Wednesday 27 April 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 4 - SURAT UNTUK IMAM ]






SURAT UNTUK IMAM








Pagi itu selepas sembahyang subuh, Hasan Al-Banna dan adiknya Abdul Rahman Al-Banna berjalan kaki pergi ke sekolah. Jarak antara rumah mereka dan sekolah hanya dua kilometer. Setiap hari mereka berdua pergi dan pulang dari sekolah hanya dengan berjalan kaki. Di pertengahan jalan biasanya mereka akan bertemu dengan pelajar lain dan mereka bersama-sama berjalan kaki menuju ke sekolah.

     Di Madrasah Ar-Rasyad As-Diniyyah, Hasan Al-Banna dikenali sebagai pelajar yang paling pintar. Dia dengan mudah dapat memahami dan mengingati apa yang diajar oleh gurunya. Apabila ada soalan, dia dapat menjawabnya dengan pantas dan betul. Kerana itu Hasan Al-Banna disayangi oleh guru dan kawan-kawannya.

     Hari itu Syeikh Muhamad Zahran tidak berada di sekolah kerana ada urusan di luar. Penolongnya juga tidak datang kerana sakit. Hasan Al-Banna diminta rakan-rakannya menggantikan tempat guru. Dia membaca kitab fikah Imam Syafie. Semua rakannya berpuas hati dengan penerangan yang diberi oleh Hasan Al-Banna.

     Biasanya mereka sembahyang di surau dalam sekolah sahaja, tetapi tengah hari itu Hasan Al-Banna mengajak kawan-kawannya sembahyang berjemaah di masjid yang letaknya tidak jauh dari sekolah. Melihat Hasan Al-Banna dan kawan-kawan rapatnya mahu sembahyang di masjid, ramai kawan-kawannya yang lain mahu ikut hingga jumlah mereka seramai 20 orang.

     Apabila sampai di kawasan masjid, Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya terus menuju ke tempat wuduk untuk mengambil air sembahyang. Kebetulan Syeikh Muhamad Sa'id, imam Masjid itu berada di tempat wuduk. Apabila melihat ramai kanak-kanak yang datang, dia pun marah lalu berkata, "Kamu pergi sembahyang di surau madrasah kamu. Jangan sembahyang di masjid ini. Nanti habis air di tempat wuduk kamu kerjakan."

     "Kami mahu sembahyang kerana itu perlu berwuduk. Adakah itu satu kesalahan?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Kamu datang ke masjid ini hanya untuk membazirkan air. Apabila air kolah itu kering, orang dewasa yang datang tidak dapat mengambil wuduk," kata Tuan Imam lalu menghalau Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya pergi dari situ.

     Dengan suara yang tegas, Hasan Al-Banna menjawab, "Tuan Imam tidak boleh menghalau kami kerana kami datang hendak bersembahyang."

     "Bukankah di sekolah kamu ada surau? Sembahyang sahaja di situ," marah Imam Syeikh Muhamad Sa'id.

     "Bukankah umat Islam bebas beribadat di mana sahaja? Bukankah masjid ini dibina untuk umat Islam bersembahyang? Kerana itu, kami mahu bersembahyang di masjid ini. Mengapa Tuan tidak membenarkannya?" tegas Hasan Al-Banna.

     Tuan Imam itu mula naik angin, "Kamu datang hanya untuk bermain air dan bergurau senda."
  
     "Adakah Tuan melihat kami bermain air dan bergurau senda? Kami hanya mahu mengambil wuduk untuk bersembahyang. Ini kali pertama kami datang ke masjid ini. Bagaimana Tuan Imam boleh menuduh kami hanya datang untuk bermain air dan bergurau senda?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     Imam masjid itu naik marah lalu mengherdik Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya serta menghalau mereka dari situ. Ada antara kawan-kawan Hasan Al-Banna berasa takut lalu segera meninggalkan kawasan masjid. Tetapi Hasan Al-Banna dan beberapa orang kawan rapatnya masih lagi tidak berganjak dari situ. Mereka yakin berada di pihak yang benar.

     Tidak lama kemudian, kedengaran bilal membaca iqamat. Imam masjid itu segera naik ke masjid. Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya mengambil wuduk dan dapat sembahyang berjemaah.

     Selesai sahaja sembahyang, Hasan Al-Banna mengajak kawan-kawannya segera pulang ke sekolah tanpa sempat menunggu imam membaca doa. Apabila sampai di madrasah, Hasan Al-Banna berbincang dengan kawan-kawannya.

     "Saya berasa amat dukacita dengan apa yang dilakukan imam masjid terhadap kita. Dia tidak boleh menghalau kita ataupun sesiapa sahaja yang datang ke masjid mahu sembahyang. Kita perlu buat sesuatu supaya perkara yang sama tidak berulang lagi," kata Hasan Al-Banna sambil melahirkan rasa kesalnya.

     Hasif, kawan Hasan Al-Banna memberikan cadangan, "Itu mudah sahaja, kita jangan datang lagi ke masjid. Imam tidak marah dan kita tidak sakit hati."

     Hasan Al-Banna kurang bersetuju dengan cadangan itu. Dia menyatakan pendapatnya, "Perbuatan imam menghalau kanak-kanak datang ke masjid adalah salah. Kita perlu menegur perbuatannya yang bertentangan dengan kehendak Islam itu. Jika kita tidak menegurnya, sampai bila pun dia tidak sedar kesilapannya."

     "Sekiranya begitu apa yang patut kita lakukan?" tanya Khalid yang juga rakan Hasan Al-Banna.

     "Saya cadangkan kita jumpa imam itu dan terus menegurnya," cadang Osman pula.

     "Bukankah kita sudah berdepan dengan dia tadi? Bukankah kita sudah menegurnya tetapi imam itu tetap berdegil?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     "Sekiranya begitu apa cadangan kamu?" tanya Khalid.

     "Saya mahu menegur imam itu melalui sepucuk surat. Semoga imam itu sedar kesilapannya selepas membaca sura itu," kata Hasan Al-Banna mencadangkan.

     Basit yang dari tadi hanya mendengar turut mencelah, "Tidakkah cara itu boleh menimbulkan kemarahan imam?"

     "Mungkin juga imam tidak membaca surat itu tetapi terus mengoyakkannya?" tanya Osman pula.

     Hasan Al-Banna memerhatikan kawan-kawannya lalu dia bertanya, "Apa lagi cara lain untuk menegur imam itu selain daripada menulis surat kepadanya?"

     "Kita seharusnya melakukan sesuatu untuk menarik perhatian imam terhadap surat itu lalu membacanya," kata Osman yang mula bersetuju dengan cadangan Hasan Al-Banna.

     Tiba-tiba Hasan Al-Banna mendapat satu idea. "Bagaimana sekiranya kita letakkan duit bersama surat itu? Saya yakin itu sahaja cara yang ada bagi menarik perhatian imam untuk membaca surat itu."

     "Saya setuju namun ada perkara lain yang perlu kita fikirkan. Siapa yang akan menulis surat itu? Apakah kata-kata yang sesuai ditulis pada surat itu?" tanya Basit pula.

     Hasan Al-Banna menawarkan dirinya sendiri. "Saya sendiri yang akan menulisnya. Kata-kata yang paling sesuai untuk seorang imam adalah kata-kata Allah daripada Al-Quran."

     Akhirnya mereka setuju lalu menyerahkan kepada Hasan Al-Banna supaya menulis surat itu. Hasan Al-Banna cuma menulis sepotong ayat Al-Quran daripada surah An'am ayat 52 yang bermaksud,

     "Dan janganlah kamu mengusir orang yang menyeru Tuhannya pada pagi hari dan pada petang hari, sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya."

     Surat itu ditulis dengan tulisan yang cantik. Apabila surat itu siap ditulis, timbul pula masalah siapa yang sanggup memberikan surat itu kepada imam.

     "Jika tidak ada yang sanggup, saya sendiri yang akan melakukannya," ujar Hasan Al-Banna.

     Petang itu juga apabila masuk waktu solat asar, Hasan Al-Banna pergi seorang diri ke masjid dengan membawa surat yang ditulisnya. Ketika itu imam sudah berada di dalam masjid. Kemudian Hasan Al-Banna turut sembahyang berjemaah. Selesai sembahyang, Hasan Al-Banna segera mendapatkannya lalu memberikan surat itu.

     "Surat apa ini?" tanya imam.

     "Surat daripada saya. Harap Tuan Imam sudi membacanya," jawab Hasan Al-Banna.

     "Mengapa ada duit?" tanya Tuan Imam lagi.

     "Duit itu untuk disedekahkan kepada masjid. Surat itu untuk Tuan Imam membacanya," jawab Hasan Al-Banna.

     Tuan Imam segera membaca surat itu. Hasan Al-Banna terus menunggu bagi mengetahui apa reaksinya. Tuan Imam mebaca surat itu dengan suara yang agak kuat.

     "Dan janganlah kamu mengusir orang yang menyeru Tuhannya pada pagi hari dan pada petang hari, sedang menghendaki keredhaan-Nya." "Apa maksud ayat ini?" tanya Tuan Imam.

     "Tuan tidak boleh menghalau walau siapa sahaja yang mahu bersembahyang di masjid ini. Perbuatan Tuan yang menghalau kami semasa sembahyang zuhur tadi adalah melanggar ayat Al-Quran itu," jawab Hasan Al-Banna dengan berani.

     Wajah Tuan Imam tiba-tiba berubah. Dia tersenyum lalu berkata, "Saya tidak marah cuma bimbang sekiranya air di dalam kolah itu habis dan orang ramai tidak dapat mengambil wuduk."

     "Masalah itu mudah sahaja untuk diatasi. Saya dan kawan-kawan boleh bergotong-royong mengambil air dari sungai untuk dipenuhkan ke dalam kolah masjid itu. Tuan Imam cuma sediakan bekas untuk membawa air. Kami boleh lakukannya sebelum waktu solat zuhur dan sebelum asar kerana waktu itu kami tidak belajar," kata Hasan Al-Banna.

     Imam Muhamad Sa'id gembira mendengarnya lalu menyatakan persetujuan. Dia mengumpulkan bekas bagi mengambil air dari sungai. Keesokan harinya seperti yang dijanjikan sebelum masuk waktu zuhur, Hasan Al-Banna dan hampir 30 orang rakan-rakannya datang bergotong-royong mengambil air dari sungai lalu diisi ke dalam kolah masjid sehingga penuh. Sejak hari itu, kedatangan kanak-kanak di masjid tidak lagi menimbulkan kemarahan imam. Bahkan dia berasa amat gembira kerana tidak ada lagi masalah kehabisan air untuk berwuduk.

     Pada suatu hari ketika cuaca sedang panas terik, seorang ahli perniagaan berhenti singgah di masjid itu untuk sembahyang zuhur. Dia berasa kasihan melihat sekumpulan kanak-kanak sekolah sedang bekerja keras untuk mengisi kolah masjid itu dengan air sungai. Selesai bersembahyang, ahli perniagaan itu menemui Imam Syeikh Muhamad Sa'id.

     "Mengapa anak-anak itu dipaksa mengambil air dari sungai untuk di isi ke dalam kolah air masjid?" tanya ahli perniagaan itu.

     "Mereka melakukannya dengan sukarela dan kami tidak pernah memaksanya," jawab imam masjid.

     "Sekiranya begitu, saya akan dermakan sebuah pam air. Dengan itu kanak-kanak itu tidak perlu bersusah payah lagi mengangkat air dari sungai. Hidupkan sahaja enjin, air sungai itu akan disedut ke dalam kolah itu," kata ahli perniagaan yang dermawan itu.

     Keesokan harinya seperti yang dijanjikan, ahli perniagaan itu datang membawa pam air. Lelaki itu juga berjanji membekalkan minyak untuk kegunaan enjin pam air itu. Sejak itu Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya tidak perlu lagi mengangkat air dari sungai.

     "Tuan Imam, kami mahu terus berbakti kepada masjid ini," kata Hasan Al-Banna kepada imam masjid.

     "Berbakti yang bagaimana kamu maksudkan?" tanya Tuan Imam pula.

     "Kami akan bergotong-royong membersihkan masjid. Harap Tuan Imam tidak mengecewakan permintaan kami," jawab Hasan Al-Banna.

     "Saya berjanji tidak menghalau sesiapa yang datang ke masjid mahu beribadat. Dan saya berjanji tidak melarang sesiapa yang mahu membersihkan masjid ini," kata Tuan Imam sambil tersenyum.
  
     Sejak itu Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya bergotong-royong membersihkan masjid. Akhirnya penduduk kamu turut menyertainya. Mereka beramai-ramai membersihkan kawasan masjid.

     Beberapa hari kemudian, Hasan Al-Banna datang lagi menemui Imam Muhamad Sa'id lalu berkata, "Kami dapati lantai masjid di bahagian belakang tidak cukup tikar. Kerana itu kami sudah berpakat mengumpulkan duit untuk membeli tikar untuk masjid ini," kata Hasan Al-Banna.

     "Kamu masih belajar, di mana kamu dapat duit?" tanya Tuan Imam pula.

     "Kami kumpulkan duit belanja sekolah yang diberi ayah dan ibu. Duit itu cukup bagi membeli tikar," jawab Hasan Al-Banna.

     Tuan Imam masjid itu berasa amat terharu.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment