Wednesday 6 April 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 33 - SAMUDERA KEIKHLASAN ]






SAMUDERA KEIKHLASAN




Imam al-Ghazali bertanya kepada anak muridnya, "Wahai muridku, di manakah tempat yang paling jauh?"

     "Negeri China."

     "Bulan."

     "Bintang."

     Itulah antara jawapan yang diberikan oleh anak muridnya.

     "Semuanya betul. Namun ada tempat yang lebih jauh daripada itu, kerana tempat yang paling jauh adalah masa lalu.

     Anak murid Imam al-Ghazali kagum pada jawapan guru mereka. Barulah mereka sedar bahawa maksud sebenar guru mereka.

     Rabiah al-Adawiyah adalah manusia yang tidak pernah lekangkan masanya walau sesaat tanpa mengingati Allah. Dia sentiasa berzikir dan bermunajat kepada Allah. Sekiranya berbual atau berkata-kata, tiada lain yang terucap melainkan nasihat dan bicara ilmu yang menyuburkan ruh iman dan takwa di dalam dirinya.

     Pada suatu hari Rabiah terlihat seorang lelaki sedang membaluti kepalanya dengan sehelai kain.

     Rabiah bertanya, "Apakah sebabnya kamu membalut kepala?"

     Lelaki itu hanya menjawab pendek, "Kepala saya sakit."

     Rabiah melanjutkan soalannya kepada lelaki itu, "Berapakah umur kamu?"

     "Tiga puluh tahun," jawabnya ringkas.

     "Jika begitu dalam masa tiga puluh tahun ini, adakah kamu lebih banyak sakit daripada sihat?"

     "Tentunya saya lebih banyak sihat."

     Rabiah terus mengasak lelaki itu dengan persoalan yang lebih dalam, "Selama kamu sihat, adakah kain itu membalut kepala kamu sebagai tanda kamu mensyukuri nikmat Allah?"

     Lelaki itu kaget.

     Dia terus diasak dengan persoalan seterusnya, "Ataupun pada hari ini dengan balutan di kepala kamu, kamu mahu memberitahu Allah yang kamu tidak setuju dengan penyakit yang dikurnikan-Nya itu?"

     "Terima kasih wahai Rabiah kerana menyedarkan saya daripada kealpaan ini. Sepatutnya sakit ini saya anggap sebagai anugerah dan bukannya bersikap seolah-olah tidak reda dengan kehendak-Nya."

     Mulai dari saat itu, dia tidak lagi mengeluh lagi atas sakit dan musibah yang menimpa dirinya.

     Pada ketika yang lain, Rabiah berpuasa selama tujuh hari berturut-turut dan berbuka hanya dengan seteguk air kosong. Apabila malam menjelang pula, dia menyambung dengan bersolat dan bertasbih.

     Pada malam yang kelapan, Rabiah merasakan mendengar suara dari alam lain. Dia meyakini suara bisikan itu berasal dari alam batinnya.

     "Wahai Rabiatul Adawiyah, sampai bilakah kamu mahu menyeksa diri kamu seperti ini?"

     Bisikan itu kemudiannya menjengah lagi, "Tidakkah kamu berasa kasihan kepada diri kamu?"

     Rupa-rupanya itu adalah bisikan atau talbis daripada iblis yang sentiasa berusaha merobohkan tiang keimanan hamba Allah yang soleh.

     "Karut. Tidak mungkin saya akan terhasut oleh bisikan dajal ini."

     Berkat kekuatan yang disemai daripada ibadah yang ikhlas, Rabiah tegar dengan cubaan dan godaan sebegitu. Rabiah sedar hanya Allah dapat membantu dirinya daripada termakan hasutan halus itu.

     Pada waktu yang lain, semasa Rabiah sedang berzikir di kamarnya, dia terdengar suara memberi salam. Dia segera menjawab salam itu.

     Selepas pintu dibuka, didapati ada seorang lelaki sedang berdiri di hadapan daun pintu rumahnya.

     "Ya saudara, ada apa yang boleh saya bantu?"

     Lelaki itu menjawab dengan hormat, "Tiada apa yang saya harapkan melainkan kamu sudi menerima makanan yang tidak seberapa ini. Saya berbesar hati jika ia boleh membantu kamu, semoga juga reda bersama kami."

     Rabiah menerima pemberian itu dengan iringan ucapan terima kasih. "Alhamdulillah dan terima kasih. Semoga keikhlasan kamu dibalas oleh Allah sewajarnya."

     Kemudian Rabiah menyambung rutin ibadahnya dan menaruh makanan tadi di satu sudut dalam rumahnya.

     Menjelang waktu maghrib, lampu dinyalakan oleh Rabiah. Pada waktu itulah seekor kucing menyelinap masuk dan terus memakan makanan pemberian lelaki tadi.

     Selepas menghampiri tempat simpanan baharulah Rabiah sedar makanannya sudah habis dimakan kucing itu. Rabiah dengan spontan berkata, "Tidak mengapa wahai kucing, sudah cukup untuk saya seteguk air untuk berbuka nanti."

     Selepas mendapatkan air, bekas air itu terlepas pula daripada tangan Rabiah lalu pecah. Pada saat itu, tiada apa pun untuk Rabiah berbuka puasa.

     Tetapi nyata, Rabiah adalah wanita yang sentiasa bersiap siaga dan sabar.

     Dia tidak mengeluh dalam menghadapi ujian-ujian Kekasihnya itu. Dia cuma berkata, "Tuhanku, apakah yang diharapkan daripada seorang wanita yang papa ini?"

     Namun, sejurus sahaja dia mengungkapkan kata-kata itu rasa kesal datang menyelubungi dirinya. Dia kesal akibat kata-katanya itu. Rabiah lantas menangis dengan hebat sekali.

     Rabiah mendengar suara yang berkata, "Wahai Rabiah, kamu boleh mendapatkan cinta sejati, tetapi syaratnya dalam, cinta yang wujud di dalam hatimu sebagai gantinya."

     Kemudian Rabiah memandang sekitarnya. Namun tiada apa yang didapatinya. Hanya seberkas cahaya yang bersinar seakan-akan bintang yang jauh di tepinya. Keadaan di tempat itu kini terang benderang, Rabiah tenggelam dalam zat kebesaran dan keagungan Allah. Dia bahkan merasakan bahawa kekuasaan langit sedang menyentuh jiwa dan batinnya. Kalbunya kini terpana dalam ketenangan abadi anugerah Ilahi.

     Rabiah pernah menceritakan kepada muridnya berkenaan peristiwa itu. Katanya, "Selepas mendengar seruan itu, hati saya berasa terlepas daripada pergantungan kepada hal-hal yang bersifat sementara dan fana dunia. Sudah hampir tiga puluh tahun semenjak peristiwa itu, saya tidak pernah bersolat sebelum berkata kepada diri sendiri. Barangkali inilah solat kamu yang terakhir."

     Kemudian Rabiah akan mengambil kesempatan itu untuk bermunajat, "Wahai Tuhanku, hanyutkanlah diri ini ke tengah gelora samudera keikhlasan untuk mencintai-Mu. Lenyapkanlah segala hal yang menyebabkand diri ini sibuk kecuali pada mengingati-Mu setiap detik."




N / F : DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment