Sunday 10 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 35 - MASMA' BINTI ASHIM ]






MASMA' BINTI ASHIM




Masma' binti Ashim adalahanak murid Rabiah setia dan banyak sekali belajar ilmu makrifat daripada Rabiah. Masma' binti Asyim pernah bercerita berkenaan mimpi yang dialami oleh Rabiatul Adawiyah.

     Mimpi itu datang semasa Rabiah sedang sakit. Ketika itu dia tidak mampu lagi bangkit untuk mengerjakan solat sunat sebagaimana biasa. Keresahan menyelimuti dirinya. Rabiah berasa hidupnya tidak lengkap kerana sudah tertinggal ibadat rutinnya. Perkara ini terbawa-bawa ke dalam mimpi.

     Rabiah menceritakan tentang mimpinya itu kepada Masma' binti Ashim. Katanya, "Wahai Masma', saya pernah dikurniakan keuzuran yang menyebabkan saya tidak mampu untuk bangun terhajud pada malam hari."

     Masma' binti Ashim tekun memasang telinga mendengar kata-kata gurunya itu. Rabiah menyambung lagi, "Oleh yang demikianlah, saya menqadakan amalan yang tertinggal itu dengan membaca satu juz Quran. Membaca Quran menenangkan dan memenuhi kekosongan jiwa ini yang sudah terlepas ibadat malam."

     Masma' binti Ashim mengangguk, bersedia mendengar gurunya terus berbicara.

     "Tidak lama selepas itu, dengan izin Allah saya sembuh daripada sakit. Tetapi kebiasaan membacaan Quran diteruskan juga kerana ia adalah penawar bagi segala penyakit dengan izin Allah," kata Rabiah lagi.

     Rabiah kemudian menyambung lagi, "Pada suatu malam, saya didatangi mimpi yang indah."

     Rabiah berhenti seketika, seakan-akan cuba mengingati kejadian yang sudah berlalu itu. Dahinya berkerut-kerut, namun wajahnya terpancar sinar bahagia.

     "Saya merasakan diri ini berada di sebuah taman yang menghijau. Pepohon yang tumbuh juga sangat rimbun. Ia sebuah taman yang sangat indah. Saya cuba mengelilingi taman itu dan menikmati aroman ciptaan Allah yang maha ajaib itu. Tiba-tiba...."

     Masma' binti Ashim membeliakkan matanya, sungguh takjub dan kagum dia dengan cerita mimpi gurunya itu.

     "Tiba-tiba seekor burung berbulu hijau yang berkejaran dengan seorang budak perempuan melintas di hadapan saya. Dengan riang, budak itu mengejar dan menangkap burung itu, seperti mereka sedang bergurau senda. Pada masa yang sama, saya amat terpegun pada kecantikan dan kemulusan anak gadis dan burung hijau itu."

     Rabiah menyambung lagi, "Saya cuba menegur anak gadis itu dengan berkata, wahai anak yang manis mengapakah kamu ingin menangkap burung itu? Demi Allah, seumur hidup saya, belum pernah saya melihat burung yang sebegini indah. Biarkan ia berterbangan bebas membawa diri."

     "Ternyata anak gadis itu menjawab tegas, sesungguhnya benarlah apa yang kau katakan. Kemudian dia menghampiri saya seraya memegang tangan ini. Dia mengajak saya bersiar-siar di taman itu sebelum kami masuk ke dalam istana agam yang indah."

     Rabiah berkata lagi, "Anak gadis itu kemudiannya mengetuk kuat pintu istana itu dengan kuat."

     "Pintu itu terbuka dengan sendirinya. Saya terpana dengan simbahan cahaya yang bersinar dari dalam istana itu. Sungguh terang dan menyilaukan. Kemudian anak gadis itu mempersilakan saya masuk ke dalam."

