Tuesday 21 March 2017

PERANG BADAR [ BAB 11 - DENDAM BERDARAH ]






DENDAM BERDARAH








Pada mulanya Salapah berasa bangga apabila dua anak lelakinya menyertai pasukan Quraisy bagi menyelamatkan kafilah dagang Quraisy, dan dia lebih berasa bangga apabila mengetahui terjadi pertempuran di Badar antara pasukan Quraisy dengan pasukan Islam yang diketuai Muhammad. Dia yakin orang Islam dengan mudah dapat dikalahkan. Apabila tersebar khabar angin yang mengatakan pasukan Quraisy mendapat kemenangan dan Muhammad sudah dapat dibunuh, dia orang yang paling gembira sekali. Dia merancang mahu menyambut kepulangan dua orang anaknya sebagai pahlawan.

     Kerana itu Salapah orang yang paling terkejut apabila mendapat berita pasukan Quraisy dikalahkan dan Muhammad masih hidup. Dia lebih terkejut apabila diberitahu yang dua anak lelakinya terbunuh bersama 70 yang lain. Paling mengejutkan apabila anak-anaknya dibunuh oleh Asyim, seorang sahabatnya. Mereka berkawan rapat sebelum Asyim masuk Islam. Tetapi selepas Asyim menjadi pengikut Muhammad persahabatan mereka terputus. Kini dendamnya kepada Asyim membara. Dia bersumpah akan menuntut bela atas kematian anaknya.

     "Aku bersumpah mahu minum arak daripada tengkorak Asyim." kata Salapah kepada isterinya. Kata-kata itu juga selalu diucapkan Asyim kepada orang lain. Malah pernah beberapa kali dia bersumpah di hadapan Kaabah dengan ucapan kata-kata itu.

     "Wahai Salapah, dua orang anak lelaki kamu dibunuh oleh Asyim dalam perang Badar. Mengapa kamu masih berdiam diri? Apakah kamu masih dapat tidur lena dengan kematian dua anak kamu di tangan Asyim?" tanya Abu Sufian sengaja menaikkan kemarahan Salapah.

     "Aku tidak akan tidur lena selagi dendamku kepada Asyim belum berbalas. Aku tidak akan berdiam diri selagi Asyim belum dibunuh. Hutang nyawa mesti dibalas dengan nyawa. Aku bersumpah akan mendapatkan kepala Asyim. Kemudian aku akan minum darah daripada tengkoraknya," kata Salapah sambil meluahkan rasa marahnya.

     "Lakukanlah segera dan jangan berlengah lagi. Aku bersedia membantu sekiranya diperlukan!" desak Abu Sufian.

     "Temankan aku pergi ke hadapan Kaabah. Ada perkara yang hendak aku lakukan yang pastinya berkaitan dengan dendam aku pada Asyim," kata Salapah. Abu Sufian bersetuju menemani Salapah.

     Apabila sampai di hadapan Kaabah, Salapah pun berseru kepada orang ramai dengan suara yang nyaring, "Wahai pahlawan-pahlawan Quraisy, aku akan memberikan hadiah 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat membawa kepala Asyim kepada aku!"

     Salapah mengulangi tawarannya itu sebanyak tiga kali namun masih belum ada sesiapa yang sanggup menyahutnya. Melihat keadaan itu Abu Sufian pun berkata, "Aku akan tambah lagi hadiah yang ditawarkan itu menjadi 200 ekor unta. Masih tidak adakah yang sanggup merebutnya?" tanya Abu Sufian pula.

     Tiba-tiba bangun seorang lelaki lalu berteriak, "Aku sanggup!"

     "Siapa nama kamu wahai lelaki yang berani?" tanya Salapah.

     "Nama aku Sufian bin Khalid. Aku sanggup melakukannya!" jawab lelaki itu.

     "Segera lakukan wahai Sufian. Seratus ekor unta akan aku berikan kepada kamu. Ditambah seratus ekor lagi yang akan diberikan oleh Abu Sufian," kata Salapah dengan hati yang gembira kerana yakin dendamnya akan berbalas tidak lama lagi.

     Sufian menyuruh dua orang pembantunya pergi ke Madinah dan berpura-pura memeluk Islam. Kemudian perdayakan Muhammad supaya membenarkan Asyim mengikutnya pulang ke kampung bagi berdakwah. Dua orang suruhan Sufian itu segera pergi ke Madinah lalu berpura-pura memeluk Islam. Selepas beberapa hari berada di Madinah, kedua-dua lelaki itu memohon diri pulang ke kampung mereka.

     "Wahai Muhammad, ramai penduduk kampung kami mahu memeluk Islam. Tetapi tidak ada pendakwah yang mahu mengajar mereka berkenaan Islam, kerana itu hantarlah beberapa orang sahabatmu bagi berdakwah kepada mereka," beritahu salah seorang daripada orang suruhan Sufian itu.

     "Kami tertarik dengan Asyim. Dia layak dihantar ke perkampungan kami," sokong seorang lagi.

     Melihat kesungguhan mereka akhirnya Nabi Muhammad menghantar sepuluh orang pendakwah termasuk Asyim. Beliau berpesan supaya jangan tunduk kepada mereka yang memusuhi Islam. Pada masa yang sama Sufian dan orangnya sedang memasang perangkap. Mereka menunggu kedatangan kumpulan pendakwah itu di suatu tempat. Apabila Asyim dan kawan-kawannya sampai di situ tiba-tiba mereka diserang oleh sekumpulan lelaki yang diketuai oleh Sufian bin Khalid. Sepuluh sahabat nabi itu tidak mahu menyerah sebaliknya mengadakan perlawanan. Maka berlaku pertempuran antara kedua-dua belah pihak. Sepuluh orang pendakwah itu naik ke sebuah bukit lalu bertahan di puncak bukit itu.

     "Aku tidak mahu membunuh kamu. Aku cuma mahukan Asyim kerana Salapah hendakkan kepalanya. Sekiranya kamu serahkan Asyim, kamu tidak kami bunuh!" teriak Sufian.

     "Mereka mengkhianati kita. Lebih baik kita mati syahid daripada menyerah," kata Asyim kepada kawan-kawannya.

     "Nabi Muhammad juga berpesan supaya kita jangan tunduk kepada sesiapa, kerana itu kita tidak akan tunduk," kata kawan-kawannya. Mereka bertekad menentang hingga ke hujung nyawa.

     Sufian bin Khalid memerintahkan orangnya mengepung Asyim dan kawan-kawannya. Kemudian mereka menyerbu. Maka berlaku pertempuran sengit antara kedua-dua belah pihak. Asyim berjuang bersungguh-sungguh. Mula-mula dia menggunakan lembingnya. Apabila lembing itu patah maka digunakan pedangnya pula. Akhirnya Asyim gugur syahid.

     Sebelum meninggal dunia Asyim sempat berdoa, "Wahai Tuhan, sampaikan berita ini kepada Nabi Muhammad," kemudian dia berdoa lagi, "Wahai Tuhan, aku mengorbankan nyawaku pada jalan yang benar. Selamatkan kepalaku daripada tangan orang yang jahat itu."

     Doa Asyim dimakbulkan Allah. Malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad lalu mengkhabarkan berkenaan syahidnya Asyim. Permintaan kedua Asyim juga dimakbulkan Tuhan. Ketika Sufian hendak mendekati mayat Asyim tiba-tiba datang sekumpulan lebah lalu menghurung mayat Asyim. Sufian terpaksa menunggu dengan harapan lebah-lebah itu akan lari. Tetapi tidak lama kemudian hujan turun dengan lebat. Mayat Asyim dihanyutkan air. Sufian kecewa kerana tidak dapat memenggal kepala Asyim. Sekaligus gagal mendapatkan hadiah yang ditawarkan.

     Kawan-kawan Asyim pula terus mengadakan perlawanan. Kerana bilangan musuh ramai, seorang demi seorang antara mereka meninggal dunia. Akhirnya tinggal hanya tiga orang iaitu Habib, Zaid bin Wisnah dan Abdullah bin Tariq. Mereka terus bertahan di puncak bukit.

     "Turunlah dari bukit itu dan kami tidak akan mengapa-apakan kamu!" teriak Sufian.

     "Mereka meminta perdamaian. Apa pendapat kamu?" tanya Habib kepada kawan-kawannya.

     "Sekiranya benar mereka hendak berdamai kita terima. Tetapi sekiranya mereka khianati kita maka kita tentang mereka semula," jawab Zaid.

     "Saya yakin ini perangkap, kerana itu sebaiknya kita terus berada di sini," kata Abdullah pula ragu-ragu.

     "Mereka mengepung kita dari semua penjuru. Di puncak bukit ini tidak ada makanan dan air. Sekiranya keadaan ini berterusan akhirnya kita pasti tewas juga. Cuba terima tawaran mereka. Sekiranya itu cuma tipu helah, kita akan menentang mereka hingga syahid," kata Habib lalu memujuk kawan-kawannya menerima tawaran itu.

     Akhirnya Abdullah bersetuju. Mereka bertiga pun turun dari puncak bukit itu. Sufian dan kawan-kawannya menyambut mereka dengan berpura-pura menunjukkan sikap yang baik.

     "Berikan mereka makanan dan minuman serta layan dengan baik," kata Sufian.

     Setiap pendakwah itu didatangi lima orang pengikut Sufian dengan berpura-pura menunjukkan sikap yang baik. Apabila dekat mereka terus diberkas.

     "Saya sudah kata mereka menipu kita!" teriak Abdullah sambil melawan tetapi dia akhirnya dapat dibunuh. Habib dan Zaid pula tidak dapat mengadakan perlawan lalu diberkas.

     "Kita gagal mendapatkan kepala Asyim tetapi kita masih ada dua orang tawanan bagi dibawa ke Mekah," kata Sufian. Dia membawa Zaid dan Habib ke Mekah lalu dijual di pasar Ukhaz.

     "Aku mahukan kepala Asyim. Bukan dua orang lelaki ini," marah Salapah. 

     "Kami sudah dapat membunuh Asyim tetapi mayatnya dihanyutkan air hujan. Kami tidak dapat mencarinya," jawab Sufian dengan rasa kecewa.

     "Kamu tidak akan mendapat apa-apa hadiah daripada aku," kata Salapah dengan rasa kecewa.

     "Tetapi kami sudah dapat membunuh Asyim. Berilah kami hadiah walaupun cuma seekor unta," rayu Sufian.

     "Aku bersumpah hendak meminum arak daripada tengkorak Asyim yang membunuh dua orang anak aku. Apabila kamu gagal membawa kepala Asyim maka kamu gagal mendapat hadiah daripada aku walau cuma seekor unta," kata Salapah lalu pergi dari situ.

     Namun Sufian masih tidak berputus asa. Dia berharap orang Quraisy akan membeli Habib dan Zaid bagi dijadikan tempat membalas dendam atas kematian keluarga mereka di Badar.

     "Wahai Safwan, inilah Zaid yang membunuh ayah kamu di Badar. Apakah kamu tidak mahu membelinya bagi membalas dendam atas kematian ayah kamu?" tanya Sufian kepada Safwan yang datang ke Ukhaz.

     "Tujuan aku datang ke sini sememangnya mahu membeli pembunuh ayahku ini. Aku tidak akan berasa tenang selagi pembunuh ayahku belum dapat dibunuh. Aku akan membunuhnya dengan tanganku sendiri," kata Safwan sambil menunjukkan kebenciannya kepada Zaid.

     "Aku hanya akan menjualnya sekiranya kamu sanggup memberikan aku seratus ekor unta. Harga itu berpatutan kerana aku kehilangan beberapa orang pengikutku semata-mata mahu mendapatkan lelaki ini," kata Sufian pula.

     "Aku hanya sanggup memberikan kamu lima puluh ekor unta sahaja. Sekiranya engkau tidak mahu tidak mengapa. Jualkan kepada orang lain tetapi aku percaya tidak ada siapa yang mahu membelinya melainkan aku sahaja," kata Safwan yang terkenal sebagai peniaga yang licik dan pandai menipu.

     Akhirnya Sufian bersetuju dengan permintaan Safwan lalu menjualkan Zaid dengan lima puluh ekor unta kepada Safwan. Tidak lama kemudian datang pula Hijjir ke pasar Ukhaz.

     "Wahai Hijjir, inilah lelaki yang membunuh ayah kamu. Apakah kamu tidak mahu membelinya bagi membalas dendam atas kematian ayah kamu? Sesungguhnya harta boleh dicari tetapi maruah kamu tidak boleh dijual beli," kata Sufian yang sengaja mencabar Hijjir bagi membeli Habib.

     "Aku sanggup membeli lelaki ini dengan seratus ekor unta," kata Hijjir dengan rasa bangga. Sufian bersetuju lalu menjualkan Habib dengan seratus ekor unta kepada Hijjir.

     Keesokan harinya Safwan membawa Zaid di luar kawasan Masjidil Haram bagi dibunuh. Orang ramai berkumpul bagi menyaksikan pembunuhan balas dendam itu. Safwan membawa sebilah lembing yang akan digunakan bagi membunuh Zaid. Turut hadir adalah Abu Sufian bin Harb dan Abu Sufian bin Harith.

     "Wahai Zaid, sukakah kamu sekiranya Muhammad menggantikan tempat kamu dan kamu dibebaskan untuk hidup bersama keluarga kamu?" tanya Abu Sufian bin Harb.

     "Demi Allah, aku tidak akan berasa bahagia hidup bersama keluarga sekiranya Nabi Muhammad disakiti walau dicucuk dengan duri," jawab Zaid dengan berani walaupun dia tahu jawapannya itu mengundang padah.

     Orang ramai tercengang mendengar jawapan Zaid. Sekiranya mereka berada di pihak Zaid sudah tentu mereka menerima tawaran itu. Tetapi tidak dengan Zaid. Dia lebih rela mati syahid daripada membiarkan mereka menghina Nabi Muhammad.

     "Sesungguhnya kasih sayang yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi Muhammad itu tiada tolok bandingnya. Dia pemimpin sejati kerana pengikutnya sanggup berkorban nyawa untuknya," puji Abu Sufian bin Harith.

     Safwan berasa sangat marah mendengar jawapan Zaid dan kata-kata Abu Sufian bin Harith lalu ditikamnya Zaid dengan lembing yang berada di tangannya. Akhirnya Zaid menghembuskan nafas terakhirnya di situ juga.

     "Wahai Hijjir, Safwan sudah membalas dendam ke atas lelaki yang membunuh bapanya. Bilakah giliran kamu pula melakukannya?" tanya Abu Sufian bin Harb. Dia seperti tidak sabar melihat Hijjir membalas dendam pada pembunuh bapanya.

     "Aku sengaja tidak mahu membunuh Habib dengan cepat kerana mahu dia terseksa dulu," jawab Hijjir.

     "Apa yang kamu lakukan padanya?" tanya Abu Sufian.

     "Aku kurung dia tanpa memberi makanan dan minuman. Aku mahu dia berasa lapar dan dahaga," jawab Hijjir.

     "Apa tujuan kamu lakukan itu?" tanya Abu Sufian lagi.

     "Aku mahu dia kembali ke agama nenek moyang kita," jawab Hijjir.

     "Sekiranya Habib setuju, apakah kamu akan membebaskan dia?" tanya Abu Sufian lagi.

     "Aku tetap akan membunuhnya. Cuma aku tidak mahu dia mati dengan menganut agama yang dibawa Muhammad. Aku mahu Habib mati dengan menganut agama kita," jawapan Hijjir itu menggembirakan hati Abu Sufian. Dia yakin apabila Habib berasa lapar dan dahaga dia terpaksa tunduk pada pemintaan Hijjir.

     Pada suatu hari Hijjir menyuruh seorang hamba perempuannya melihat keadaan Habib yang berada di dalam kurungan. Dia berharap Habib akan merayu meminta makanan dan air selepas beberapa hari tidak mendapatnya. Hamba perempuan itu berasa terkejut apabila melihat Habib sedang memakan sebiji buah anggur sebesar kepala. Dia melaporkan apa yang dilihatnya itu kepada Hijjir.

     "Muhammad mengajar ilmu sihir kepada Habib. Sia-sia sahaja aku membiarkannya hidup. Esok pagi dia akan dibunuh," kata Hijjir dengan rasa marah dan kecewa.

     Keesokan harinya sekali lagi hamba perempuan itu pergi melihat Habib di tempat kurungnya.

     "Hari ini kamu akan dihukum bunuh. Apakah ada apa-apa permintaan kamu yang boleh aku berikan?" tanya perempuan itu.

     "Aku cuma mahukan sebilah pisau bagi mencukur rambutku," jawab Habib.

     Hamba perempuan Hijjir itu pun mengambil sebilah pisau cukur lalu memberikannya kepada Habib. Dibawanya juga anak kecil Hijjir bersamanya. Habib mengambil pisau cukur itu dari tangan hamba perempuan itu kemudian mencukur rambutnya. Selepas siap mencukur rambutnya, Habib menyerahkan semula pisau itu kepada hamba perempuan itu. Pada masa yang sama Hijjir berasa cemas apabila mendapat tahu hamba perempuannya memberikan pisau cukur kepada Habib. Dia lebih cemas apabila mendapat tahu anak kecilnya ada bersama hamba perempuan itu. Hijjir segera pergi ke tempat kurungan Habib. Dilihatnya Habib sedang memegang pisau cukur sambil mengusap kepala anak kecilnya yang sedang didukung hamba perempuan itu.

     Melihat kedatangan Hijjir yang berwajah cemas maka Habib pun berkata, "Apakah kamu menyangka aku akan membunuh anak kecil yang tidak berdosa dan seorang jariah yang baik? Demi Allah sekiranya aku belum mendapat hidayah pasti aku gunakan kesempatan ini bagi melepaskan diri," kata Habib.

     "Kamu memang lelaki yang bodoh!" kata Hijjir lalu memerintahkan hambanya membawa Habib ke tempat pembunuhan.

     Orang ramai sudah berkumpul di situ bagi melihat Hijjir membalas dendam pada pembunuh bapanya.

     "Sebelum kamu aku bunuh, apakah permintaan kamu yang terakhir?" tanya Hijjir sambil menghunus pedangnya.

     "Izinkan aku mendirikan sembahyang sunat dua rakaat kerana tidak lama lagi aku akan pergi menghadap Tuhanku," jawab Hijjir.

     Hijjir membenarkan permintaan Habib. Dia pun mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat. Selepas selesai sembahyang sunat dan berdoa, Habib pun berkata, "Demi Allah, inilah sembahyang sunat yang paling aku suka. Sekiranya boleh aku mahu menambah lagi sembahyang sunatku beberapa rakaat lagi tetapi aku bimbang kamu menyangka aku takut dan sengaja mahu melambatkan hukuman pada aku," kata Habib.

     Kemudian kaki dan tangan Habib diikat lalu ditambatkan pada sebatang tiang. Hijjir bersama tiga pembantunya menikam tubuh Habib hingga meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia Habib sempat berkata, "Wahai Allah, sampaikan salamku kepada Nabi Muhammad pesuruhMu."

     Allah mengutus malaikat bagi menyampaikan salam Habib itu kepada Nabi Muhammad yang ketika itu berada di dalam Masjid Nabi.

     "Waalaikum salam wahai Habib," kata Nabi Muhammad.

     Orang ramai yang berada di masjid menjadi hairan dengan ucapan itu dengan bertanya.

     "Habib disyahidkan oleh orang Quraisy," jawab Nabi Muhammad.

     Kemudian Nabi Muhammad menceritakan apa yang berlaku pada Habib dan kawan-kawannya. Ramai yang berasa sedih dan simpati dengan apa yang berlaku kepada sepuluh orang pendakwah itu.

     "Mereka mengkhianati mereka. Izinkan kami membalas perbuatan mereka," kata Hamzah bin Abdul Mutalib.

     Namun Nabi Muhammad tidak membenarkan mereka membalas dendam. Beberapa orang sahabat meminta izin supaya pergi ke Mekah bagi mengambil mayat Habib. Nabi Muhammad membenarkannya. Syuaib dan dua orang rakannya pergi ke Mekah dengan menyamar diri sebagai pengembara dari Syam.

     Hijjir pun sengaja membiarkan mayat Habib berada di tempat hukuman bunuh itu supaya ditonton orang ramai. Selepas beberapa hari dibunuh namun mayat Habib tidak busuk ataupun berulat. Apabila Syuaib dan kawan-kawannya sampai di Mekah dilihatnya mayat Habib masih terikat pada tiang. Keadaan mayatnya masih elok. Pada tengah malam itu Syuaib melarikan mayat Habib lalu dikebumikan sebagai seorang syuhada.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment