak menentang British.

     Usaha itu berjaya apabila pada 15 September 1915, Perdana Menteri Mesir menyampaikan satu syarahan. Dalam syarahan itu, beliau menuduh pihak Jerman kejam dan pihak British pula dianggapnya adil. Beliau juga menyalahkan Turki kerana memihak kepada mereka yang kejam. Penglibatan kerajaan Uthmaniyah Turki dalam perang dunia dengan menyebelahi Jerman dianggap satu kesilapan.

     Pihak British pula semakin menguatkan cengkamannya ke atas Mesir dan mereka menjadikan Mesir sebagai pusat kegiatan sulitnya, yang bertujuan menjatuhkan Khilafah Uthmaniyah Turki.

     Pihak British juga berjaya mempengaruhi sekumpulan cendekiawan Mesir supaya menerbitkan satu akhbar bagi menasihati rakyat Mesir supaya mematuhi pihak yang berkuasa. Namun pejuang-pejuang Mesir tidak menghiraukan seruan itu.

     Mereka terus bertekad menentang British dan menghalau mereka keluar dari bumi Mesir. Maka banyak gerakan bawah tanah ditubuhkan bagi menentang British.




N / F : DARIPADA BUKU "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB

No comments:

Post a Comment