Thursday 28 April 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 5 - KHUTBAH DI MIMBAR KOSONG ]






KHUTBAH DI MIMBAR KOSONG








"Ketika ayah sampai di Mahmodiyah, masjid ini masih belum dibina," kata Imam Ahmad Al-Banna kepada anaknya, Hasan Al-Banna. Ketika itu mereka berdua berada di dalam masjid Mahmodiyah.

     "Di mana orang ramai bersembahyang ketika itu?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     "Mereka sembahyang di rumah masing-masing."

     "Mengapa boleh jadi begitu?" tanya Hasan Al-Banna lagi.

     Menurut Imam Ahmad Al-Banna, semua berlaku apabila Mesir dijajah British. Mereka menjadikan Mesir sebuah negara sekular dengan mencabut amalan beragama daripada rakyatnya.

     Kerana menganggap agama menyebabkan umat Islam lemah dan mundur, maka ada antara mereka melarang anak-anak belajar di sekolah agama, dan merobohkan masjid dengan alasan tempat itu dijadikan gerakan menentang British.

     "Bagaimana pula masjid ini boleh didirikan? Tidak ada yang yang menghalangnya?" tanya Hasan Al-Banna lagi.

     "Semuanya berlaku dengan izin Tuhan yang berkuasa," jawab Imam Ahmad Al-Banna. "Penduduk Mahmodiyah sanggup mengeluarkan perbelanjaan, dan mereka bergotong-royong bagi mendirikan masjid ini."

     "Pihak British tidak marah?" tanya Hasan Al-Banna lagi.

     Imam Ahmad Al-Banna menarik nafas panjang lalu menjawab, "Mereka pernah menghantar wakil bagi mempengaruhi penduduk Mahmodiyah bagi membatalkan kerja mendirikan masjid ini. Tetapi orang ramai tidak berjaya dipengaruhi. Kemudian mereka menghantar sepasukan tentera bagi menakutkan penduduk Mahmodiyah, namun mereka tidak gentar. Malah ramai yang sanggup mati syahid bagi mempertahankan masjid ini."

     Kemudian katanya lagi, "Kemudian timbul pula masalah untuk menjadi imam, kerana tidak ada yang sanggup memikut tanggungjawab itu. Akhirnya orang ramai melantik ayah menjadi imam di masjid ini. Ayah menerimanya kerana Allah, dan tidak takut kepada sesiapa."

     "Ayah seorang yang hebat, saya akan mencontohi ayah..." ujar Hasan Al-Banna.

     Mendengar kata-kata anaknya itu, Imam Ahmad Al-Banna segera menjawab, "Semua manusia dijadikan hebat. Cuma kadangkala manusia itu sendiri tidak tahu tentang kehebatannya."

     "Saya mahu menjadi seperti Sungai Nil, berjasa kepada rakyat Mesir dan dikenang hningga akhir zaman," kata Hasan Al-Banna pula.

     Imam Ahmad Al-Banna menyokong cita-cita anaknya itu, "Kamu pasti mendapatnya, sekiranya berusaha dengan bersungguh-sungguh."

     Hasan Al-Banna sering mengikut ayahnya pergi ke masjid. Dia sering disuruh mengumandangkan azan apabila masuk waktu solat. Saat yang paling disukainya adalah, apabila berada di atas menara masjid melaungkan azan dengan suara yang kuat.

     Pada hari Jumaat, Hasan Al-Banna dan ayahnya datang ke masjid lebih awal. Mereka adalah yang terawal datang ke masjid. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Imam Ahmad Al-Banna naik ke mimbar membaca khutbah.

     Hasan Al-Banna sungguh tertarik melihat ayahnya yang berdiri dengan gagah di atas mimbar. Kata-kata yang diucapkan ayahnya kedengaran lancar dan petah. Lalu timbul keinginan hatinya untuk berdiri di atas mimbar, menyampaikan khutbah seperti yang dilakukan ayahnya.

     Namun, peluang itu sukar diperolehnya kerana hanya imam dan khatib yang boleh berada di atas mimbar. Tambahan pula dia masih belum dewasa, pasti orang ramai tidak membenarkan dia berkhutbah.

     Selesai sembahyang Jumaat, Hasan Al-Banna tidak pulang ke rumah. Dia terus berada di dalam masjid sehingga semua orang sudah keluar. Kini dia tinggal sendiri di dalam masjid itu. Dia melihat mimbar yang kosong. Hatinya melonjak mahu berada di atas mimbar masjid seperti ayahnya.

     Hasan Al-Banna menutup semua pintu dan tingkap masjid, supaya tidak siapa yang melihatnya, Hasan Al-Banna naik ke mimbar lalu meniru gaya ayahnya berkhutbah.

     Hasan Al-Banna terus berkhutbah dengan suara yang lantang. Dia membayangkan orang ramai memenuhi masjid itu, lalu mendengar khutbah yang dibacakannya.

     Selesai berkhutbah, Hasan Al-Banna turun dari mimbar lalu menunaikan sembahyang sunat dua rakaat, kemudian berdoa semoga lidahnya lancar berkhutbah. Kemudian dia naik ke atas mimbar sekali lagi dan berkhutbah. Dia melakukannya berulang kali dengan rasa gembira.

     "Di mana abang kamu Hasan Al-Banna?" tanya Imam Ahmad Al-Banna kepada Abdul Rahman Al-Banna, apabila mereka sampai di rumah.

     "Masa sembahyang Jumaat tadi dia ada di masjid. Selepas itu saya tidak lagi melihatnya," jawab Abdul Rahman Al-Banna, yang turut sama sembahyang Jumaat bersama ayah dan abangnya. Selesai sembahyang Jumaat dia terus mengikut ayahnya pulang ke rumah.

     Mereka terus menunggu, tetapi kelibat Hasan Al-Banna masih tidak kelihatan. Hati Fudhla mula dipagut kerisauan. Pelbagai sangkaan yang tidak baik menerpa fikirannya.

     "Biasanya, selesai sembahyang Jumaat Hasan terus pulang ke rumah. Mengapa hari ini dia masih belum pulang?" tanya Fudhla yang kelihatan risau.

     Imam Ahmad Al-Banna membuat andaian dalam usaha meredakan keresahan isterinya. "Mungkin dia singgah di rumah kawannya. Mungkin sekejap lagi dia akan sampai."

     Selepas sekian lama menunggu, Hasan Al-Banna masih belum nampak kelibatnya. Fudhla tidak dapat menahan sabarnya lalu menyuruh Abdul Rahman Al-Banna pergi ke rumah kawan-kawannya, mencari dan menjemput abangnya pulang.

     Abdul Rahman Al-Banna pergi ke setiap rumah kawan abangnya, malangnya tidak ditemui. Selepas penat mencari, Abdul Rahman Al-Banna segera pulang ke rumah memberitahu ayah dan ibunya.

     Sebagai seorang ibu, Fudhla semakin risau. Dia sudah mula hendak menangis. "Di mana anak kita? Mungkinkah dia sudah hilang?"

     Imam Ahmad Al-Banna berkata dengan tenang, "Mustahil dia hilang."

     "Mungkin abang tertidur di dalam masjid," kata Abdul Rahman Al-Banna.

     Imam Ahmad Al-Banna segera mengaka Abdul Rahman Al-Banna pergi ke masjid. Dari jauh, pintu dan tingkap masjid tertutup rapat. Tidak ada tanda-tanda ada orang di dalamnya. Mereka berdua terus menghampiri masjid dengan harapan Hasan Al-Banna berada di dalamnya.

     Imam Ahmad Al-Banna segera membuka pintu masjid, dan kelihatan Hasan Al-Banna sedang berdiri di atas mimbar sambil berkhutbah. Kerana khusyuknya berkhutbah. Hasan Al-Banna tidak sedar kedatangan ayah dan adiknya. Dia terus berkhutbah dengan disaksikan Imam Ahmad Al-Banna, dan adiknya Abdul Rahman Al-Banna.

     Selesai berkhutbah, baru dia turun dari mimbar dan ketika itu barulah dia perasan ada orang di dalam masjid. Hasan Al-Banna kelihatan terkejut apabila melihat ayah dan adiknya ada di dalam masjid.

     "Apa yang kamu lakukan wahai Hasan?" tanya Imam Ahmad Al-Banna.

     "Saya belajar berkhutbah di atas mimbar masjid. Saya mahu meniru ayah berkhutbah."

     Imam Ahmad Al-Banna mengusap kepalanya anaknya lantas berkata, "Apabila sudah besar nanti, kamu boleh naik mimbar membaca khutbah."

     "Tentu tidak menjadi kesalahan sekiranya saya belajar mulai sekarang. Bukankah begitu wahai ayahku?"

     "Lain kali beritahu ayah supaya kami tidak risau," jawab Imam Ahmad Al-Banna, lalu mengajak Hasan Al-Banna pulang ke rumah.

     "Saya rasa seronok berdiri di atas mimbar dan berkhutbah. Bolehkah saya melakukannya lagi pada hari Jumaat depan?" tanya Hasan Al-Banna semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.

     "Boleh..." jawab Imam Ahmad Al-Banna.

     Jawapan ayahnya itu menggembirakan hati Hasan Al-Banna.

     "Minggu depan boleh saya melihat abang berkhutbah di atas mimbar?" tanya Abdul Rahman Al-Banna.

     "Tentu boleh," jawab Hasan Al-Banna dengan gembira kerana adiknya mahu melihat dia berkhutbah.

     Pada hari Jumaat berikutnya Hasan Al-Banna dan adiknya tidak segera pulang ke rumah. Selepas masjid itu kosong, Hasan Al-Banna naik ke atas mimbar membaca khutbah. Apabila pulang ke rumah, Abdul Rahman Al-Banna bercerita kepada ibu, ayah, dan adiknya mengenai Hasan Al-Banna yang pandai berkhutbah.

     Kemudian Abdul Rahman Al-Banna bercerita pula kepada kawan-kawannya. Mereka tertarik mahu melihat Hasan Al-Banna berkhutbah. Pada Jumaat berikutnya, Abdul Rahman dan beberapa orang rakannya tidak terus pulang ke rumah, kerana mahu melihat Hasan Al-Banna berkhutbah. Mereka tertarik melihat dan mendengar Hasan Al-Banna berkhutbah. Hari Jumaat berikutnya mereka semakin bertambah ramai.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.






No comments:

Post a Comment