Thursday 23 March 2017

PERANG BADAR [ BAB 12 (AKHIR) - ISLAM TETAP GEMILANG ]






ISLAM TETAP GEMILANG








Malam itu hujan turun mencurah-curah membasahi bumi Madinah. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad, sering berlaku pertumpahan darah. Tetapi selepas beliau berhijrah, bumi Madinah sering disirami hujan rahmat. Tanahnya menjadi bertambah subur. Hasil tanaman meningkat dan rahmat Allah semakin melimpah dengan kemenangan mereka mengalahkan pasukan Quraisy dalam Perang Badar.

     Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad pernah berdoa, "Segala puji bagi Allah yang menciptakan aku, sebelum itu aku tidak punya apa-apa. Wahai Allah, lindungi aku daripada marabahaya dunia, bencana dan musibah yang menimpa pada waktu malam dan siang. Ya Allah, temani aku dalam perjalanan dan lindungilah keluargaku. Berkatilah apa yang engkau kurniakan kepada aku. Kuserahkan kepadamu kerendahan diriku dan kesalihan akhlakku serta luruskanlah aku. KepadaMu wahai Tuhan, aku memohon kecintaanMu dan janganlah engkau menyerahkan aku ini kepada orang lain."

     "Ya Allah, Tuhan orang lemah dan engkau Tuhanku juga. Aku memohon perlindungan ke hadratMu yang maha pemurah yang menciptakan langit dan bumi yang menyinari kegelapan dan menjadikan baik urusan orang yang terdahulu dan orang yang kemudian, janganlah aku terkena amarahMu. Aku berlindung supaya terlepas daripada kebencianMu, aku berlindung dari terlepasnya nikmatMu. Dan mendadaknya seksaMu. Dan janganlah kasih sayangMu berubah menjadi kebencianMu. Aku serahkan segala apa yang ada di sisiku padaMu. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan daya dan kekuatanMu."

     Doa Nabi Muhammad dimakbulkan Tuhan. Semenjak berada di Madinah, Nabi Muhammad dianggap seperti keluarga sendiri oleh orang Ansar. Mereka melindungi Rasulullah dan semua muhajirin daripada kejahatan orang Yahudi dan mereka yang memusuhinya. Orang Quraisy di Mekah semakin marah, benci dan sakit hati. Mereka bukan sahaja memusuhi Nabi Muhammad malah semua pengikutnya termasuk penduduk Madinah.

     "Wahai Rasulullah, segala puji bagi Allah yang menenangkan dan menyenangkan kamu. Demi Allah, kami tidak menyangka pemergian kamu kali ini terlibat dengan satu peperangan yang begitu hebat. Kami hanya menyangka ia satu rombongan bagi menghalang pencerobohan kafilah Quraisy seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Sekiranya kami tahu berlaku peperangan pasti kami turut berperang bersama kamu," kata Usaid bin Uzair yang menyambut kepulangan Rasulullah dan pasukannya. Dia rasa bersalah kerana tidak turut serta dalam Perang Badar.

     "Benar," kata Rasulullah.

     Menurut Rasulullah, pada mulanya mereka keluar bukan hendak pergi berperang. Sekiranya tidak, pasti diwajibkan semua orang Islam menyertainya. Kerana itu cuma seramai 313 orang sahaja yang mendaftarkan nama bagi menyertainya. Dari jumlah itu, lapan orang daripada mereka tidak dapat turut serta kerana sebab-sebab tertentu dan dibenarkan tinggal di Madinah oleh Rasulullah. Nama mereka dimasukkan sebagai pahlawan perang Badar kerana sudah mendaftarkan diri tetapi mendapat izin Rasulullah supaya tinggal di Madinah. Namun mereka dapat pahala menyertai perang Badar. Kerana itu nama-nama mereka tetap dimasukkan sebagai pahlawan Badar menjadikan jumlah 313 orang.

     Kejayaan Nabi Muhammad bersama pasukannya itu menggerunkan kaum Yahudi terutama Abdullah bin Ubai. Dia berusaha memecah-belahkan orang Islam dengan mengatakan hanya 305 orang yang taat kepada Nabi Muhammad. Uthman Affan sendiri ingkar.

     Abdullah bin Ubai yang berasa dengki dan iri hati pada Uthman Affan menabur fitnah dengan mengatakan dia seorang yang munafik kerana sengaja mengelak daripada menyertai Perang Badar. Uthman Affan berasa sedih dengan tuduhan itu. Mujur Nabi Muhammad menghiburkan hatinya dengan berkata beliau menggantikan diri Uthman Affan bagi menyertai perang Badar. Kerana itu Uthman Affan tetap mendapat pahala sama seperti pahlawan-pahlawan Badar. Barulah senang hati Uthman dan Abdullah bin Ubai tidak lagi mencacinya.

     Kerana jumlah tawanan perang ramai, Nabi Muhammad membahagikannya kepada para sahabat yang dipercayai bagi menjaganya. Beliau berpesan supaya tawanan yang mereka jaga hendaklah diberi layanan yang baik. Mereka mematuhi perintah Rasulullah itu. Ada antara mereka memberi roti kepada tawanan perang sedangkan mereka sendiri hanya memakan buah kurma sahaja.

     Kemudian Rasulullah berbincang dengan beberapa orang sahabat tentang tawanan perang itu. Penjagaan tawanan oleh para sahabat tidak boleh selamanya kerana mesti ada penghujungnya supaya tidak menimbulkan masalah. Dalam perbincangan itu dijemput juga beberapa orang tawanan perang bagi mewakili pihak rakan-rakan mereka.

     Selepas Nabi Muhammad berucap berkenaan tawanan perang itu, beliau meminta para sahabat memberi pendapat masing-masing tanpa perlu berasa takut. Mula-mula beliau meminta Abu Bakar as-Siddiq.

     "Wahai Rasulullah, seluruh tawanan perang itu terdiri daripada kalangan saudara-mara kita sendiri. Pada pendapat saya, hendaklah kita meminta tebusan daripada mereka ataupun keluarganya. Dengan tebusan itu boleh mengukuhkan kedudukan kita di kalangan mereka yang bukan Islam. Mungkin juga ada di kalangan mereka yang mendapat hidayah daripada Allah lalu memeluk Islam," kata Abu Bakar as-Siddiq memberi cadangan.

     Abbas yang mewakili para tawanan perang tersenyum mendengar cadangan itu. Dia berharap semoga dibebaskan dengan segera. Sebenarnya Abbas dipaksa oleh Abu Jahal supaya turut serta dalam pasukan Quraisy. Malah semua lelaki kaum Quraisy dipaksa sehingga sesiapa yang tidak dapat menyertainya hendaklah dicari penggantinya.

     Semasa berlakunya pertempuran antara kaum Muslimin dengan kaum Quraisy Mekah, Abbas dan Ahban seorang sepupunya naik ke puncak sebuah bukit kerana tidak mahu ikut bertempur. Mereka berdua melihat pertempuran berlaku dari puncak bukit itu. Ketika asyik melihat pertempuran yang sedang berlaku, tiba-tiba kawasan puncak bukit itu diselaputi awan tebal. Dari gumpalan awal itu muncul beberapa orang lelaki yang berpakaian serba putih dan menunggang kuda putih. Ahban yang terkejut dengan fenomena itu terus pengsan dan meninggal dunia. Abbas pula cuba melarikan diri dengan menuruni bukit. Tiba-tiba dia dipintas seorang lelaki yang berkepala botak tetapi memiliki muka yang cantik dan memakai serban putih. Lelaki itu menangkap Abbas lalu menjatuhkannya ke tanah. Kemudian datang seorang pengikut Muhammad lalu menjadikan Abbas sebagai tawanan perang.

     "Bagaimana pula pendapat kamu wahai Umar al-Khattab?" tanya Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, saya tidak bersetuju dengan cadangan Abu Bakar. Pada pendapat saya walaupun mereka keluarga kita tetapi tetap menjadi musuh kerana mereka memerangi kita. Kerana itu pada pendapat saya, serahkan keluarga saya supaya saya penggal lehernya. Serahkan Uqail bin Abi Talib kepada Ali bin Abi Talib, biar Ali penggal lehernya. Serahkan kerabat Hamzah kepada Hamzah supaya dipenggal leher mereka. Biar musuh-musuh Allah itu tahu kita tidak ada belas kasihan pada mereka yang menentang Allah dan RasulNya," jawab Umar Al-Khattab.

     Abbas menangis mendengar kata-kata Umar al-Khattab. Dia sangat bimbang sekiranya Rasulullah bersetuju dengan pendapa itu lalu menjatuhkan hukuman bunuh pada semua tawanan perang.

     Kemudian bangun pula Abdullah bin Rawahah bagi memberikan pendapatnya dengan berkata, "Wahai Rasulullah, saya sependapat dengan Umar al-Khattab. Mereka memusuhi dan menyakiti kita semenjak berada di Mekah. Permusuhan mereka pada kita sangat keras. Sekiranya dibebaskan pasti mereka akan memerangi kita semula."

     "Kerana itu saya mencadangkan hukumannya lebih dahsyat lagi supaya sesuai dengan kejahatan yang mereka lakukan pada kita. Kita cari sebuah lembah yang dalam kemudian kita kumpulkan kayu api. Kita bakar kayu itu hingga apinya marak menyala kemudian kita humbankan tawanan perang itu seorang demi seorang sehingga semuanya mati terbakar."

     "Celaka kamu wahai Abdullah bin Rawahah," bentak Abbas.

     Kemudian katanya lagi, "Kamu cuba menyuruh Muhammad supaya memutuskan tali kekeluargaan kami. Sekiranya pendapat kamu diikuti Muhammad maka putuslah tali persaudaraan kami. Dia akan terus dimusuhi keluarga Bani Hasyim."

     Kemudian Rasulullah meminta pendapat sahabat yang lain pula. Ada yang menyokong pendapat Abu Bakar dan ada pula yang menyokong pendapat Umar al-Khattab. Tetapi rata-rata menolak cadangan Abdullah bin Rawahah kerana terlalu kejam. Sepanjang perbahasan, Rasulullah berdiam diri.