     Rabiah meneruskan ceritanya, "Saya dibawa bersiar-siar ke dalam istana itu. Dengan tidak semena-mena pintu yang menuju ke taman terbuka dengan selebar-lebarnya, di situ kelihatan ramai sekali pelayan-pelayan yang sangat cantik ibarat manikam kalbu. Di tangan mereka ada bekas wangi-wangian dan saya mendengar anak gadis tadi bertanya kepada salah seorang daripada mereka, mereka mahu kemana katanya. Kawanan pelayan istana itu menjawab, mereka akan menemui seseorang yang gugur di medan jihad sebagai syuhada."

     "Anak gadis itu bertanya adakah mereka akan memberikan saya ini wangian itu? Mereka memberitahu yang saya sudah mendapatkannya namun saya sendiri yang meninggalkannya."

     Anak gadis yang memegang Rabiah melepaskan tangannya dan berpusing menghadap Rabiah dan berkata, "Solatmu adalah cahaya ketika manusia sedang lena dalam tidurnya, dan tidurmu adalah sebagai halangan bagi solat malammu. Umurmu akan menjadi laba yang besar apabila ia dimanfaatkan, tetapi apabila membenarkan waktu berlalu tanpa makna dan erti, ia adalah pembaziran yang hakiki, yang tidak mungkin ditukar ganti."

     Selepas mengungkatkan kata-kata itu, anak gadis itu ghaib dari Rabiah. Sejurus itulah Rabiah bangun dan menyedari bahawa dia sudah bermimpi, mimpi yang sarat dengan pengajaran dan hikmah.

     Kata Rabiah, "Rupanya fajar sudah menyingsing dan subuh sudah menjelang. Setiap detik saya mengingati mimpi itu nescaya jiwa ini bergetar."

     Itulah gambaran mimpi seorang kekasih, perindu kepada Rabbnya. Fahamlah Rabiah bahawa mimpi itu bertujuan memberikan dorongan kepadanya bagi bersolat tahajud.

     "Sungguh saya menyesal, kerana sedikit kelalaian itu saya mungkin akan menerima apa yang tidak sepatutnya diterima oleh saya," luah Rabiah kepada anak muridnya itu.

     Abdah pula bercerita, "Sejak itu, sekiranya guru teringatkan mimpinya. dia akan mengalami alahan yang pelik dan kadang-kadang dia hampir pengsan kerana memikirkannya."

     Sebenar mimpi itu adalah kurnia Allah. Bukan semua hamba-Nya yang layak mendapatkan mimpi seperti itu. Mereka yang benar-benar soleh dan tikah sahaja mendapat mimpi seperti itu.

     Mimpi-mimpi para nabi adalah wahyu, mimpi orang soleh pula adalah ilham dan rahmat daripada Allah.

     Pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, Abdullah bin Umar, semasa beliau tidur di dalam masjid Nabawi, beliau bermimpi melihat dua malaikat membawa dirinya pergi meninjau api yang sedang menyala. Api itu seakan-akan mempunyai tanduk, sejurus kemudian dia melihat mereka yang dikenalinya di dalam api itu. Maka Abdullah bin Umar pun berkata, "Saya berlindung dari kemarakan api itu."

     Kemudian datang pula malaikat membawanya pergi. Malaikat-malaikat itu berkata kepada Abdullah bin Umar, "Janganlah kamu takut."

     Ketika itulah Abdullah bin Umar bangkit dari tidurnya.

     Abdullah kemudian mendapatkan kakaknya Hafsah salah seorang isteri Rasulullah lantas menceritakan apa yang dialaminya sebelum itu. Hafsah kemudian menceritakan perihal mimpi Abdullah kepada Rasulullah.

     Rasulullah kemudian mengatakan Abdullah bin Umar adalah lelaki yang paling baik jika dia beristiqamah dan tidak meninggalkan solat malam.

     Sejak itu, hampir kesemua masanya dihabiskan untuk bersolat, berzikir dan menuntut ilmu-ilmu daripada Rasulullah sendiri.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU BUKU SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. 





No comments:

Post a Comment