Tuesday 26 April 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 3 - ANAK YANG SOLEH ]






ANAK YANG SOLEH








Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan seterusnya bertukar tahun, Hasan Al-Banna dan adiknya Abdul Rahman kini memasuki alam remaja. Ketika itu Hasan Al-Banna sudah berumur tujuh tahun. Pasangan suami itu dikurniakan lima orang anak lagi iaitu Fatimah Al-Banna, Muhammad al-Banna, Abdul Basit al-Banna, Jamal Al-Banna, dan Fauziah al-Banna.

     Antara tujuh adik-beradik itu, Hasan Al-Banna yang paling lincah dan cerdik. Sejak kecil dia sering bertanya kepada ayah dan ibunya mengenai Tuhan dan alam. Ketika berumur lima tahun, Hasan Al-Banna sudah mengikut ayahnya pergi ke masjid dan sama-sama sembahyang berjemaah.

     Sejak itu, Imam Ahmad Al-Banna mengajar anak sulungnya itu membaca Al-Quran. Dia memang mengharapkan Hasan Al-Banna menjadi seorang hafiz sejak kecil lagi. Sekiranya Imam Syafie mampu menghafal Al-Quran ketika berumur 10 tahun, Imam Ahmad Al-Banna juga mahu anaknya juga seperti itu.

     Selesai sembahyang subuh di masjid, Imam Ahmad Al-Banna terus pulang ke rumah lalu mengajar Hasan Al-Banna menghafaz Al-Quran hingga habis waktu duha. Kemudian, selepas sembahyang asar sekali lagi dia mengajarnya. Pada waktu malam, Fudhla pula mengambil alih tugas suaminya mengajar Hasan Al-Banna. Sebelum tidur Fudhla menyemak bacaan ayat-ayat Al-Quran yang sudah dihafal oleh Hasan Al-Banna.

     Selaim membaca dan menghafal Al-Quran, Hasan Al-Banna juga dilatih menunaikan solat lima waktu pada awal waktu. Dia juga dilatih bangun tengah malam bagi sembahyang tahajud.

     Imam Ahmad Al-Banna juga memberi beberapa panduan, termasuk cara menjaga makan dan minum. Hasan Al-Banna disuruh meminum madu lebah dan memakan kismis. Setiap kali selesai sembahyang pula dia membaca doa penerang hati.

     Adik Hasan Al-Banna, iaitu Abdul Rahman Al-Banna turut terkesan dengan abangnya. Dia juga mahu menghafal Al-Quran. Kedua-dua beradik itu mendapat pendidikan awal daripada ayah dan ibunya.

     "Hasan Al-Banna dikurniakan daya ingatan yang kuat. Saya yakin dia dapat menghafaz Al-Quran beberapa tahun lagi," puji Fudhla.

     Imam Ahmad Al-Banna berasa amat gembira mendengarnya. Kemudian dia merasakan anaknya perlu bersekolah bagi melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat. Dia menyatakan hasrat itu kepada isterinya.

     "Sekarang umur Hasan Al-Banna sudah sembilan tahun, dan adiknya berumur tujuh tahun. Kedua-duanya perlu dihantar ke sekolah bagi melengkapkan lagi diri mereka dengan ilmu pengetahuan," kata Imam Ahmad Al-Banna kepada isterinya.

     "Saya menurut sahaja apa keputusan abang."

     "Saya akan pilih sekolah yang sesuai untuk mereka," kata Imam Ahmad Al-Banna. Kemudian Imam Ahmad Al-Banna memanggil Hasan dan Abdul Rahman.

     "Esok ayah akan hantar kamu belajar ke sekolah. Adakah kamu setuju?" tanya Imam Ahmad Al-Banna.

     Ini adalah berita yang ditunggu-tunggu oleh Hasan Al-Banna. Wajahnya teruja dan dia terus berkata, "Kami setuju sebab kawan-kawan yang lain semua sudah bersekolah."

     "Jika abang pergi sekolah, saya juga mahu belajar sama," kata Abdul Rahman Al-Banna pula.

     Imam Ahmad Al-Banna mengangguk bersetuju seraya berkata, "Baiklah kamu berdua akan belajar di sekolah yang sama. Saya sudah buat pilihan, Hasan Al-Banna akan belajar di Madrasah Ar-Rasyad As-Diniyyah."

     "Mengapa ayah pilih sekolah itu?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Di sana nanti kamu akan belajar ilmu dunia dan ilmu akhirat. Kamu akan berguru dengan seorang ulama yang tinggi ilmunya, Syeikh Muhammad Zahran. Ayah kenal rapat dengannya. Beliau akan mendidik kamu dengan ilmu agama. Kerana itu hormat dan patuhlah kepadanya supaya berkat ilmu yang dituntut."

     Keesokan harinya, Imam Ahmad Al-Banna membawa kedua-dua anaknya ke sekolah bagi menemui Syeikh Muhammad Zahran. Kedatangan mereka disambut dengan baik. Tambahan pula, kedua-dua mereka sudah berkawan rapat.

     "Saya serahkan kedua-dua anak ini kepada Tuan. Didiklah mereka berdua mengikut cara Tuan. Beri tunjuk ajar dan rotanlah mereka apabila melakukan kesalahan," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     Hasan Al-Banna yang sudah mengenal huruf dan boleh membaca itu, sering disuruh gurunya mengajar kawan-kawannya. Ini membuatkan Hasan Al-Banna sentiasa bersemangat mahu pergi ke sekolah.

     Setiap kali pulang ke rumah, Hasan Al-Banna dan adiknya disambut gembira oleh ayah dan ibunya. Fudhla sering bertanya apa yang diajar oleh gurunya. Imam Ahmad Al-Banna pula sering bertanya apa yang ditanya Hasan Al-Banna kepada gurunya. Bagi menjawab soalan ayahnya, maka Hasan Al-Banna sering bertanya kepada gurunya.

     Pulang dari sekolah, bukan bermakna Hasan Al-Banna dan adiknya boleh berehat. Mereka berdua disuruh membaca buku oleh ayah mereka. Imam Ahmad Al-Banna sengaja mengatur jadual pembelajaran anaknya di rumah supaya mereka tidak membuang masa dengan bermain-main.

     Imam Ahmad Al-Banna menyuruh Hasan Al-Banna membaca buku fikah Imam Abu Hanifah. Abdul Rahman Al-Banna pula disuruh membaca buku fikah Imam Malik. Kemudian mereka berdua diarahkan berbincang. Secara tidak langsung Hasan Al-Banna tahu fikah Imam Malik, dan Abdul Rahman pula tahu fikah Imam Abu Hanifah.

     Hasan Al-Banna membiasakan dirinya dengan disiplin yang dididik oleh ayahnya. Kehidupan sehariannya dibahagikan kepada empat waktu. Pada waktu pagi dia ke sekolah, dan pulang dari sekolah menolong ayahnya membaiki jam di kedai. Pada waktu malam dia mengulang kaji pelajaran, dan pada tengah malam pula, Hasan Al-Banna bangun solat tahajud, lalu mengulang kaji hafalannya sampai waktu subuh.

     Ketika itu, Hasan Al-Banna juga sudah mula membiasakan dirinya berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Pada hari-hari cuti, Hasan Al-Banna dan adiknya Abdul Rahman Al-Banna tidak cuti belajar.

     Di rumah itu ada perpustakaan milik ayah mereka, Imam Ahmad Al-Banna. Pelbagai jenis buku terdapat di situ. Hasan Al-Banna suka membaca terutamanya buku sejarah.

     Hasan Al-Banna juga sering menghadiri menghadiri majlis perbahasan antara Syeikh Muhamad Zahran dan Hamis Muhsin. Itu semua menjadikan Hasan Al-Banna seorang kanak-kanak yang bijak.

     Syeikh Muhamad Zahran sering memujinya di depan pelajar yang lain dengan berkata, "Hasan Al-Banna jadi pandai sebab dia suka membaca buku, dan belajar dengan ayah dan ibunya di luar waktu sekolah. Sekiranya kamu berbuat begitu, kamu juga boleh menjadi pandai seperti Hasan Al-Banna."

     Syeikh Muhamad Zahran juga selalu memuji Hasan Al-Banna apabila bertemu dengan Imam Ahmad Al-Banna.

     "Anak Tuan memang luar biasa. Dia seorang yang cerdik dan berani. Saya yakin apabila besar kelak dia akan jadi orang ternama," puji Syeikh Muhamad Zahran apabila bertemu Imam Ahmad Al-Banna.

     Syeikh Muhammad Zahran seorang yang cacat penglihatan, tetapi dikenali sebagai seorang ulama tersohor, warak, bertakwa, dan cerdik. Sepanjang hayatnya digunakan untuk menabur ilmu kepada mereka yang memerlukan. Pada tahun 1915, beliau mengasaskan Madrasah al-Rasyad al-Diniyyah bagi memberi pendidikan kepada kanak-kanak setempat. Sekolah itu dibiayai daripada derma orang ramai. Namun, mutu pengajiannya setaraf dengan sekolah-sekolah yang lain.

     Semua pelajar Madrasah al-Rasyid al-Diniyyah diwajibkan mempelajari hadis, pada setiap hari Khamis. Kemudian mereka menghafaz serta mentafsir hadis itu. Kemudian hadis itu diterangkan secara meluas, agar mereka dapat mengetahui tujuan dan maksudnya. Mata pelajaran lain yang diajar termasuk penulisan, nahu, latihan amali, dan kajian kesusasteraann.

     Syeikh Muhamad Zahran seorang yang pandai bersajak. Beliau selalu menghadiahkan sajak kepada penuntutnya yang baik. Pada suatu hari seorang penuntut berjaya memberi jawapan yang baik dan menggembirakan hatinya lalu beliau bersajak.


'Kau memberi jawapan yang baik.

Jawapan mu menunjukkan kesempurnaan.

Semoga Allah meredhai dan memberi petunjuk

kepada mu.'

     
     Pada hari yang lain seorang pelajar memberi jawapan yang tidak memuaskan hatinya lalu Syeikh Muhamad Zahran bersajak.


'Duhai genggaman Allah,

Percepatkanlah cengkaman-Mu

terhadap lelaki ini.'




N / F : DARIPADA 'HASAN AL-BANNA', OLEH ABDUL LATIP TALIB.




No comments:

Post a Comment