     Keesokan harinya ketika Umar al-Khattab pergi ke masjid, dilihatnya Nabi Muhammad dan Abu Bakar as-Siddiq sedang menangis. Dengan rasa hairan maka Umar al-Khattab pun bertanya, "Wahai Rasulullah, apa yang menyebabkan kamu dan Abu Bakar as-Siddiq menangis? Sekiranya perlu saya juga mahu ikut menangis. Sekiranya tidak perlu untuk menangis saya tetap juga mahu menangis kerana kamu berdua menangis."

     "Wahai Umar, saya menangis kerana ramai yang bersetuju dengan pendapat Abu Bakar supaya diminta tebusan bagi membebaskan tawanan perang itu. Tetapi saya teringat mereka pernah menyeksa kita dahulu dengan begitu dahsyat. Saya tidak melupakannya," jawab Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, walaupun saya berbeza pendapat dengan Abu Bakar as-Siddiq tetapi saya tidak memaksa kamu mengikut cadangan saya. Terserah kepada Allah dan RasulNya bagi membuat pilihan mana yang baik," kata Umar al-Khattab. Kemudian dia turut menangis.

     Tidak lama kemudian turun ayat Quran surah al-Anfal ayat 67 dan 68, "Tidaklah patut bagi seorang nabi mempunyai orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu mengkehendaki harta benda dunia, sedag Allah mengkehendaki akhirat. Allah Maha Kuasa lagi maha bijaksana. Kalaulah tidak adanya ketetapan daripada Allah yang terdahulu, tentulah kamu ditimpa seksa azab yang besar disebabkan (penebusan diri) yang kamu ambil (daripada orang tawanan) itu."

     Dengan turunnya ayat itu maka Rasulullah mengambil pendapat Abu Bakar supaya tawanan perang diminta membayar tebusan sebanyak 1000 hingga 4000 dirham seorang. Tebusan boleh dibayar sendiri ataupun meminta orang lain membayarkannya. Orang yang tidak mampu membayar tebusan diarahkan mengajar anak-anak Madinah seramai sepuluh orang hingga mereka pandai membaca dan menulis sebelum boleh dibebaskan.

     "Wahai Muhammad, bukankah saya ini bapa saudara kamu? Saya tidak pernah menyakiti kamu semasa berada di Mekah. Malah saya juga tidak pernah mencerca kamu, kerana itu bebaskanlah saya dengan selamat," kata al-Abbas bin Abdul Mutalib.

     "Kamu juga kena bayar tebusan untuk diri kamu dan dua orang anak saudara kamu iaitu Akil bin Abi Talib dan Naufal bin al-Haris," kata Nabi Muhammad.

     "Saya tidak mampu membayar tebusan kerana saya tidak mempunyai wang simpanan," kata Abbas.

     Nabi Muhammad kelihatan termenung apabila mendengar kata-kata Abbas itu.

     Melihat keadaan itu maka Abbas berkata, "Wahai Muhammad, janganlah kerana saya tidak mampu membayar tebusan maka saya dan dua anak saudara saya dibunuh. Bukankah kamu juga kamu daripada kaum Quraisy dan kita daripada satu keluarga?"

     "Bukankah kamu ada emas yang kamu berikan kepada Ummu Fadhl sebelum keluar bersama pasukan Quraisy?" kata Nabi Muhammad.

     "Bukankah kamu berkata begini kepada Ummu Fadhl. Sesungguhnya saya tidak tahu apa yang akan menimpa saya. Sekiranya berlaku sesuatu kepada saya maka kamu bahagikanlah emas itu kepada Abdullah, Ubaidullah, Fadhli dan anak-anak saya," kata Rasulullah mengajukkan apa yang pernah diucapkan Abbas kepada isterinya.

     "Oh Tuhan, macam mana kamu boleh tahu?" tanya Abbas terkejut mendengar kata-kata Rasulullah itu.

     "Allah yang memberitahu saya melalui malaikat Jibril," jawab Nabi Muhammad.

     "Wahai Muhammad, sesungguhnya tidak siapa yang tahu perkara ini melainkan saya dan isteri saya Ummu Fadhl sahaja. Saya menyerahkan emas itu pada malam sebelum saya keluar dari Mekah. Dalam malam yang gelap gelita itu cuma kami berdua sahaja tanpa dilihat oleh sesiapa dan saya yakin tiada siapa yang mendengar apa yang saya ucapkan itu."

     "Allah maha mengetahui," kata Nabi Muhammad.

     "Wahai Muhammad. Dengarkanlah pengakuan saya. Sesungguhnya saya mengaku bahawa kamu adalah benar. Tidak ada Tuhan selain Allah. Saya mengaku kamu sebagai pesuruhNya. Tetapi saya belum bersedia menjadi pengikut kamu," kata Abbas. Kemudian dia berjanji sekiranya dibebaskan akan pulang ke Mekah dan tidak akan menyertai pasukan Quraisy lagi. Dia juga berjanji akan menyampaikan maklumat rahsia Quraisy kepada Nabi Muhammad. Maka Abbas pun dibebaskan.

     Di kalangan para tawanan itu ada seorang lelaki bernama Suhail bin Amanr yang pandai berpidato. Beliau sering mempengaruhi orang ramai di kota Mekah supaya membenci Nabi Muhammad. Beliau membayar tebusan bagi dirinya sendiri sebanyak 4,000 dirham.

     "Wahai Rasulullah, Suhail itu seorang yang pandai berpidato. Semasa kita berada di Mekah sebelum berhijrah dia selalu menyakiti hati kita dengan pidatonya. Kerana itu saya mencadangkan dicabut gigi gerahannya agar tidak lancar lagi bagi dia berpidato," kata Umar al-Khattab. Tetapi Nabi Muhammad menolak cadangan itu kerana sudah berjanji mereka yang membayar tebusan bagi diri sendiri dibebaskan tanpa disakiti.

     Rasulullah menunjukkan kemurahan hatinya dengan membebaskan beberapa tawanan tanpa sebarang tebusan antaranya al-Mutalib bin Hanthab, Shaifi bin Abu Rifaah dan Abu Azzah al-Jumahi dengan syarat mereka berjanji tidak lagi memerangi orang Islam.

     Sebaik sahaja dibebaskan, tiga lelaki itu segera pulang ke kota Mekah lalu memaklumkan kepada orang ramai mengenai tawanan Nabi Muhammad itu. Orang Quraisy segera berkumpul di Masjidil Haram bagi membincangkan perkara itu.

     "An-Nadhr dan Uqbah dibunuh oleh Muhammad. Tetapi yang lain masih hidup dan mereka semua sudah dibawa ke Madinah. Sekarang kita bincangkan apakah tindakan yang perlu kita lakukan," kata Abu Sufian yang kini dilantik menjadi ketua Quraisy di Mekah.

     "Mari kita serang Madinah dan bebaskan keluarga kita yang masih menjadi tawanan Muhammad," cadang Hindun yang turut berada dalam perbincangan itu.

     "Kita baru sahaja mengalami kekalahan dalam perang Badar. Kita belum bersedia hendak menyerang Madinah. Kita mesti kumpulkan kekuatan dahulu. Selepas kita kuat baru dilakukan serangan," kata Abu Sufian menolak cadangan Hindun.

     "Mengumpul kekuatan mengambil masa yang lama. Bagaimana pula dengan keluarga kita yang menjadi tawanan Muhammad? Entah esok ataupun lusa mereka dibunuh," kata Hindun pula yang tetap mahu digunakan kekerasan bagi membebaskan tebusan.

     "Aku mencadangkan kita bayar tebusan bagi membebaskan tawanan perang itu. Sesungguhnya harta boleh dicari tetapi keluarga kita yang hilang tidak dapat ditukar ganti," Abu Syamil mencadangkan.

     "Membayar tebusan hanya akan menguntungkan Muhammad. Kita akan dituduh penakut," bantah Hindun pula.

     "Aku setuju kita bayar tebusan tetapi bukan sekarang. Kita tangguhkan dahulu. Mungkin tidak lama lagi Muhammad akan membebaskan keluarga kita dengan percuma," kata Abu Sufian pula.

     Tetapi dalam diam-diam al-Muthathalib bin Abi Wada'ah merancang hendak pergi ke Madinah bagi membebaskan ayahnya Abi Wada'ah bin Dhubairah as-Sahmi. Pada malam itu dia keluar seorang diri dari kota Mekah menuju ke Madinah.

     Pada masa yang sama Rasulullah sedang berbincang dengan para sahabatnya. Mereka bercakap tentang Abu Wada'ah bin Dhubairah as-Sahmi.

     "Dia seorang yang kaya dan mempunyai keluarga yang ramai. Mereka tentu akan datang bagi membebaskannya," kata Yazid.

     "Sesungguhnya Abi Wada'ah mempunyai anak-anak yang cerdik dan berani. Mereka akan datang kepada kita bagi menebus ayahnya," kata Rasulullah.

     Tidak lama kemudian al-Muthathalib sampai di Madinah lalu menemui Rasulullah yang ketika itu berada di dalam masjid. Kedatangan anak Abi Wada'ah itu disambut dengan baik.

     "Saya datang mahu menebus ayah saya yang bernama Abi Wada'ah," kata al-Muthathalib lalu menyerahkan wang sebanyak 4000 dirham kepada Rasulullah.

     Nabi Muhammad bersetuju membebaskan Abi Wada'ah dan kedua-duanya segera pulang ke Mekah dan selamat sampai. Kejayaan al-Muthathalib membebaskan ayahnya menarik perhatian ramai bagi membebaskan keluarga masing-masing. Abu Sufian terpaksa bersetuju dengan permintaan ramai.

     Zainab puteri Nabi Muhammad berasa sangat gembira apabila mendapat tahu suaminya Abu al-Ash masih hidup dan kini menjadi tawanan ayahnya. Beliau lebih gembira apabila mendapat tahu suaminya boleh dibebaskan dengan membayar tebusan.

     Zainab pulang ke rumah dalam keadaan gembira. Dia bertekad mahu menebus suaminya. Namun dia tidak tahu di mana suaminya menyimpan hartanya. Tiba-tiba Zainab teringat kalung hadiah perkahwinannya. Kalung mutiara itu dihadiahkan oleh Siti Khadijah semperna perkahwinan Zainab dengan Abu al-Ash.

     "Pergi ke Madinah dan berikan kalung ini kepada Nabi Muhammad sebagai penebus suamiku Abu al-Ash," beritahu Zainab kepada Amr bin Rabi', adik Abu al-Ash bin Rabi'.

     "Bukankah Muhammad menetapkan bayaran tebusan antara seribu hingga empat ribu dirham?" tanya Amr ragu-ragu.

     "Kalung ini nilainya melebihi empat ribu dirham. Ia pemberian Khadijah isteri kesayangan Nabi Muhammad. Semoga apabila dia melihat kalung ini timbul belas kasihan hatinya bagi membebaskan suami saya," jawab Zainab bersungguh-sungguh.

     "Bagaimana sekiranya Muhammad tidak setuju? Dan suami kamu tidak dibebaskan?" tanya Amr lagi.

     "Saya sendiri akan pergi ke Madinah bagi membebaskan suami saya," jawab Zainab.

     "Sekiranya begitu mari kita pergi bersama. Saya akan menemankan kamu," kata Amr pula.

     "Dalam suasana sekarang tidak mengizinkan saya pergi ke Madinah kerana orang Quraisy tentu tidak akan membenarkannya, kerana itu kamu sahaja yang pergi," kata Zainab dan akhirnya Amr setuju.

     Zainab masih ingat, ketika mula-mula ayahnya diangkat menjadi pesuruh Allah, suaminya Abu al-Ash tidak ada di Mekah kerana keluar berniaga. Zainab menyatakan keislamannya. Apabila suaminya pulang maka Zainab menceritakan tentang ayahnya dan mengajak suaminya turut sama-sama mengakui tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Tetapi Abu al-Ash enggan menjadi pengikut Muhammad. Apabila orang Islam berhijrah ke Madinah, Zainab pernah memohon kebenaran daripada suaminya supaya turut berhijrah tetapi tidak dibenarkan. Malah apabila Abu Jahal menyeru penduduk Mekah keluar bagi menyelamatkan kafilah dagang Quraisy maka Abu al-Ash menyertainya. Dia juga salah seorang yang menyokong pendapat Abu Jahal supaya berperang dengan Muhammad.

     Apabila Amr sampai di Madinah lalu terus menemui Nabi Muhammad yang ketika itu berada dalam Masjidil Haram.

     "Wahai Muhammad, Zainab anak kamu mengutus saya ke Madinah supaya bertemu dengan kamu. Zainab mahu menebus suaminya. Tetapi dia hanya mampu memberikan kalung ini sebagai penebus suaminya Abu al-Ash," kata Amr lalu menyerahkan kalung pemberian Zainab itu kepada Rasulullah.

     Apabila terlihat sahaja kalung itu Nabi Muhammad teringat Siti Khadijah yang menghadiahkan kalung itu kepada Zainab pada hari perkahwinan Zainab. Beliau sedih apabila terlihat kalung itu. Namun beliau tidak dapat membuat keputusan sendiri tanpa persetujuan sahabat-sahabatnya.

     "Sekiranya kamu bersetuju, bebaskanlah tawanan itu dan kembalikan semula kalung itu kepada anak saya Zainab, maka saya akan melakukannya," kata Nabi Muhammad.

     "Kami bersetuju wahai Rasulullah," kata Abu Bakar as-Siddiq lalu disokong yang lain.

     Kemudian Nabi Muhammad meminta supaya Abu al-Ash dibawa menghadapnya. Kemudian berkata akan membebaskan Abu al-Ash tetapi dengan syarat mesti membenarkan Zainab berhijrah ke Madinah. Ini kerana Zainab sudah masuk Islam sedangkan Abu al-Ash bukan Islam. Abu al-Ash bersetuju dengan syarat itu. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh Zaid bin Harithah bagi menjemput Zainab bagi dibawa ke Madinah dengan ditemani Abdullah seorang Ansar.

     Kemudian Abu al-Ash dibebaskan. Dia segera pulang ke Mekah dengan rasa gembira. Zainab juga gembira menyambut kepulangan suaminya. Tetapi dia dimaklumkan syarat pembebasannya adalah berpisah dengan Zainab.

     "Saya bebaskan kamu dan pergilah ke Madinah bertemu dengan Muhammad," kata Abu al-Ash.

     "Marilah ikut bersama saya ke Madinah. Kedatangan kita pasti dialu-alukan oleh ayah saya," pujuk Zainab tetapi Abu al-Ash lebih suka terus menetap di kota Mekah.

     Apabila mendapat tahu Abu al-Ash membebaskan Zainab dan membenarkannya pergi ke Madinah maka ramai yang membantah.

     "Zainab itu adalah isteri kamu. Kamu berhak memaksanya terus tinggal dengan kamu di Mekah," kata Hubar bin Aswad al-Asadi yang membantah keputusan Abu al-Ash.

     "Aku sudah berjanji dengan Muhammad supaya membebaskan anaknya sebagai tebusan pembebasan diriku," kata Abu al-Ash.

     "Muhammad itu musuh kita. Batalkan sahaja perjanjian itu," bentak Hubal.

     "Aku sudah berjanji dengan nama Tuhan kita supaya tidak melanggar perjanjian aku dengan Muhammad, kerana itu aku tetap akan membebaskan Zainab," tegas Abu al-Ash.

     "Aku akan menghalang perjalanan Zainab," kata Hubal pula.

     "Muhammad menghantar dua orang lelaki mengambil Zainab bagi dibawa ke Madinah," kata Abu al-Ash.

     "Di mana kedua-dua lelaki itu? Biar aku bunuh mereka," kata Hubal pula.

     "Muhammad sudah memberi amaran sekiranya kedua-dua lelaki itu tidak pulang ke Mekah kerana ditangkap atau dibunuh. Muhammad dan pasukan tenteranya akan menyerang kota Mekah, kerana itu aku memberi amaran jangan kamu apa-apakan kedua-dua lelaki itu," marah Abu al-Ash.

     Hubal juga menghasut keluarga Abu al-Ash supaya menghalang perjalanan Zainab ke Madinah. Pada hari Zainab berangkat, dia mahu membawa dua orang anaknya hasil perkongsian hidup dengan suaminya al-Ash. Tetapi kedua-dua anak itu direbut oleh keluarga Abu al-Ash. Maka terpaksalah Zainab pergi seorang diri dengan menaiki unta. Ketika itu Zaid bin Harithah dan kawannya sedang menunggu di pinggir kota Mekah.

     Ketika Zainab sedang dalam perjalanan, Hubal cuba menghalang tetapi Zainab memecut unta yang ditunggangnya dalam usaha menyelamatkan dirinya. Hubal bertindak pantas mengejar serta menikam perut unta itu dengan tombak menyebabkan unta itu tersungkur. Zainab juga turut terjatuh hingga anak yang dikandungnya keguguran. Namun Zainab berjaya dibawa pulang ke Madinah oleh Zaid dan Abdullah.


=================================================


"Amr bin Abu Sufian tidak mampu menebus dirinya sendiri. Dia merayu kepada bapanya supaya membayar tebusan bagi membebaskannya. Tetapi Abu Sufian menolak," kata Abu Bakar as-Siddiq.

     "Mengapa Abu Sufian tidak mahu menebus anaknya? Sedangkan dia saudagar yang kaya-raya," tanya Ali bin Abi Talib.

     "Kerana hatinya dipenuhi dengan rasa sombong dan takbur menyebabkan dia lebih sayangkan harta dan kedudukannya daripada anaknya sendiri," jawab Abu Bakar as-Siddiq.

     "Amr itu keras kepala sama seperti bapanya Abu Sufian. Suruh bayar tebus diri katanya tidak mampu. Suruh mengajar anak-anak kita membaca dan menulis dia enggan. Selayaknya dipenggal sahaja kepalanya," marah Ali bin Abi Talib.

     Namun Nabi Muhammad masih dapat bersabar dengan telatah Amr bin Abu Sufian. Beliau mengirim utusan bagi memujuk Abu Sufian membayar tebusan bagi pembebasan anaknya. Namun Abu Sufian bertegas tidak mahu menebus anaknya.

     "Mereka membunuh anaknya Hanzalah. Kemudian Amr ditawan oleh Ali bin Abi Talib. Apakah mereka mahu menghisap darahku dan kekayaanku? Aku tidak akan menebus anakku itu. Biarlah mereka menahan selama mana yang mereka mahu," kata Abu Sufian.

     "Apakah kamu tidak menyayangi anakmu Amr?" tanya Hubal.

     "Aku sayang anak aku. Tetapi aku tidak mahu membayar tebusan kerana itu akan menguatkan lagi kedudukan Muhammad. Duit itu akan digunakan bagi membeli senjata dan kuda lalu digunakan bagi memerangi kita," jawab Abu Sufian masih menunjukkan sikap bongkaknya.

     "Tetapi bagaimana dengan anak kita Amr? Dia tidak akan dibebaskan oleh Muhammad selagi kita tidak membayar tebusan," kata Hindun isteri Abu Sufian.

     "Muhammad tidak berani membunuh anak kita kerana dia tahu aku ketua orang Quraisy Mekah. Sekiranya dia lakukan juga maka aku ajak semua kabilah Arab menyerang Madinah," kata Abu Sufian pula.

     "Bukankah kamu juga yang kata sekarang kita belum mampu berperang dengan Muhammad? Kita baru sahaja dikalahkan. Kerana itu kita kena kuatkan dulu pasukan tentera kita. Itu akan mengambil masa sedangkan aku rindukan Amr. Lakukanlah sesuatu bagi membebaskannya," rayu Hindun sambil menangis.

     "Nantilah aku usahakan," akhirnya Abu Sufian mengalah dengan desakan isterinya.

     Kemudian Abu Sufian berbincang dengan orang yang dipercayainya. Mereka merancang hendak membebaskan Amr tetapi bukan dengan cara membayar tebusan. Akhirnya mereka mencapai kata sepakat bagi melaksanakan pakatan rahsia mereka.

     Abu Sufian menghantar Adi sebagai utusannya menemui Sa'ad bin an-Nu'man yang tinggal di perkampungan an-Naqi' yang terletak di pinggir kota Madinah. Adi mempelawa Sa'ad bin an-Nu'man yang sudah masuk Islam supaya datang ke Mekah menunaikan ibadat umrah.

     Sebelum itu sudah dibuat perjanjian antara Abu Sufian, ketua Quraisy Mekah dengan Sa'ad bin an-Nu'man ketua kabilah Bani Amr di an-Naqi'. Dalam perjanjian itu orang Quraisy berjanji tidak menghalang sesiapa sahaja dari kalangan Bani Amr yang hendak mengerjakan ibadat haji dan umrah di Mekah.

     Perjanjian itu dibuat sebelum Sa'ad bin an-Nu'man memeluk Islam. Bagi Abu Sufian, perjanjian itu terbatal selepas ketua Bani Amr itu menjadi pengikut Muhammad. Kerana itu Abu Sufian mahu menggunakan Sa'ad bagi pembebasan anaknya. Mereka memasang perangkap, apabila Sa'ad sampai di Mekah lalu ditahan dan dijadikan tebusan.

     "Kamu hanya dibebaskan apabila anak aku Amr dibebaskan Muhammad," kata Abu Sufian.

     "Bukankah kita mengikat perjanjian bahawa kamu tidak boleh mengganggu kami melakukan ibadat haji dan umrah?" tanya Sa'ad.

     "Sesiapa yang membuat perjanjian dengan Muhammad maka terbatal perjanjiannya dengan aku. Kerana kamu sudah menjadi pengikut Muhammad maka perjanjian kita juga terbatal," jawab Abu Sufian sambil tertawa.

     Anak-anak Sa'ad bin Nu'man berusaha mahu membebaskan ayah mereka. Salah seorang daripada mereka menemui Nabi Muhammad lalu menyatakan maksud kedatangannya.

     "Abu Sufian mengkhianati kami. Kerana itu mereka adalah musuh kami dan musuh tuan juga. Sekiranya berlaku sekali lagi peperangan dengan mereka maka kami akan menyebelahi tuan," kata Suhail anak Sa'ad.

     Nabi Muhammad berasa senang hati mendengar pengakuan wakil Bani Amr itu. Kemudian Rasulullah bertanya apa yang dapat dibantu.

     "Amr anak Abu Sufian itu tidak mendatangkan apa-apa kepada kamu wahai Rasulullah. Tetapi Sa'ad itu ayah kami, dia bukan sahaja diperlukan oleh keluarganya malah oleh seluruh anggota kabilah kami. Jadi serahkanlah Amr kepada kami bagi ditukarkan dengan ayah kami Sa'ad," kata Suhail.

     Nabi Muhammad memperkenankan permintaan itu lalu menyerahkan Amr kepada Suhail. Tidak lama kemudian dibuat pertukaran antara Sa'ad dengan Amr. Apabila Sa'ad dibebaskan dia mengajak kaumnya supaya memberi taat setia kepada Nabi Muhammad.

     Di hadapan Kaabah dua orang lelaki sedang berbual. Seorang bernama Umair bin Wahab dan seorang lagi bernama Safwan bin Umaiyah.

     "Anak aku masih dalam tawanan Muhammad dan aku tidak mampu menebusnya. Sekiranya aku tidak mempunyai hutang yang banyak pasti aku bunuh Muhammad. Tetapi aku bimbang dengan nasib kaum keluarga aku. Sekiranya terjadi sesuatu kepada aku mereka akan menderita," kata Umair sambil meluahkan rasa marahnya kepada Nabi Muhammad.

     "Bagaimana sekiranya aku membayarkan hutang kamu dan mengambil keluarga kamu tinggal bersama aku?" tanya Safwan, seorang saudagar kaya yang banyak harta. Dia menyimpan dendam kerana bapanya Umaiyah terbunuh dalam perang Badar. Dia sanggup mengeluarkan hartanya bagi membalas dendam kepada Muhammad. 

     "Aku bersetuju tetapi dengan syarat kamu bayarkan dulu semua hutang aku dan membawa keluarga aku tinggal bersama kamu," kata Umair pula. Dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan hutangnya selesai dan nasib keluarganya dibela.

     Safwan pun membayarkan semua hutang piutang Umair dan mengajak keluarga Umair tinggal di rumahnya. Kemudian Umair pun membuat persiapan bagi berangkat ke Madinah. Dia mengasah mata pedangnya hingga tajam kemudian melumurinya dengan racun. Sesiapa sahaja yang terkena mata pedang itu pasti menemui ajalnya.

     Bagi memudahkan perjalanan Umair, Safwan memberinya seekor kuda yang baik. Dengan menunggang kuda itu maka Umair selamat sampai ke Madinah lalu teruju menuju ke Masjid Nabi. Dia menambatkan kudanya di pintu masjid supaya memudahkan dia melarikan diri.

     Umar al-Khattab yang kebetulan berada di masjid berasa curiga apabila melihat Umair menambatkan kudanya di pintu masjid dan menyandang sebilah pedang.

     Umar al-Khattab pun berkata kepada kawan-kawannya, "Itu dia anjing yang menjadi musuh Allah dan RasulNya datang mahu melakukan kejahatan."

     "Mungkin dia datang dengan niat yang baik bagi membayar tebusan ataupun memeluk Islam," kata al-Salamah.

     "Lelaki itu datang dengan niat yang jahat. Saya mesti beritahu Rasulullah," kata Umar al-Khattab.

     "Wahai Rasulullah, Umair datang dengan pedang terhunus. Saya akan menghalangnya sekiranya kamu izinkan," kata Umar al-Khattab.

     "Persilakan dia masuk menemui saya," kata Rasulullah.

     Umar al-Khattab segera mempersilakan Umair masuk menemui Nabi Muhammad sambil memberi amaran supaya jangan bertindak jahat pada Rasulullah. Apabila Muhammad melihat Umair seperti tidak senang dengan kehadiran Umar al-Khattab maka disuruhnya pergi jauh dari situ.

     "Wahai Umar, tinggalkan Umair," kata Rasulullah kepada Umar al-Khattab.

     "Jemputlah ke sini wahai Umair," ajak Rasulullah.

     Umair pun mendekati Nabi Muhammad. Ketika itu dia betul-betul berada di hadapan Rasulullah. Ketika keluar dari Mekah kemarahannya pada pesuruh Allah itu begitu membara. Ketika menambatkan kudanya di pintu masjid sebentar tadi dia nekad mahu membunuh musuhnya dengan pedang yang dibubuh racun itu. Ketika Umar al-Khattab mengiringinya sebentar tadi dia nekad apabila dekat sahaja dengan Rasulullah dengan pantas dia akan membunuh Rasulullah walaupun dia tahu akan menjadi mangsa Umar al-Khattab.

     Tetapi apabila Nabi Muhammad menyambutnya dengan muka yang manis dan mempersilakannya duduk di hadapannya, kemarahan Umair itu beransur hilang.

     "Apa hajat kedatangan kamu, wahai Umair," tanya Nabi Muhammad.

     "Saya datang cuma hendak berpesan supaya kamu melayan tawanan perang dengan baik. Antara mereka terdapat anak saya," jawab Umair.

     "Sekiranya begitu apa pula halnya dengan pedang di bahu kamu itu, wahai Umair?" tanya Rasulullah lagi.

     "Adakah kamu kurang senang apabila saya datang membawa pedang?" tanya Umair pula.

     "Bercakap benarlah wahai Umair. Apa tujuan kamu datang ke sini?" tanya Rasulullah lagi.

     "Saya datang semata-mata mahu membincangkan hal tebusan," jawab Umair masih cuba berdalih.

     "Kamu sebenarnya sudah berbincang dengan Safwan tentang rakan-rakan kamu yang terbunuh. Kemudian kamu berkata kepada Safwan, 'Sekiranya aku tidak mempunyai hutang dan tidak ada keluarga pasti aku akan pergi membunuh Muhammad.' Dan Safwan berjanji membayar semua hutang kamu dan berjanji menjaga keluarga kamu supaya kamu dapat membunuh saya," kata Rasulullah terhadap Umair.

     Umair terkejut apabila mendengar kata-kata Nabi Muhammad itu. Dia tidak boleh lagi berbohong lalu berkata, "Wahai Muhammad, benar apa yang kamu katakan itu. Sebenarnya hanya saya dan Safwan sahaja yang mengetahui perkara itu. Tetapi Allah mengetahuinya lalu memberitahu kepada kamu. Saya mengaku bahawa kamu adalah pesuruh Allah. Sesungguhnya selama ini saya bersalah kerana mendustakan wahyu yang diturunkan kepada kamu. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi petunjuk kepada saya berkenaan Islam."

     Kemudian Umair mengucapkan dua kalimah syahadah mengaku tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Muhammad itu pesuruh Allah.

     Kemudian Umair pun berkata, "Wahai Rasulullah, sekiranya dahulu saya adalah orang yang paling kuat menentang Islam dan menyakiti orang Islam, maka pada hari ini saya meminta izin padamu ya Rasulullah untuk pulang ke Mekah menyebarkan Islam di kalangan orang Mekah. Sekiranya mereka enggan memeluk Islam saya akan menyakiti mereka sebagai saya menyakiti sahabat-sahabatmu dahulu."

     Rasulullah mengizinkan Umair pulang ke Mekah dan dia begitu gigih menyebarkan agama Islam.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

     

No comments:

Post a Comment