Monday 20 March 2017

PENAWAR 3: BERKUMPUL DENGAN ORANG SOLEH






BERKUMPUL DENGAN ORANG SOLEH








Nasihat Syeikh Maulana Makdum ( Sunan Bonang ) yang ketiga ialah berkumpul dengan orang soleh. Lukmanul Hakim menasihati anaknya: Beliau berkata, "Wahai anakku, selalulah berkumpul dengan orang-orang soleh, sebab engkau dapat memperoleh kesolehan pada dirimu dengan pergaulan demikian. Ketika rahmat Allah turun ke atas mereka maka sudah pasti kamu pula akan memperolehi bahagian darinya. Jauhilah perkumpulan dengan orang-orang yang tidak baik. Sebab dengan bersama-sama mereka, tidak dapat diharapkan untuk memperolehi kebaikan darinya, tetapi ketika turun bala bencana ke atas mereka, engkau pun akan terkena balanya."


A. Pendahuluan

Seorang hamba Allah yang tujuan hatinya untuk sampai kepada Allah (Salik) di dalam menjalani kehidupan dunianya ditegah dan dilarang untuk berkawan atau bersahabat dengan golongan manusia yang hal/peribadi dan kelakuannya tidak banyak membantu dalam perjalan si Salik menuju kepada Yang Haq. Demikian jugalah dilarang sama sekali bersahabat dengan golongan yang percakapannya semata-mata untuk kepentingan dunia tanpa ada pengajaran dan iktibar yang boleh mendekatkan si Salik kepada akhirat atau Allah SWT.

     Dua golongan manusia ini adalah kebanyakan manusia (awam) atau orang alim yang ahli dunia. Tindak-tanduk dan perkataannya hanya berkisar kepada kesenangan, kemewahan, keangkuhan atau sekurang-kurangnya cenderung kepada yang lalai dan jauh daripada beribadat dan mengingati Allah SWT.

     Sebaliknya si Salik itu hendaklah berkawan, bergaul, berurusan dan bersahabat dengan mereka yang sibuk dalam mengesahkan dan menyempurnakan amal ibadatnya yang disyariatkan oleh Allah. Mereka ini sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan memperelokkan syariatnya dengan cara menuntut ilmu atau mengajar ilmu akhirat, beramal ibadat, meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan lalai. Hati mereka selalu memperhitungkan keredaan Allah dalam setiap urusan dan tindak-tanduknya. Dari kejernihan hati ini terpancarlah pada peribadi dan kelakuannya sifat-sifat yang mulia dan ikhlas yang akan melimpahkan kesannya kepada sesiapa yang mendampinginya dengan hakikat dan kediaman ubudiyah. Pengucapan dan ideanya akan menjadi petunjuk dan pembimbing kepada sesiapa yang hampir dengannya. Manusia beginilah yang mesti dipilih sebagai seorang sahabat.

     Diperjelaskan lagi ciri-ciri seorang sahabat yang diperlukan oleh seorang Salik di mana dengannya dapat dikenal sifat-sifat dan jiwa seorang Arif-Billah (iaitu mereka yang kenal dengan sebenar-benar kenal dengan Allah) yang juga seorang yang Muwahid yakni orang yang mentauhidkan Allah dalam Af'alNya, SifatNya dan Zatnya.


B. Orang Yang Soleh

Hemah atau azam serta semangatnya hanya tertuju kepada Allah semata-mata. Padanya semua makhluk adalah lemah dan dhaif walaupun ianya seorang berpangkat, berkuasa waima presiden atau raja. Mereka tidak pernah merayu, mengadu dan meminta pertolongan untuk sebarang hajatnya kepada sesiapa kerana telah diketahui dan dikenal bahawa manusia ini semuanya ditadbir oleh Allah. Tiada yang mampu memberi sebarang kesan.


1. Sifat Orang-orang Soleh

Mereka semua adalah sama sepertinya bersifat dengan lemah, fakir, dhaif, hina malah tidak wujud sama sekali sebarang kesan perbuatan mereka kepada penghidupan ini. Sebab itulah orang Arif ini hanya menyerahkan segala urusannya secara bertawakkal kepada Allah dengan tidak memandang kepada amal, usaha, tadbir dan ikhtiarnya. Segala perbuatan dan perkataannya bukanlah didorongkan oleh nafsu syahwat dan keinginan keduniaan. Tindak tanduknya berdasarkan ilmu syariat Allah yang yakin tanpa campur tangan fikirannya. Dengan itu mereka tidak pernah taksir (tidak mengendahkan) walau dalam apa jua keadaan. Ini adalah kerana mereka sentiasa berada pada kediaman Ubudiyah disamping hati dan jiwanya mereka sentiasa tenggelam dalam lautan musyahadah dengan Allah dan Allah sentiasa memperelokkan adab syariatnya, tarikatnya dan hakikatnya.

     Inilah petunjuk, inilah ciri-ciri dan inilah sifat-sifat yang perlu dilihat oleh si Muslim dalam mencari dan memilih seorang sahabat. Bukannya yang semata-mata kaya, berpengaruh tetapi jahil dengan Makrifatullah. Jahil dengan Hak Ubudiyah dan Hak Ketuhanan.


2. Sahabat Yang Soleh

Satu nasihat Sayyidi Abdus Salam, bagi sesiapa menunjuki ia atas dunia ini (hal keperluan duniawi semata-mata),, maka sesungguhnya adalah ia memberi kejahatan kepada engkau; dan bagi sesiapa menunjuki engkau atas amal (ibadat untuk akhirat dan sampai kepada Allah) maka sanya itu adalah anugerah kebajikan yang berikan kepada engkau; dan bagi sesiapa yang menunjuki engkau atas Allah (ilmu-ilmu yang menghampirkan faham kepada makrifat dengan Allah) maka adalah ia memberi nasihat kepada engkau.

     Perhatikan hal sahabat kita. Sekiranya tindak-tanduk serta cita-citanya semata-mata keduniaan maka larilah daripada sahabat yang ahli dunia itu kerana bersahabat dengannya akan menjatuhkan berbagai-bagai musibah dan kesusahan kepadamu (dalam erti kata payah untuk memasuki perjalanan menuju kepada Allah). Untuk senang dunia dan menumpang kebolehan, kedudukan, atau kekayaan mereka tentu sahaja boleh; dan jika engkau senang bersahabat dengan mereka yang lalai dengan perihal untuk memajukan diri dalam bidang kerohanian, percayalah engkau adalah sama seperti mereka yang tertambat dengan "Hubbud Dunia" (kasih pada dunia hingga lalai kepada akhirat).

     Ketahuilah, sekiranya Allah ingin menganugerahkan kebajikan yang "melimpah" kepada engkau maka akan ditemukan engkau dengan seorang sahabat yang "fakeh lagi sufiah" (yang alim dengan ilmu syariat dan mengamalkan ilmu mengikut tariq (jalan) yang menjejaki hakikat). Sahabatmu ini sentiasa sudi berkongsi amal dan ilmunya dengan petunjuk-petunjuk yang benar dan jelas. Syariatnya teguh dan mantap dengan ilmu fekah, Tariq Rasulullah, para sahabat, para Aulia, dan solehin yang menjadi ikutannya manakala hakikatnya sentiasa memandang (tersyuhud) pada Keagungan dan Keesaan Allah. Dengan sahabat ini nanti, kamu akan banyak mendapat nasihat dan petunjuk yang lurus.

     Abu Hasan berkata: "Jangan engkau bersahabat dengan orang yang melebihkan akan dirinya atasmu. Maka yang demikian itu terlebih sangat jahat dan jangan engkau bersahabat seorang yang melebihkan dikau atas dirinya. Maka yang demikian itu sedikitlah berkekalan dan bersahabatlah engkau dengan orang yang sebabnya menerangkan hati engkau dan musyahadahnya membuka segala yang ghaib.

     Orang yang suka melebihkan dirinya daripada kamu adalah manusia yang dibungkus dengan sifat-sifat munafik dan hipokrit. Mereka amat membahayakan hati dan jiwa kamu. Demikian jugalah seorang kenalan orang yang merendahkan dirinya dengan keterlaluan adalah manusia yang tidak ikhlas dan suka mengada-ngada. Jarang sekali hubungan anda kekal dengannya kerana sifat rendah dirinya itu adalah semata-mata dibuat-buat dan diada-adakan bukan kerana tawaduk kepada Allah. Akan sampai masanya beliau akan jemu atau memberontak apabila sesuatu yang tersirat di hatinya tidak diperolehi dari engkau. Memang menjadi hukum alam sesuatu yang tidak haq/ikhlas akan hancur bila tiba waktunya.

     Sahabat yang perlu dicari ialah apabila bertemu dan bertemu dengannya cahaya mata hatimu akan sejuk bercahaya dengan cahaya akhirat dan makrifat. Pengucapannya adalah butir-butir pengajaran yang luar biasa, berhikmah serta menjejaki dasar syariat, tariqat dan hakikat malah ianya berbeza dari yang lain kerana ia mengeluarkan dari sesuatu yang dilihat dan diambil dari alam ghaib yang hanya dapat ditembusi oleh hati yang bersih dan bermakrifat.


3. Bersahabat Dengan Orang Soleh

Sahabat yang ingin diperihalkan oleh orang sufiah ini adalah seorang mukmin soleh yang padanya kebaikan dan kejahatan yang ada pada kita sama sekali tidak mempengaruhinya, malah sama sahaja baginya. Jika nampak ciri-ciri kebaikan yang ada pada kita, dipandangnya sebagai anugerah Allah kepada hambanya dan jika kita membuat sesuatu kesalahan atau dosa, maka dilihatnya sebagai satu ikhtibar kepadanya. (Pandangannya hanya terarah kepada Fi'li Allah). Kasih sayangnya tetap bersamaan walaupun kita bersifat baik ataupun melakukan banyak kesalahan. Sifat inilah yang akan mendidikmu menjadi sepertinya (Ada nur yang menumpahkan cahayanya kepada kita). Inilah sahabat yang sejati dari golongan mereka yang diberikan cahaya makrifat yang hanya memandang sesuatu itu dari Allah, dengan Allah, kepada Allah dan kerana Allah.

     Apabila bertambah kepadanya sebab amal (yang engkau kerjakan) dan kurang sebab (engkau) meninggalkan amal; maka bercerai (berpisah dengan mereka itu) itu terlebih memberi sejahtera bagi agamanya. (engkau).

     Dan inilah kebajikan yang berhimpun dalam bersahabat dengan saudara yang soleh dan Syeikh (Guru) yang memberi nasihat dan menegah akan dikau bersahabat dengan segala orang yang jahat dan segala orang yang ahli ghaflah (lalai) iaitu mereka yang terlebih jahat hal daripadamu.


4. Orang Soleh Wali Dunia

Dalam Kitab Futuuhul Ghaib oleh Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani menjelaskan bahawa wali-wali Allah ini tahu bahawa keselamatan itu terletak dalam "Diam" dan berkhalwat. Rasulullah pernah bersabda; "Bagi sesiapa yang diam akan mencapai keselamatan."

     Sabda baginda lagi, ertinya; "Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri dari sepuluh bahagian, sembilan darinya terletak dalam diam."

     Oleh itu mereka dalam golongan jenis ini adalah Wali Allah dalam rahsiaNya, dilindungi dan diberi keselamatan, bijaksana, rakan Allah dan diberkati dengan keredaan dan segala yang baik akan diberikan kepada mereka.

     Oleh itu, kamu hendaklah berkawan dengan mereka dan bergaul dengan orang-orang ini dan diberi pertolongan kepada mereka. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan dikasihi Allah dan kamu akan dipilih dan dimasukkan dalam golongan mereka yang menjadi Wali Allah dan hamba-hambanya yang soleh.

     Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu Ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga dan orang itu akan diberi Allah rahsia-rahsia yang tidak diberi kepada orang lain. Allah telah memilih mereka dan membawa mereka hampir kepadaNya. Allah akan membimbing mereka dan membawa mereka ke sisiNya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia ini dan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuanNya dan pengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadi mereka itu "Orang-orang Allah". Mereka mendapat bimbingan yang benar dan yang mengesahkan kebenaran orang lain.

     Mereka ibarat timbalan Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah. Mereka sentiasa mendapat taufiq dan hidayah dari Allah. Yang Maha Agung. Orang yang dalam golongan ini adalah pada peringkat akhir atau puncak kemanusiaan dan tidak ada Maqam di atas ini kecuali Kenabian.

     Oleh itu hati-hatilah kamu supaya jangan memusuhi dan membantah orang-orang seperti ini dan dengarlah cakap atau nasihat mereka. Oleh itu, keselamatan terletak dalam apa yang dicakapkan oleh mereka dan dalam berdamping dengan mereka, kecuali mereka yang Allah beri kuasa dan pertolongan terhadap hak dan keampunanNya.


5. Berkumpul Dengan Orang Soleh

Dalam bab terakhir ini, saya mengharapkan kepada kaum muslimin agar memperhatikan satu hal yang sangat penting, iaitu agar sentiasa berhubungan dengan orang-orang yang menjadi waliyyullah, (orang-orang yang dekat dengan Allah) dan banyak berkhidmat kepada mereka. Hal ini dapat menguatkan iman kita serta mendatangkan kebaikan dan keberkatan dalam hidup kita. Rasulullah bersabda:

     "Mahukah saya tunjukkan kepadamu suatu hal yang
     dengannya kamu akan mendapatkan kebaikan di dunia
     dan di akhirat? Hendaknya kamu menyertai majlis-ma-
     jlis ahli zikir (orang yang selalu mengingat dan membi-
     carakan kebesaran Allah)."

     Untuk dapat menyertai para waliyullah; kita mesti mengetahui ciri sebenarnya yang mencintai Allah dan RasulNya. Di antaranya adalah, mereka sentiasa mengamalkan sunnah Rasulullah, kerana Allah telah menjadikan Rasulullah, sebagai teladan bagi umatnya.


C. Nasihat Rasulullah

Allah berfirman dalam Al-Quran,

     "Katakanlah (hai Muhammad), 'Jika kamu benar-be-
     nar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah men-
     cintaimu, dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah
     Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

(Q.S Ali Imran [3]: 31)

     Dengan demikian, sesiapa yang mengikuti Rasulullah SAW dengan penuh ketaatan dan kesetiaan, dia adalah waliyyullah. Namun sesiapa yang jauh dari sunnah-sunnah Rasulullah, maka dia jauh dari Allah dan rahmatNya. Para mufassir menulis, bahawa sesiapa yang mengakui mencintai Allah tetapi tidak mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah, maka dia adalah pendusta. Kerana syarat dalam bercinta adalah kita mesti mencintai segala sesuatu yang berhubungan dengan kekasih kita.


1. Silaturrahim Pada Solehin

Seorang penyair telah mengutip kata-kata Amrul Qais, kekasih Laila yang terkenal:

"Ketika saya melalui bandar Laila, saya mencium
setiap lorong dan dindingnya. Sebenarnya, bukanlah
     kecintaan saya kepada bandar itu yang menggetarkan
hati saya, namun kecintaan saya kepada orang yang
tinggal di bandar itu."

     Seorang penyair lain berkata: "Kamu pura-pura mencintai Allah, padahal perbuatanmu bertentangan dengan perintahNya. Seandainya cintamu sejati, nescaya engkau selalu mentaatiNya. Sungguh, orang yang mencintai baginda patuh kepada orang yang dicintainya."

     Rasulullah bersabda, "Semua umatku akan masuk syurga, kecuali orang yang menolak." Pada sahabat bertanya, "Siapakah orang yang menolak itu, ya Rasulullah?" Baginda menjawab, "Sesiapa yang taat kepadaku, dia akan masuk syurga; tetapi siapa yang ingkar kepadaku, merekalah yang menolak syurga." Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda, "Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu sehingga segala keinginannya tunduk dan mengikut ajaran yang aku bawa."

     Sungguh menghairankan, jika seseorang mengaku dirinya sebagai seorang muslim, tetapi mengingkari Allah serta Rasul-Nya. Dan jika kita memperingatkan mereka bahawa mereka telah meninggalkan sunnah Rasulullah, mereka bersara tersinggung. Jika demikian, bagaimana mungkin mereka menjadi pengikut Rasulullah? Sa'di berkata, "Bagi sesiapa menentang Rasulullah, maka dia tidak akan sampai ke tempat yang ditujunya." Siapa pun orangnya, jika menyimpang dari sunnah Nabinya, maka jalan apa pun yang dia tempuh, dia tidak akan sampai ke tempat yang dituju. Oleh kerana itu, barangsiapa selalu mendampingi para waliyyullah, banyak melayani mereka, banyak mengambil manfaat dari ilmu mereka, serta mengikuti sunnah Rasulullah maka dia adalah seorang kekasih yang hakiki dan insya Allah akan mendapat berkatNya.

     Dalam hal ini, marilah kita renungkan sabda Rasulullah: "Apabila kamu melalui taman-taman syurga, maka ambillah hasilnya." Para sahabat bertanya, "Apakah taman syurga itu, ya Rasulullah?" Jawab baginda, "iaitu majlis-majlis ilmu."


2. Menyertai Majlis Solehin

Rasulullah bersabda, "Luqmanul Hakim berkata kepada anaknya, "Wahai anakku, Hendaklah kamu berdampingan dengan orang-orang alim dan mendengar perkataan-perkataan ahli hikmah, kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hati yang telah mati dengan cahaya hikmah seperti Dia menghidupkan tanah yang mati dengan hujan."

     Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, "Siapakah sahabat yang paling baik bagi kami?" Jawab Rasulullah SAW, "Seseorang yang apabila kamu memandangnya akan teringat kepada Allah; apabila kamu mendengar ucapannya, pengetahuan kamu berkenaan Islam akan bertambah; dan apabila kamu melihat kelakuannya, kamu teringat kepada hari akhirat."

     Hadis lain mengatakan, "Hamba Allah yang paling baik ialah yang apabila kamu melihatnya, kamu dapat mengingat Allah." Allah berfirman dalam Al-Quran.

     "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada
     Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang
     benar."

(Q.S at Taubah [9]: 119)

     Para mufassir mengatakan bahawa yang dimaksud dengan orang-orang yang benar dalam ayat ini adalah para ulama ahli sunnah dan para kekasih Allah. Kerana sesiapa sahaja berdekatan dengan mereka, mendengar nasihat-nasihat mereka, serta berkhidmat kepada mereka, akan mendapatkan tarbiyah dan kekuatan iman.

