Monday 4 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 32 - DARIPADA TANGAN RABIAH ]






DARIPADA TANGAN RABIAH




Pada suatu hari, Abdul Wahid dan Sufian al-Tsauri berkunjung ke rumah Rabiah. Tiba sahaja di rumah Rabiah, mereka teruja apabila melihat keadaan Rabiah yang gembira. Ini menimbulkan tanda tanya kepada mereka.

     Abdul Wahid berkata kepada Sufian, "Alangkah anehnya wanita ini, dia masih tetap bergembira sedangkan tubuh badannya hanya tinggal tulang tanpa daging."

     Sufian al-Tsauri turut melahirkan rasa kagum dan pada masa yang sama rasa simpati.

     "Kegembiraan untuknya tidak sama dengan kita. Untuknya, kekurangan pada makan, minum, pakaian dan tempat tinggal hanya perkara yang paling ringan dalam hidupnya."

     "Sahabat, nasihatilah Rabiah. Dia kelihatan sakit," kata Abdul Wahid.

     Mereka berdua kemudian menziarahi Rabiah yang kurus. Namun pada wajah Rabiah masih terpancar sinar keriangan. Ini menimbulkan rasa pelik kepada mereka.

     Melihat keadaan Rabiah yang daif itu, Sufian al-Tsauri berkata, "Wahai Rabiatul Adawiyah, berdoalah kepada Allah supaya diringankan penderitaanmu ini kerana saya yakin Allah kabulkan doa kekasih dan perinduNya seperti kamu."

     Rabiah yang pada mulanya hanya membisu mula bersuara.

     Dia berkata dengan perlahan kepada Sufian al-Tsauri, "Saudara, boleh saya bertanya?"

     "Silakan."

     "Siapakah yang menghadiahkan penyakit ini kepada saya?"

     "Tentu sahaja Allah."

     "Sekiranya ini adalah kehendak Allah dengan menurunkan penyakit ini bagi menguji diri saya, apakah boleh saya berpura-pura tidak menyedari yang ini adalah kehendak-Nya?"

     Sufian terdiam. Ada genangan air mata yang hampir tertumpah namun ditahan. Sufian al-Tsauri berasa sangat terharu dengan akhlak yang ditunjukkan oleh wanita yang berada di hadapannya itu.

     Dia lantas mengalihkan perbualan mereka kepada perbincangan yang lebih bersifat ilmiah.

     "Wahai Rabiah, apakah yang kamu inginkan dalam hidup yang sementara ini?"

     Rabiah tidak menunggu lama bagi menjawab persoalan itu.

     "Wahai Sufian, bukankah kamu sendiri adalah ulama yang alim? Bagaimana mungkin persoalan sebegitu ditanya oleh kamu?"

     Sufian al-Tsauri terdiam sejenak seperti mengumpul tenaga bagi kembali bersuara. Rabiah kemudian menyambung bicaranya.

     "Hanya Allah yang maha mengetahui. Seperti yang ada semua sedia maklum, saya teringin makan buah kurma sejak 12 tahun lepas. Sebenarnya amat mudah bagi mendapatkan kurma yang saya ingini kerana ini adalah kota Basrah. Namun, sampai saat ini saya belum merasai kurma ini kerana saya sedar saya tidak lebih daripada seorang hamba yang tidak mempunyai hak sama sekali bagi menuruti segala tuntutan kehidupan saya sendiri. Sekiranya saya mengkehendaki sesuatu perkara yang Allah tidak berkehendak bagi mengurniakannya, saya lebih suka bersikap sebagai hamba-Nya. Dengan yang demikian, saya lupa pada segala keinginan itu."

     Sufian al-Tsauri seakan tergantung di awangan dengan kakinya cuba menguis-nguis bagi mencari daratan. Pada masa yang sama, dia juga berasa seakan lemas dan cuba menggapai-gapai tangannya mahu bertaut pada benda terapung bagi menyelamatkan diri. Dia tersesat dalam jawapan yang diberikan Rabiah.

     Kemudian Sufian al-Tsauri berkata, "Maaf, saya kurang jelas dengan jawapan kamu."

     Rabiah menggelengkan kepala gambaran kehampaannya seraya berkata, "Andai diri kamu tiada keinginan pada dunia, nercaya kamu tergolong dalam golongan mereka yang suci."

     Sufian al-Tsauri berfikir sejenak. Dirinya berbalah sesama sendiri, hingga beberapa ketika barulah dia bertanya kepada dirinya sendiri, "Apakah diri ini mempunyai keinginan duniawi sepertimana yang dibicarakan oleh Rabiah?"

     Tanpa disedari, air mata insaf mengalir laju membasahi kepingan pipi dan janggut Sufian al-Tsauri. Dalam ratapan seorang insan yang takutkan dirinya tidak mendapat kasih Allah kerana ada sedikit keinginan dia berkata, "Ya Allah, aku mohon keredaan-Mu."

     Tiba-tiba, sekali lagi Sufian al-Tsauri ditegur oleh Rabiah.

     "Tidakkah kamu berasa malu kerana memohon keredaan Allah sedangkan kamu belum melaksanakan amalan diredai-Nya?"

     "Maksud kamu?"

     "Bagaimana mungkin kita sebagai hamba Allah mengharapkan reda Allah selagi mana kita masih mengeluh dan tidak reda dengan ujian daripada Allah. Apa yang terjadi itu adalah kehendak Allah, apakah patut kita sebagai hambaNya berkeluh-kesah atas ketentuan qadak dan qadar Allah."

     Kemudian fahamlah Sufian al-Tsauri yang manusia hanya mendapat reda Allah apabila mereka mampu untuk reda pada semua yang berlaku ke atas dirinya. Sama ada perkara itu baik ataupun buruk, mereka wajib yakin yang itulah yang terbaik untuk diri mereka.

     Bahkan manusia khususnya umat Islam perlu bersyukur dan bersabar atas segala dugaan yang melanda. Itulah antara tanda kekuatan iman seseorang hamba itu. Mereka juga tidak berasa bosan, malah gembira kerana terpilih bagi menerima musibah itu daripada Allah.

     Mereka menganggap apabila dihujani dengan ujian, ia menunjukkan Allah memberi perhatian kepada mereka lalu mereka mengharungi musibah itu dengan penuh kenikmatan.

     Pernah berlaku kepada Rasulullah yang mana baginda bertanya kepada para sahabatnya, "Siapakah kalian?"

     Para sahabat menjawab, "Kami adalah orang yang beriman."

     Beliau lantas bertanya lagi, "Apakah tanda-tanda yang membuktikan kamu semua orang yang beriman?"

     Para sahabat menjawab, "Kami adalah golongan yang sabar dan sentiasa menerima dengan lapang segala cubaan daripada Allah. Kami juga selalu bersyukur atas nikmat kurniaan-Nya dan kami reda dengan ketentuan takdir yang ditetapkan oleh-Nya."

     Beliau kemudian berkata, "Demi Allah, saya menyaksikan yang kamu semuanya adalah daripada kalangan orang yang beriman."

     Dapat difahami yang Rasulullah sendiri memberi garis panduan yang harus kita ikuti bagi menjadi orang yang berimand dengan sebenar-benar iman. Sifat-sifat ini sangat akrab dengan sifat Rabiatul Adawiyah.

     Dengan sifatnya yang selalu bersabar, bersyukur dan reda dengan segala ketentuan daripada Allah. Malah dia juga sentiasa mengajak manusia supaya bersikap demikian. Rabiah antara manusia yang tidak pernah mengeluh walaupun seberat mana kejadian ataupun cuba yang menimpa dirinya. Berputus asa bukanlah sikap Rabiah dalam menghadapi apa sahaja ujian yang menyusahkan hatinya.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment