Monday 4 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 31 - SUFIAN AL-TSAURI ]






SUFIAN AL-TSAURI




Walaupun Sufian al-Tsauri adalah ulama sufi, beliau tidak pernah jemu menadah telinga bagi menerima nasihat-nasihat Rabiah. Apabila ada yang bertanya kepadanya, "Apakah pandangan kamu tentang Rabiatul Adawiyah?"

     Dia menjawab dengan rendah diri. "Rabiah adalah pendidik yang hebat. Saya senang berada bersamanya dan mendengar kalimah ketakwaannya kepada Allah."

     "Selain itu?"

     "Bukankah kalian juga tahu, daripada tangan Rabiah sudah terdidik peribadi para ulama muktabar, para ilmuwan fikah, para ilmuwan hadis dan ahli-ahli ibadah serta sufi. Mereka berada pada makam yang tinggi iaitu hidup semata-mata kerana kecintaan dan kerinduan kepada Allah."

     "Bagaimana pula dengan kamu?"

     "Ya, saya salah seorang daripada kelompok yang mahu mendapat tarbiah daripada Rabiatul Adawiyah."

     Pernah pada suatu hari, Sufian al-Tsauri datang berjumpa Rabiah bagi mendengar nasihat-nasihat dan kalam-kalam hikmah daripadanya. Tiba-tiba Sufi al-Tsauri berlutut di hadapan Rabiah.

     Dengan nada merayu, dia memohon kepada Rabiah dengan berkata, "Wahai Rabiah, tunjuk dan ajarlah kami hikmah yang dimiliki oleh kamu, yang berasal daripada ilham yang dikurniakan oleh Allah."

     Sufian al-Tsauri sanggup melakukan perbuatan itu kerana dia sedar, masih ada perkara yang perlu dia pelajari terutama daripada Rabiah sendiri.

     Pernah suatu hari, seseorang datang bertemu Rabiah dan mengajukan soalan, "Kamu amat petah berbicara, barangkali dirimu lebih sesuai sekiranya menjadi penjaga ribath iaitu tempat ibadah orang sufi yang miskin."

     Rabiah menjawab, "Sudah tentu, sejak dahulu lagi saya adalah penjaga ribath. Ini kerana tidak ada satu perkara pun yang saya benarkan keluar daripada hari ini. Tidak pula semua perkara yang berada di luar, saya benarkan masuk ke dalam hati ini."

     Akhirnya orang yang bertanya itu berlalu dengan perasaan. Perkara seperti inilah yang menyebabkan para ulama sekalipun sanggup menimba ilmu daripada Rabiah dan salah seorangnya adalah Sufian al-Tsauri.

     Sufian al-Tsauri pernah berkata, "Ulama yang dibayangi kuasa pemerintah adalah pencuri. Manakala ulama yang menyandarkan dirinya kepada orang kaya adalah munafik."

     Itu pendapat dan pendirian yang tegas daripada seorang ulama muktabar yang bernama Sufian al-Tsauri.

     Namun dengan ketinggian dan kedalaman ilmu Sufian al-Tsauri berkata, "Wahai Sufian al-Tsauri, jalanilah hidup kamu sebagaimana yang sudah direncanakan. Andai kata sebahagian daripada dunia sudah kehabisan, makanya sudah tidak lama akan habislah kesemuanya. Sekiranya kamu sudah mendapat tahu perihal ini, maka beramallah."

     Pernah juga terjadi perbincangan antara Rabiah dan Sufian al-Tsauri berkenaan makna pemurah.

     Rabiah bertanya, "Mengikut pandangan kamu, apakah yang dimaksudkan dengan pemurah?"

     Lama berfikir, baru Sufian al-Tsauri menjawab.

     "Pemurah itu maksudnya tidak bakhil dalam berkongsi harta yang dikurniakan Allah."

     "Salah!"

     Sufian al-Tsauri terkedu, lalu dia terus bertanya, "Sekiranya begitu, apakah maksud pemurah pada pandangan kamu?"

     "Pemurah itu maksudnya apabila kita mengabdikan diri semata-mata kerana mengharapkan cinta daripada Allah. Pada masa yang sama, kita tidak sekalipun mengharap sebarang balasan daripada-Nya."

     "Maksudnya kita hanya perlu beribadah kerana mengharapkan keredaan-Nya dan bukan balasan-Nya?"

     "Benar," jawab Rabiah ringkas.

     "Sekiranya begitu, apakah pula landasan yang mrnjadi dasar kecintaan kamu kepada Allah?"

     "Sesungguhnya saya menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah bukan kerana mahukan syurga-Nya dan juga bukan kerana takutkan neraka-Nya."

     Sufian al-Tsauri kemudiannya melahirkan rasa perhatian kepada Rabiah. Katanya, "Saya berasa sungguh terharu dengan apa yang kamu lakukan."

     Rabiah menjawab, "Jangan kamu berbohong wahai Sufian, sesungguhnya kamu hanya berasa sedih dan bukannya prihatin. Sedih yang banyak akan meragut kebahagiaan dalam hidup."

     Dalam peristiwa yang lain pula, Sufian al-Tsauri berjumpa dengan Jaafar bin Sulaiman lalu berkata, "Wahai saudaraku Jaafar, mari kita ke rumah Rabiah bagi mendapatkan nasihatnya. Sungguh saya berasakan diri ini kehilangan saat tidak bersama dengannya."

     Apabila kedua-duanya sampai di rumah Rabiah, Sufian al-Tsauri terus mengucapkan kalimah yang berbunyi, "Ya Allah, lindungilah aku daripada kecelakaan."

     Sejurus kemudian mereka menemui Rabiah. Mereka terkejut apabila mendapati ada linangan air mata daripada kelopak mata Rabiah.

     Sufian al-Tsauri kemudian bertanya, "Wahai Rabiah, mengapa kamu berlinangan air mata?"

     "Kamu yang membuat saya menangis."

     Sufian al-Tsauri sangat terkejut dengan kenyataan Rabiah.

     Dengan penuh perasaan hairan dia bertanya, "Perbuatan apakah yang saya lakukan hingga kamu menangis begini?"

     "Sedarkah kamu yang keselamatan belum meninggalkan diri kamu, kerana itu kamu masih tenggelam di dalamnya."

     Barulah Sufian al-Tsauri faham yang Rabiah menyampaikan pelajaran dan nasihat secara tidak langsung. Begitulah sifat Rabiah yang tidak boleh dijangka cara dia menyampaikan ilmu dan nasihat, namun ia sentiasa berhikmah.

     Kadangkala penduduk Basrah berbual sesama mereka.

     "Saya kagum dan hairan pada Rabiah."

     Sahabatnya yang sedang duduk segera bertanya, "Apa yang kamu kagum tentang Rabiah?"

     "Rumah Rabiah paling kerap dikunjungi oleh para ulama, ahli ibadah, orang abid, ahli fikah, ahli hadis, dan orang ramai."

     "Benar kata kamu. Namun apa yang mahu dipelikkan, bukankah Rabiah itu sendiri adalah guru kepada mereka semua."

     "Itulah yang saya kagumkan."

     "Tahukah kamu siapa yang paling kerap ke rumah Rabiah?"

     "Siapa?"

     "Ulama muktabar yang dahulunya adalah guru kepada Rabiah, namun kerana makam Rabiah sendiri sudah menjangkaui mereka, maka kini mereka pula yang bergurukan Rabiah."

     "Siapakah yang kamu maksudkan?"

     "Mereka adalah Hasan al-Basri, Sufian al-Tsauri dan Malik bin Dinar. Mereka menjadikan rumah Rabiah sebagai tempat bagi bersolat sepanjang malam."

     "Bagaimana pula dengan Rabiah?"

     "Sudah tentu dia sembahyang bersama."

     "Adakah Rabiah bersolat seapanjang malam?"

     "Bahkan, selepas bersolat sunat tahajud sepanjang malam, dia terus bermunajat kepada Allah selepas berehat sebentar. Ketika bangkit daripada tidur yang sebentar itu, dia akan berkata,

     "Wahai diri ini,
   
     Banyak mana masa untuk tidur?

     Sampai bilakah dirimu terlelap?

     Saat yang dijanjikan sudah hampir sahaja.

     Saat akan ditidurkan kamu hingga dipaksa bangun pada hari kiamat."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.




No comments:

Post a Comment