     "Seumur hidupmu, kamu tidak akan dapat menjauhkan diri dari kekuasaan hawa nafsu dan kemungkaran, selama keinginan-keinginan kamu tidak disalurkan menurut perintah-perintah Allah dan sunnah-sunnah RasulNya. Maka jika kamu bertemu dengan seorang kekasih Allah, maka hormatilah dia, berilah khidmat dengan baik dan ikutilah ajaran-ajarannya, jadilah kamu seperti mayat di depannya, janganlah menginginkan sesuatu di dalam hatimu, laksanakanlah semua suruhannya, jika ada yang menghalanginya singkirkanlah secepatnya, anggaplah segala perintahnya adalah tugas kita, bermusyawaralah dengannya mengenai masalah agama dan rohani agar dia dapat membimbingmu dan membawamu lebih dekat dengan Allah." Demikianlah tulisan Syeikh Akbar.

     Rasulullah bersabda, "Tiada suatu kaum yang mengingati Allah dalam suatu majlis kecuali diturunkan sakinah kepada mereka, rahmat akan bercucuran ke atasnya, malaikat akan mengerumuni mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka dalam majlis para malaikat." Adakah penghormatan yang lebih besar dari penghormatan Allah serta menghargai mereka dalam majlisNya? Hadis lain menyebutkan, "Sekumpulan malaikat diutus kepada orang-orang yang mengingati Allah dengan ikhlas, kemudian mereka berkata, "Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan telah menggantikan amal burukmu dengan yang amal kebaikan."

     Rasulullah bersabda, "Majlis yang tidak mengingati Allah serta tidak berselawat kepada RasulNya akan menemui kekecewaan pada hari Kiamat." Dalam doanya, Nabi Daud berkata, "Ya Allah! Jika Engkau melihat diri saya tidak menyertai majlis yang mengingati-Mu, dan menghadiri majlis yang lalai dari mengingati-Mu, maka patahkanlah kaki saya (agar saya tidak dapat berjalan menuju majlis lalai itu)." Dalam suatu syair dikatakan:

     "Apabila saya tidak mendengarNya serta melihat wa-
     jahNya, maka lebih baik saya menjadi buta dan tulis."

     Abu Hurairah berkata, "Suatu majlis yang mengingat Allah serta membesarkanNya, akan memancarkan cahaya yang dapat dilihat oleh penduduk langit bagaikan bintang-bintang bercahaya dilihat oleh penduduk bumi."

     Pada suatu ketika, Abu Hurairah r.a. pergi ke pasar dan mengumumkan kepada semua orang, "Hai saudara-saudara aku! Mengapa kamu duduk-duduk di sini padahal warisan Rasulullah sedang dibahagi-bahagikan di masjid?" Orang-orang pun berlarian ke masjid, tetapi tiada satu barang pun yang sedang dibahagikan di sana, sehingga mereka kembali dengan perasaan kesal. Abu Hurairah bertanya kepada mereka, "Apakah yang sedang dikerjakan di sana?" Jawab mereka, "Sebahagian orang sedang membaca Al-Quran dan sebahagian lagi sedang berzikir memuji dan membesarkan nama Allah." Abu Hurairah berkata, "Inilah yang disebut dengan warisan Rasullah."


3. Aktivti Orang-orang Soleh

Imam Ghazali telah mengemukakan banyak hadis yang serupa dengan hadis di atas Rasulullah pun telah diperintahkan oleh Allah agar selalu bersama dengan mereka yang dekat denganNya, Allah berfirman:

     "Dan bersabarlah kamu bersama orang-orang yang me-
     nyeru kepada Tuhannya pada waktu pagi dan petang,
     mereka mengharapkan keredhaanNya. Dan janganlah
     engkau palingkan pandanganmu dari mereka kerana
     mengharapkan perhiasan (kemewahan) hidup di dunia.
     Dan janganlah kamu mengikuti orang-orang yang 
     telah Kami lalaikan hatinya dari mengingat Kami dan
     mengikuti hawa nafsunya. Dan tingkah lakunya sudah
     melampaui batas."

(Q.S Al-Kahfi [18]: 28)

     Maksud ayat di atas ialah, Rasulullah SAW diperintahkan agar menjauhkan diri dari mereka yang melanggar batasan ahkam Allah. Banyak hadis menunjukkan bahawa Rasulullah pernah bersyukur kepada Allah kerana telah membangkitkan orang-orang yang soleh dalam kalangan umatnya dan telah diperintahkan menyertai mereka itu. Dalam ayat itulah Rasulullah telah diperintahkan supaya menjauhkan diri dari mereka yang menjadi hamba hawa nafsunya dan melampaui batasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Rasulullah telah diperintahkan berkali-kali jangan mengikuti keinginan mereka yang tidak berfaedah.

     Sekarang ramai orang mengikuti kebudayaan orang-orang yang tidak bertuhan dengan gelap mata dan mengikuti kebudayaan bangsa-bangsa barat. Renungkanlah dan periksalah keimanan mereka itu, dan tanyakanlah kepada diri mereka sendiri, apakah mereka itu telah murtad atau masih beriman. Kelakuan meniru-niru perbuatan orang-orang yang tidak bertuhan itu telah membawa jauh dari kebenaran.

     Tujuan saya ialah hendak memberi nasihat kepadamu mengenai hal ehwal agama dan tugas yang saya sudah jalankan. Kini saya serahkan kepada Allah dan saya mohon undur diri. Rasulullah SAW pun telah diperintahkan supaya mentablighkan kebenaran.


4. Tempat Orang Yang Soleh di Akhirat

Sebuah hadis Rasulullah SAW dari Aisyah r.a. berkata, "Rasulullah SAW memerintahkan kami agar memperlakukan manusia menurut kedudukannya."

     Dari Ibnu Abbas menceritakan, "Pernah Rasulullah SAW melihat kepada Ka'bah, lalu bersabda, "Laa ilaaha Illallaah, alangkah indahnya kamu, alangkah harum baumu, dan alangkah besar kehormatanmu! Tetapi kehormatan seorang mukmin lebih tinggi darimu. Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikanmu terhormat, Dia juga menjadikan harta, nyawa, dan harga diri seorang mukmin sebagai sesuatu yang terhormat, dan Dia telah melarang kami untuk berprasangka buruk terhadap seorang mukmin."

     Dari Jabir bin Abdullah r.a., sesungguhnya Rasulullah bersabda, "Orang-orang muslim yang miskin akan masuk syurga 40 tahun lebih dahulu daripada orang-orang muslim yang kaya."

     Dalam hadis yang lalu disebutkan bahawa orang muslim yang miskin akan memasuki syurga 40 tahun sebelum orang muslim yang kaya, sedangkan menurut hadis ini dikatakan 500 tahun lebih dahulu. Secara zahir, kelihatan kedua hadis ini bertentangan, tetapi sebenarnya dapat disimpulkan sebagai berikut: Perbezaan 40 tahun ini adalah bagi orang miskin yang tamak akan harta dan orang kaya yang juga tamak. Sedangkan bagi orang miskin yang zuhud perbezaannya 500 tahun daripada orang kaya yang cinta harta."

     Sebuah hadis Rasulullah mengatakan dari Harithah bin Wahab berkata, "Aku mendengar Rasulullah bersabda, "Mahukah aku tunjukkan pada kalian tentang ahli syurga? Iaitu setiap orang yang lemah (tidak kasar dalam pergaulan dan akhlak, sederhana dan lemah lembut) juga menganggap dirinya lemah, (tetapi dia sangat dekat kepada Allah) jika ia bersumpah atas nama Allah (mengadu kepada Allah), pasti Allah akan memperkenankannya. (Dan mahukah kutunjukkan pada kalian) tentang ahli neraka? iaitu setiap orang yang bakhil (suka menghimpun harta), kasar (dalam tingkah laku), dan sombong."


D. Kisah Pemuda Soleh


1. Pemuda Ashabul Ukhdud

     Kisah ini sangat penting untuk dijadikan rujukan dan ikutan kepada pemuda-pemudi Islam zaman ini kerana ia mengisahkan seorang pemuda yang berani kerana Allah, hatta dipertaruhkan nyawa sekalipun. Ilmu yang benar akan memimpin kita kepada Allah, dan inilah yang diajarkan oleh pendeta (ahli ibadat) sedangkan ilmu yang diajarkan oleh ahli istana adalah batil semata-mata.

     Tawakal dan berserahnya pemuda itu kepada Allah menyebabkan bukan sahaja dia seorang, malah keseluruhan rakyat mendapat hidayah dan beriman kepada Allah. Kita dapat mengikuti kisah pemuda ini dalam surah Al-Buruj dan diterangkan dengan jelas oleh Rasulullah dalam hadis baginda yang bersumber daripada Syuhaib bin Sinan.

     Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim dan An-Nasa'i bahawa pada masa dahulu ada seorang raja (Yahudi) yang mempunyai seorang ahli sihir, kemudian ketika ahli sihir telah tua ia berkata kepada raja: "Kini aku telah tua dan mungkin telah dekat ajalku, kerana itu engkau kirimlah kepadaku seorang pemuda yang dapat aku ajarkan kepadanya ilmu sihir."


a. Ilmu Sihir dan Ajaran Pendeta

Raja berusaha mencari seorang pemuda untuk mempelajari ilmu sihir itu. Dapatlah seorang pemuda yang cerdas, sedang di tengah jalan antara tempat ahli sihir dengan rumah pemuda itu, tinggal seorang Rahib (pendeta) yang mengajar agama.

     Pada suatu hari pemuda yang dikirim raja untuk mempelajari ilmu sihir itu singgah di tempat pendeta untuk mendengarkan pengajiannya, dan dia tertarik dengan ajaran pendeta itu sehingga jika dia terlambat datang kepada ahli sihir dia akan dipukul. Sebaliknya, apabila terlambat kembali ke rumahnya juga dia dipukul. Akhirnya pemuda itu mengadu tentang keadaan dirinya kepada pendeta.

     Maka diajar oleh pendeta, jika terlambat datang kepada ahli sihir supaya aku ditahan oleh ibuku, dan apabila terlambat kembali ke rumah katakan aku ditahan oleh ahli sihir.


b. Menguji Kebenaran Ilmu Pendeta

Beberapa lama kemudian, pada suatu hari ketika pemuda itu akan pergi, tiba-tiba di tengah jalan ada seekor binatang buas sehingga orang ramai tidak berani jalan di tempat itu. Lalu pemuda itu berkata, "Sekarang aku akan mengetahui yang mana lebih baik di sisi Allah apakah ajaran pendeta atau ajaran ahli sihir."

     Pemuda itu mengambil seketul batu lalu berdoa, "Ya Allah jika ajaran pendeta itu lebih baik di sisimu maka bunuhlah binatang itu supaya orang ramai dapat berjalan di tempat ini." Lalu dilemparkan batu itu, lalu matilah binatang itu. Orang ramai gembira kerana telah dapat melintasi kawasan itu dengan selamat.


c. Mendapat Cubaan

Menyaksikan kejadian tersebut, pemuda itu terus melaporkan apa yang dilihatnya kepada pendeta, maka berkatalah pendeta itu kepadanya: "Kamu kita telah mendapatkan keberkatan ilmu daripadamu, dan kamu akan diuji, maka jika diuji jangan sampai menyebut namaku."

     Kemudian pemuda itu dapat menyembuhkan orang buta dan sopak dan pelbagai macam penyakit yang berat-berat.

     Ada seorang pembesar dalam majlis raja dan dia telah buta kerana sakit mata yang kronik. Ketika didengarnya berita bahawa ada seorang pemuda boleh menyembuhkan pelbagai macam penyakit, maka dia segera pergi kepada pemuda itu sambil membawa hadiah yang banyak, lalu katanya: "Sembuhkan aku, dan aku sanggup memberikan kepadamu apa saja yang kamu suka."

     Jawab pemuda itu, "Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang pun sedang yang hanya menyembuhkan hanya Allah azza wa Jalla, jika engkau mahu beriman (percaya) kepada Allah, maka aku akan berdoa semoga Allah menyembuhkan mu."

     Lalu dia beriman kepada Allah dan didoakan oleh pemuda dan seketika itu juga ia sembuh dengan izin Allah SWT. Kemudian dia kembali ke majlis raja sebagaimana biasanya, dan ditanya oleh raja dengan hairan:

     "Hai, siapakah yang menyembuhkan matamu?"

     Jawabnya, "Rabbi (Tuhanku)."

     Raja bertanya, "Aku?"

     Jawabnya, "Bukan, tetapi Tuhanku dan Tuhanmu iaitu Allah."

     Ditanya oleh raja, "Apakah kamu mempunyai Tuhan selain aku?"

     Jawabnya, "Ya, Tuhan ku dan Tuhanmu ialah Allah."

     Maka diseksa oleh raja seberat-beratnya seksa sehingga terpaksa ia memberitahu raja itu akan pemuda yang mendoakannya sehingga sembuh itu.

     Maka segera dipanggil pemuda itu lalu berkata, "Hai anak muda, sungguh hebat sihirmu sehingga dapat menyembuhkan orang buta dan sopak dan pelbagai macam penyakit."

     Jawab pemuda itu, "Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan siapa pun, hanya semata-mata Allah azza wa Jalla."

     Raja itu pun bertanya, "Adakah aku?"

     "Tidak!" jawab pemuda itu.

     Tanya raja itu, "Adakah engkau ada tuhan lain selain aku?"

     Jawab pemuda, "Ya, Tuhanku dan Tuhanmu hanya Allah."

     Pemuda itu ditangkap dan diseksa seberat-beratnya sehingga terpaksa dia menunjukkan pada Rahib (pendeta) yang mengajarnya. Maka dipanggil Rahib dan dipaksa untuk meninggalkan agamanya, tetapi Rahib tetap bertahan dan tidak mahu berpindah agama, maka diletakkan gergaji di atas kepalanya dan digergaji dari atas kepalanya hingga terbelah dua badannya.

     Kemudian kembali pemuda itu diperintah untuk meninggalkan agama yang dianutnya (agama Islam), tetapi pemuda itu juga menolak perintah raja. Maka raja memerintahkan supaya pergi ke puncak gunung dan di sana juga ditawarkan kepadanya untuk meninggalkan agamanya dan mengikuti agama raja. Jika tetap menolak akan dilempar dari atas gunung itu.

     Ketika telah sampai di atas gunung dan ditawarkannya untuk menukarkan agamanya, pemuda itu menolaknya. Pemuda itu berdoa, "Ya Allah selesaikanlah urusanku dengan mereka ini sehendak-Mu."

     Tiba-tiba gunung itu bergoncang sehingga mereka jatuh dari atas bukit dan mati semuanya. Segeralah pemuda itu kembali menemui raja, dan ketika ditanya: "Manakah orang-orang yang membawamu?" Jawabnya: "Allah yang menyelesaikan urusan mereka."

     Lalu pemuda itu diperintahkan untuk dibawa ke laut dan naik perahu, bila telah sampai di tengah laut ditanyakan kepadanya jika ia mahu mengubah agama, jika tidak maka lemparkan ke dalam laut. Ketika telah sampai di tengah laut pemuda itu berdoa: "Ya Allah selesaikanlah urusanku dengan mereka ini sekehendakMu."

     Maka tenggelamlah oran gyang membawanya semuanya dan segeralah pemuda kembali menghadap raja. Ketika ditanya oleh raja, "Bagaimana keadaan orang-orang yang membawamu?" Jawabnya: "Allah yang menyelesaikan mereka."

     Kemudian pemuda itu berkata kepada raja, "Engkau tidak akan dapat membunuhku kecuali jika engkau menurut perintahku, barulah engkau dapat membunuhku."

     Raja bertanya, "Apakah perintahmu?"

     Jawab pemuda, "Kamu kumpulkan semua orang di suatu tempat yang luas, lalu engkau gantung aku di atas tiang, ambil anak panah milikku ini dan kau letakkan di busur panah sambil membaca: Bismillahi bi rabbi ghulam (Dengan nama Allah Tuhan pemuda ini), kemudian kamu lepaskan anak panah itu, maka dengan itu kamu dapat membunuhku."

     Semua saranan pemuda itu dilaksanakan oleh raja, dan ketika anak panah telah mengenai pelipis pemuda itu ia mengusap dengan tangannya dan terus mati, maka semua orang yang hadir berkata: "Aamannaa birrabil ghulaam" (Kami beriman kepada Tuhannya pemuda itu)."


d. Mengislamkan Rakyatnya

Selepas itu pegawai istana memberitahu kepada raja bahawa semua rakyat telah beriman kepada Tuhannya pemuda itu, maka bagaimanakah usaha untuk menghadapi rakyat yang ramai itu. Akhirnya raja memerintah supaya di setiap jalan diganti parit dan dinyalakan api, dan tiap-tiap orang yang berjalan di sana disoalsiasat, sesiapa yang beriman kepada Allah segera dimasukkan ke dalam parit api itu.

     Ramailah orang berjejal-jejal (berbaris-baris) tolak-menolak yang masuk ke dalam parit api itu, sehingga tiba seorang wanita yang mendukung bayinya yang masih menyusu. Ketika bayinya diangkat untuk dimasukkan ke dalam parit berapi itu, wanita itu hampir pengsan dan mengubah pendiriannya untuk mengikuti agama raja, tetapi tiba-tiba bayi itu berbicara dengan suara lantang, "Sabarlah hai ibuku kerana ibu sedang mempertahankan yang hak."

     Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa kisah tersebut berlaku 70 tahun sebelum diutusnya Nabi Muhammad menjadi Rasul.

     Semoga pemuda-pemudi Islam kita akan mengambil iktibar dan pedoman dari kisah yang hebat ini.


2. Pemuda di zaman Nabi

Pada tahun kesebelas Hijrah, Rasulullah memerintahkan supaya menyiapkan bala tentera untuk memerangi tentera Rom. Dalam pasukan tersebut terdapat beberapa sahabat utama seperti Abu Bakar, Umar bin Khattab, Abu 'Ubaidah, Sa'ad bin Abi Waqqash dan lain-lain.


a. 'Usamah Sebagai Panglima Perang

Rasulullah melantik 'Usamah bin Zaid yang usianya belum mencapai dua puluh tahun untuk menjadi Panglima seluruh pasukan yang akan digerakkan ke medan perang. Rasulullah memasang panji untuk 'Usamah dengan tangan baginda sendiri dan memberinya arahan-arahan sebagai berikut:

     "Pergilah dengan nama Allah dan di jalanNya. Ber-
     juanglah melawan musuh Allah. Seranglah orang Unba
     di pagi hari dan tempuhlah jarak ini dengan cepat agar
     kamu dan tentera kamu tiba di tempat itu sebelum
     khabar kedatangan kamu sampai kepada mereka."


b. Amaran Rasulullah Kepada Para Sahabat

Terpilihnya 'Usamah sebagai panglima pasukan ternyata tidak memuaskan sebahagian kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka saling berkata, "Mengapa Rasulullah memilih pemuda itu, bukankah kita memiliki tokoh-tokoh tua yang lebih berpengetahuan dalam masalah perang?"

     Lalu perbincangan tersebut terdengar oleh Rasulullah. Ketika itu Rasulullah sedang sakit tenat. Rasulullah sedar dalam masa sakitnya, bahawa gerakan pasukan dari perkhemahan sedang dihalangi, dan beberapa orang sedang membantah kepimpinan 'Usamah. Ini sangat meresahkan Rasulullah. Dengan selendang di bahu serta sehelai kain pengikat kepala, baginda ke masjid untuk berbicara kepada kaum Muslimin dari dekat dan memperingatkan mereka mengenai pelanggaran terhadap perintahnya.

     Dalam keadaan badan baginda yang panas tinggi, Rasulullah naik ke mimbar. Setelah memuji Allah Yang Maha Kuasa, Rasulullah mengatakan, "Wahai manusia! Saya sangat sedih kerana tertundanya pemergian tentera itu. Nampaknya kepimpinan 'Usamah tidak disukai oleh sebahagian daripada kamu, dan kamu pun keberatan. Namun, keberatan dan pembangkangan kamu ini bukanlah yang pertama kali. Sebelum ini, kamu juga memprotes kepimpinan Zaid, ayah 'Usamah. Saya bersumpah demi Allah bahawa dia layak untuk jawatan ini, begitu puteranya. Saya menyayanginya. Wahai manusia! Berlaku baiklah dengannya. Dia salah seorang yang baik di antara kamu sekalian."

     Dengan itu, Rasulullah mengakhiri khutbahnya. Baginda turun dari mimbar, lalu pergi berbaring dengan panas yang tinggi dan badan yang lemah. Baginda menggesa berulang-ulang kepada para sahabat utama yang datang menanyakan kesihatannya, "Gerakkanlah tentera 'Usamah!" Dan kadang-kadang baginda berkata, "Bergabunglah dengan tentera 'Usamah!" atau, "Berangkatlah tentera 'Usamah!"

     Rasulullah mempertimbangkan dua perkara ketika memilih seorang pemuda untuk menjadi ketua tentera dan menempatkan orang-orang yang lebih tua dari kalangan Muhajirin dan Ansar di bawah perintahnya. Pertama, baginda hendak menggembirakan 'Usamah kerana musibah yang menimpanya dengan gugurnya ayahnya di medan Perang Mu'tah, sekaligus mengangkat keperibadian dan kemampuannya. Kedua, baginda hendak menghidupkan pembahagian kerja dan jawatan atas dasar keperibadian dan kemampuan, dan hendak menjelaskan bahawa jawatan kedudukan umum hanya menuntut kemampuan dan kecekapan, dan tidak ada kaitannya dengan usia, sehingga orang-orang muda pun layak untuk tugas-tugas umum yang penting.

     Dapat difahami jika Rasulullah mempercayai 'Usamah kerana pada ketika perang Hunain ketika tentera muslim terdesak bahkan ada sebahagian sahabat yang lari yang menjadi penyebab utama sebab kekacauan dan kecemasan pada perang tersebut. Rasulullah berasa bahawa apabila keadaan itu dibiarkan, walaupun hanya sebentar, jalan sejarah mungkin menjadi lain; pasukan musyrik akan mengalahkan tentera Tauhid. Oleh itu sambil menunggang keldainya, baginda berseru dengan suara nyaring, "Hai pembela Allah dan Nabi-Nya! Aku hamba Allah dan Nabi-Nya!"

     Rasulullah mengucapkan kalimat itu lalu memalingkan keldainya ke medan pertempuran yang telah diduduki tentera Malik. Sekolompok orang yang sedia berkorban, seperti 'Abbas bapa saudara Rasulullah, Ali bin Abi Thalib, Fadhal bin 'Abbas, Abu Sufyan bin Harits termasuk juga 'Usamah bin Zaid, tidak sanggup membiarkan Rasulullah sendirian tanpa perlindungan, mereka pun maju bersama-sama Rasulullah.

     Pertempuran Hunain itu meninggalkan kesan yang menarik bagi diri Rasulullah. Orang-orang yang berdiri berdiri di belakangnya pada masa-masa sukar merupakan orang-orang yang teguh iman dan keberaniannya. Antara orang-orang itu ialah 'Usamah bin Zaid. Dengan jumlah kecil yang terdiri dari orang-orang yang berani tersebut, Rasulullah akhirnya berjaya membalikkan kekalahan para sahabatnya menjadi kemenangan.


c. Sebab-sebab 'Usamah Dicintai Rasulullah

Bayi 'Usamah lahir di Makkah pada tahun ketujuh sebelum hijrah. Ketika itu Rasulullah sedang mengalami kesusahan disebabkan tindakan kaum Quraisy yang menyakiti baginda, keluarganya juga sahabatnya. Kesulitan dalam berdakwah menyebabkan baginda sentiasa harus bersabar. Dalam suasana seperti itu, tiba-tiba seseorang memberitahu, "Ummu Aiman melahirkan seorang bayi lelaki."

     Wajah Rasulullah berseri-seri menerima khabar tersebut. Bayi lelaki itu yang kita kenali sebagai 'Usamah bin Zaid bin Haritsah.

     Para sahabat tidak berasa aneh apabila Rasulullah bersukacita dengan kelahiran bayi tersebut. Kerana mereka tahu kedudukan orangtuanya di sisi Rasulullah. Ibu bayi tersebut seorang wanita Habsyi yang diberkati dengan panggilan "Ummu Aiman". Ummu Aiman adalah bekas hamba bonda baginda Rasulullah, Aminah. Dialah yang mengasuh Rasulullah semasa kecil pada masa bondanya Aminah hidup. Juga setelah bondanya wafat.

     Rasulullah menyayangi Ummu Aiman sebagaimana layaknya seorang anak kepadanya ibunya. Sedangkan bapanya adalah Zaid bin Haritsah, lelaki yang dikasihi Rasulullah. Zaid pernah diangkat sebagai anak angkat oleh Rasulullah sebelum risalah Islam dikumandangkan ke seluruh alam. Kehidupan Zaid diiringi dengan didikan Rasul mulia, juga menyaksikan secara langsung teladan akhlak Rasulullah. Zaid menjadi sahabat yang kepadanya dipercayakan semua rahsia. Zaid termasuk orang yang dikasihi dan dicintai Rasulullah.

     Kaum muslimin pun ikut bergembira dengan kelahiran 'Usamah melebihi kegembiraan kelahiran bayi-bayi lainnya. Hal itu sangatlah wajar, kerana apapun yang disukai Rasulullah maka kaum muslimin pun ikut menyukainya. 'Usamah dipanggil oleh kaum muslimin dengan sebutan Al-Hibb wa Ibnil Hib, Kekasih Putera Kekasih. Kaum muslimin tidaklah berlebihan dengan memanggil 'Usamah dengan panggilan tersebut, kerana memang Rasulullah sangat menyayangi 'Usamah.

     Umur 'Usamah sebaya dengan cucu Rasulullah, Hasan dan Husein putera Fatimah dan Ali bin Abi Talib, Hasan dan Husein berkulit putih, tampan mirip datuknya, Rasulullah. Sedangkan 'Usamah berkulit hitam sebagaimana ibunya. Tetapi perbezaan itu sedikitpun tidak mengurangkan kecintaan Rasulullah kepada 'Usamah. Rasulullah sering memangku 'Usamah bersama dengan cucunya di pehanya.

     Pernah suatu kali 'Usamah tersandung pintu, sehingga keningnya luka dan berdarah. Rasulullah menyuruh Aisyah r.a. untuk membersihkannya, tetapii Aisyah r.a. tidak mampu melakukannya. Kerana begitu cintanya, Rasulullah hisap darah yang keluar dari luka 'Usamah, kemudian baginda ludahkan. Selepas itu Rasulullah memujuk 'Usamah dengan kata-kata yang menyenangkan hatinya, sehingga 'Usamah berasa tenteram.

     Pada masa 'Usamah mencecah usia remaja, kemuliaan akhlak dan keindahan sifatnya semakin terserlah. Sehingga wajarlah jika 'Usamah disayangi Rasulullah. 'Usamah cerdik dan pintar, sangat berani, bijaksana, pandai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tahu menjaga kehormatan, sentiasa menjauhkan diri dari perbuatan tercela, warak, mencintai Rasulullah dan keluarganya, dan taqwa kepada Allah.

     Semasa perang Uhud, 'Usamah datang berserta kanak-kanak yang sebaya dengannya. Mereka ingin ikut berperang. Sebahagian dari mereka diperkenankan Rasulullah untuk ikut dan sebahagian lagi tidak diperkenankan untuk ikut berperang. 'Usamah sanfat sedih, lalu pulang sambil menangis kerana tidak diperkenankan untuk ikut berperang bersama Rasulullah di Uhud.

     Pada perang Khandaq, 'Usamah kembali beserta rombongan remaja beliau menghadap Rasulullah untuk ikut berperang. 'Usamah berdiri tegap di hadapan Rasulullah supaya kelihatan lebih tinggi, agar baginda memperkenankannya untuk berperang. Kerana begitu bersemangatnya 'Usamah untuk ikut berperang di jalan Allah, Rasulullah yang bijaksana akhirnya memperkenankannya untuk ikut berperang. 'Usamah pun menyandang pedang untuk berjihad, padahal ketika itu 'Usamah baru berumur 15 tahun.

     Ketika terjadi perang Hunain, tentera muslimin terdesak sehingga menjadi kacau bilau. Tetapi 'Usamah tetap bertahan bersama-sama dengan Ali bin Abi Talib, 'Abbas bin Abdul Muttalib, Sufyan bin Harits, Fadhal bin 'Abbas.

     Dalam perang Mu'tah, 'Usamah itu berperang di bawah perintah ayahnya, Zaid bin Harithah. Ketika itu umurnya 18 tahun. Ayahnya gugur sebagai syuhada, yang disaksikan sendiri oleh 'Usamah. Kemudian perintah beralih ke tangan Ja'far bin Abi Talib, 'Usamah tetap berjuang dengan penuh semangat. Tetapi Ja'far pun meninggal sebagai syuhada. Lalu perintah diambil alih oleh 'Abdullah bin Rawahah, yang juga kemudian gugur di medan pertempuran tersebut, menyusul kedua sahabatnya Zaid bin Harithah dan Ja'far bin Abu Talib. 'Usamah tetap bertempur dibawah perintah Khalid bin Walid. Sehingga akhirnya kaum muslimin mampu melepaskan diri dari tentera Rom.


d. Abu Bakar dan Umar Memuliakan 'Usamah

Pada tahun kesebelas Hijrah Rasulullah hendak mengirimkan pasukan ke Rom dibawah perintah 'Usamah. Sehingga Rasulullah wafat keberangkatan pasukan tersebut ditangguhkan dengan pelbagai alasan. Akhirnya setelah dilantiknya Abu Bakar sebagai Khalifah, baru pasukan yang dipimpin 'Usamah dilepaskan pergi.

     'Usamah memimpin pertempuran dengan tetap melaksanakan semua amanat Rasulullah kepadanya, sebelum Rasulullah kembali ke hadrat Ilahi. Atas pertolongan Allah, pasukan kaum muslimin memperoleh kemenangan besar. 'Usamah kembali dengan rampasan perang yang banyak dan pasukan yang kuat.

     'Usamah bin Zaid sangat dihormati, kerana keindahan akhlaknya yang mengikuti Rasulullah. Beliau selalu memuliakan Rasulullah dan keluarganya. Sebagai orang yang dicintai Rasulullah dan dipercayai Rasulullah, 'Usamah memiliki tempat tersendiri di hati kaum muslimin.

     Suatu ketika, Umar bin Khattab pernah diprotes oleh anaknya kerana pemberian kepada 'Usamah lebih besar daripada dirinya dengan alasan bahawa jasa bapa 'Usamah iaitu Zaid bin Harithah tidak jauh berbeza dengan Khalifah Umar. Umar pun menjawab protes anaknya:

     "Bapanya lebih disayang oleh Rasulullah daripada ayahmu, dan dia lebih disayangi Rasulullah daripada kamu!"

     Menjelang wafatnya tahun 54 H, 'Usamah tetap dikenali sebagai orang yang soleh dan berakhlak mulia. Semoga Allah merahmati sahabat yang dicintai oleh RasulNya.









N / F : DARIPADA "5 PENAWAR PENYAKIT HATI", OLEH MOHAMMAD ZAKI.



No comments:

Post a Comment